Home Novel Cinta CINTA DI PERDU HATI
CINTA DI PERDU HATI
Raiza Khairina
21/4/2013 00:09:31
30,150
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6
Bab 6


SURAT tawaran bekerja di Sempurna Nacco dipandang sepi. Aliff Wafhi sedar gadis itu endah tak endah sahaja. Saban hari dan saban waktu dia cuba memujuk dan terus memujuk. Dia berusaha menyakinkan Suhaila agar terus menerima sahaja tawaran kerja itu.

Sedikit sebanyak apa yang diketahuinya tentang Sempurna Nacco diceritakannya kepada Suhaila agar gadis itu yakin dengan keputusan hatinya.

“Abang ni beria-ia minta Sue terima tawaran kerja tu, kenapa?” tanya Suhaila hairan.

“Lorh... perlu ke abang jawab? Sue juga yang mengimpikan jawatan itu?” Soalan berbalas soalan pula. Suhaila sekadar mengangguk.

“Tak rasa rugi ke, Sue tolak tawaran tu? Masa berjalan tau. Ramai orang di luar sana berangan-angan hendakkan jawatan tu. Tapi, Sue buat endah tak endah saja. Sayang tau, peluang ada depan mata. Inilah masanya Sue tonjolkan kebolehan Sue. Peluang....” rungut Aliff Wafhi tidak puas hati.

“Sue tahu... abang nak cakap peluang biasanya datang sekali. Kalau ada rezeki, adalah bang,” Intan Suhaila memotong sebelum Aliff Wafhi menamatkan bicaranya.

“Tahu pun. Tapi, abang tengok Sue buat-buat tak tahu aje. Apa ni... belum apa-apa dah mengalah ni!”

Terjegil mata Intan Suhaila mendengar bicara selamba Aliff Wafhi itu.

“Abang nak cabar Sue, ye? Okey! Okey! Sue sahut cabaran abang. Tengoklah nanti siapa Sue yang sebenarnya.”

Aliff Wafhi ketawa. Dipandang wajah Intan Suhaila yang masam mencuka itu. Tidak diendahkan jelingan maut Intan Suhaila yang tengah amarah itu. Harapannya cuma satu, gadis itu mengotakan kata-katanya.

“Bukan main suka lagi ketawakan orang. Nak kena ni. Ish! Geramnya hati Sue. Abang suka buat Sue marah tau.” Intan Suhaila mengetap bibir menahan geram. Kasar sahaja caranya ketika mengemas barang dekat kaunter.

Namun, pertengkaran mulut mereka hanya seketika sahaja. Tidaklah sampai tidak mahu bertegur sapa atau berlarutan sehingga ke malam. Biasanya tidak sampai satu jam mereka akan berbaik semula. Selalu juga keletah mereka itu menjadi bahan usikan pekerja mereka. Adakalanya jadi bahan bahan gosip juga.

“Mentang-mentanglah dia ada bakat memasak juga. Bukan main lagi ya?” sambung Intan Suhaila.

Apalagi, bulat mata Aliff Wafhi dibuatnya. Baharu dia teringat ikan di dalam kuali. Laju dia menuju ke bahagian dapur. Nasib baik ikan yang digoreng tidak hangus. Kalau tidak mahu pecah anak telinganya mendengar bebelan emaknya.

“Selesai satu masalah,” ujar Aliff Wafhi tanpa sedar. Dia menarik nafas lega.

“Er, masalah apa?” tanya Aliff Wafhi sambil menggaru kepala.

“Eh, kok tanya saya pula. Tadi abang yang cakap.” Aznin menggaru kepala. Seingatnya dia tidak salah dengar. Kata-kata Aliff Wafhi tadi jelas ditelinganya.

“Tak ada apalah. Sibuk saja. Pergi sana basuh pinggan,” sela Aliff Wafhi.

Aznin menurut saja tanpa banyak bicara selepas menyerahkan pesanan dari pelanggan. Suka atau tidak itu sudah menjadi tanggungjawabnya bekerja di situ. Apa yang penting dia dapat bekerja dengan majikan yang baik hati.

