Home Novel Cinta Bukan Suami Biasa
Bab 27

Bersama bukan selamanya


Suasana tiba-tiba jadi sunyi. Sarah berhenti menyuap makanannya. Air jus oren dihirup. Al Hadi membetulkan kedudukannya. Dia cuba meneka-neka keputusan Sarah. Kali pertama, Sarah meminta penceraian pagi tadi, dia anggap tidak pernah berlaku. Walaupun seribu kali Sarah memintanya, dia tidak akan mengurniakan permintaan Sarah. Selagi hayat dikandung badan, Sarah tidak akan dilepaskan. Biar pun Sarah menangis air mata darah, sedikit pun tidak menggoyah hatinya. Baru saja Sarah mahu memulakan kata, Al Hadi bangun. Sarah sedikit terkejut. 


"Nak ke mana?" tanya Sarah. 


"Abang nak pergi toilet kejap", jawab Al Hadi.


"Toilet? Eh ini benda seriuslah", rungut Sarah.


"Sorry sayang, abang tak tahan sangat ni, kejap ya, kejap ja okay..", jawab Al Hadi dan terus berlari ke tandas.


"eiii, potong steam betullah. Sarah menyambung makan. Sambil makan dia tersenyum. Aduhai, suaminya memang suka buat iklan begini. Dia mahu serius pun tidak jadi. Ya, sudah lama mereka tidak berkomunikasi begini. Namun, Al Hadi sikit pun tidak bertanya sebab dia pergi menghilang selama dua tahun. Pelik sungguh suaminya itu.


Usai makan Sarah mengemas meja dan membasuh pinggan. Sambil matanya menatap susun atur dapur suaminya yang cantik. Banyak sungguh duit Al Hadi sampai mampu beli kondominium ini. Terletak di tengah-tengah Bangsar South lagi. Sarah membuka peti sejuk. Nampak penuh makanan. Rajin sungguh Al Hadi masak. Tiba-tiba ada call masuk ke telefon Al Hadi. Sarah malas mahu ambil pusing. Tetapi selepas berkali-kali berbunyi, dia pun mengangkatnya.


"Hello dear!" kata perempuan di talian itu. Sarah terkedu. Lelaki baik seperti Al Hadi tidak mungkin ada hubungan dengan perempuan bukan mahram kecuali..


"Hadi my dear, I dah check email you, client nak kita baiki", kata perempuan itu lagi. Sarah masih lagi diam. Dia sedikit terkejut. Nafasnya laju. Jantungnya berdebar. Mungkinkah ada perempuan lain di sisi Al Hadi?


"Hello..hello..", kata perempuan itu lagi. Al Hadi muncul di depan Sarah. Sarah terus menyerahkan telefon kepada Al Hadi. Al Hadi terus menjawab telefon itu. Sarah masuk ke bilik. Sesekali terdengar suara Al Hadi bercakap. Lebih kurang 10 minit suasana sepi. Sarah menjangka mereka sudah habis berbual. Sarah rasa cemburu. Tapi dia fikir tidak layak untuk cemburu. Selama 2 tahun dia pergi, Al Hadi sebenarnya boleh saja kahwin lagi. Sarah jadi rendah diri. Mesti perempuan itu rakan sekerja Al Hadi. Mereka nampak begitu mesra. Panggilan dear dan my dear bukan boleh dituturkan kepada sebarang lelaki.


Sarah sedih. Hilang mood gembiranya. Tapi tidak mengapa, dia boleh hadapi situasi sebegini. Jika Al Hadi sudah ada pilihan hati, lebih mudah dia mengundur diri. Argh Sarah, mudah sungguh dia bersangka-sangka. Isteri mana yang tidak curiga jika ada perempuan begitu mesra dengan suaminya. Entah-entah sudah bertahun-tahun begitu. Astaghfirullah, Sarah. Sarah mengelus dadanya, menarik nafas supaya kembali ke alam nyata. Bukan dipengaruhi perasaan negatif dan syaitan.


Sarah pun bangun mencari suaminya. Al Hadi bersandar di sofa sambil tekun menaip whatsapp sehingga tidak perasan kehadirannya. 


"Boleh cakap ke?" tanya Sarah.


"Oh, sekejap sayang, ada kerja sikit nak settle. Biasalah kena respon cepat", jawab Al Hadi.


"Tak apalah kalau sibuk, Sarah boleh balik naik Grab," jawab Sarah.


"Balik ke mana?" tanya Al Hadi. 


"Balik Gombak", jawab Sarah ringkas.


"Kenapa nak balik Gombak?" tanya Al Hadi.


"Barang semua di sana. Baju pun tak ada", jawab Sarah.


"Oh yelah. Sekejap, abang settle isuni dulu. Sarah siap-siap. Lepas Solat Asar kita ambil barang Sarah," kata Al Hadi lagi.


"Okay," jawab Sarah ringkas seraya masuk bilik dan bersiap untuk Solat Asar. Tidak pastilah bagaimana Sarah mahu dapatkan penjelasan tentang perempuan itu. Tidak tahulah sebenarnya perlu atau tidak. Nanti Al Hadi kata dia cemburu buta pula. Sarah pun tidak sempat mahu beritahu keputusannya. Dia jadi malu pula. Rasa seperti dia terhegeh-hegeh pula. Dia berharap sangat Al Hadi memintanya tinggal bersama. Bukan dia yang memberitahu keputusannya. Wah, ego juga Sarah. Pastilah Sarah malu. Sudah minta cerai. Tiba-tiba mahu ikut suami. 


Usai solat berjemaah, mereka bersama-sama bertolak ke Gombak. Sarah masih diam seperti biasa. Tidak tahu apa yang mahu dibualkan. Pasti Al Hadi rasa hairan sikapnya yang persis orang sakit mental. Ya, memang dia ada sakit mental. Sakit itu bukan dia yang pinta. Allah yang beri padanya untuk mengujinya. Sarah tidak mahu Al Hadi bersimpati dengannya. Sarah tidak mahu Al Hadi rasa terpaksa pula bertanggungjawab kepadanya. Tidak mengapalah, sementara Al Hadi belum menemui cinta baru, biarlah dia di sisi Al Hadi seperti yang suaminya itu mahu. Lantaklah apa pandangan Al Hadi tentangnya.


Dia tidak sekali-kali memberitahu penyakitnya supaya Al Hadi boleh pergi pada bila-bila masa yang dia suka. Kereta meluncur laju menuju ke Gombak. Al Hadi memegang tangan Sarah sambil fokus kepada pemanduan. Kali ini Sarah tidak mengelak. Al Hadi memandang Sarah sambil tersenyum lebar. Sarah senyum juga. "Ya Allah aku tidak tahu perancanganMu, tapi aku berusaha apa yang aku mampu", doa Sarah dalam hati.

Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ummu Ilham