Home Novel Cinta Bukan Suami Biasa
Bab 26

Seorang perempuan tua di surau atas bukit


Sarah berjalan longlai. Jam menunjukkan pukul 3.45 petang. Dia belum Solat Zuhur. Allah..beginilah dia saat depresi, bukan tiada iman, dia tiada kekuatan. Ubat sudah ditelan di rumah tadi. Cadangnya mahu menenangkan diri. Jadi dia keluar berjalan kaki. Telefon pun ditinggal pergi. Biarkanlah, dia tidak mahu Al Hadi mencari. Ya, pasti suaminya risau sekali. Namun hatinya tega asalkan dapat pulih kembali.


Dia mendaki bukit sedikit. Ada sebuah surau kecil milik gerai makan di atas bukit itu. Sebentar tadi dia singgah duduk di tepi water wall yang sangat tinggi dan cantik. Tenang sungguh bunyi air. Bunyi air sentiasa menenangkan. Dia mengambil wudhu' berhati-hati, kemudian solat. Usai solat dia menangis. Memohon ampun kepada Allah atas dosa-dosanya terutama pada suaminya.


"Ya Allah, jika benar dia untukku, mudahkan urusanku, kuatkan hatiku, tabahkan hatiku, satukan hatiku dengan suamiku, ya Allah. Aamin ya rabbal 'alamin."


Sarah menoleh ke belakang, ada seorang perempuan tua sedang tersenyum padanya. Sarah membalas senyuman. Jiwanya tenang. Sarah bangun kemudian mendekati perempuan itu.


"Makcik seorang saja?" tanya Sarah.


"Ya, makcik tunggu suami makcik ambil. Dia pergi kedai hantar barang," jawab makcik itu.


"Makcik tinggal mana?"tanya Sarah lagi.


"Tinggal di flat Bukit Angkasa tu sana," jawabnya lagi.


"Oh, saya tahu," jawab Sarah.


"Anak nampak sedih, okay ka?" tanya makcik. Soalan makcik itu membuat air mata Sarah turun tanpa sedar. 


"Terima kasih makcik tanya. Saya ni ada masalah. Kawan pun tak ada. Mak sakit, saya tak boleh cerita apa-apa. Ada suami, tapi entahlah.."jawab Sarah.


"Anak, hidup kita ni pendek sangat. Esok lusa tak tahu kita hidup. Kalau kita sibuk fikir masalah, memang hidup kita sedih. Kalau kita hargai hidup yang ada. Hargai orang yang rapat dengan kita, inshaAllah kita bahagia. Jangan putus asa dengan Allah. Sangka baik dengan Allah. Doa," jawab makcik itu penuh hikmah. MashaAllah, terkesan sungguh di hati Sarah. Selama ini, dia sibuk fokus kepada mahu lari. Dia mahu lari dari masalah. Dia tidak mahu hadapi dan fokus solusi.


"Terima kasih makcik, saya tenang sangat dengar kata-kata makcik", jawab Sarah. Terdengar bunyi suara lelaki memanggil-manggil. 


"Oh, itu suami makcik dah sampai. Makcik minta diri dulu. Makcik doakan adik tenang-tenang, inshaAllah", kata makcik itu.


"Aamin. Terima kasih makcik. Assalamu'alaikum," kata Sarah.


"Wa'alaikumsalam," jawab makcik itu seraya keluar dari surau itu. Sarah segera melipat telekung. Dia nekad. Dia mahu berubah. Dia mahu memulakan hidup baru dengan Al Hadi.


Sarah berjalan keluar ke jalan dengan perlahan. Dia sudah lebih bersemangat. Mungkin juga ubat mood stabilizer telah membantunya untuk lebih  stabil, alhamdulillah. Cuma dia masih berkira-kira mahu berterus terang dengan Al Hadi atau tidak. Sarah sampai di depan guard house kondominium suaminya. Sarah masuk ke lobi lif, menekan lif ke atas dan masuk sebaik saja terbuka. Rumah Al Hadi di tingkat 8. Nombor 8 ditekan. Lif pun bergerak ke atas. Sampai di tingkat 8, dia pun keluar. Sampai di pintu, Sarah menekan loceng. Sebaik saja pintu terbuka, Al Hadi tergamam dan terus menarik Sarah. 


"Ya Allah sayang pergi mana. Nasib baik abang tak report polis," kata Al Hadi.


"Sarah pergi jalan-jalan. Nak bertenang," jawab Sarah.


"Sayang dah makan? Abang ada beli char kuey tiaw," tanya Al Hadi. 


"Boleh. Lama dah tak makan," jawab Sarah.


"Okay, jom. Abang buat air. Nak air jus tak?" tanya Al Hadi lagi. Sarah hanya mengangguk. Mula menyuap char kuey tiaw perlahan-lahan. Al Hadi asyik melihat Sarah makan. Sarah jadi tidak selesa.


"Apa tengok macamtu?" tanya Sarah.


"Abang suka tengok sayang, " jawab Al Hadi.


"Saya dah buat keputusan," kata Sarah. Al Hadi menunggu kata-kata Sarah seterusnya. Al Hadi bersedia apa saja.

Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ummu Ilham