Home Novel Cinta CINTA DI PERDU HATI
CINTA DI PERDU HATI
Raiza Khairina
21/4/2013 00:09:31
30,158
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

Bab 1

“EMM...jauhnya melamun. Apa yang difikirkan? Kumbang seekor di tepi pagar ni pun tak sedar kehadirannya?”

Intan Suhaila sedikit kaget ditegur begitu. Dia tidak sedar sejak bila Aliff Wafhi memerhati gelagatnya. Aliff Whafi adalah jiran tetangga yang sangat prihatin. Mereka membesar bersama-sama. Dahulu Aliff Whafi sangat rapat dengan Iqram Suhaimi. Semenjak Iqram Suhaimi tidak ada, pada Aliff Whafi lah dia mencurah rasa. Baik ketika susah mahupun senang.

Aliff Whafi muda setahun dari Iqram Suhaimi. Intan Suhaila sudah menganggap Aliff Wafhi seperti abang kandungnya sendiri. Dia tahu Aliff Whafi sangat menyayangi adik teman baiknya itu.

Dalam diam ada sesuatu yang dirahsiakan Aliff Whafi dari pengetahuan Intan Suhaila dan ibunya. Dia tidak tahu sampai bila rahsia itu akan disimpan.

“Astaghfirullahalazim. Abang ni... buat Sue terperanjat aje. Apa salahnya bagi salam dulu ke. Nasib baik tak pengsan. Kus... semangat,” ujar Intan Suhaila sambil ketawa.

Bijaknya si dia menyembunyikan rahsia di hati. Aliff Wafhi lama memerhatikan gelagat gadis itu melamun panjang di atas pangkin. Beberapa titis air mata jatuh berjuraian di pipi gadis itu. Ingin benar dia menyapu air mata itu biar terhapus terus. Sebak di hati Aliff Whafi mulai menyerbu datang.

“Abang dah lama bagi salam. Kamu aje yang tak dengar. Dah lama abang tercegat di pintu pagar sambil memerhatikan kamu. Kamu aje yang tak nampak,” ujar Aliff Wafhi tanpa berselindung.

“Iye ke? Malunya Sue. Sampai hati abang ya, mengendap Sue dari tadi. Abang ni tak patut tau, mengendap anak dara orang. Nanti Sue report dekat mak teh,” kata Intan Suhaila sedikit terperanjat.

Aliff Whafi ketawa. Geli hati dengan sikap Intan Suhaila yang masih bersikap keanak-anakkan itu walaupun sudah berusia 25 tahun. Gadis itu juga sangat rapat dengan emaknya. Itu tidak pernah dia nafikan. Adakalanya dia turut berasa cemburu kerana emaknya sering memanjakan gadis itu. Apa saja yang dimilikinya, mahu juga diberikan kepada Intan Suhaila.

Pernah juga, Aliff Whafi mengejek Intan Suhaila, nama sahaja budak perempuan. Apa sahaja yang budak lelaki ada, dia pun nak juga.

Mengimbau zaman kanak-kanak, membuatkan dia sering tertawa sendirian. Di hadapan gadis itu pun dia masih ketawa-ketawa.

“Tengok tu. Ada hati ngumpat Sue dalam hati ya!” sambung Intan Suhaila sambil memasamkan wajahnya.

Bertambah sukalah Aliff Whafi menyakat Intan Suhaila.

“Ala, apa salahnya. Gadis yang abang pandang ni pun abang dah anggap macam adik abang sendiri. Buat apa nak malu. Betul tak? Lainlah kalau orang tu ada buat salah ke apa ke!” ujar Aliff Whafi.

Namun, buat seketika dia mulai terfikir, benarkah Intan Suhaila sudah dianggapnya seperti adik kandung sendiri? Entahlah! Dia sendiri tidak dapat menjawabnya. Pertanyaan itu berlalu di bawa angin lalu.

“Itulah modal abang. Ada aje alasan nak mengelat. Tahu sangat,” ujar Intan Suhaila sambil pura-pura menggumam geram.

“Dah seminggu Sue balik. Ceritalah pengalaman tiga tahun lima bulan Sue di universiti tu.” Sengaja Aliff Wafhi mengubah tajuk perbualan.

“Hm... jangan tanyalah bang. Teruk Sue nak belajar tau. Nak buat ulangkaji kena cari bahan rujukan di library. Bukunya tebal bagai nak rak. Kalau terjatuh atas kepala boleh pengsan tau.” beria-ia Intan Suhaila bercerita.

“Iyer ke? Begitu sekali?”

Intan Suhaila ketawa. Lucu kerana dapat mengenakan Aliff Wafhi.

“Abang pun pernah belajar dekat U jugak. Tak adalah nak pening-pening kepala buat ulangkaji itu semua. Dah adab sebagai seorang pelajar kan. Ni mesti tak ikhlas belajar ni. Betul kan.. kan.. kan...” Aliff Wafhi berseloroh lagi.

“Astaghfirullah alazim. Mana ada tak ikhlasnya. Ikhlaslah ni. Jangan tak tahu pulak Sue bawak balik result cemerlang tau.”

“Iyer ke? Boleh percaya ke?”

Intan Suhaila sudah memuncungkan bibirnya. Manis sahaja rona wajahnya ketika itu. Aliff Wafhi sudah mahu ketawa.

“Sue nak tau tak?” wajah kacak Aliff Whafi dijelingnya. Janggut sejemput yang terhias di dagu menyerlahkan lagi kematangannya. Riak wajah yang lembut itu menyenangkan sesiapa saja yang memandangnya. Ada ketenangan yang terpamer di situ. Leka sebentar dia merenungnya.

“Apa dia bang, cakaplah?” ujar Intan Suhaila tidak sabar.

“Sue ni kalau marah makin cun. Tu yang abang suka tengok tu.” Wajah manis Intan Suhaila berubah wajah. Dia menarik muka masam lagi.

“Tengok tu. Masam mencuka pun masih jelita lagi. Tak jemu-jemu memandang tau.”

Aliff Whafi tidak dapat menyembunyikan tawanya. Terhibur hatinya melihat wajah gadis itu merona merah menahan malu. Intan Suhaila tidak jadi meneruskan rajuknya. Dia pun turut tertawa. Keheningan suasana petang itu sungguh menceriakan.

“Abang ni kan, kalau ada cili dekat Sue dah lama Sue sumbat ke dalam mulut abang. Biar abang tahu rasa.”

“Tergamaknya Sue nak sumbat mulut abang dengan cili. Cili padi ke cili besar?” Aliff Whafi berseloroh lagi.

“Cili padi, biar berapi-api.”

“Cili padi abang tak heranlah. Kalau masak abang suka bubuh cili padi. Biar kaw-kaw rasanya.”

“Amboi! Bangganya dia. Nantilah abang tahu rasa resepi terbaru dari Sue khas buat abang seorang.”

Kelu lidah Aliff Whafi. Dia tahu selalunya Intan Suhaila akan mengotakan kata-katanya. Tidak pernah Intan Suhaila bercakap kosong dengannya.

‘Harap-harap tidaklah cik adik manis. Mahu terlompat abang dibuatnya nanti.” Hati kecil Aliff Wafhi berbisik.

“Sue tak jawab lagi pertanyaan abang tadi. Hairan abang dibuatnya!”

“Apa yang abang hairan kan?” berkerut dahi Intan Suhaila cuba memahami maksud di sebalik kata-kata anak muda itu.

“Takkan Sue dah lupa pertanyaan abang yang mula-mula tadi.” Aliff Wafhi sengaja berteka-teki dengan Intan Suhaila.

“Pasal apa ya?” manis sungguh reaksi Intan Suhaila yang meletakkan jari telunjuknya di tepi dagu. Lagaknya seperti memikirkan sesuatu.

Buat seketika Aliff Wafhi ralit memandang rambut Intan Suhaila yang sudah mulai panjang melepasi bahu terbuai-buai ditiup angin. Perlahan-lahan terbayang di ruang mata satu wajah yang dahulu setiap saat dirinduinya. Satu wajah yang pernah membangkitkan rasa aneh yang bermukim di sudut hatinya. Namun, tidak lama kerana wajah itulah juga yang telah menghancurkan harapannya.

‘Ah! Untuk apa lagi mengingatkan dia yang telah melukai hatiku. Gadis yang berada di hadapanku ini jauh lebih baik daripada dia. Duhai hati bersabarlah.’ Hati kecil Aliff Wafhi berbisik syahdu.

Dipandangnya wajah Intan Suhaila sepintas lalu. Manis wajah itu menyejukkan mata yang memandang.

“Pasal apa Sue termenung tadi ke?” mengangguk. “Abang nak tau jugak ke?” tanya Intan Suhaila lagi.

“Mestilah abang nak tahu. Lainlah kalau orang tu memang tak nak cerita.” Aliff Wafhi memasamkan wajahnya. Sengaja mahu menduga gadis itu.

“Sue bukan apa. Sue terkenangkan ibu, arwah abang dan ayah yang .... Entahlah bang, Sue kesiankan ibu. Bila dingat-ingat sikap ayah tu sakit sungguh hati ini.” Hendak tidak hendak, terpaksalah Intan Suhaila menceritakannya.

“Abang faham perasaan kamu. Abang kagum sebenarnya dengan ketabahan mak cik membesarkan kamu. Tak ada seorang ibu di dunia ini sanggup membiarkan anak kesayangannya hidup dalam serba kekurangan. Tentang ayah Sue tu usahlah Sue berdendam. Anggap aje itu antara dia dengan Tuhan. Kita sebagai hamba-Nya seeloknya mendoakan agar dia berubah sikap supaya lebih bertanggungjawab terhadap darah dagingnya sendiri.” Panjang berjela Aliff Wafhi menasihati gadis manis di hadapannya itu.

“Cakap memang senang bang. Abang tak pernah rasa apa yang Sue rasa selama ini. Bayangkanlah masa arwah abang Mie bertarung nyawa di hospital, ada dia tengok? Tak ada, bang! Dia langsung tidak hargai kehadiran zuriatnya ni.” Suara Intan Suhaila kembali berubah nada.

“Bersabarlah Sue. Tentu ada hikmahnya di sebalik semuanya ini.”

“Sue sudah cukup bersabar. Pernah tak abang terfikir, kepedihan, kepahitan, kekecewaan yang ditanggung ibu sepanjang ayah meninggalkannya? Tak ada orang yang akan faham. Kecuali merasai sendiri penderitaan itu,” ujar Intan Suhaila sambil cuba menahan tangis agar air matanya tidak jatuh berjuraian di pipi.

Intan Suhaila bangun berdiri menuju ke pokok-pokok bunga tanaman kesayangan ibunya. Aktiviti kesukaan ibunya di masa lapang. Aliff Wafhi mengekorinya dari belakang.

“Sue boleh rasa kesakitan ibu melawan sakitnya. Sue boleh rasa hidup ibu dihambat trauma masa lalu. Semua tu hadiah dari ayah Sue, bang. Kalau abang di tempat Sue, abang pun tidak boleh diterima,” tambahnya lagi.

“Jadi, apa yang akan Sue lakukan?” kata Aliff Wafhi sambil menggaru kepalanya. Dirasakan bodoh pula mengajukan pertanyaan yang entah apa-apa itu.

“Sue tak fikir, Sue akan terima ayah. Meskipun dia akui kesilapan lalu. Walaupun ibu tak pernah mengajar Sue bersikap biadap terhadap orang tua. Tapi, sikap ayah tu yang buat Sue kecewa sangat. Ayah hanya pentingkan diri sendiri,” ujar Intan Suhaila lagi. Di dadanya penuh dengan kebencian terhadap ayah kandungnya sendiri.

Berlainan pula pendapat Aliff Wafhi ketika ini. Dia tidak menyebelahi sesiapa. Padanya Pak Cik Ibrahim berubah tentu ada sebab-musababnya. Bukan mudah bagi seorang lelaki bertanggungjawab seperti Pak Cik Ibrahim itu mengabaikan kewajipannya. Kecuali di desak oleh sesuatu di luar kawalan diri. Hanya Tuhan sahaja yang tahu apa sebenarnya yang berlaku. Dia sangat berharap gadis di hadapannya pada waktu ini akan memaafkan kesilapan yang dilakukan ayah kandungnya sendiri.

“Sue... apa kata yang baik dijadikan pengajaran, yang tak baik kita jadikan sempadan,” usul Aliff Wafhi pula.

Aliff Wafhi tidak mahu emosi gadis itu menguasai diri. Dia juga tidak mahu memanjangkan sengketa dengan gadis itu memandangkan perdebatan mereka tentang Pak Cik Ibrahim ternyata berbeza.

“Maksud abang apa?” tanya Intan Suhaila sambil mengerutkan dahinya.

“Garangnya... lama-lama macam ni boleh gugur jantung abang.” Aliff Wafhi berseloroh.

“Abang ni, sempat pulak nak buat lawak.”

Aliff Wafhi tersenyum. Dia melabuhkan punggungnya di sebelah Intan Suhaila. Dia sedar, dia perlu menyakinkan gadis itu dengan kelembutan. Hanya kelembutan yang mampu meredakan kemarahan gadis itu.

“Anggap aje segala permasalahan yang lepas sebagai perencah bagi menyedapkan kehidupan. Kalau tak cukup perencah hidup rasa tak lengkap pulak, kan.”

Intan Suhaila tersenyum. Aliff Wafhi memang pandai menceriakan suasana.

“Iyelah tu... abang ni pandai bersastera. Kenapa tak jadi cikgu sastera aje?” Intan Suhaila tersengih.

“Abang memang cikgu pun. Jadi cikgu tukang masak.” Keduanya tertawa.

“Abang ni ada-ada ajelah. Cakap berbunga-bunga, perencahlah, cikgu memasaklah. Mentang-mentanglah dah jadi tukang masak.”

Aliff Wafhi senang melihat Intan Suhaila ketawa begitu. Kalau diikutkan kemahuan hatinya dia tidak mahu melihat wajah manis itu diselubungi kedukaan.

“Assalamualaikum.” Intan Suhaila menoleh ke arah pintu pagar melihat gerangan siapakah yang memberi salam. Namun, wajah yang dicari tidak ada.

Sekali lagi suara orang memberi salam menyapa telinga. Ditoleh-toleh lagi ke arah pintu pagar rumah.

“Waalaikumussalam. Eh, mak teh. Ingat siapa tadi. Masuklah, mak ada kat dalam.” Pelawa Intan Suhaila ramah.

“Di sini rupanya anak bujang mak. Patutlah mak panggil tadi tak menyahut. Kat sini rupanya.”

“Mak panggilAliff Wafhi ke tadi? Tak dengar pun!”

“Macam mana nak dengar kalau dah rancak berborak dekat belakang rumah Sue ni. Mak dah agak dah kamu akan ke sini,” ujar Mak Teh Latifah.

Aliff Wafhi hanya tersengih. Balik dari kerja kalau tidak bermain sepak takraw hendak ke mana lagi dia. Melepak di kedai kopi sambil berbual kosong dengan rakan sudah acap kali dilakukan.

“Ini ada mak teh buatkan masak lemak ikan tenggiri dengan sayur goreng pucuk ubi.

Mak kamu suka sayur pucuk ubi goreng ni,” kata Mak Teh latifah sambil menghulurkan mangkuk tingkatnya kepada Intan Suhaila.

“Buat apalah susah-susah mak teh. Setakat nak makan dua orang ni Sue dah masak dah tadi.”

“Iyelah... betullah cakap Sue tu mak. Kot ya pun ajaklah Mak Cik Suria dengan Sue datang ke rumah kita. Tak payahlah bawak mangkuk tingkat tu ke sini. Kan lebih elok makan ramai-ramai.”

“Ewah... ewah.... ke situ pulak cadangan dia. Ha... kalau macam tu dah terlanjur datang ke sini, makan malam ajelah kat sini.”

“Pulak,” ujar Aliff Wafhi sepatah sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Wajah emak dan Intan Suhaila dipandang silih berganti.

“Kalau macam tu tak apalah. Rezeki jangan ditolak. Lagipun dah lama kita tak makan sama-sama. Ha... apasal tercegat kat situ lagi tu. Kejap lagi dah nak masuk maghrib,” kata Mak Teh Latifah lagi. Dia sudah melangkah masuk ke dalam rumah Intan Suhaila melalui pintu belakang rumah yang sudah terbuka.

“Cepat sungguh masa berlalu. Diam tak diam dah senja,” ujar Intan Suhaila dalam remang senja yang mengasyikkan mata.

Aliff Wafhi hanya mengukir senyuman. Dia memohon diri beredar untuk pulang ke rumah. Sejak pulang dari tempat kerja tadi, dia tidak sempat untuk membersihkan diri.

PUAN SURIA yang sedari tadi asyik memandang Aliff Wafhi dengan anak gadisnya itu berbual panjang, tersenyum. Dalam diam dia memasang angan untuk menyatukan mereka. Entah mengapa dia merasakan ada keserasian di antara keduanya.

Aliff Wafhi boleh tahan juga segaknya. Malahan juga, seorang anak muda yang jujur dan baik budi pekerti. Dia tahu Aliff Wafhi bukan mudah jatuh cinta dengan sebarangan gadis. Begitu juga anaknya, bukan mudah mempercayai orang. Pengalaman hidup mengajar anaknya itu menjadi seorang yang tegas di dalam persahabatan. Tidak ramai lelaki yang berani mendekatinya. Dia tahu itu.

Sudah lama dia tidak melihat anaknya itu ketawa. Aliff Wafhi pandai mengambil hati Intan Suhaila. Sedikit sebanyak dia berasa lega. Setidak-tidaknya ada yang menyayangi dan memahami anaknya.

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.