Home Novel Cinta Seteguh Karang
Seteguh Karang
Wann Shazni
3/1/2019 21:15:57
71,252
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 22

"YEAH!" Farisya bersorak sambil mengeliat kecil. Projeknya sudah selesai. Exam juga sudah selesai. Apa yang terbayang di hadapan matanya ketika ini adalah percutian yang panjang. Sekejap sahaja masa berlalu. Semester 3 mereka berakhir dengan lancar.

"Lepas ni boleh tidur dengan nyenyak!" Farisya bersorak lagi.

Shahrina tersengih kecil. Manakala Syazwan hanya menggeleng kepala.

"Tu nak membela badan la tu cuti ni," sindir Syazwan.

Farisya menghadiahkan jelingan tajam ke arah Syazwan. Dia mendekati Syazwan dan berdiri di hadapan lelaki itu. Seperti biasa dia terpaksa mendongak dek ketinggiannya yang tidak cukup inci itu.

"Hello, siapa kata nak bela badan. Tiap-tiap minggu aku ada training okey. Kau tu yang duduk rumah bela badan. Masuk sem 4 terus gemuk. Bluerk!" Lantang Farisya bersuara dan mengakhiri kata-katanya dengan jeliran. Geram.

Namun Syazwan hanya membuat wajah selamba. Malah dia mengejek kata-kata Farisya.

Shahrina menggaru kepalanya yang tidak gatal itu. Pening kepalanya. Sudahlah baru habis exam. Tak sampai 10 minit keluar dari dewan, dah tambah sakit kepala lain pula. Dua orang itu kalau tak dihentikan, pasti teruk jadinya.

Belum sempat Farisya menyambung kata-katanya lagi, smartphonenya berbunyi. Farisya meregus. Siapa pula yang jadi penganggu ni! Sebaik sahaja melihat nama yang tertera di kaca skrin, matanya sedikit terbeliak.

"Mak aih! Cik Hanisa!" Farisya memandang Syazwan dan Shahrina.

Shahrina dan Syazwan sedikit terkejut.

"Beb, aku tak buat apa-apa salah kan? Aku hantar semua assignment dia kan? Test dia semua aku ambil kan?" tanya Farisya bertalu-talu. Gelabah juga kalau tiba-tiba tak ada angin tak ada ribut, Cik Hanisa telefon dia.

Syazwan menjongket bahu. Sengaja menambah beban dalam kepala Farisya. Shahrina pula hanya menunjukkan reaksi risau.

Deringan itu terhenti. Farisya menelan air liur. Otaknya ligat memikirkan sebab-sebabnya. Tidak mungkin Cik Hanisa akan telefonnya tanpa sebab.

Sekali lagi deringan itu berbunyi membuatkan Farisya terlompat dan hampir menjatuhkan Iphone 5s miliknya.

"Ish kau ni Arie! Buat aku terkejut aje," marah Syazwan. Mana tidaknya, selamba sahaja Farisya melompat ke arahnya. Silap-silap kalau terkejut teruk boleh dipeluk tubuhnya oleh gadis itu.

Farisya menunjukkan muka tidak puas hati. Dah la tengah seram sejuk, dia nak buat perangai angin pulak!

"Arie, awak angkat ajelah. Cik Hanisa call awak banyak kali mesti ada hal penting," celah Shahrina setelah lama berdiam diri.

"Tah kau ni. Kata Black Arie. Setakat call pun dah kecut perut, baik buang aje gelaran tu," bidas Syazwan selamba. Memang sengaja tambah minyak.

Farisya menjeling tajam. Tanpa banyak kata, dia terus menjawab panggilan dari lecturer yang terkenal dengan sikap tegas itu.

Syazwan dan Shahrina berdiam diri. Hanya melihat riak wajah Farisya dengan perasaan berdebar-debar. Jangan cakap assignment bermasalah dah la. Hilang impian untuk cuti dengan tenang.

"Hello, ye Cik Hanisa..."

Farisya hanya berdiam diri sepanjang menjawab panggilan itu. Hanya mendengar apa yang dikatakan oleh lecturernya tanpa mencelah. Reaksi wajahnya sungguh mendebarkan dua sahabatnya itu.

"Okey cik, kejap lagi saya jumpa cik kat office. Assalamualaikum..."

Selepas mengakhiri panggilan itu, Farisya menghela nafas lega. Saat bercakap dengan Cik Hanisa, dia bagaikan tidak dapat menyedut oksigen dengan baik. Semputnya terasa. Sesak dadanya. Serupa orang buat salah gayanya.

"Cik Hanisa cakap apa?" tanya Syazwan. Shahrina disebelah menunggu penuh sabar.

"Dia suruh aku pergi jumpa dia kat office," jawab Farisya.

"Kenapa?"

Farisya menjongket bahu.

"Arie, jangan cakap kau kena repeat paper." Syazwan sengaja menakutkan Farisya.

Serentak itu Farisya menyiku perut Syazwan. Tersentap lelaki itu untuk seketika.

"Kau ni kan, mulut tu sebelum aku lunyaikan, baik kau diam." Farisya memberi amaran keras.

"Entah awak ni. Tak baik tau doa Arie macam tu. Lagipun dia best student. Takkanlah nak repeat paper. Test dia semua paling tinggi. At least dia dah duduk kat tahap lulus. Tak logik la awak ni, Wan," ujar Shahrina panjang lebar.

Syazwan selalu buli Farisya. Biarpun dia tahu Farisya bukan jenis yang mudah ambil hati. Tetapi dia tidak mahulah mematahkan semangat Farisya.

"Tah kau ni. Mengarut." Farisya menjeling geram. Menyokong kata-kata Shahrina.

"Dah la. Jom Rin, tak payah layan budak ni. Makin tua makin tak matang perangainya," ujar Farisya selamba. Dia merangkul bahu Shahrina dan mereka berjalan dahulu meninggalkan Syazwan.

Syazwan berpeluk tubuh. Seronok la tu bila ada orang back up. Laju langkahnya mendapatkan gadis-gadis itu.

"Hey, siapa tak matang. Suka hati aje," ujar Syazwan sedikit geram.

"Kau la," balas Farisya.

Shahrina sudah lali. Malas nak masuk campur lagi. Tahu sudah yang mereka ni takkan mudah mengalah. Alamatnya, dia terpaksa mengiakan segala kata-kata mereka. Pening sungguh.

Syazwan sudah mengacah penumbuk ke arah Farisya namun Farisya hanya membuat muka. Makin sakit hati jadinya.




FARISYA terkebil-kebil mendengar kata-kata Cik Hanisa. Seakan-akan terasa pendengarannya agak kurang jelas ketika itu. Dia tidak pasti sama ada apa yang didengari itu benar ataupun dia yang tersalah dengar.

"Kamu nak ke tidak?" tanya Cik Hanisa apabila melihat Farisya masih termanggu-manggu sendiri.

Farisya menggosok belakang lehernya sambil tersengih.

"Nak cik. Tapi terkejut jugak saya, macam mana cik yang boleh sampaikan berita ni," jawab Farisya.

"Oh. Saya dapat tahu daripada kawan saya. Sebab sebelum ni saya ada cerita pasal kamu. Jadi dia bagitahu saya yang cuti ni ada perlawanan terbuka. Saya yakin kamu berminat. Lagipun perlawanan tu waktu cuti semester. Mestilah kamu nak.

Rugi la kalau saya tak cakap kat kamu kan. Satu kolej gelar kamu Black Arie dan kamu dah bolot banyak pingat. Jadi perlawanan kali ni mungkin akan menambahkan lagi pengalaman." Cik Hanisa bersuara panjang lebar. Baginya rugi kalau Farisya tidak menyertai pertandingan taekwondo itu. Apatah lagi dia tahu Farisya sememangnya berbakat dalam bidang itu.

Farisya tersengih kecil. Hilang semputnya ketika itu. Padahal sebelum jumpa Cik Hanisa tadi, dah macam-macam perkara bermain di otaknya. Sengaja nak menambahkan gelabahnya.

"Kalau macam tu baguslah. Lega saya dengar. Kamu dah banyak kali harumkan nama kolej ni. Saya doakan pertandingan kali ni juga menjadi milik kamu juga. Insya-Allah," ujar Cik Hanisa lembut.

