Home Novel Cinta Seteguh Karang
Seteguh Karang
Wann Shazni
3/1/2019 21:15:57
71,479
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

TERKOCOH-KOCOH Syazwan berlari masuk ke dalam balai polis. Matanya meliar mencari kelibat Farisya. Tatkala itu dia dapat menangkap satu batang tubuh yang sedang duduk di hadapan seorang polis. Laju langkahnya menuju ke arah Farisya.

“Arie! Kau buat pulak ni!” Syazwan sudah bising tanpa menghiraukan sekeliling.

Farisya membuat muka sebelum memandang Syazwan yang sudah kelam kabut itu. Dipandang keadaan lelaki itu. Berpeluh-peluh. Agaknya terkejut apabila diberitahu dia berada di balai polis gamaknya.

“Aku dah kata kan, jangan gunakan kekerasan!” bebel Syazwan tanpa sempat Farisya bersuara. Bingung dia apabila Farisya tiba-tiba berada di balai polis. Pasti ada sesuatu yang terjadi.

“Ah... dik...” Hakimi cuba menegur apabila merasakan lelaki itu tersalah faham tentang situasi mereka. Dia yang duduk di kerusi sebelah Farisya terus berdiri di hadapan Syazwan.

“Hah! Kau siapa pulak? Dia belasah kau ke? Dia...” Belum sempat Syazwan menghabiskan kata-katanya, satu pukulan melekap pada kepalanya.

Puk!

Syazwan senyap. Hakimi tergamam. Polis yang duduk dihadapan mereka juga terdiam tanpa suara. Muka masing-masing pucat lesi.Terkejut barangkali. Farisya merengus geram.

“Apa kau mengarut ni sengal!” ujar Farisya garang. Dah la tak tahu apa-apa cerita. Datang terus buat kecoh macam tahu segala benda. Pantang betul dia. Dia meletak semula botol air di atas meja itu. Geram punya pasal. Tangannya terlebih pantas pula. Dah la dalam balai polis. Tak pasal-pasal dengan dia sekali masuk lokap pula.

Syazwan merengus sambil menggosok kepalanya yang dipukul itu. Pedihnya tak payah cakap la. Sempat lagi capai botol air encik polis itu. Nasib tak pecah.

“Lain kali jangan nak buat andaian sendiri boleh tak sengal? Kau tak nampak ke aku tengah bagi keterangan kat polis ni.” Garang Farisya bersuara.

Syazwan memerhati sekeliling. Barangkali baru tersedar dari dunianya. Dia mengeluh perlahan. Cuba menenangkan fikiran dan perasaannya. Dia menunduk meminta maaf.

Fikirannya sedari tadi hanya penuh dengan Farisya. Memikirkan kata-kata ibunya tadi membuatkan segalanya berserabut. Mengetahui Farisya sedang berada di balai polis pula membuatkan pelbagai andaian bermain di fikirannya.

Farisya kembali duduk di atas kerusi dan menyambung semula keterangannya. Hakimi pula tidak banyak bersuara. Dia terus duduk sekadar menjadi saksi pada kes terbabit.

Syazwan membisu di situ. Hanya mendengar penerangan gadisi tu kepada polis. Sedikit sebanyak dia dapat memahami apa yang berlaku biarpun tidak sepenuhnya.

Tatkala itu dia memarahi dirinya sendiri kerana membiarkan Farisya balik seorang diri. Dia geram dengan perangai keras kepala Farisya. Mujurlah tiada apa-apa yang teruk berlaku pada gadis itu. Risau juga dibuatnya.

Dia berlalu ke arah kerusi panjang berdekatan dengan kedudukan Farisya itu. Kemudian dia memandang ke arah seorang lelaki yang berada di sebelah Farisya. Lelaki yang disangka mangsa Farisya. Dia tertanya-tanya tentang kehadiran lelaki itu. Mungkinkah lelaki itu cuba menyelamatkan Farisya? Atau Farisya yang menyelamatkan lelaki itu?

Melihat lelaki itu melemparkan senyuman, dia membalas semula senyuman itu. Cuba bersangka baik walaupun dia tidak mengetahui apa yang berlaku di antara Farisya dan lelaki itu.

Seusai memberi penerangan, Farisya terus meluru ke arah Syazwan. Dia mencekak pinggang sambil merenung wajah lelaki itu.

“Kau ingat aku ada kat balai polis sebab belasah orang suka-suka? Kau ingat aku dah tak waras sangat ke sampai nak belasah orang?” sindir Farisya sinis. Geram pula dengan sikap Syazwan. Dah la tak tahu apa-apa, tiba-tiba membuat tuduhan sebegitu. Sepatutnya tanya tentang keadaan dirinya yang baru sahaja melawan tiga orang malaun itu. Ini tidak, dituduhnya yang bukan-bukan.

“Sorry la. Kau tahu tak aku risaukan kau.”

Farisya membuat muka. “Ceh!”

“Serius la. Aku risau betul bila ibu aku cakap kat sejak akhir-akhir ni banyak benda tak elok berlaku kat area tu. Sebab tu la aku datang balik,” ujar Syazwan.

Farisya membuat muka. “Oh, sebab tu kau datang balik?”

Syazwan mengangguk. “Kau okey ke? Ada luka tak? Ada cedera tak?” tanya Syazwan lagi, sedikit kalut. Dia menilik Farisya, bimbang gadis itu cedera.

Seraya itu Farisya menumbuk lengan Syazwan. Kemudian dia tersengih kecil.

“Kau salah tanya orang ni. Ni Black Arie la.”

Syazwan merengus. “Berlagak!”

Farisya hanya membuat muka selamba. Melihat wajah Syazwan yang risaukannya membuatkan dia geli hati. Selalunya lelaki itu sering berkata padan muka. Hari ini lain pula perangainya. Insaf la tu.

“Jom. Aku nak jumpa lelaki tu kejap.” Pantas Farisya mengatur langkah menuju ke arah Hakimi yang berdiri tidak jauh dari mereka.

“Weh, kau kena cerita kat aku dari mula tau!” ujar Syazwan geram lantas mengikuti langkah Farisya menuju ke arah lelaki tadi.

“Terima kasih untuk tadi. Minta maaf juga atas salah faham tu.” ujar Farisya ramah.

Hakimi hanya menggeleng kepala. Sejujurnya dia tidak membantu apa-apa pun. Kesemua lelaki itu tumpas kerana ketangkasan gadis itu. Dia hanya memberi keterangan kepada polis sebagai saksi yang berada di tempat kejadian.

“Lain kali jangan berjalan seorang diri waktu malam macam ni. Bahaya,” nasihat Hakimi lembut.

“Dia bukan takut pun bang. Saya pasti abang sendiri dah nampak depan mata macam mana si Arie ni kalahkan...” Kata-kata Syazwan terhenti apabila Farisya menyiku perutnya.

Farisya tersengih. “Apa-apa pun terima kasih banyak-banyak. Kami pergi dulu!” Selepas menuturkan kata-kata itu, Farisya terus menarik lengan baju Syazwan dan melangkah keluar dari balai polis itu dengan pantas.

Hakimi hanya tersenyum kecil sebelum melepaskan keluhan kecil. Malam ini adalah malam yang penuh dugaan. Tidak menyangka akan berdepan dengan semua itu. Dia hanya menghantar pandangan ke arah pasangan itu. Seakan-akan mengenali wajah si gadis itu tetapi dia tidak pasti di mana.

‘Ah, mungkin bayangan aku aje kot.’ Hakimi cuba menyedapkan hati. Tanpa berfikir panjang, dia juga mengatur keluar dari balai polis itu. Tubuhnya sudah keletihan. Dia mahu pulang dengan segera.

Farisya berjalan seperti tiada apa-apa yang berlaku. Releks dan tenang. Keadaan itu membuatkan Syazwan bengang. Mana tidaknya. Dia mati-mati risaukan gadis itu.

Syazwan merengus. “Lepas ni kalau kau buat perangai macamni, aku side kick kau sampai pengsan!” bebel Syazwan lagi. Masih tidak berpuas hati setelah apa yang telah berlaku. Apa dia nak jawab pada papa Farisya. Mati oh mati!

Farisya mengejek kata-kata itu. “Kau gila nak belasah perempuan?”

Syazwan membuat muka. “Kau tu luaran aje perempuan tapi dalaman kau lelaki. Aku syak kau ada tertukar roh dengan sesiapa ni.”

Serentak itu Farisya menghentikan langkah dan mengacu penumbuk ke arah Syazwan. Geram. Namun Syazwan hanya membuat muka selamba. Seakan-akan sudah bersedia dengan aksi tersebut.

“Dah. Jom aku hantar kau balik. Menjawab la dengan papa kau nanti.” Syazwan memantaskan langkahnya menuju ke arah kereta.

Mendengar kata-kata itu, Farisya mengigit bibir. Dia hampir terlupa tentang papanya. Sebentar lagi mesti dia disoal berbakul-bakul soalan oleh papanya. Paling penting papanya mesti bising kerana perangai degilnya itu. Farisya mengeluh. Namun apa yang penting dia sudah berjaya membawa tiga lelaki itu ke balai polis sekaligus berjaya juga menyelamatkan diri.

Untuk seketika Farisya terdiam sendiri memikirkan lelakiyang bersamanya tadi. Dia tidak sempat bertanyakan tentang lelaki itu. Cuma yangdia tahu, lelaki itu adalah saksi kejadiannya. Ada sesuatu yang menarikminatnya. Tapi entahlah. Mungkin sangkaannya sahaja.

“Aku rasa macam pernah nampak mamat tu. Tapi kat mana ye...” desis Farisya sendiri. Sepertinya wajah itu sudah biasa dilihat tetapi dia tidak pasti di mana. Entah kenapa malam itu otaknya tidak dapat berfungsi dengan baik.

“Wei pendek! Kau termenung apa? Teringin nak tidur kat balai polis ke?” laung Syazwan dari dalam kereta. Wajahnya monyok sahaja. Serupa perempuan aje perangai.

Laju langkah Farisya masuk ke dalam kereta. Dia mengacah penumbuk ke arah Syawan. “Bising la kau, sengal!”

 

 

 

FARISYA tersengih kecil setelah menyelesaikan ceritanya tentang apa yang berlaku. Langsung tiada riak wajah bersalah. Padahal orang sekelilingnya merisaukan keselamatannya.

Syazwan pula semenjak melangkah masuk ke dalam rumah, dia hanya meminta maaf kepada Dato’ Kamal kerana membiarkan Farisya bersendirian. Sememangnya dia bersalah dalam hal itu. Biarpun sebenarnya Farisya yang berkeras mahu pulang sendirian.

“Papa, Risy okey la. Wan ni yang over macam teruk sangat,” sambung Farisya lagi. Suasana ketika itu sunyi sepi selepas diceritakan kejadian itu. Hanya dia sahaja yang bersuara seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

“Risy...” Dato’ Kamal akhirnya bersuara setelah lama berdiam diri.

Farisya menayang gigi. Namun dia tidak bersuara. Hanya menunggu kata-kata papanya. Dia yakin papanya terlalu marah.

“Lepas ni jangan buat lagi,” sambung Dato’ Kamal, tenang. Namun siapa yang tahu perasaan lelaki di sebalik wajah tenang itu. Mungkin luarannya tenang tapi hatinya membara.

“Yup! Okey pa!” Farisya mengangkat tangan gaya tabik hormat.

Syazwan di sebelah hanya membisu. Diam tidak berkutik. Mungkin kerana masih diasak rasa bersalah. Mujurlah juga Farisya seorang pemegang tali pinggang hitam taekwondo. Kalau tidak entah apa yang terjadi pada gadis itu. Lagi parah dia hendak menjawab dengan Dato’ Kamal.

“Hah Syazwan.”

Panggilan dari lelaki itu memaksa Syazwan mendongak.

Uncle tahu bukan salah kamu. Uncle tak marahkan kamu. Tapi lepas ni hati-hati ya,” sambung Dato’ Kamal lagi. Dia tidak menyalahkan Syazwan. Mungkin kerana sudah mengerti dengan kelakuan anak gadisnya yang sangat degil itu.

“Baik uncle.” Syazwan mengangguk faham.

Dato’ Kamal melepaskan keluhan berat. Dipandang wajah bersahaja anak gadisnya itu. Langsung tidak memikirkan kesan yang bakal berlaku akibat daripada sikap penting diri dan keras kepala. Dia tahu Farisya sukar untuk dipaksa dan Farisya juga tidak suka dirinya diarah. Putih yang dikata maka putihlah pilihannya. Tiada siapa mampu mengubahnya.

Namun dia hanya mengharapkan Farisya mengambil kejadian ini sebagai pengajaran akibat perbuatannya. Moga-moga Farisya tidak mengulanginya lagi.

"Err uncle, kalau tak ada apa-apa, saya minta diri dulu." Sopan Syazwan meminta diri pada Dato' Kamal.

Dia yakin dua beranak itu masih ada perkara yang hendak diselesaikan. Dia tahu Dato' Kamal pasti menahan perasaan cumanya tidak ditunjukkan kepadanya. Masakan dia mahu memarahi satu-satu anak gadisnya di hadapan orang lain.

Dato' Kamal bingkas bangun. Begitu juga dengan Farisya. Mereka menghantar Syazwan hingga ke pintu pagar. Sehinggalah kereta Vios lelaki itu hilang dari pandangan.

"Yahh!" Farisya mengeliat kecil. Belum sempat dia melangkah masuk ke dalam rumah, papanya memanggil namanya.

Langkah Farisya terhenti. Dia berpaling ke arah Dato' Kamal. Bibirnya mengukir senyuman.

"Risy minta maaf kalau Risy buat papa risau."

Seakan-akan mengetahui apa yang bermain di minda papanya, dia bersuara lembut.

Dato' Kamal mendekati anaknya lalu mengusap lembut rambut itu. Kemudian dia melabuhkan tangannya di kedua bahu Farisya.

"Risy... kat dunia ni papa hanya ada Risy sorang aje. Sedangkan terluka pun papa risau, apatah lagi kejadian macam ni," ujar Dato' Kamal. Wajahnya yang tenang tadi kini bertukar sebak. Dia begitu risau kalau ada sesuatu yang berlaku pada anak gadisnya itu. Dia hanya ada Farisya sahaja di dunia itu. Anaknya penguat semangat.

Farisya mengukir senyuman.

"Ya pa. Risy minta maaf okey?" Farisya memeluk tubuh papanya itu.

Dato' Kamal mengusap lembut kepala Farisya. Manja Farisya itu meredakan hatinya. Farisya pandai memujuknya.

Farisya merenggangkan pelukan itu. Dia tersengih memandang papanya.

"Yang penting kan pa, Risy dapat belasah tiga lelak itu sampai lunyai!" ujar Farisya ceria sekaligus cuba menceriakan suasana yang bertukar suram itu. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu papanya terlalu memikirkan hal itu dengan lebih serius. Lagipun kejadian itu sudah pun berlalu. Dia juga sudah selamat. Paling penting ketiga-tiga lelaki itu sudah pun masuk ke dalam lokap.

Tergeleng kepala Dato' Kamal ketika itu. Si pemilik tali pinggang hitam itu sememangnya tidak akan pernah melepaskan orang sebegitu hidup-hidup. Dia cuba membayangkan keadaan ketiga-tiga lelaki itu. Bagaimanalah keadaan mereka.

"Salah orang la kalau nak cari pasal," sambung Farisya lagi.

Sepanjang mereka berjalan masuk ke dalam rumah, mulut Farisya tidak henti-henti bercerita tentang kejadian itu.

Mengharapkan perasaan papanya yang terlalu merisaukan dirinya menjadi lega selepas menceritakan hal itu.

 

 

 

HAKIMI menghela nafas berat. Bayangan gadis itu masih bermain di fikirannya. Dia cuba mengingati sesuatu namun otaknya seakan-akan tidak memberi kerjasama.

Dia yakin dia pernah bertemu dengan gadis itu. Tetapi dia tidak pasti di mana. Sedari tadi dia memaksa untuk memikirkan semua itu tetapi jawapannya tetap negatif.

Seni pertahanan diri gadis itu membuatkan dia terkedu sendiri. Sememangnya gadis itu adalah gadis luar biasa. Gayanya dan cara selambanya. Bagaimana si gadis kecil itu menjatuhkan ketiga-tiga lelaki itu tanpa belas kasihan. Bagaimana sikap selamba gadis itu berada di balai polis dan menceritakan hal yang sebenar.

Baginya mustahil untuk gadis sekecil itu berlawan dengan lelaki. Apatah lagi berkumpulan. Tetapi gadis itu membuktikan segalanya.

Sebaik sahaja polis tiba di tempat kejadian, dia hanya mengekori sehingga ke balai polis sebagai saksi kejadian. Dia hanya menceritakan apa yang terjadi. Ketika dia juga disalah erti sebagai geng mereka. Gadis itu hanya tersengih. Langsung tidak menunjukkan rasa bersalah kerana melabelnya sebegitu.

Kemudian dia hanya mendengar penerangan dari gadis itu. Dipandang wajah gadis itu. Putih bersih. Tetapi perangainya terlalu kasar. Ketika menceritakan kejadian itu, wajah gadis itu penuh emosi dan reaksi.

Sesungguhnya gadis itu penuh misteri. Caranya, sikapnya dan segalanya. Sejurus itu dia tersedar sendiri. Pantas dia menggeleng kepala.

'Dah kenapa pula aku fikir pasal dia. Dia cuma budak sekolah yang ada sikap yang misteri.' Hakimi cuba menyedapkan hatinya. Sekali lagi Hakimi menghela nafas berat.

Tatkala itu dia teringat semula kejadian pagi tadi. Kejadian perebutan air kotak kiwi! Dan pelanggaran semalam!

Mata Hakimi terbutang. Seakan-akan tidak percaya apa yang berlaku. Bagaimana dia boleh terlupa semua itu sedangkan setiap hari mereka bertemu?

Dunia ini menakutkan!

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni