Home Novel Cinta Bukan Suami Biasa
Bab 23

Minta cerai


Sarah rindu. Normal apabila tidak di depan mata, rasa rindu. Tambah pula kerap berjumpa. Dulu, selama dua tahun dia boleh bertahan apabila tidak  berjumpa. Apabila di depan mata, rasa menyampah bagai mahu gila. Apabila tiada rindu-rinduan pula. Itulah Sarah pun jadi bingung. Masa moodnya normal dan biasa, jadi bersungguh mahu kembali. Apabila datang rasa bersalah dan takutnya, rasa kuat mahu bercerai. Entah, dia buntu. Al Hadi lelaki yang baik. Dia layak dapat perempuan baik. Bukan macam Sarah. Sarah sakit mental. Sakit Sarah tidak mungkin sembuh. Hanya boleh dikawal. Dia membuka blognya. Menulis jurnal dan perasaannya. Meluahkan segalanya, seperti yang diajar psikoterapis.


Tangannya memegang smartphone. Dia membuka aplikasi whatsapp. Membuka nama Al Hadi. Sarah taip, padam, taip, padam, berulang kali. Mahu bertanya khabar, tapi rasa malu pula. Dia nampak Al Hadi sedang menaip sesuatu. Muncul tulisan 'Al Hadi is typing..'di ruangan untuk tulisan. 


Sayang buat apa? - Al Hadi


Tak ada apa. - Sarah


Rindu abang tak? - Al Hadi


Tak. - Sarah. 


Sarah senyum. Memang sengaja dia berbohong.


😭😭😭😭. - Al Hadi.


Esok ada plan mana-mana? - Al Hadi.


Beli barang. - Sarah


Nak ikut. Abang nak ajak dating. - Al Hadi


Tengoklah macammana. Kalau sempat, inshaAllah. - Sarah


Esok abang ambil, pukul 9 pagi. Okay? Bye nak tidur. Nak mimpi sayangπŸ’œπŸ’œ - Al Hadi. 


Al Hadi senyum sendiri. Biarlah nampak dia yang terhegeh-hegeh. Sungguh dia tidak kisah apa pandangan Sarah. Yang dia tahu, dia mahu Sarah kembali. Apapun dia akan cuba memujuk Sarah. Sarah senyum juga. Entah dia pun geram dengan hati sendiri. Apakah ini tandanya dia perlu kembali? Sarah menarik nafas lagi. Terdengar keluhan berat daripada mulutnya. "Jangan layan suami kau Sarah. Kan kau sudah berjanji akan pergi. Kau tak akan kembali. Kau dah lupa, kau tu sudahlah tak cantik, jahat, sakit mental. Hello, kalau Al Hadi tahu, dia mesti tinggalkan kau!" suara hati Sarah mula meracun fikirannya. Sarah jadi muram durja. Dia kemudian baring di atas tilamnya. Perlahan-lahan dia mula menimbangkan penceraiannya. "Sudahlah Sarah, jangan berharap lagi. Sudah, sampai bila kau nak menyusahkan suami. Orang macam kau, tak layak kahwin, faham!" suara hatinya menambah lagi nekadnya.


Sebelum tidur, dia mengambil ubatnya. Ubat ini untuk menstabilkan moodnya. Memang biasanya stabil, cuma apabila hampir waktu mahu period, moodnya paling teruk waktu ini. Betul-betul tidak stabil. Waktu ini, dia paling teruji. Jadi, demi kebahagian Al Hadi, dia wajar melepaskannya. Kali ini, lebih rasmi dan dia akan memfailkan penceraiannya. Biarlah sampai bila-bila pun Al Hadi tidak perlu tahu tentang sakitnya dan Iman anaknya yang sudah tiada lagi di dunia. Bukankah lebih mudah begitu?. Bersama lebih banyak mudharat berbanding cerai. 


Begitu mudah Sarah membuat kesimpulan. Langsung tidak memikirkan perasaan Al Hadi. Sarah fikir perasaan cinta boleh dibungkus ikat tepi, buang dalam tong sampah. Sarah fikir, apa yang baik pada fikirannya, baik untuk Al Hadi. Sarah terlelap selepas makan ubat. Buat sekian kali Al Hadi sangat gembira dan teruja. Keesokan harinya, Al Hadi segera menghubungi Sarah setelah sampai di hadapan rumahnya. 


"Hello, assalamu'alaykum," Al Hadi memberi salam.


"Wa'alaykumsalam. Hah." jawab Sarah. Sengaja menjawab dengan nada tidak mesra.


"Amboi, mesralah sikit." gurau Al Hadi.


"Dah sampai ke?" Sarah membiarkan gurauan Al Hadi.


"Dah sampai dah. Tunggu sayanglah ni. Tak sabar nak jumpa," jawab Al Hadi.


Sarah mencebik. "Sekejap. Saya ada benda nak bincang sebenarnya. Kita naik kereta asing-asing ya. Senang nanti nak balik".


"Sayang naik dengan abanglah. Nanti abang hantar balik, ya?" pujuk Al Hadi.


"Okaylah, tunggu sekejap," jawab Sarah.


"Nak makan mana?" tanya Al Hadi sebaik Sarah masuk kereta.


"Mana-manalah. Tak kisah", jawab Sarah.


"Kita makan Coffee Box nak? usul Al Hadi.


"Okay", jawab Sarah ringkas.


Al Hadi mengisi borang tempahan. Al Hadi order sama sahaja untuk Sarah. Orang tidak ramai lagi. Masih pagi. Belum bangun tidur agaknya. Sementara menunggu makanan, Sarah melihat smartphone. Mengemaskini facebooknya. 


"Sayang ada facebook baru ke? Abang cari tak jumpa", tanya Al Hadi.


"Taklah ada je. Saya dah blok", jawab Sarah selamba.


"Sampai hati", jawab Al Hadi dengan nada kecewa. Sarah buat tidak peduli. Masih membaca status rakan-rakan facebooknya.


"Sayang...", panggil Al Hadi sambil menarik tangan kiri Sarah. Macam terkena kejutan elektrik Sarah terus menarik tangannya. 


"Pegang pun tak boleh. Suami pegang dapat pahala tau," kata Al Hadi.


"Tak selesalah", jawab Sarah.


"Dahlah tengok handphone tu. Cuba tengok muka abang, dapat pahala", tegur Al Hadi lagi. Sarah perlahan-lahan meletakkan smartphonenya. Melihat tepat mata Al Hadi.


"Saya nak cerai" kata Sarah ringkas.

Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Ummu Ilham