Sebenarnya dalam sikapnya yang tegas itu, dia sebenarnya seorang yang baik. Cumanya di dalam kelas dia bersikap tegas agar para pelajarnya tidak cuba mengambil kesempatan.

Farisya mengangguk. Malu. "Cik datang la perlawanan tu nanti. Boleh tengok saya lawan depan mata sendiri. Kan sebelum ni cik ada cakap teringin nak tengok saya beraksi." Tersengih-sengih Farisya ketika itu sambil menunjukkan lengannya yang acah-acah ada otot itu.

"Insya-Allah, kalau saya tak ada apa-apa planning hari tu. Apa-apa pun saya mengharapkan result yang baik," jawab Cik Hanisa lagi.

Farisya mengangguk. Penuh semangat.

"Terima kasih cik. Terima kasih juga untuk berita tu. Kalau tak ada apa-apa, saya pergi dulu." Sopan Farisya meminta diri.

Sebaik sahaja keluar dari pejabat, dia melompat keriangan. Tidak sangka peluang ada di depan matanya lagi.

Pelajar-pelajar yang melalui laluan itu hanya memandang pelik ke arah Farisya. Gerun tu gerun tapi lagi gerun kalau Farisya jadi sebegitu. Masakan Black Arie yang ganas itu jadi sebegitu. Pasti menambahkan kepelikan lagi.

Tatkala itu Farisya tersengih sendiri. Agenda jahat bermain di fikirannya. Riak wajahnya kini lebih menakutkan dari hantu.

Pantas dia berjalan menuju ke tempat biasa mereka melepak. Dia meminta Syazwan dan Shahrina menunggunya di situ. Bukan apa, sedari tadi Syazwan asyik menambahkan stressnya sahaja.

"Arie, Cik Hanisa cakap apa?" Shahrina terus bertanya sebaik sahaja mendapatkan Farisya.

Farisya membuat muka sedih. Dia memandang wajah Shahrina, kemudian wajah Syazwan pula. Syazwan yang sedari tadi tenang kini sedikit gelabah.

"Apahal weh?" tanya Syazwan.

"Projek akhir kita kena reject. Cik Hanisa kata projek kita sama dengan projek senior sem lepas. Dia anggap kita tiru idea diorang." Farisya berpura-pura sedih

Shahrina mula gelabah. Syazwan juga sudah tidak tenang. Direject projek akhir maknanya mereka akan repeat semester.

"Habis tu macam mana? Arie... saya minta maaf. Saya tahu saya tak patut ada dalam kumpulan awak. Saya..." Belum sempat Shahrina menghabiskan kata-katanya, Syazwan mencelah pantas.

"Awak mengarut apa ni Rin. Arie pilih awak untuk masuk dalam kumpulan ni. Dan apa yang terjadi adalah tanggungjawab kita semua. Bukan salah awak", ujar Syazwan sedikit tegas. Pada masa yang sama dia sedikit kecewa. Semester 3 tidak berjalan lancar seperti yang disangkakan.

Farisya yang sedari tadi peluk tubuh hanya sekadar memerhati.

"Dah habis dah drama beb?" tanya Farisya selamba sambil kening menjongket sebelah.

Syazwan dan Shahrina memandang Farisya. Mata Shahrina sudah berkaca. Sedih gayanya. Masih tidak tahu agenda nakal Farisya yang sebenarnya.

Farisya menahan tawa. Baru sikit dikenakan, Shahrina dah menangis. Agaknya kalau lebih-lebih, boleh pengsan budak tu.

"Apasal aku rasa macam ada something tak kena aje." Syazwan berpeluk tubuh. Merasakan ada sesuatu. Masakan Farisya begitu tenang. Sepatutnya Farisya akan lebih risau dan mulutnya tidak henti-henti bercakap. Tetapi kali ini Farisya senyap semacam.

Farisya tersengih. Nakal. Dia menutup mulutnya. Menahan tawa.

"Arie!"

Farisya cuba berdalih.

"Farisya Najihan!"

Serta merta Farisya membulatkan matanya. Paling pantang orang panggil nama penuhnya yang penuh keayuan itu.

Syazwan mendekati Farisya. "Pendek, agenda apa yang kau buat sekarang ni?"

Farisya tersengih. Dia menolak tubuh lelaki itu jauh darinya. Shahrina mengesat air matanya. Masih tidak mengerti apa yang berlaku.

Sejurus itu Farisya ketawa besar. "Mana ada kena repeat pun. Semuanya okey. Saja aku nak jadi jahat kenakan korang berdua. Tapi nampaknya budak senget ni hancurkan rancangan aku." Farisya menjuih bibir ke arah Syazwan.

"Hah?" Shahrina kelihatan terkejut manakala Syazwan pula mempamerkan wajah geram. Panas hati lelaki itu. Ikutkan hati dah ditenyeh-tenyeh Farisya sampai lunyai.

Farisya membuat isyarat peace. Tanpa ada rasa bersalah langsung.

"Haha. Mana ada la. Releks la Rin. Yang kau nak gelabah sampai salahkan diri dah kenapa. Muka macam kita ni takkan repeat paper punya. Dijamin dekan!" ujar Farisya megah. Serentak itu dia mengaduh sakit apabila kepalanya diketuk dengan fail.

"Berlagak! Kau ni kan kalau nak menghuru-harakan keadaan memang hobi kau kan. Kitorang dah gelabah kot! Tapi aku hairan jugak kenapa Cik Hanisa nak panggil kau pulak sedangkan aku ketua kumpulan." Syazwan berpeluk tubuh sambil bersuara. Geramnya masih ada. Bila difikirkan balik, tak logik pula kata-kata Farisya.

Farisya tersengih. Ya tak ya jugak.

Mata Shahrina masih merah. "Awak ni Arie. Saya risau tau."

Farisya menggosok kepala Shahrina. Hampir menyengetkan tudung yang dipakai oleh gadis itu.

"Kau ni, hati lembut. Baru kena sikit dah menangis. Mananya tak kena buli. Jadi la cergas sikit. Berani. Kena ada confident," ujar Farisya pantas merangkul leher Shahrina, lagak memujuk gadis itu. 

Syazwan membuat muka. Poyo punya ayat.

"Cakap macam hebat. Kalau awak nak tahu, masa kecil si Arie ni ratu air mata. Dah besar macam ni baru jadi hati kering. Entah ada hati ke tidak. Awak jangan ikut sangat cakap Arie ni, Rin. Saya tak nak hidup dikelilingi perempuan ganas..." Belum sempat Syazwan menghabiskan kata-katanya, terasa kakinya disepak kasar. Mengaduh sakit dia ketika itu.

"Mulut kau tu kan. Hidup lama dah?"

Syazwan mengigit bibir. Dia mengembus nafas sebelum mendekati Farisya.

"Eh eh awak berdua ni. Jangan la bergaduh. Kita cuma nak tahu kenapa Cik Hanisa jumpa Arie aje kan. Kenapa nak gaduh pasal benda kecil pula." Shahrina segera menghalang. Pening sungguh dengan dua orang sahabat baik itu. Asyik bergaduh aje. Kalau tak ada dia, agaknya dah  bertumbuk dua orang itu. Sudahlah masing-masing berlatarbelakang taekwondo. Tak patah tulang, terbelah dua pula kerusi batu yang berdekatan dengan mereka itu.

Farisya merengus. Begitu juga dengan Syazwan. Masing-masing buat perangai kepala batu.

"Jadi Arie, kenapa Cik Hanisa panggil awak sorang?" tanya Shahrina lembut.

Serta merta mood Farisya berubah. Dia merapati Shahrina.

"Cik Hanisa bagitahu ada perlawanan terbuka taekwondo cuti ni. Jadi dia nak aku masuk dan of course aku akan masuk," ujar Farisya ceria. Dia kalau dah bercakap pasal dunia taekwondo, bersinar-sinar matanya. Mengalahkan ultraman sahaja. Habis sekeliling cerah disinari dengan cahaya.

"Wah! Baguslah tu. Ala, saya tak dapat tengok awak la kan." Shahrina sedikit sedih. Dia teringin melihat Farisya beraksi tetapi masih tiada kesempatan. Sebelum ini dia hanya melihat Farisya berlatih sahaja. Dia ingin merasai dan melihat suasana di gelanggang. Dia ingin melihat macam mana diri Farisya sewaktu di gelanggang.

Syazwan pula hanya berdiam diri. Tidak berniat mencelah. Sekadar mendengar perbualan itu.

Untuk seketika Farisya membeliakkan matanya. 

"Rin."

"Emm." Shahrina memandang Farisya pelik. Senyuman Farisya yang tiba-tiba itu membuatkan dia seram sejuk.

"Awak... awak dah kenapa Arie?" tanya Shahrina tergagap-gagap.

"Cuti ni awak duduk rumah saya."

Syazwan membeliakkan matanya. Begitu juga dengan Shahrina.

"Yang kau nak sekat dia balik dah kenapa? Dia nak balik kampung pun time cuti sem aje," kata Syazwan. Agak tidak bersetuju dengan cadangan Farisya.

"Bukan sekat la. Dah Rin kata dia nak tengok aku kat gelanggang," bidas Farisya geram.

"Ala, bukannya dia tak boleh tengok kau nanti. Ada aje masa. Biarlah cuti ni dia berhenti tengok muka kau kejap. Naik bosan tiap-tiap hari hadap muka kau," balas Syazwan selamba. Ni gaya macam nak cari gaduh aje.

Shahrina hanya ketawa melihat riak wajah Farisya. Geram dengan kata-kata lancang Syazwan yang sememangnya tak pernah berlapik. Dua orang ni sama aje perangai.

"Tak apalah Arie. Mungkin bukan rezeki saya nak tengok awak. Saya harap awak berjaya dalam pertandingan tu," ujar Shahrina sekaligus menghentikan pergaduhan dua sahabat yang macam kucing dengan anjing itu.

Farisya memuncungkan mulutnya. Acah-acah merajuk.

"Ala Rin, please! Jomlah. Aku ni dah naik bosan tengok mamat galah ni. Asyik muka dia aje jadi peneman. Jom la. Kau balik la cuti dulu lepas tu kitorang datang la ambil kau kat kampung. Boleh la..." rengek Farisya.

Sebelum ini selain daripada Syazwan, hanya Mak Mah sahaja menjadi peneman. Adakalanya papanya datang. Adakalanya ibu bapa Syazwan datang bersorak untuknya. Tetapi tiada seorang pun yang bergelar kawan datang menyokongnya. Dia mengharapkan seseorang yang rapat dengannya datang memberi sokongan.

Syazwan menjegil matanya. Mulut tu rasanya macam nak kena cili aje. “Woi, muka aku ni juga yang kau selalu cari. Yang kau selalu bertempek bertahun lamanya tahu tak?”

Farisya membuat muka selamba. “Boleh la Rin. Please...” pujuknya manja.

Shahrina tersengih. Bingung sebenarnya. "Arie..."

Syazwan sekadar menggeleng kepala. Bukannya dia tidak kenal dengan perangai Farisya. Kalau dah kata putih tu putih juga la sampai ke akhir.

"Saya fikir dulu okey?" Shahrina masih tidak berani memberi kata putus. Bimbang bakal mengecewakan Farisya.

Farisya hanya mengangguk. "Jawapan okey aje tau!"

Shahrina tersengih.

Syazwan mencapai fail lalu diketuk kepala Farisya.

"Kau jangan nak buli anak orang sangat," tegur Syazwan garang.

"Mana ada buli!" Garang Farisya membalas.

"Okey okey. Awak berdua tak payah la bergaduh. Okeylah, saya nak balik hostel dulu. Nak kemas barang," celah Shahrina, cuba meredakan pergaduhan yang baru bermula itu.

"Okey! Hati-hati tau!" Farisya menepuk bahu Shahrina berkali-kali. Ada makna di sebaliknya. Mengharapkan Shahrina datang ke perlawanannya nanti.

Shahrina hanya melemparkan senyuman. Dia berlalu meninggalkan kedua sahabatnya yang masih berperang dingin itu.

Kerana selain daripada itu, ada perkara yang lebih penting yan perlu dia selesaikan ketika ini.

Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni