Home Novel Cinta Seteguh Karang
Seteguh Karang
Wann Shazni
3/1/2019 21:15:57
19,420
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 28

SYAZWAN bergegas ke hospital sebaik sahaja menjawab panggilan telefon daripada Shahrina. Dia agak terkejut apabila melihat 50 missed call daripada Shahrina.

Sepanjang hari dia hanya membuat mode silent pada smartphoneya atas alasan tidak mahu diganggu. Dia mahu fokus kerja di restoran abahnya. Sekaligus menenangkan fikirannya.

Namun entah kenapa tiba-tiba sahaja dia ingin melihat smartphoneya. Merasakan ada sesuatu tetapi dia tidak mengerti perasaan itu. Kejutan itu membuatkan kakinya hampir sahaja tidak mampu menampungnya untuk berdiri.

Ya Allah! Farisya masuk hospital!

Laju dia memecut tanpa mempedulikan kereta lain. Yang pastinya dia tidak mengerti mengapa Farisya tiba-tiba dimasukkan ke hospital. Dan mengapa Shahrina menelefonnya berkali-kali. Sebaik sahaja memakirkan kereta di tempat letak kereta, Syazwan terus berlari masuk ke dalam hospital. Dia terus ke bahagian kecemasan.

Dari jauh dia sudah melihat Shahrina bersama dua orang lelaki di ruangan menunggu. Salah seorang lelaki itu seakan-akan pernah dilihat tetapi dia tidak pasti di mana.

"Rin!" Syazwan terus mendekati Shahrina.

"Kenapa awak tak angkat call saya hah? Kalau awak angkat call, Arie takkan jadi macam ni!" Shahrina terus mendebik apabila Syazwan berdiri di hadapannya.

Wajahnya masih basah dengan air mata. Sepanjang perjalanan ke hospital, dia hanya menangis sahaja sehingga matanya membengkak.

Syazwan tercengang seketika. Dia sedar dia salah kerana dia tidak menjawab panggilan itu tetapi bukan dia sengaja.

"Rin, saya..." Syazwan tidak mampu menghabiskan kata-katanya. Yang penting dia tidak faham kenapa Farisya tiba-tiba dimasukkan ke hospital. Malah ke bahagian kecemasan pula. Apa yang terjadi sebenarnya?

Pakaian Shahrina juga dipenuhi darah. Darah milik siapakah? Farisya? Dia bingung. Masih tidak dapat jawapan untuk segala persoalan di dalam kepalanya ketika ini.

Kemudian dia beralih ke arah dua orang lelaki yang duduk menghadap Shahrina. Cuba mengingati sesuatu. Bagaikan biasa bertemu dengan salah seorang itu. Tetapi dia tidak pasti. Cumanya dia tertanya-tanya, mengapa mereka juga turut berada di situ bersama?

Syazwan mengambil tempat di sebelah Shahrina. Dia berdeham sebelum bersuara.

"Rin, saya minta maaf. Tapi saya bukan sengaja tak nak jawab panggilan tu. Saya kat restoran tolong abah saya," ujar Syazwan perlahan.

"Tapi awak tak patut buat macam tu. Kalau awak bertindak pantas, Arie takkan ada kat dalam tu!" Shahrina meninggikan suara. Dia teresak-esak menangis ketakutan. Tangannya masih menggigil. Tangannya masih dipenuhi darah Farisya.

"Rin..." Hakimi menegur perlahan. Dia tahu lelaki itu tidak bersalah. Saat ini mereka hanya mampu berdoa agar Farisya selamat.

"Uncle tahu tak?" Syazwan segera mengeluarkan smartphone namun terhenti apabila Hakimi bersuara.

"Kejap lagi Dato' Kamal sampai."

Syazwan membisu. Dia tahu ketika ini bukan masa yang sesuai untuk sesi perkenalan. Yang penting dia mahu tahu apa yang berlaku sebenarnya.

Melihat Shahrina yang masih marahkannya, dia tidak mampu meneruskan niatnya. Dia yakin kalau dia berterusan bertanya, Shahrina pasti akan memarahinya lagi.

Dia memandang Hakimi. Lelaki itu berjalan ke arahnya dan membuat isyarat supaya mengekorinya ke luar. Syazwan mengangguk dan hanya mengekori langkah lelaki itu.

"Kawan Farisya yang datang kat balai polis tu kan?" tanya Hakimi. Dia yakin dan pasti tentang itu.

Syazwan mengerut dahi. Untuk seketika dia membulatkan matanya. Hakimi mengangguk sambil tersenyum, seakan-akan faham reaksi itu.

"Tapi macam mana abang boleh ada sekali ni?" tanya Syazwan tidak mengerti.

Hakimi menarik nafas. "Cerita penuh nanti tanya pada Rin. Sekarang ni Farisya cedera sebab 6 orang lelaki serang dia dengan kayu. Motif balas dendam dan tak puas hati..." cerita Hakimi perlahan.

Syazwan terkedu. Diam membisu. Sebab itulah Shahrina terlalu marahkan dia. Kerana Farisya melawan 6 orang lelaki bersendirian.

"Jangan ambil hati. Rin mungkin emosi. Dia yang tengok sendiri keadaan Farisya..." nasihat Hakimi. Dia tidak mahu melihat mereka bergaduh kerana dia tahu kedua-dua orang itu adalah kawan baik Farisya.

"Pertandingan..." Syazwan terkedu sendiri. Pertandingan taekwondo yang Farisya sebut-sebutkan sehingga mencetus pergaduhan mereka.

"Teruk sangat ke Arie cedera?" tanya Syazwan kalut.

Hakimi menunjukkan ke arah kepala. Serta merta tubuh Syazwan menggeletar.

"Kita doakan moga Farisya cepat sedar. Rasanya tiada apa yang patah cuma kepala sahaja yang cedera." Hakimi cuba meredakan Syazwan. Walaupun dia sendiri tidak tahu apa keputusan yang bakal mereka lihat selepas ini.

Syazwan menyandar tubuhnya di dinding. Kalaulah smartphonenya bukan dalam mode silent, sudah tentu dia menyedari panggilan itu. Kalaulah dia tidak bergaduh dengan Farisya, sudah pasti Farisya takkan terlibat dalam hal sebegitu. Sudah pasti Farisya akan meminta pertolongannya dari awal.

Hakimi meletakkan tangannya di atas bahu Syazwan. Cuba memberi semangat kepada anak muda itu.




DATO' Kamal mengusap lembut pipi anak gadisnya. Berita yang dia terima dari Hakimi sebentar tadi membuatkan jantungnya hampir terhenti. Melihat kepala yang berbalut itu membuatkan jiwanya hiba.

Mak Mah pula sedar tadi hanya mengelap air matanya. Tidak menyangka wajah ceria yang dia lihat pagi tadi kini sudah terbaring kaku di atas katil.

"Siapalah yang buat kamu macam ni, Risy..." ujar Mak Mah perlahan.

Pak Mat yang berada di sebelahnya mengusap perlahan bahu isterinya. Dia juga sebak melihat keadaan Farisya yang sudah dianggap seperti anaknya sendiri.

Seteruk mana pun Farisya cedera dalam perlawanan, dia tidak pernah terbaring di atas katil itu. Tetapi hari ini, Farisya terbaring kaku hanya untuk menyelamatkan Shahrina.

Shahrina hanya membisu. Kalau bukan kerananya, Farisya takkan terbaring di atas katil itu. Kalau dia terus berdiam diri, Farisya takkan jadi begini.

"Rin..." Syazwan menegur.

Segera Shahrina mengesat air matanya.

Sebentar tadi mereka ke balai polis untuk memberi keterangan. Sarah dan Liyana turut berada di situ. Tetapi bayangan Fatin langsung tidak kelihatan.

Motif Fatin sudah cukup jelas. Memang sengaja ingin memusnahkan impian Farisya apatah lagi pertandingan semakin hampir. Gamak gadis itu memperlakukan Farisya yang hanya ingin menyelamatkan dirinya.

Sarah dan Liyana rela hati memberikan keterangan dan mengaku mereka berkomplot dengan Fatin dan sekumpulan lelaki itu untuk menakut-nakutkan dia dan Farisya. Waktu itu dia sedar riak wajah kedua mereka penuh rasa bersalah. Barangkali tidak menyangka Fatin akan bertindak begitu dan meninggalkan mereka.

Dia yakin Fatin pasti akan menggunakan kuasa keluarga untuk menutupi kejahatan yang dilakukan. Yang pastinya perkara itu sangat tidak adil. Kerana perbuatan Fatin, Farisya mungkin hampir kehilangan nyawa.

Namun dia bersyukur kerana Liyana dan Sarah sudi memberi kerjasama untuk membongkar segalanya. Sekurang-kurangnya nasib Farisya terbela jua. Kesakitan yang Farisya tanggung ketika ini sekurang-kurangnya terbalas dengan belas ihsan mereka.

"Rin minta maaf uncle..." ucap Shahrina perlahan. Dia tahu Dato' Kamal pasti sedih melihat keadaan anak tunggalnya ketika ini.

Dato' Kamal menggeleng kepala. "Jangan begitu Rin. Rin tak ada salah apa-apa. Uncle tahu Risy nak selamatkan Rin. Uncle kenal anak uncle. Dia takkan sesuka hati buka langkah."

Shahrina hanya membisu. Mak Mah sudah mendekatinya dan digosok lembut bahu anak gadis itu. Kasihan. Sudahlah tidak dapat pulang ke kampung gara-gara kumpulan itu. Kini membuat Farisya terbaring di atas katil pula.

"Risy ada cakap semalam. Dia kata nak hantar Rin balik kampung sebab dia tahu Rin rindukan kampung..." celah Mak Mah.

Shahrina memandang Mak Mah. Terkejut dengan penyataan itu.

"Dia nak hantar Rin naik skuter tapi Mak Mah tak bagi. Mak Mah suruh dia berbaik dengan Wan. Sekurang-kurangnya ada teman. Tapi dia nak jugak pentingkan ego dia," sambung Mak Mah lagi.

Syazwan hanya mendengar apabila Mak Mah menyebut namanya.

"Tak apalah. Yang penting Farisya tak ada apa-apa masalah yang serius. Dia cuma cedera dan pengsan aje. Esok lusa dah sihat, silap-silap lesap dia dari wad ni." Dato' Kamal mencelah. Cuba menyedapkan hati mereka yang lain. Dia yakin anaknya kuat.

Mak Mah tersenyum. Sangat mengerti maksud tersirat Dato' Kamal. Kalau Farisya sedar dan dia tahu dirinya berada di hospital, boleh runtuh bangunan jadinya.

"Mak Mah dengan Pak Mat balik la dulu. Ajak Rin balik sekali. Rehat dan tenangkan fikiran. Saya nak teman Risy kat sini," celah Dato' Kamal. Lagipun sudah hampir tamat waktu melawat. Biarlah dia yang menjaga Farisya ketika ini.

"Saya temankan uncle ye." Syazwan mencelah.

"Tak apa Wan. Baliklah. Kalau ada apa nanti uncle bagitahu. Biarlah Risy rehat."

Syazwan hanya menurut. Tidak mahu melawan. Mungkin ketika ini Dato' Kamal ingin bersama anaknya.

Hakimi hanya memerhati tanpa suara. Haziq masih setia menemaninya sedari tadi. Kalau bukan kerana Haziq, mereka mungkin tidak dapat membuktikan bahawa gadis yang bernama Fatin itu terlibat sama. Ketika Fatin keluar dari tempat itu, Haziq sempat merakamnya. Bukti itu sangat berguna bagi mereka. Untuk membuktikan pelaku yang sebenarnya kepada pihak polis.

Dia mengharapkan Farisya cepat sedar. Dia hanya ingin melihat celoteh nakal si gadis itu. Bukannya tubuh kaku yang terbaring di atas katil itu.




FATIN merengus geram. Habis semua barang-barangnya dicampak ke lantai. Dia mengamuk. Baginya rancangan itu hanya berjaya separuh!

"Tak guna punya botak! Berani kau arah-arah aku. Kau ingat kau siapa!" bentak Fatin di hadapan cermin soleknya.

Dia tidak menyangka lelaki bertubuh sasa yang dipanggil botak itu berani mengugutnya. Malah ingin mengerjakan dia pula. Tak guna!

"Silap besar la! Kau tu cuma sampah masyarakat yang aku kutip untuk jalankan kerja untuk aku. Aku ni Fatin la! Kau ingat kau boleh kalahkan aku. Aku ada segalanya!" ujar Fatin megah.

Ketika itu dia terbayang situasi sebentar tadi. Bibirnya tersenyum sinis. Farisya lemah di hadapan matanya cukup membuatkan dia gembira. Farisya sudah kalah dengannya. Hanya upah 6 orang lelaki bersenjata sahaja mampu mengalahkan Black Arie. Kalaulah dia tahu betapa mudahnya untuk mengalahkan jaguh taekwondo itu, sudah lama dia mengupah mereka.

"Nasib kau la perempuan. Kau ingat bila kau ada seni pertahanan diri, kau tak boleh dikalahkan? Hahaha. Kau kena belajar lebih lagi Arie. Dunia kau masih tak mampu berlawan dengan dunia aku." Fatin ketawa megah. Seakan-akan dirasuk makhluk lain.

"Dan Shahrina, aku dapat rasakan saat ni kau menggigil ketakutan. Padan muka kau! Ini balasannya bila ada orang cuba merampas hak aku," sambung Fatin lagi. Ketawanya masih bersisa.

Melihat air mata Shahrina pula, dia merasa puas. Dia merasakan ketika ini Shahrina sedang menangis ketakutan. Barangkali juga Shahrina akan dipersalahkan atas apa yang berlaku terhadap Farisya. Maka dia yakin, persahabatan Shahrina dan Farisya akan terlerai begitu sahaja. Bibirnya tersenyum nakal. Bangga dan bahagia melihat hidup dua orang itu musnah di hadapan matanya sendiri.

Tatkala itu dia terkenang pada Sarah dan Liyana yang sentiasa di sisinya. Dia merengus meluat.

"Ah! Diorang tu cuma makhluk bodoh yang suka mempergunakan orang yang lebih berkuasa untuk kepentingan sendiri. Aku tak kisah pun apa yang berlaku pada diorang. Well... selamat tinggal sayang-sayangku..." Fatin menghantar flying kiss ke arah cermin soleknya sebelum ketawa besar yang panjang.

Ketika ini dia tidak sedar apa yang sedang berlaku di rumahnya. Dia cuma tahu dirinya puas kerana dapat berjaya membalas dendam.




"THANK Ziq teman aku," ucap Hakimi.

"No hal la. Kau kawan aku." Haziq menepuk-nepuk bahu Hakimi yang sedang memandu itu.

Hakimi tersenyum lebar.

"So itulah si Arie, anak Dato' Kamal yang membuatkan muka kau macam orang jatuh cinta tu?" Haziq ketawa nakal.

"Ish kau ni..."

Haziq ketawa lagi. "Well, walaupun muka dia tak berapa jelas disebabkan cedera tapi aku yakin dia comel. Kan?" Makin galak Haziq mengusik.

Akhirnya dapat juga dia bertemu dengan gadis yang seringkali membuat Hakimi termenung jauh. Walaupun pertemuan yang penuh tragedi.

"Dah dah. Kau ni ke situ pula Ziq. Aku tolong diorang sebab aku rasa ada yang tak kena. Lagipun Rin yang bagi mesej kat aku. Takkan aku nak biarkan aje. Mengharapkan si budak tak cukup inci tu, aku tak rasa dia akan bagitahu orang lain terutamanya aku yang langsung tak ada kena mengena." Panjangan lebar Hakimi menceritakan hal yang sebenar.

Sebentar tadi selepas bertemu dengan Haziq, dia meminta Haziq untuk menemaninya. Haziq bertanya berkali-kali tetapi dia masih tidak menjawab. Dalam fikirannya ketika itu hanya memikirkan Farisya dan Shahrina. Segala perkara buruk bermain di fikirannya.

Dia tidak tahu mengapa. Tetapi mungkin kerana belas ihsan seorang manusia. Takkan dia hendak membiarkan mereka yang memerlukan pertolongannya itu.

"Kimi, aku kenal kau macam mana. Lagipun tak salah kalau kau sayangkan dia even pertemuan pertama kau dengan dia penuh tragedi. Bukalah hati kau. Jangan ego menidakkan semua tu. Waktu dia terkulai penuh darah tadi pun, riak muka kau dah lain. Cara kau macam takut kehilangan dia.

Lupakan ajelah kisah lalu kau. Semua orang pernah kecewa. Kau bina tembok setinggi mana pun, suatu hari nanti pasti akan ada orang yang cuba robohkan. Jujur pada diri. Kalau sayang cakap sayang. Tak rugi pun." Haziq memberi nasihat yang penuh mendalam.

Baginya Hakimi mengenali Farisya membuatkan Hakimi kembali kepada perangai dahulu. Perangai yang dia cuba pendamkan hanya kerana kekecewaan. Dia memerhati dan dia tahu perubahan pada sahabat baiknya.

Hakimi hanya membisu. Tiada kata-kata mampu terluah. Dia sendiri tidak tahu tentang dirinya yang sebenar.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni