Home Novel Cinta Seteguh Karang
Seteguh Karang
Wann Shazni
3/1/2019 21:15:57
71,307
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 18

LANGKAHNYA penuh bergaya masuk ke dalam bangunan megah itu. Bibirnya terukir senyuman tanpa henti kepada staf yang berselisih dengannya. Dia juga tidak sombong untuk membalas sapaan mereka.

Sejak dia muncul dalam majlis ulangtahun syarikat itu, terasa dirinya semakin dikenali. Biarpun pada mulanya dia agak tidak selesa dengan semua itu tetapi semakin lama dia terbiasa dengan situasi begitu.

Dia kerap datang ke syarikat setiap kali mempunyai masa lapang. Melawat papa kononnya. Kerana dia tahu papanya sibuk dan adakalanya mereka tidak sempat berbual di rumah. Jadi waktu lapangnya itulah dia akan mengisi lapang untuk bersama papanya biarpun papanya sibuk bekerja.

"Cik Nadia!" Farisya melambai manja ke arah wanita yang bernama Nadia itu. Bibirnya tersenyum manis. Terasa mereka mula rapat semenjak bertemu di majlis hari itu. Wanita itu adalah setiausaha syarikat Berjaya Architects Sdn Bhd, orang yang paling papanya percaya dalam syarikat.

Nadia tersenyum lalu bingkas bangun dari tempat duduknya, menyambut kedatangan bakal pewaris syarikat itu dengan ramah.

"Cik Farisya, dato' ada kat dalam tapi..." Teragak-agak Nadia hendak bersuara.

Dahi Farisya berkerut. "Tapi apa?"

"Dia ada lunch meeting kejap lagi," jawab Nadia perlahan. Dia tahu Farisya datang untuk keluar makan tengah hari bersama dengan Dato' Kamal.

"Oh... saya baru ingat nak buat kejutan. Saya pula yang terkejut," ujar Farisya tersipu-sipu malu. Selalunya dia akan menelefon papanya ataupun Nadia untuk memberitahu kedatangannya. Tetapi hari ini sengaja dia mahu membuat kejutan. Rupanya salah timing daa...

Nadia tersenyum. Sejak mengenali anak Dato' Kamal itu, dia dapat merasakan kemesraan pada gadis itu biarpun mereka baru mengenali. Baginya Farisya bukan seperti gadis kaya yang lain. Farisya seorang yang rendah diri dan bergaul dengan sesiapapun walaupun hanya cleaner di syarikat itu. Kemesraan itu membuatkan mereka senang hati dan sentiasa menerima kehadiran gadis itu bersama senyuman manis.

Benarlah. Seperti mana Dato' Kamal melayan pekerjanya sama rata, begitu juga dengan anaknya. Anak dan bapa, sama-sama seorang yang merendah diri.

"Risy?"

Sebaik sahaja pintu bilik dibuka, Dato' Kamal menegur apabila melihat Farisya berada di meja setiausahanya.

"Hai papa!" sapa Farisya sambil tersengih-sengih.

Kemudian matanya menangkap satu batang tubuh berbaju kemeja coklat yang berdiri di belakang papanya. Matanya terbuntang.

Haiya! Jumpa lagi mamat ni!

Dia dapat melihat wajah lelaki itu sedikit terkejut kemudian melemparkan senyuman kepadanya.

"Hah Risy, baguslah Risy datang hari ni. Papa ingat Risy sibuk hari ni," ujar Dato' Kamal.

Farisya tersengih paksa.

'Apa yang bagusnya pa. Risy datang nak ajak papa lunch. Papa ada lunch meeting pulak. Mamat tu pulak ada kat belakang. Malang namanya tu,' desis hati Farisya.

Kerap pula la dia jumpa Hakimi tu. Bukan apa, sejak kejadian waktu majlis itu dia jadi malu. Mengetahui status lelaki itu dan juga merupakan anak kawan papanya adalah sesuatu yang mengejutkan. Paling mengejutkan, dulu dia pernah bertenggek dekat lelaki itu. Nasib la waktu tu kecil lagi. Tak adalah dia nak rasa malu sangat.

"Jom, ikut papa lunch dengan Hakimi. Sekali sekala Risy boleh belajar untuk handle syarikat." Dato' Kamal mengajak anak gadisnya. Bukan senang ada peluang sebegitu. Sebolehnya dia mahu Farisya mempelajarinya sedikit demi sedikit tentang syarikat dan biasakan diri dengan persekitaran.

Farisya tersengih paksa. Penuh serba salah.

"Err tak apa la pa. Papa ada meeting projek kan. Takkan Risy nak ganggu pula," ujar Farisya memberi alasan. Seboleh-bolehnya dia mahu mengelak daripada berjumpa dengan Hakimi.

Pertama, kerana kejadian pelanggaran dan dia memaki lelaki itu. Ah! Sungguh, adabnya hilang ke laut. Kedua, perebutan air kotak kiwi yang mengalahkan budak tadika membuatkan dia malu sendiri. Ah! Sungguh, kalau boleh dia mahu melarikan diri sekarang ini. Dan kejadian malam itu. Hampir menyangka lelaki itu terlibat sekali tetapi sebenarnya ingin menyelamatkannya. Kalau bukan kerana lelaki itu, pasti dia sudah disalah ertikan sebagai pembuli jalanan. Yang paling memalukan, ketika majlis yang lepas, dia menyangka Syazwan yang menegurnya tetapi rupanya Hakimi.

Argh! Kenapalah setiap kali jumpa kau, aku rasa macam malapetaka aje! Desis Farisya dalam hati.

Kalau sekali sahaja bertemu, dia tidak hairan sangat. Ini sudah lebih sekali mereka bertemu dengan macam-macam kejadian yang berlaku. Dia pula masih dengan sikap selamba tanpa mempedulikan perbezaaan umur mereka. Kononnya yakin pertemuan itu sekadar kebetulan. Harap-harap tak terserempak lagi. Tapi menjadi mimpi ngeri buatnya apabila mengetahui mereka sudah kenal sejak kecil. Cumanya dia masih lagi budak kecil yang tidak tahu apa-apa. Bermakna selepas ini mereka akan terus terserempak sesama sendiri tidak kira jauh mana pun dia berlari.

"Memang la. Tapi projek yang papa nak bincang ni ada kait dengan syarikat Astana Architects Sdn Bhd, syarikat Tan Sri Faris. Alang-alang tu jom la lunch sekali. Kita bukan orang luar. Risy pun kena belajar handle projek nanti," ujar Dato' Kamal lagi. Masih tidak jemu mengulangi ayat yang sama kepada anak gadisnya.

Baginya tiada salah kalau Farisya turut serta dalam perbincangan itu. Kerana Farisya adalah pewarisnya. Suatu hari nanti Farisya akan handle syarikat itu pula. Sudah tentulah dia perlu mengajar Farisya tentang selok belok syarikat.

Farisya tersengih lagi. Nak menjawab, macam tak hormat. Karang nampak sangat macam dia nak melarikan diri. Dia hanya mengangguk. Terpaksa merelakan diri walaupun sebenarnya diri tak merelakannya.

Nadia yang berada di meja tersenyum kecil. Melihat wajah Farisya sebegitu, sudah pastinya 'dating' bersama Dato' Kamal kali ini terasa janggal kerana kehadiran orang ketiga.

"Nadia, petang ni ada apa lagi?" Pertanyaan itu beralih kepada setiausahanya.

Sepantas kilat Nadia membuka buku dan membaca jadual harian Dato' Kamal. "Dato' cuma ada perjumpaan dengan Tan Sri Faris sahaja," ujarnya.

Dato' Kamal mengangguk. Dia sudah diberitahu oleh Hakimi sendiri bahawa Tan Sri Faris ingin bertemu dengannya selepas pertemuan dengan anaknya, Hakimi.

"Kalau ada apa-apa, terus call saya," ujar Dato' Kamal, mengakhiri perbualan itu. Nadia mengangguk tanda faham.

Mereka melangkah keluar dari ruangan itu. Farisya sedikit ketinggalan ke belakang kerana Dato' Kamal sibuk berbual dengan Hakimi biarpun sedang berjalan. Sehinggalah masuk ke dalam lif sekalipun, mereka masih tidak berhenti bercakap.

Farisya sekadar menjadi peneman bisu di situ. Dia tidak tahu hendak membuat apa. Ikutkan hati memang dia tidak mahu mengikuti papanya. Tapi apakan daya, papanya sudah menggunakan kuasa veto sebagai CEO syarikat.

"Hah Risy, nak pergi mana tu?" tanya Dato' Kamal, menegur Farisya apabila melihat gadis itu melangkah berlainan arah.

Langkah Farisya terhenti. "Skuter?" Jari telunjuknya menunjuk ke arah luar.

"Apa pula skuternya. Naik kereta la. Nanti Pak Mat hantar Risy ke syarikat balik," ujar Dato' Kamal lagi.

Farisya tersengih. Lurus pulak dia hari ni.

Hakimi di sebelah Dato' Kamal hanya tersenyum kecil. Geli hati barangkali.




SUASANA di D' Wan Santai ketika ini penuh seperti biasa. Lauk pauk yang terhidang untuk makanan tengah hari sungguh menyelerakan dan rambang mata untuk membuat pilihan. Masakan yang sememangnya enak itu membuatkan pelanggan semakin hari semakin ramai. Ada juga yang sudah menjadi pelanggan tetap.

"Hah Wan, termenung apa tu?" tegur Encik Wan Syahir. Pelik pula melihat Syazwan termenung itu. Jasad ada di situ tetapi rohnya melayang entah ke mana.

Syazwan tersedar apabila abahnya menegurnya sebegitu. Dia tersenyum kecil.

"Mana ada abah," dalih Syazwan.

Encik Wan Syahir membuat muka. "Iyelah tu..."

Syazwan tersengih. Matanya terus memandang pelanggan yang menenuhi restoran milik abahnya itu. Waktu tengah hari sebegitu memang tidak menang tangan dibuatnya.

Sengaja dia menjenguk ke restoran D' Wan Santai memandangkan kelas petangnya batal kerana lecturer cuti sakit. Disebabkan masing-masing ada hal sendiri, dia mengambil keputusan untuk melepak di situ.

"Arie mana?" tanya Encik Wan Syahir.

"Kat syarikat. Bakal pewaris Dato' Kamal kan dah mula melangkah ke hadapan. Kiranya sinar cahaya dah kembali la tu," ujar Syazwan selamba membuatkan abahnya tertawa kecil.

"Wan ni." Tergeleng kepala Encik Wan Syahir ketika itu.

Padahal dia tahu hati anak teruna tunggalnya itu lega selepas melihat perubahan Farisya. Kalau tidak ada aje benda yang nak dibebelkan. Arie degil la. Arie keras kepala la. Bila segalanya dah selesai, hilang terus bebelan itu.

Kalaulah mereka tidak menceritakan hal sebenar kepada Syazwan, barangkali tahun ini Farisya masih tidak menjejakkan kaki ke situ. Kalaulah lebih awal mereka menceritakan hal itu, pasti sudah lama hal itu selesai. Namun dia merasa lega kerana segalanya sudah kembali seperti biasa. Syazwan dan Farisya terutamanya.

Tangan Syazwan terus melakar di atas buku nota kecilnya. Mencari idea untuk assignment dan projek barangkali. Suasana sibuk di situ langsung tidak menganggu fokusnya kerana dia kini umpama duduk dalam dunia sendiri yang hanya dia sahaja di situ.

Encik Wan Syahir menggeleng kepala. Entah apa yang menganggu fikiran Syazwan ketika itu. Takkanlah masih bergaduh dengan Farisya lagi. Setahunya kalau bergaduh pun gaduh-gaduh manja sahaja. Kalau gaduh teruk tu memang serius gayanya.

"Wan..."

"Ye abah..." Tangan Syazwan masih laju melakar di dalam bukunya.

"Tak nak kembali ke gelanggang ke?"

Pertanyaan itu membuatkan lakaran Syazwan terhenti seketika. Wajahnya serta merta berubah. Dia terkedu sendiri. Tidak menyangka abahnya akan bertanyakan soalan sebegitu di waktu yang begitu sibuk.

Encik Wan Syahir hanya memandang dan menunggu balasan daripada anaknya tetapi ia tetap begitu. Soalannya dibalas sepi.

"Masa kecil-kecil dulu Wan selalu cakap kat abah, Wan nak menang pingat banyak-banyak, nak naik pentas sama-sama dengan Arie dan pergi sampai ke peringkat tertinggi sama-sama..." sambung Encik Wan Syahir, mengingati kembali kenangan lalu.

Syazwan membisu. Dia tahu. Dan dia sendiri berjanji dengan Farisya. Tetapi kini dia tidak mampu menunaikan janji itu. Abah dan ibunya adalah penguat semangat ketika dia berlawan. Farisya adalah rakan seperjuangan serta penguat semangat untuk menang bersama-sama. Dia ingat semua itu. Malah dia dirindukan waktu sebegitu.

Syazwan melemparkan senyuman kecil kepada abahnya.

"Wan busy dengan assignment, projek lagi. Tak ada masa nak pergi latihan. Arie tak apa la. Dia bila-bila dia boleh berlatih. Dia rasa nak, dia pergi. Lagipun abah bukan tak tahu, kalau berlatih aje Arie mesti nak Wan yang jadi lawan dia. Dia kalau berlatih pun dah macam masuk pertandingan. Langsung tak bagi peluang," ujar Syazwan panjang lebar.

Dia masih ingat kisah lalu mereka. Farisya hanya memilih dia sebagai lawan ketika berlatih. Kerana dia menjadi lawan, Farisya tidak pernah memberi peluang kepadanya. Sekasar dan seboleh yang mungkin Farisya gunakan tenaganya untuk kalahkannya tetapi Farisya tetap nombor dua. Farisya tetap tidak mampu mengalahkannya walau dengan apa taktik sekalipun.

Zaman mereka bersama membuatkan dia tersenyum kecil. Berlatih bersama, berjuang bersama dan menang bersama. Terlalu banyak kenangan tercipta. Dia bahagia. Dia gembira. Tetapi itu hanya tinggal kenangan. Dia tinggalkan dunia taekwondo. Untuk fokus pelajarannya. Ya, untuk pelajarannya.

Untuk seketika Syazwan melepaskan keluhan kecil. Encik Wan Syahir menyedari keluhan itu lantas menepuk lembut bahu anak terunanya.

"Wan... abah tahu alasan yang Wan bagi tu cuma satu alasan. Abah tahu Wan ada alasan lain kenapa Wan berhenti berlatih." Lembut lelaki itu bersuara. Seakan-akan memahami apa yang bermain di fikiran anak lelakinya itu.

Syazwan membisu. Tiada balasan untuk itu.

"Abah rasa tak terlambat lagi kalau Wan mula balik. Kejar cita-cita dengan Arie," sambungnya lagi. Ditepuk bahu Syazwan sekali lagi.

Syazwan mengangkat wajah dan memandang abahnya. Dia menggeleng kepala dan melemparkan senyuman kelat.

"Tak nak la abah. Wan ada banyak benda nak buat. Fokus pelajaran Wan dulu. Lagipun ni lebih penting..." 

Belum sempat Syazwan menghabiskan kata-katanya, Encik Wan Syahir mencelah pantas.

"Atau Wan masih fikirkan apa yang berlaku waktu tu?"

Syazwan terkedu.

Reaksi Syazwan menunjukkan segalanya. Encik Wan Syahir mengerti.

"Wan..."

"Tu kisah lalu abah. Wan berhenti berlatih sebab nak fokus pelajaran aje. Tu aje sebab kenapa Wan nekad untuk berhenti berlatih," kata Syazwan pantas.

Tatkala itu Encik Wan Syahir tidak mampu berkata apa-apa. Kerana dia tahu kejadian itu masih bermain di fikiran Syazwan. Cumanya Syazwan tidak suka meluahkan perasaan sebenarnya. Lelaki itu lebih suka menyimpan sendiri.

Dia tidak mahu memaksa. Cuma dia rindukan saat-saat Syazwan dalam dunia taekwondo. Melihat Syazwan berjaya, dia tumpang gembira. Kerana dia yakin taekwondo adalah minat Syazwan dari kecil. Hanya kerana melihat satu perlawan di televisyen, terus menjadi minat sehinggalah berjaya menjadi juara dan sentiasa berada di tempat pertama. Tetapi kini, nama Syazwan tenggelam. Dibawa angin dan berlalu pergi. Sepi.

Sama seperti perasaan Syazwan pada seni pertahanan taekwondo. Sepi. Sunyi. Tanpa kata. Tanpa suara. Terus lenyap tanpa sebab yang jelas. Menyendiri tanpa siapa pun tahu kisah disebaliknya.

Dia tidak tahu adakah dia masih boleh melihat Syazwan berdiri di gelanggang seperti dahulu. Dia tidak mahu memaksa. Kerana dia tahu, kesan daripada kejadian itu mendalam bagi Syazwan.

Biarlah. Asalkan anaknya bahagia.

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni