Home Novel Cinta CINTA DI PERDU HATI
CINTA DI PERDU HATI
Raiza Khairina
21/4/2013 00:09:31
30,148
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

Bab 7


SETELAH difikir-fikir peluang yang datang, Suhaila melakukan solat istikharah dan mengambil kira nasihat ibu, baharulah Suhaila membuat keputusan untuk menerima sahaja jawatan juruakaun di Sempurna Decco. Untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru tidak menjadi masalah kepadanya.Pekerja di situ menerimanya dengan baik. Ada lima orang pekerja perempuan dan empat orang pekerja lelaki. Jumlah tersebut tidak termasuk jurujual di bahagian jualan. Masing-masing mempunyai tugas dan tanggungjawab yang di amanahkan.

Ada satu perkara yang menjadi tanda tanya dibenaknya selama ini. Namun, dia tidak tahu pada siapa harus bertanya. Selama dia bekerja belum pernah sekalipun dia dapat bersua dengan pemilik sebenar Sempurna Deco. Selalunya, mereka berurusan dengan pengarah urusan yang dilantik oleh pemilik syarikat. Itu yang diketahuinya dari rakan-rakan seangkatan. Lama-kelamaan tanda tanya itu hanya berlegar dalam fikirannya sahaja.

Baru dua bulan menimba pengalaman, dia sudah merancang hendak membeli kereta dengan wang hasil pendapatan yang diperolehinya nanti. Gembira tidak terkata kerana sedikit masa lagi dia mampu memiliki barang idaman hasil titik peluhnya sendiri.

Suatu hari yang tidak diduga ketika keluar makan tengah hari Suhaila terserempak dengan Fikri. Macam tidak percaya sahaja apabila melihat kelibat Fikri bersama ketua pengurus jualan masuk ke dalam restoran itu. Secara tidak sengaja mata mereka bertembung buat seketika.

‘Macam manalah boleh bertemu dengan mamat ni di sini. Ya Allah! Tak sangka betul.’ Detik hati kecilnya.

Eh! Intan, makanlah. Apa ditunggu lagi?” Lucy, merangkap PA pengurus syarikat menegur apabila menyedari Suhaila hanya menguis saja nasi di dalam pinggan.

Dengan orang yang baharu dikenali, Suhaila senang membahasakan diri dengan Intan sahaja. Baginya, nama timangan hanya untuk insan yang benar-benar rapat sahaja.

“Emm... tiba-tiba aje Intan rasa kenyang,” jawab Suhaila sambil mengukir senyuman. Wajah gadis berbangsa China Muslim berambut pendek paras bahu itu dipandang. Mohon simpati.

“Takkanlah dah kenyang.You tak makan apa-apa lagi kan?” tanya Lucy sambil mengerutkan dahinya. Hairan barangkali.

“Masa masuk restoran ni tadi memang perut Intan rasa lapar. Bila mengadap nasi berlauk ikan tongkol ni Intan rasa kenyang pulak.”

“Kesian I tengokyou. Lauk hari ini bukantaste you agaknya. Tak apalah lain kali bila rasa tak ada selera dengan lauk pauk di sini, kita makan dekat tempat lain ajelah ya?” prihatin benar gadis itu padanya.

“Susahkan you aje. Tak apalah Intan makan sesuap dua. Nantiyou risau pulak,” ujar Suhaila untuk menyedapkan hati rakannya.

“Tahu tak apa. Nanti kalau perut you sakit siapa yang susah.You dengan kaum kerabat Sempurna Deco tu sekali mendapat susah,” kata Lucy lagi.

Suhaila tergelak. Namun, hanya seketika. Hatinya kembali gelisah saat terpandang kelibat Fikri masih ada di dalam restoran.

‘Ya Allah! Kenapa mesti wajah dia? Macam tak ada lelaki lain yang patut aku pandang?’ Hati kecil Suhaila menjerit geram.

You perasan tak, sedari tadi Encik Fikri tu asyik pandang ke sini aje?” tanya Lucy hairan.

“Iye ke? Siapa dia tu?” Intan Suhaila pura-pura bertanya.

“Eh! Takkanyou tak tau?” Menggeleng. “Dia ketua pengurus jualan syarikat kita. Mengambil alih pengurusan syarikat di Bukit Bintang. Selalu datang ke sini bila ada permintaan dari luar Kuala Lumpur. ” Suhaila merasakan bagai ada batu menghempap kepalanya. Dia yang ketika itu sedang minum tersedak dibuatnya. Tidak menyangka sama sekali akan bekerja dalam satu syarikat dengan lelaki itu. Dia ingin lari tetapi tidak tahu harus lari ke mana.

“Kenapa denganyou ni?” Lucy segera menggosok belakang badan Suhaila.

“Intan dahaga sangat.Sorry ya, buatyou risau je.”

‘Kenapa baru sekarang aku perlu tahu semua ini? Kenapa tidak dari dulu? Patutlah Wafhi begitu beria-ia minta aku terima jawatan ini. Pak Cik Fuad pun sama.’ Persoalan demi persoalan mulai terungkai. Segala yang menjadi tanda tanya dibenak Suhaila terjawab sudah. Dia tidak tahu sama ada perlu marah atau bergembira kerana mengetahui kebenaran.

‘Ya Allah! Kau kuatkanlah hati dan perasaanku.’ Hati kecilnya berbisik. Dia sedaya upaya mengawal gelodak rasa yang keras berombak di pantai hatinya.

Meluat sungguh Suhaila saat terpandang wajah Fikri itu. Kalau diikutkan hati yang masih berbekas rasa marah mahu sahaja dihamburkan kata-kata nista. Namun, akalnya menghalang. Dia juga sedar akan terpalit malu nanti. Sejarah akan tetap ditinggalkan. Apa yang penting hidup ini mesti diteruskan.

Memandangkan waktu tinggal beberapa minit lagi, pantas sahaja Suhaila memohon diri beredar ke surau untuk menunaikan solat Zohor. Dalam sembahyangnya dia mendoakan moga-moga hari-hari yang bakal dilalui dipermudahkan dan dijauhi perkara-perkara yang tidak diingini. Tidak lupa juga dia mendoakan kesejahteraan buat ibu dan makhluk hidup di bumi bertuah ini.


DALAM masa yang sama Fikri menggelisah memikirkan kehadiran Suhaila di situ. Apa sebenarnya kemahuan Suhaila hadir di situ? Mindanya diterjah oleh seribu satu tanda tanya.

Jauh di lubuk hatinya ada pelbagai rasa yang bermaharajalela.

“Siapa perempuan tu?” soal Fikri kepada ketua pengurus jualan.

Staf baru Sempurna Deco. Dia menjawat jawatan juruakaun. Dia cantik kan? Bijak pulak tu.” Malangnya, pujian ikhlas Zamri itu tidak kena pada tempatnya.

Bulat mata Fikri saat mendapat khabar jawatan juruakaun kini telah disandang oleh gadis yang pernah dimusuhinya satu waktu dulu.Mana mungkin dia dapat melupakan segalanya tentang gadis itu.

‘Memang gadis itu semakin cantik. Lima tahun bukan jangka waktu yang singkat. Sudah pandai bergaya, menarik dengan gaya femininnya. Mampu memikat sesiapa pun jua yang melihatnya.’ Dalam diam Fikri memuji gadis yang baru ditemuinya di restoran. Jiwanya jadi tidak keruan.

Shit,” ujar Fikri separuh berbisik.

Zamri mengerutkan dahinya. Hairan. Bagai tidak percaya ayat asing yang baru keluar dari bibir ketuanya itu.

“Ada apa bos?” tanyanya hairan.

“Sudah berapa lama dia kerja dengan kita?” soal Fikri ingin tahu.

“Dekat dua bulan bos,” jawab Zamri sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.

‘Macam mana orang tua nak mampus tu boleh menawarkan kerja tu dekat dia? Patutlah Yasmin nak kerja dia tak bagi. Rupa-rupanya dah ada calon. Ini tak boleh jadi ni. Aku mesti beritahu mummy.’ Detik hati Fikri.

“Kenapa bos beria-ia nak tahu ni? Takkan dah jatuh hati kut?” usik Zamri. Namun, dia cepat-cepat/ menghabiskan sisa-sisa minumannya sebaik sahaja melihat jelingan bosnya itu.

Dari tadi mata Fikri tidak lepas memandang ke mana saja kelibat Suhaila pergi. Walaupun ketika itu suhaila sudah melangkah keluar dari restoran menuju ke arah pejabat mereka. Ada getaran rasa aneh jauh di lubuk jiwanya. Dalam masa yang sama terasa tergugat kedudukannya di Sempurna Deco.

‘Cintakah ini? Ah! Aku tak mungkin biarkan perkara ini berlaku. Tak mungkin berlaku.’ Hatinya berbisik geram.


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.