“Kenapa dengan bos kita tu? Lain macam aje aku tengok.” Aznin menghampiri Aziela juga rakan sekerjanya.

“Mana aku tahu. Dalam hati ada taman kot,” jawab Aziela.

“Iye ke? Maksud kau apa?” tanya Aznin sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Kenapalah kau ni lembab sangat. Itu pun tak tahu,” jawab Aziela pula.

“Suka hati aje nak mengata orang,” balas Aznin sambil menjegilkan matanya.

“Entah-entah kau ada perasaan dekat Cik Suhaila kita ya? Sebab tu bila tengok Abang Wafhihappy semacam kau macam kalut sikit,” teka Aziela sambil menyimpul senyuman di bibir.

“Hai! Kau orang berdua ni nak kerja ke bergosip?” tegur Chef… yang ke belakang dapur untuk mengambil kuali.

“Eh, pak cik. Tak ada apanya nak bergosip. Saja aje, suka menyakat Aznin ni. Dah pecah lubang,” bulat biji mata Aznin saat mendengar kata-kata Aziela itu. Bertambah sukalah gadis itu mentertawakannya.

“Ada-ada aje kau orang berdua ni. Cepat buat kerja. Tak pasal-pasal Puan Suria potong gaji baru tahu,” ujar ….sebelum beredar.

“Amboi! Pandai-pandai aje nak mengena orang. Gosip tak benar tahu,” kata Aznin termalu sendiri. Dia terus berlalu. Padanya, biarlah menjadi rahsia soal perasaannya terhadap anak majikannya itu. Memang dia ada menyimpan perasaan suka buat Suhaila. Namun, rasa suka itu tidak lebih daripada suka ingin terus memiliki. Hanya suka melihat ketrampilan Suhaila yang peramah dan pandai membawa diri.


KETIKA pelanggan sudah mulai kurang, Suhaila menghela nafas lega. Baharulah dia berkesempatan hendak merehatkan diri walaupun hanya sebentar cuma. Sementelahan hari itu agak sibuk dia membantu ibunya di restoran. Daripada dia melayan pelanggan yang datang memesan makanan, membeli produk jamu dan juga menjaga kaunter. Tidak sempat dia hendak memikirkan tawaran kerja di Sempurna Nacco. Dia berbelah bahagi sama ada hendak menerima tawaran itu ataupun tidak. Dia berasa kasihan terhadap ibunya yang bertungkus lumus menguruskan restoran itu.

Banyak proses perancangan diperlukan bagi menjayakan sesebuah perniagaan makanan. Setiap masa perlu menitikberatkan kualiti daripada jumlah pelanggan yang keluar masuk ke restoran ibunya itu. Dengan cara itu pelanggan tetap tidak akan jemu datang bertandang menjamu selera di situ. Dia ingin memastikan dalam masa yang sama pelanggan-pelanggan baharu turut jatuh suka dengan air tangan Puan Suria dan chef-chef terpilih pilihan ibunya.

'Apa akan jadi pada perniagaan ibu ni, kalau aku bekerja di tempat lain? Kasihan ibu nanti terpaksa berpenat lelah sendirian tanpa aku di sisi. Ya Allah, kejamnya aku ini. Pentingkan diri sendiri pulak.'

'Abang, Su rindukan abang. Sangat-sangatlah rindu. Kenapa abang pergi dulu? Kasihan dengan ibu kita. Sendirian berpenat lelah membesarkan Su.' Keluhnya dalam hati. Namun, sekejapan cuma. Kalimah Istighfar berlagu di bibir. Dia tersedar saat rindunya pada arwah abang kembali mengusik jiwa.

'Ya Allah, apa sudah jadi padaku? Abang sudah lama pergi. Sepatutnya aku redha dengan pemergian abang. Bersedekah untuknya. Bukan menidakkan hukum Allah swt.'

'Ya Allah, berilah aku kekuatan dan kesabaran. Berikan aku kemudahan agar aku mampu menyelesaikan segala permasalahan." bisik hati kecil Intan Suhaila.

Sedang leka menulis sesuatu dalam buku akaun, Intan Suhaila dikejutkan bunyi ‘SMS’ masuk di talian telefon bimbitnya. Dia tertanya-tanya siapa pula yang menghantar pesanan ringkas tersebut. Lantaran tidak mahu tanda tanya bermain dibenaknya, di angkat juga telefonnya itu.

“Sue... datang ke belakang sekarang,urgent.” Berkerut dahi Intan Suhaila saat mata bundarnya jatuh pada pesanan yang tertera di skrin telefonnya itu.

‘Ada apa pulak Abang Aliff ni?’ Gumamnya sendiri.

“Tunggu sekejap ya, Sue nak sudahkan kerja Sue dulu,” jawab Intan Suhaila.

“Kerja tu, sampai bila-bila tak pernah habis. Apa yang nak abang beritahu ni lagi penting.” Bulat mata Intan Suhaila saat membaca mesej tersebut.

‘Ini arahan ke permintaan ni? Sesedap mulut dia aje nak mengarah kita jumpa dia.’ Intan Suhaila mengomel sendiri. Mesej tersebut tidak dibalasnya.

Selesai kerjanya dia menggamit seorang pelayan restoran untuk menggantikan tempatnya. Dia memberitahu sesuatu kepada pekerjanya itu sebelum berlalu menuju ke arah belakang restoran.

Uniknya di belakang restoran tersebut, terdapat sebuah meja simen yang berkerusi enam. Di atas meja sudah tersedia fresh apple hijau dan dua pinggan char kue teow kegemaran Intan Suhaila. Aliff Wafhi yang baharu membelai pokok-pokok herba seperti serai, ulam raja, pegaga dan kucai itu berkalih pandang ke belakang. Dia tersengih saat bertembung pandang gadis manis di hadapannya itu.

“Sedapnya bau. Abang yang masakkan untuk Sue ye? Terima kasih ya bang,” ujar Intan Suhaila sambil tersenyum. Tanpa berlengah dia terus duduk.

“Ajak makan tadi tak nak. Dah macam orang kebulur abang tengok.”

“Mana ada. Abang ni saja je tau.”

Aliff Wafhi juga turut menikmati hidangan yang dimasaknya itu. Sesekali matanya melirik ke arah Intan Suhaila. Comel sahaja di pandangan matanya.

“Ada apa bang yangurgent sangat tu? Tak menyempat-nyempat,” ujar Intan Suhaila menghalau kesepian yang bertandang.

Aliff Wafhi menarik nafas dalam-dalam sebelum menuturkannya. Intan Suhaila memandangnya tidak berkelip. Jus apple hijau dihirupnya pula.

“Abang ada sesuatu nak tunjukkan pada Sue.” Aliff Wafhi menyeluk beg galasnya yang elok terletak di atas kerusi di sebelahnya.

Fail ditangan Aliff Whafi diselak. Helaian demi helaian ditatapnya. Terpegun seketika saat Intan Suhaila menatapnya. Indah berseni setiap cenderahati dan barangan perhiasan yang diukir cantik. Plan pemasarannya juga menarik hatinya. Matanya tidak berkalih pandang dari helaian kertas A4 itu.

“Sempurna Naccomenyediakan pelbagai pilihan cenderamata dan hadiah yang unik dan menarik. Belum lagi koleksi tahun baharu yang datang dengan warna-warni dan lebih eksklusif,” kata Aliff Wafhi sambil tersenyum.

Intan Suhaila menutup fail tersebut. Dia mengerutkan dahinya. Pandangannya dihalakan ke wajah tenang milik Aliff Wafhi. Kerutan diwajahnya tanda dia kebingungan.

“Abang nak Sue buat apa?”

“Peluang ada di depan mata Sue. Bila lagi Sue nakupgrade kebolehan Sue? Inilah masanya.” Aliff Wafhi bermain kata.

“Senangnya abang cakap. Tak kesian ke tengok ibu Sue sendirian mengusahakan restoran ini?” Saat itu wajah abang tercinta, Iqram Shuhaimi menari-nari di ruang fikiran.

“Kalaulah arwah abang Iqram ada, tidaklah Sue berasa serba salah macam ni,” sebu di dada dilepaskan. Segera mutiara jernih di tubir mata dilap dengan hujung lengan sebelum ianya menitis.

“Setiap yang hidup pasti akan menemui-Nya. Lain orang, lain dugaan hidupnya. Ada yang diduga dengan bebanan hidup yang sangat pedih. Diuji dengan sekecil-kecil ujian sehinggalah musibah yang tidak diduga. Buatlah yang terbaik untuk diri Sue. Kalau arwah masih ada pun, abang yakin dia akan menyokong jalan yang Sue pilih.” Aliff Wafhi sedaya upaya mahu memujuk hati Intan Suhaila.

“Tak sampai hati tengok ibu bersusah payah tanpa Sue di sisi.” Hati Intan Suhaila berbolak balik.

“Abang kan ada. Abang dah rasa perih jerih mak cik dan mak abang lalui sepanjang membangunkan restoran ni. Takkanlah Sue hendak menidakkan kekuatan kami semua. Abang lihat sendiri kekuatan yang ada pada ibu Sue. Malah mak abang pun akui, mak cik seorang wanita yang gigih berusaha. Pantang mengaku kalah.” Aliff Wafhi berasa sedikit terkilan. Seolah-olah kehadirannya di situ tidak sedikit pun dihargai.

“Maaflah, kalau abang terasa. Sue tak niat pun. Okeylah, beri Sue masa untuk beberapa hari,” pinta Intan Suhaila mohon pengertian.

Aliff Wafhi tidak terkata apa. Jawapan yang diberikan Intan Suhaila bukanlah jawapan yang menyenangkan. Hitam katanya, hitamlah jawabnya. Hanya tinggal harapan semoga terbuka hati gadis itu untuk menerima tawaran kerja itu.


INTAN SUHAILA bekerja seperti biasa. Dia terima saranan Aliff Wafhi supaya membuat solat hajat dan istikharah supaya ditetapkan hatinya. Antara kasih dan kasihan terhadap ibu tercinta, dia jadi dilema. Pada hal ibu sudah memberi lampu hijau kepadanya untuk membuat pilihan yang terbaik di dalam hidup.

Selagi Intan Suhaila tidak membuat keputusan segera, tidak senang duduk nampaknya Wafhi. Setiap hari dia berdoa mudah-mudahan Suhaila menerima tawaran kerja itu. Tugas berat yang diamanahkan kepadanya. Tiada siapa yang tahu rancangan yang diatur bersama Haji Fuad. Dia tidak setuju sama sekali Intan Suhaila bekerja di restoran itu kerana dia ada rancangan yang lebih baik lagi buat gadis itu.

Haji Fuad pun sama. Gelisah sahaja dia. Sesekali dia turut menjamu selera di situ. Dia ke situ bukan sekadar hendak menjamu selera. Isterinya, Puan Maria juga turut membantu memasak di dapur. Tambahan pula air tangan isteri dan birasnya itu kena dengan tekaknya.
Dan hari pun berlalu. Intan Suhaila terus membisu. Haji Fuad hanya mampu melepaskan keluhan berat. Berita yang diterima daripada Wafhi langsung tidak menyenangkan hatinya. Dia hampir berputus asa. Namun, ketika masing-masing sudah bersedia menerima apa-apa pun keputusan Suhaila, secara tidak semena-mena gadis itu memberi kata putus untuk menerima lamaran kerja di Sempurna Nacco. Dia menyandarkan harapan di bahu Wafhi supaya sama-sama berganding bahu menaikkan nama produk Warisan Tradisi. Bukti kejayaan ibunya selama ini.


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.