Home Novel Cinta Bukan Suami Biasa
Bab 31

Anak syurga


Hujan turun dengan tiba-tiba sebaik sahaja Sarah tiba di wad. Tadi dia baru melawat anaknya buat kali pertama. Farah melihat Sarah dengan wajah kasihan. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Dia mengarahkan Sarah baring di katil. Sarah baru saja dibedah. Pasti sakit di tempat pembedahan. Sarah kelihatan sugul sekali. Dia memegang smartphonenya dan cuba mencari nama untuk didail. Entah, siapa yang mahu dihubungi.


"Awak nak call siapa, Sarah?" tanya Farah.


"Tak pastilah. Saya pun tak tahu nak buat apa. Saya kasihan tengok anak saya. Doktor kata, peluang 50-50. In fact, kes begini survive dua hari saja. Awak nampak, perut dia kosong, usus dia dah naik ke paru-paru. Jantung pun beralih. Kasihan Farah. Kasihan", jawab Sarah sambil teresak-esak. 


Farah memeluk Sarah. Dia tahu apa pun yang dia kata, tidak membantu Sarah. "Salah saya agaknya. Saya tak jaga kesihatan. Saya tak jaga makan. Saya ada baca-baca tadi puncanya, salah saya agaknya", kata Sarah lagi.


"Bukan Sarah. Allah dah tentukan. Allah nak uji. Ingattu, Sarah. Apapun berlaku, kita doa yang terbaik untuk baby awak, okay?" pujuk Farah.


"Saya sedih Farah. Ini balasan Allah pada saya. Saya jahat. Saya banyak buat jahat. Buat maksiat. Tipu suami. Tinggalkan suami. Allah nak balas perbuatan saya," kata Sarah lagi.


"Bukan Sarah, saya tahu awak seorang yang positif bukan sangka buruk begini. Jangan sangka buruk dengan Allah. Allah sayang awak, itu Allah uji," jawab Farah lagi.


Keesokan harinya, pagi-pagi Sarah meminta bantuan jururawat menghantarnya ke NICU. Sarah mendekati anaknya. Menguis lagi kakinya. Bergerak-gerak.Ya Allah ini anak yang dikandungnya. Tidak sangka dia sudah menjadi seorang ibu. Sarah menangis dengan perlahan. Kelihatan jururawat NICU mendekati Sarah.


"Puan, boleh tunggu baby di NICU ya. Doktor kata, kita cuma boleh doa saja. Suhu makin turun. Bacaan banyak yang tak bagus", kata jururawat itu. Sarah angguk-angguk sambil menahan air mata. Kemudian dia menghantar whatsapp kepada Farah. 


Baby tinggal tunggu masa Farah. Saya di NICU - Sarah


Allah. Allah. Saya datang sekarang. Awak tunggu ya - Farah


Okay - Sarah


Tepat jam 9.30 pagi, anaknya menghembuskan nafas terakhir pada tanggal 25 November 2016. Lahir 23 November, kembali kepada Tuhannya dua hari selepas itu. Doktor dan jururawat menanggalkan semua mesin dan peralatan sokongan pernafasan. Jururawat mengangkat anaknya dan memberikannya kepada Sarah. Seorang lagi jururawat memeluknya seperti tahu apa yang ada dalam hatinya. Sarah memegang Iman buat kali pertama selepas tiada lagi roh dalam jasadnya. Iman tidak lagi bergerak. Masih panas. Seperti masih hidup. Ya, dia sudah merancang untuk memberikan nama Iman kepada anak sulungnya ini.


"Iman, anak mama, tunggu mama di syurga," kata Sarah perlahan. Cukup membuat seorang jururawat mengalir air mata. Tidak lama Farah pun sampai. 


"Innalillahi wainna ilayhi rajiun, baby Iman, anak syurga mama", kata Farah kepada Iman sebaik saja sampai. Air matanya mengalir deras. Sama deras dengan Sarah. Dia menyaksikan keadaan Sarah semenjak mula mengandung sehingga bersalin. Jika dia sedih melihat Sarah, Sarah pasti seribu kali sedih.


"Puan, mana ayahnya, nak uruskan proses tuntutan jenazah," tanya seorang doktor yang mengendalikan kes Iman.


"Ayahnya tiada saya akan uruskan", kata Farah.


"Farah, saya nak ambil gambar dengan Iman," kata Sarah sambil menahan sebak.


"Boleh, saya ambil banyak-banyak. Senyum tau. Tak nak sedih-sedih. Ini anak syurga awak", jawab Farah.


Bunyi hon kenderaan mengejutkan Sarah daripada lamunan. Dia sudah sampai di kawasan kondominium. Tadi dia memandu dari Gombak ke Bangsar selepas dipaksa oleh Al Hadi. Dia parking di luar saja. Kemudian berjalan kaki masuk ke lobi. Tidak lama Al Hadi telefon. 


"Sayang dah sampai? tanya Al Hadi.


"Dah", jawab Sarah ringkas.


"Okay, naik dulu solat Maghrib, nanti abang ambil. Abang ada di masjid tunggu azan. Kita makan di luar. Abang belanja. Tempat special", jawab Al Hadi dengan riang. Sarah menjawab ala kadar. Kemudian terus masuk lif naik ke atas.

Previous: Bab 30
Next: Bab 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ummu Ilham