Home Novel Cinta Bukan Suami Biasa
Bab 30

Apa salah saya?


Bunyi azan subuh daripada smartphone Sarah berbunyi. Sarah pun mula membuka mata dan mencari-cari telefonnya. Eh, aku masih dalam bilik ini? Allah semalam tertidur. Al Hadi tidak kejut pun. Argh biarlah. Malam tadi nyenyak betul tidur. Apabila makan ubat, dia dapat tidur lena. Tiada lagi sengsara dengan otak yang tidak boleh berhenti berfikir sehingga tidak dapat tidur. Alhamdulillah. Sarah keluar dari bilik ketiga kondominium Al Hadi. Kemudian menjenguk bilik Al Hadi. Sarah cuba membuka pintu. Elok saja pintu terbuka nampak biliknya terang benderang. Al Hadi dalam bilik air. Mungkin bersiap mahu ke masjid.


Sarah keluar semula dan masuk bilik air kedua di luar. Selesai mengambil wudhu' dia keluar. Al Hadi sudah tiada. Cepat sungguh Al Hadi bersiap. Selesai solat, Sarah membaca Al-Quran. Rutinnya memang begitu apabila dia sihat. Apabila tidak sihat memang berbaring saja. Selesai membaca Al-Quran dia masuk semula ke bilik kerjanya. Pagi-pagi begini dia memang suka buat koordinasi kerja dan tugasan. Menyusun jadual appointment, follow-up dan lain-lain. Al Hadi pulang dari masjid lebih kurang 6.30 pagi. Sarah bergegas keluar. 


"Semalam, sayang tak kejut Sarah?" tanya Sarah. Kali pertama dia memanggil suaminya 'sayang' supaya lebih mesra. Al Hadi diam sahaja dan hanya menggeleng kepala. Sarah dapat merasakan sesuatu. Al Hadi tidak semesra sebelum ini. 


"Sayang marah? Sarah ada buat salah?" tanya Sarah lagi. Dia tidak puas hati.


"Tak ada apalah. Abang okay ja", jawab Al Hadi sambil senyum. Nampak tiada keikhlasan pada senyuman itu. Ia seperti dipaksa-paksa.


Sarah rasa tidak sedap hati tetapi cuba berlagak biasa. Dia mengeluarkan bahan untuk memasak bihun goreng. Lebih kurang 20 minit hidangan sarapan pagi pun siap. Selesai menghidang, Sarah lihat Al Hadi sudah bersiap dengan baju kerja. Bagaimanalah Al Hadi makan selama ini? Tiada orang sediakan. Tapi melihat penampilan Al Hadi dan kehidupannya, dia nampak terurus sahaja. Tanpa isteri pun dia boleh hidup. 


"Abang, jom makan. First time Sarah masak untuk abang", ajak Sarah kepada Al Hadi.


"Abang nak cepatni. Ada meeting. Kena ready awal. Sayang makanlah", jawab Al Hadi.


"Bawa bekal. Sarah bungkuskan ya", usul Sarah. Al Hadi menunjukkan isyarat tangan tidak perlu dan terus bergegas keluar. Sarah tidak sempat bersalaman. Perasaan sedih mula bertamu. Rasa dipinggirkan. Rasa dibiarkan. Perasaan ini boleh mencetus mood depresi jika tidak dikawal. Dia menarik nafas kemudian menghembus. Cuba bersangka baik. Al Hadi sibuk, bukan tidak sudi makan. Betulkan persepsi kau, Sarah. Sarah duduk di meja dan makan sendirian. Di saat ini, dia terasa seperti orang asing di rumah suami sendiri. Sambil menyuap bihun, air mata mula mengalir. Argh, Sarah please be positive. Please. Please. Berulang kali dia cuba mmbetulkan pemikirannya. 


Sarah jarang sekali ambil ubat. Setiap ubat memang ada kesan sampingan. Sarah tidak mahu terlalu bergantung ubat. Selagi dia boleh kawal dan tidak membahayakan diri sendiri dan orang lain, dia akan elak makan ubat. Salah satu sebab mengapa dia memilih untuk tidak kembali kepada Al Hadi walaupun anaknya sudah tiada adalah ini. Dia tidak mahu Al Hadi menjadi trigger kepada episod bipolarnya. Dia pasti terpaksa mengambil ubat. Doktor psikiatrik bilang, ubat yang mahal kurang sedikit kesan sampingan. Ubat yang Sarah ambil paling murah dan paling banyak kesan sampingan kepada organ dan sistem badan. Sudah berkali-kali Sarah mengawal dengan psikoterapi dan diet yang betul sehingga dia sendiri boleh memilih waktu bila untuk makan ubat. Semua itu musnah selepas dia berjumpa semula Al Hadi. Dia paling sukar kawal emosi apabila berhadapan dengan Al Hadi. Sekarang, Sarah cuba berlagak biasa walaupun di hatinya rasa mahu pecah dan memaki Al Hadi. Mujur Al Hadi sudah pergi. Jika tidak entah apa lagi yang akan berlaku. Sarah mengambil ubat di bilik kerjanya. Demi suami, dia makan lagi. Walaupun tahu ada kesannya, dia tiada pilihan. Sekarang psikoterapi pun tidak menjadi. Bila-bila masa dia boleh masuk episod manic. Sarah menghantar whatsapp kepada Al Hadi. 


Abang, Sarah balik Gombak. Ambil kereta. Tak ada kereta, susah nak pergi jumpa client. - Sarah 


Okay. - Al Hadi


Abang, Sarah minta maaf kalau ada buat salah. Sarah okay kalau abang tak suka and nak lepaskan Sarah. Since from the beginning, I always make myself ready for this moment. - Sarah. 


Whatsapp itu hanya dibalas bluetick. Sarah lebih kecewa. Al Hadi tidak sepatutnya buat begini. Bukan dia yang beria-ria mahu kembali. Al Hadi yang merayu-rayu. Memang dasar lelaki tidak boleh diberi muka. Sarah mula geram dalam hati. Sarah sampai di Gombak lebih kurang jam 10 pagi. Dia segera mengambil kereta dan bergerak ke tempat temujanji. Hari ini, dia ada temujanji di Wangsa Maju, Selayang dan Taman Melawati. 


Jam 2 petang, Sarah baru habis temujanji kedua. Sekejap-sekejap dia membuka whatsapp. Menunggu jika Al Hadi membalas whatsappnya. Kelihatan Al Hadi online, tetapi langsung tidak menghiraukan whatsappnya. Dia rasa terhina. Dia rasa seperti terhegeh-hegeh. Itu memang pantang buatnya. Suka buat cara suka. Tidak suka, buang saja. Itu formula hidupnya semenjak dia disahkan bipolar. Dia tidak mahu fikir banyak. Dia tidak mahu fikir panjang. Apa yang menyusahkan hidupnya, fikirannya, hatinya, akan segera dibuang. Semua itu bakal jadi pencetus bipolarnya.


Sarah bergerak ke Selayang untuk temujanji terakhir pada jam 4.00 petang. Bakal pelanggannya merupakan seorang rakan lama sekolah rendah. Orangnya baik sangat. Lembut tutur kata. Masih bujang dan bekerja di firma kejuruteraan. Sarah pernah berfikir sendiri yang jika dia tidak jumpa Al Hadi, mungkin dia akan berkahwin dengan rakannya ini. 


"Lama tunggu?" tanya Amir.


"Tak adalah lama. Baru sampai juga. Orderlah. Aku dah order," jawab Sarah.


"Macammana kau sekarang?" tanya Amir sambil duduk berhadapan Sarah. Mereka berjumpa di restoran Pak Tam, Bandar Baru Selayang.


"Alhamdulillah, kau sihat?" tanya Sarah semula.


"Aku sihat macamnilah. Single lagi. Aku ingat nak pinang kau. Kau dah kahwin pula", jawab Amir sambil berseloroh. Sarah senyum sahaja. 


"Boleh kita mula?"tanya Sarah. Dia sengaja mengubah topik perbualan.


"Erm, boleh", jawab Amir.


"Kau dah ada financial goal? Kalau dah ada, aku propose pelan untuk comply dengan financial goal kau." kata Sarah.


"Belum. Kau ajar aku. Aku zero ni", jawab Amir.


"At least set dulu bila nak retire and how much pasive income kau perlu nanti. Dari situ kau boleh establish financial goal. Contoh, kau rancang nak retire masa umur 40 tahun, dan kau perlukan RM5000 sebulan. Jadi kita boleh calculate berapa banyak aset yang perlu ada," runding Sarah. Ya, Sarah memang begini apabila berjumpa klien. Semua perlu dirunding supaya klien celik wang. Sesi rundingan berjalan sehingga pukul 5.30 petang. Sarah dan Amir pun merancang berjumpa pada minggu berikutnya. 


Sarah bergegas pulang ke Gombak. Dia tiada niat mahu pulang ke Bangsar. Biarlah, selagi Al Hadi begitu, dia tidak mahu menjadi perigi cari timba. Dia tahu letak duduknya isteri bipolar seperti dia walaupun suaminya langsung tidak mengetahuinya. Pukul 6.00 petang baru Al Hadi membalas whatsappnya. Ketika itu Sarah baru selesai Solat Asar. Dia dan Aisyah merancang untuk makan di luar. Sudah lama mereka tidak keluar bersama semenjak Al Hadi muncul dalam hidupnya.


Sayang kat mana? - Al Hadi


Sarah menggigit bibirnya. Whatsapp sebelum ini dibiarkan sepi tanpa jawapan. Kini Al Hadi cuma tanya keberadaan dirinya. Sarah menjawab whatsapp itu.


Ada di Gombak. Kebetulan abang tanya, Sarah nak inform malamni tak balik. -Sarah.


😠No. Balik sekarang. -Al Hadi


Penat nak drive. Jalan sesak orang balik kerja. - Sarah


Orang tak ramai. Sayang lawan arus. - Al Hadi


😣Tolonglah faham. I am not happy to see you. - Sarah. Begitu berterus terang Sarah. Walaupun dia tahu ia mengecilkan hati Al Hadi, tapi dia perlu berterus terang supaya Al Hadi mudah buat keputusan.


Abang ada  benda nak bincang dengan sayang. - Al Hadi.

Previous: Bab 29
Next: Bab 31

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ummu Ilham