Home Novel Cinta Seteguh Karang
Seteguh Karang
Wann Shazni
3/1/2019 21:15:57
6,979
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

"MORNING Mak Mah!" sapa Farisya ceria. Wajah yang tidak pernah lekang dengan senyuman.

Dia menarik kerusi di meja makan dan duduk. Aroma makanan yang terhidang di hadapannya membuatkan perutnya makin giat berbunyi. Lapar.

Mak Mah tersenyum kecil. "Hari ni Mak Mah masakkan makanan kegemaran Risy," ujar wanita itu merangkap pembantu rumah yang sudah lama berkhidmat untuk keluarga itu bertahun lamanya.

"Wah!" Mata Farisya sudah membulat apabila melihat semangkuk besar nasi terhidang di hadapannya. Nasi lemak! Bau sambalikan bilis menusuk hidungnya.

"Mak Mah, nak tiga senduk." Farisya tersengih-sengih sambil menyua pinggan ke arah wanita itu. Manja sahaja gayanya.

Baginya Mak Mah bukan hanya pembantu rumah mereka. Wanita itu adalah pengganti arwah mamanya. Wanita itu jugalah yang mencurahkan kasih sayang kepadanya. Wanita itu juga tempat dia bermanja. Ketika dia merindukan arwah mamanya, wanita itu tempat dia meluahkan segalanya.

Mak Mah bukan siapa-siapa dalam hidup mereka. Dari kecil dia membesar dengan wanita itu. Ditatang penuh kasih sayang seperti anak sendiri. Apatah lagi wanita itu tidak mempunyai anak hasil daripada perkahwinan bersama Pak Mat, pemandu peribadi Dato' Kamal.

Mak Mah mencedok tiga senduk nasi lemak ke dalam pinggan Farisya. Selera Farisya membuatkan dia senang hati. Apatah lagi apabila berhadapan dengan makanan kegemarannya.

"Kuatnya anak papa makan pagi ni," seloroh Dato' Kamal yang sudah pun memasuki ke ruangan dapur. Dia hanya mampu menggeleng kepala melihat selera anak gadisnya itu. Tak padan dengan badan kecil tapi selera makan kuat. Sekali makan, macam tak makan sebulan.

Farisya tersengih. Dia tidak bersuara. Hanya fokus pada makanannya sahaja. Memang begitu la sikapnya. Kalau makanan kegemaran terhidang di depan mata, tiada benda lain di sekelilingnya yang boleh menarik minatnya. Hanya makanan sahaja. Ketika perempuan sebaya dengannya sibuk untuk menjaga makan dan badan, dia hanya melantak ikut seleranya sahaja. Langsung tidak peduli tentang semua itu asalkan perutnya kenyang.

Dato' Kamal menarik kerusi lalu duduk. Dia memandang Mak Mah, seperti ada sesuatu yang ingin disampaikan. Kemudian dia memandang Farisya pula.

"Hah Risy, papa nak cakap sesuatu ni," celah Dato' Kamal lembut.

Mak Mah mencedok nasi lemak ke dalam pinggan majikannya. Dia hanya tersenyum memandang Farisya. Sudah semestinya reaksi Farisya akan berubah sebentar lagi.

"Apa dia pa?" tanya Farisya. Matanya masih fokus pada hidangan yang berada di hadapannya. Terliur gamaknya.

"Ulangtahun syarikat papa makin dekat. Papa nak Risy datang kali ni," ujar Dato' Kamal tenang.

Seboleh-bolehnya dia mahu Farisya muncul pada ulangtahun syarikatnya kali ini. Dia mahu memperkenalkan anak gadisnya kepada pekerja lain. Hanya satu-satunya pewaris yang dia ada. Suatu hari nanti syarikat itu bakal diuruskan oleh anaknya juga.

Sekali sekala dia mahu Farisya membiasakan diri dengan keadaan sebegitu. Bertemu dengan orang yang lebih berpangkat tinggi dan bergaul beramah mesra dengan shareholder yang lain. Dia tidak mahu anaknya digelar sombong hanya kerana status anak pemilik syarikat.

Tatkala itu Farisya membuat muka masam. Seleranya tiba-tiba mati. Dia memandang wajah papanya yang tenang itu. Kata-kata papanya umpama arahan baginya.

"Ala pa... Risy tak suka la suasana ramai macam tu," rengek Farisya manja.

"Habis tu bilanya Risy nak biasakan diri dengan suasana macam tu?" tanya Dato' Kamal, cuba memujuk. Mengharapkan Farisya akan menimba ilmu tentang syarikat dan pengurusan yang lain.

Farisya mengigit bibir. Tiada jawapan untuk itu. Baginya dia cukup tidak suka berada di tempat yang ramai sebegitu. Apatah lagi dia akan menjadi tumpuan. Lagilah dia rimas.

"Risy kena ingat, suatu hari nanti Risy yang akan handle syarikat papa tau," sambung Dato' Kamal lagi. Pada siapa dia hendak berharap melainkan anaknya sendiri.

Farisya bergumam kecil.

"Risy muda la pa. Takkan Risy nak handle syarikat pulak. Risy tak tahu la nak handle semua tu. Risy suka buat benda bebas," ujar Farisya latang. Nak jugak dia dimenangkan.

Dia masih muda. Malah dia masih lagi digelar pelajar. Takkan la dia nak uruskan syarikat papanya yang berdiri teguh bertahun-tahun itu. Tak pasal-pasal bila sampai ke tangannya, hancur habis hasil titik peluh papanya.

Pantas Farisya menggeleng kepala. Ah dia tak nak semuaitu berlaku!

"Habis tu kalau papa dah tak ada, siapa nak handle syarikat tu?" tanya Dato' Kamal membuatkan Farisya terkedu seketika.

"Papa ni hidup bukan lama mana pun. Esok entah lusa,nyawa ni ditarik..." sambung Dato' Kamal perlahan.

"Ish papa ni! Ada pulak cakap macam tu. Kita bincang pasal ulangtahun syarikat aje pun yang papa melalut sampai ke situ dah kenapa," bebel Farisya geram. Sebenarnya dia tidak mahu teremosi dengan kata-kata papanya.

Dia tahu semua yang hidup pasti akan mati. Tetapi dia masih tidak dapat menerima kalau papanya berkata sebegitu. Padahal tajuk utama mereka hanya nak ajak dia ke majlis ulangtahun syarikat sahaja. Tapi papanya buat ayat yang memaksa untuk dia berkata 'ya'.

Dato' Kamal tersenyum.

"Risy datang ye. Papa harap sangat Risy dapat datang kali ni," pujuk lelaki itu lagi. Masih tidak berputus asa untuk memujuk si keras kepala itu.

"Yelah. Yelah. Risy tengok jadual Risy dulu. Kalau line clear, Risy muncul." Akhirnya Farisya mengalah jua. Daripada terus menerus mendengar papanya mengarut, lebih baik dia mengalah. Nanti pandai-pandai la bagi alasan pada hari kejadian. Apa susah.

"Dah, jom makan. Hari ni papa suruh Mak Mah masakkan makanan kegemaran Risy. Suka la tu..."

Farisya membuat muka.

"Oh, patutlah. Papa nak bodek Risy rupanya," sindir Farisya sedikit geram. Patutlah menu istimewa semacam. Konon nak bagi mood pagi-pagi ni baik. Rupanya ada agenda tersembunyi.

Dato' Kamal hanya tersenyum kecil. "Alamak dah terbongkar la pulak," gurau lelaki itu.

"Mak Mah ni komplot dengan papa pulak ye. Merajuk la kalau macam ni," rengek Farisya.

Mak Mah ketawa. Dia yang sedari tadi hanya mendengar perbualan itu sekadar tersenyum. Memang benar majikannya menyuruh dia memasakkan makanan kegemaran si gadis itu. Sekurang-kurangnya dapat juga meredakan hati Farisya.

"Jangan la merajuk. Mak Mah masak special tau untuk Risy," pujuk wanita itu sambil mengusap belakang si gadis itu. Seperti seorang ibu melayan anaknya. Dia tidak pernah jemu melayan kerenah Farisya. Farisya tidak banyak kerenah kerana segalanya biasa diurus sendiri. Adakalanya bersikap keras kepala tetapi ada masanya terlebih manja.

Dato' Kamal hanya memerhati dua orang itu. Dia tersenyum kecil. Dia tidak tahu bagaimana untuk menarik minat Farisya tentang syarikatnya. Dia risau kalau syarikat yang diusahakan selama ini tiada pengganti. Dia cuma boleh mengharapkan pada Farisya sahaja. Takkanlah dia hendak jual syarikat yang diusahakan hasil titik peluh bersama arwah isterinya. Pahit manis bersama arwah isterinya sebelum syarikat itu naik dengan megah. Mana mungkin boleh dilupakan begitu sahaja. Seboleh-bolehnya dia mahu Farisya mengambil alih syarikatnya dan menjadi warisan sehingga ke cucu cicit.

Apa yang diharapkan agar Farisya muncul ketika majlis ulangtahun syarikatnya. Tidak kisah walaupun terpaksa asalkan Farisya ada.

 

 

 

"MONYOK aje muka. Datang bulan ke?" sakat Syazwan selamba. Melihat muka Farisya yang masam mencuka itu, pasti ada sesuatu yang berlaku.

Farisya menjegil matanya. Memberi amaran kepada lelaki itu agar tidak bercakap yang bukan-bukan.

Shahrina hanya menggeleng kepala. Alahai dua orang ni. Ada aje benda yang tak kena.

"Awak ada masalah ke, Arie?" tanya Shahrina lembut. Sekaligus cuba meredakan pergaduhan yang berkemungkinan akan meletus nanti.

Farisya menjongket bahu. Dia memandang Shahrina. Dia tidak tahu sama ada dipanggil masalah atau bala. Keluhan kecil dilepas perlahan.

"Perempuan, kalau bad mood tu bulan tengah menggambang la tu," sindir Syazwan. Langsung tidak fikir sensitiviti dan privasi seorang perempuan. Main cakap aje.

Laju kaki Farisya menendang kaki Syazwan yang duduk berhadapan dengannya. Syazwan yang ketika itu sedang menghirup air milo tersedak kecil.

"Sekali lagi kau buka mulut, aku bunuh kau!" Garang Farisya memberi amaran.

Shahrina jadi serba salah. Dia menjeling geram ke arah Syazwan. Memberi amaran kepada lelaki itu agak tidak bersuara lagi.

Syazwan mengigit bibir. Pantang tegur sikit, melenting sampai diugut bunuh. Kejam!

"Minggu depan hah, ulangtahun syarikat papa aku," sambung Farisya. Dia melepaskan keluhan lagi.

"Yang ke berapa?" tanya Syazwan.

Farisya menjongket bahu. Sememangnya dia tidak ambil tahu langsung tentang syarikat papanya apatah lagi ulangtahun yang ke berapa.

"Kau ni Arie..." Syazwan menggeleng kepala.

"Pergi ajelah. Setiap tahun kau selalu mengelak dengan alasan yang sama. Kau pewaris syarikat tu Arie," sambung Syazwan perlahan. Mula serius dengan perbualan itu.

Dia tidak tahu mengapa Farisya sering bersikap begitu. Hampir setiap tahun dengan alasan yang sama. Dia yakin Dato' Kamal sudah masak dengan semua itu. Tetapi Farisya perlu sedar bahawa suatu hari nanti syarikat milik papanya akan menjadi miliknya. Kerana Farisya satu-satunya pewaris yang ada dalam keluarga itu.

Shahrina hanya mendengar tanpa mencelah. Kerana dia sendiri tidak mengerti apa yang berlaku ketika itu. Dia mengenali Farisya baru setahun. Dia tidak tahu apa yang berlaku dalam hidup Farisya pada tahun-tahun yang lepas. Apatah lagi Farisya jarang bercerita tentang dirinya. Tetapi dia tahu, Syazwan pasti mengetahui segalanya.

Farisya hanya memerhati gelas air di hadapannya. Tanpa perasaan. Fikirannya kosong. Dia tidak tahu untuk membuat keputusan.

"Kau nak kitorang temankan kau?" tanya Syazwan sambil tersengih. Cuba menceriakan mood yang tiba-tiba suram.

Farisya membuat muka.

Shahrina mengangguk, setuju dengan cadangan Syazwan.

"Malas la..." Farisya mengeluh lagi.

"Kau fikir malas kau aje. Tak fikir pula perasaan papa kau," bidas Syazwan geram.

Farisya terdiam.

"Kau anggap ajelah bila kau pergi majlis tu umpama kau tengah beriadah untuk tenangkan fikiran," ujar Syazwan. Sejurus itu dia tersengih kecil apabila mata Farisya menikam matanya.

"Riadah otak kau."

Farisya geram. Baginya Syazwan langsung tidak membantu. Mengarut aje lebih.

"Arie, tak salah pun kalau kau jejak kaki kat syarikat tu. Kau tak boleh lari dari hakikat tu," sambung Syazwan perlahan. Cuba memujuk.

"Kau tahu kan kenapa aku tak suka jadi tumpuan orang," celah Farisya pantas membuatkan Syazwan membisu.

Shahrina pula masih seperti tadi. Hanya berdiam diri dan mendengar segala perbualan dua orang itu tanpa mencelah sedikit pun. Ketika ini dia hanya mengikut telunjuk Syazwan sahaja.

"Kelas petang cancel kan? Aku nak balik tidur." Farisya terus mencapai beg sandangnya dan terus berlalu keluar dari kafe itu.

Shahrina dan Syazwan yang ditinggalkan itu hanya melihat Farisya yang berlalu pergi.

"Tak pe ke kita tinggal Arie macam tu?" tanya Shahrina, rasa bersalah. Dia jarang melihat Farisya sebegitu. Yang berserabut dan muram. Selalunya Farisya seorang yang ceria dan mulutnya kecoh. Walaupun dia tidak tahu apa yang sedang berlaku ketika itu tetapi dia bimbang melihat perubahan sikap Farisya.

"Memang tak la Rin."

Shahrina menunduk. Boleh pula dia tanya soalan sebegitu sedangkan segalanya tidak okey di hadapan matanya.

"Arie tu... perangai dia tak pernah berubah. Setiap tahun tak pernah pun dia jejak kaki kat syarikat tu. Sedangkan dia anak pemilik syarikat. Pelik kan..." Syazwan mula bercerita kerana dia yakin Shahrina masih tidak tahu kisah Farisya.

Farisya tidak pernah memberitahu orang lain bahawa dia adalah anak dato atau seorang pewaris syarikat Berjaya Architects Sdn Bhd. Dia hidup seperti biasa. Hidup seperti tiada apa-apa dalam hidupnya. Dia adalah gadis yang serba boleh. Bukan sang cinderella yang menunggu puteranya datang untuk menjemputnya. Tetapi seorang puteri yang boleh membuat segalanya.

Sekelilingnya mewah tetapi hidupnya sederhana. Tidak seperti gadis kaya yang lain yang dimewahkan kehidupan, bergaya dan bangga dengan status. Mungkin kerana kehilangan seorang ibu membuatkan hidup gadis itu berubah 100%.

Shahrina mengangguk. Dia sendiri tidak pernah tahu tentang latar belakang Farisya. Farisya tidak pernah bersuara tentang keluarga apatah lagi kisah hidupnya. Dia hanya tahu melalui Syazwan yang sememangnya bersama Farisya sejak kecil.

Baginya Farisya seorang gadis yang kental. Di luarnya ceria, di dalamnya penuh dengan 1001 perasaan. Farisya seorang yang misteri. Segala tentang diri gadis itu penuh dengan tanda tanya.

"Kenapa Arie tak nak pergi?" tanya Shahrina perlahan. Dia tertanya-tanya mengapa Farisya tidak pernah pergi majlis ulangtahun syarikat papanya sendiri. Sedangkan Farisya seorang yang sering menjadi tatapan orang ramai dalam dunia seni pertahanan diri. Sudah semestinya gadis itu sudah biasa berurusan dengan orang ramai.

Syazwan memandang Shahrina. "Awak tahu kan Arie macam mana. Dia tak suka orang buat baik depan dia hanya sebab status dia. Dia tak suka orang layan dia special hanya sebab dia anak Dato' Kamal. Bagi Arie, semua manusia sama aje."

Shahrina menangguk faham. Dia tidak terkejut dengan kata-kata itu. Kerana dia tahu Farisya bagaimana.

"Sikap Arie macam arwah mama dia. Seorang yang rendah diri tetapi boleh buat semua benda. Datin Zahra, arwah mama Arie memang baik orangnya. Seorang yang lemah lembut, persis wajahnya yang lembut. Sering tersenyum dan bergaul dengan orang tanpa mempedulikan status," cerita Syazwan lagi.

Kagum. Dia kagum dengan keluarga Farisya. Dia masih teringat sewaktu pertandingan taekwondo peringkat sekolah. Ibu dan abahnya tidak dapat datang melihat perlawannya. Ketika itu Datin Zahra datang ke arahnya dan mengucapkan tahniah kerana mendapat johan dalam pertandingan. Lembut wajahnya, suara dan gayanya. Ciri-ciri keibuan lengkap pada wanita itu.

Dia tidak pernah melihat wanita itu muram apatah lagi marah. Hanya senyuman sahaja yang sentiasa terukir di bibir sehinggakan membuatkan orang di sekelilingnya terasa senang hati.

Baginya Datin Zahra wanita yang hebat. Bukan kerana statusnya tetapi kerana keperibadiannya. Cuma umurnya tidak panjang. Dia meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya bersama kandungannya yang berusia 5 bulan. Tuhan lebih menyayangi mereka.

Sejak dari itulah Farisya banyak berubah. Kalau dulu gadis itu seorang yang manja, kini segalanya diurus sendiri. Farisya yang sekarang tidak sama dengan Nur Farisya Najihan yang dulu.

"Lepas tu kita nak buat apa?" tanya Shahrina. Dia mahu membantu.

Membalas segala kebaikan Farisya, mungkin tidak mampu tetapi cukup untuk dia membantu sekadar yang dia mampu. Takkanlah dia nak pejam mata melihat sahabatnya dalam masalah. Sedangkan Farisya tidak pernah meninggalkan dia ketika dihimpit masalah.

Syazwan memandang Shahrina. Dia buntu.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni