Home Novel Cinta Takdir Yang Terpilih
Takdir Yang Terpilih
Wann Shazni
25/12/2019 20:51:55
23,975
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11

KAKI Arisa terkaku sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam biliknya. Sebentar tadi dia naik ke bilik, Kelvin tidak menyatakan apa-apa pun. Tiba-tiba ada sudah ada sang tubuh yang dikenali berada di dalam biliknya, sedang menghadap padangannya ke beranda.

Mendengar pintu dibuka, lelaki itu terus berpaling. “Baru balik?” 

“Emm.” Arisa melangkah masuk. Dia meletakkan beg galasnya di atas meja belajar, berdekatan dengan tempat abangnya berdiri. Dia masih tidak memandang wajah lelaki itu.

Dua bulan yang lepas, Nazrul tidak dapat datang ke Malaysia kerana ada projek yang perlu diselesaikan di Perancis. Jadi selama dua bulan itu hidupnya terasa begitu tenang sekali tanpa kehadiran lelaki itu. Namun secara tiba-tiba lelaki itu muncul semula.

“Rie,” panggil Nazrul.

“Rie letih, Rie nak rehat,” pintas Arisa pendek. 

Sebolehnya dia mahu mengelakkan diri dari lelaki itu. Mungkin kerana abangnya sudah tahu dia akan mengelak, jadi abangnya menunggunya di dalam bilik. Dia takkan dapat melarikan diri ke mana-mana kerana hanya bilik sahaja tempat untuk dia menyendiri.

“Sejak bila Rie pandai ponteng kelas?”

Suara tegas itu membuatkan tubuh Arisa kaku. Dia hampir lupa tentang itu. Sedangkan dia tahu lambat laun Nazrul akan tahu juga. Sepatutnya dia perlu bersedia bila-bila masa sahaja. Tetapi dek tembakkan secara mengejut, fikirannya terus blank untuk seketika.

“Abang tanya sejak bila Rie dah berani ponteng kelas,” ulang Nazrul lagi, masih dengan nada tegasnya.

“Arisa!”

Tengkingan itu membuatkan tubuh Arisa tersentak.

Nazrul menghela nafas. Ikutkan hati dia tidak mahu menggunakan kekerasan tetapi melihat Arisa hanya berdiam diri tanpa menjawab pertanyaannya membuatkan dia geram.

“Rie...” Lembut Nazrul memanggil adiknya. Dia merapati Arisa.

“Kenapa? Abang nak bawa Rie balik ke?” tanya Arisa, dingin. Masih membelakangkan diri dari lelaki itu.

Nazrul menghela nafas. Kenapa Arisa suka mencabar kesabarannya?

“Dua bulan abang tak datang sini, Rie dah cuba buat yang bukan-bukan. Abang bagi peluang untuk Rie perbaiki diri. Abang bagi peluang untuk Rie buat apa yang Rie nak. Tapi kenapa Rie masih nak cabar kesabaran abang?” tanya Nazrul lagi.

Masih jelas di telinganya tatkala Kelvin memberitahunya tentang berita yang mengejutkan itu. Dia kenal sikap adiknya. Arisa tidak mengamuk sebegitu sehingga menghancurkan barang-barang. Hanya kerana dia melarang Arisa menziarahi kubur Adriz, Arisa mengamuk sehingga begitu sekali.

Ikutkan hati waktu itu juga dia ingin terbang ke Malaysia. Tetapi hari esoknya dia ada urusan penting. Kesibukkannya memakan masa dua bulan menyebabkan dia tidak sempat untuk bertanya khabar tentang adiknya. Dia hanya mampu berpesan pada Kelvin agar menjaga Arisa sebaik mungkin.

Dia cuba bersangka baik, mungkin adiknya terlalu tertekan. Dia cuba menahan perasaan untuk tidak bercakap dengan Arisa. Tetapi beberapa hari berikut, dia mendapat panggilan dari akademi yang menyatakan Arisa tidak masuk ke kelas seharian. Apabila ditanya pada Kelvin, lelaki itu menghantar Arisa ke akademi seperti biasa. Jadi macam mana pula dikatakan Arisa tidak hadir?

Dia jadi bimbang. Dia mengharapkan Arisa tidak pergi ziarah kubur Adriz ketika itu. Namun mujur apa yang dilakukan Arisa tidak seperti yang dia bayangkan. Jadi dia cuba menahan amarahnya sehingga dia dapat kembali dan berhadapan dengan Arisa sendiri.

Arisa membisu.

“Tak boleh ke kita jadi macam dulu, Rie? Abang sayangkan Rie. Apa yang abang buat semuanya untuk kebaikan Rie...” ujar Nazrul perlahan.

Kekerasan membuatkan Arisa berubah. Dia tidak mahu adiknya jadi sepertinya. Arisa bukan begitu. Dia takkan benarkan Arisa menjadi seperti itu.

Arisa ingin berlalu namun tangannya dicapai lembut oleh lelaki itu.

“Rie...”

Arisa menarik lembut tangannya dan keluar dari bilik itu. Dia tidak betah melihat situasi itu. Angin Nazrul sukar dijangka. Sekejap panas, sekejap sejuk. Tidak mustahil dalam sejuk itu tiba-tiba Nazrul boleh naik angin. Tidak mustahil juga dia akan dikasari oleh lelaki itu lagi.

Nazrul hanya mampu berdiam diri. Menghantar pandangan kosong ke arah Arisa yang menghilang itu. Matanya dipejam rapat.

Apa lagi dia perlu buat untuk memperbaiki hubungan mereka? Adakah sudah tiada ruang untuk mereka kembali seperti dahulu?




ARISA menikmati suasana hujan itu di tepi tingkap yang terbuka sedikit. Angin menyapa lembut ke wajahnya. Sejuk dan dingin. Seperti biasa, dia akan datang melepak di bilik Majlis Perwakilan Pelajar. Menurut Ashraf, hari ini tiada perjumpaan. Jadi bolehlah dia berlama-lama di situ.

Memandangkan Nazrul berada di rumah, lebih baik dia pulang lewat daripada menghadap angin lelaki itu. Mungkin semalam mood abangnya baik. Tetapi tidak mustahil hari ini moodnya bertukar ribut taufan. 

Arisa leka melihat hujan yang turun sederhana. Matanya dipejam, menikmati bau hujan yang turun membasahi bumi Malaysia.

Suatu ketika dahulu dia menikmati hujan dengan Adriz. Mereka duduk di satu sudut beranda yang berbumbung sambil memerhati langit. Adakalanya mereka menyuakan tangan untuk merasai kesejukan air hujan itu. Ditambahkan lagi dengan sikap nakalnya, dia memercikkan air hujan itu ke muka Adriz. Akhirnya mereka sama-sama bermandikan hujan tanpa sedar.

Arisa tersenyum sendirian. Kenangan yang cukup menggembirakan. Dia masih ingat Nazrul sudah berdiri di belakang sambil mencekak pinggang melihat mereka berdua sudah kebasahan. Panjang bebelan abang sulungnya waktu itu. Tidak lama selepas itu muncul pula abang keduanya, Izwan dengan tiba-tiba menolak Nazrul keluar dari kawasan berbumbung itu. Nazrul pula mula dengan misi membalas dendamnya, lalu menarik Izwan untuk turut serta bermandikan hujan. Akhirnya mereka berempat sama-sama bermandikan air hujan.

Waktu itu mereka ketawa gembira. Tiada wajah bengis, tiada suara yang tinggi. Yang ada hanyalah gelak ketawa dan wajah yang ceria.

Tetapi itu hanyalah sekadar kenangan manis yang tinggal. Segalanya sudah berubah. Yang berempat tinggal bertiga. Tetapi akhirnya dia juga yang bersendirian.

Senyuman pahit terukir di bibirnya. Alangkah indahnya andai dia dapat kembali seperti dahulu.

“Rie.”

Arisa tersedar apabila terdengar namanya dipanggil. Dia terkedu melihat Kheiry yang sudah berdiri di sebelahnya. Tetapi lelaki itu hanya memandang ke luar tingkap.

“Tak dengar pun kau masuk.” Arisa sekadar berbahasa.

Tanpa menjawab soalan itu, Kheiry terus menghulurkan sesuatu pada Arisa.

Dahi Arisa berkerut memandang huluran itu. Satu kotak air epal di tangan Kheiry dipandang. “Hah?”

“Nak ke tak nak?” tanya Kheiry dengan suara yang tegas namun masih tidak memandang wajah Arisa. Matanya terus merenung luar tingkap.

‘Apa masalah mamat ni sebenarnya?’ desis Arisa sendiri. Dah la datang dengan tiba-tiba, lepas tu nak marah-marah pula. Takkan datang bulan kot!

“Thank.” Perlahan Arisa mencapai air kotak itu. Macam pelik pula bila Kheiry tiba-tiba hulurkan minuman kepadanya.

“Kenapa kau tak balik lagi?” tanya Arisa. Dia membelakangkan dirinya dengan tingkap. Pandangannya kini hanya menghadap ke dalam bilik itu. Dia membuka plastik straw lalu dicucuk ke dalam lubang kotak itu. Air epal itu disedut perlahan.

“Ada kerja yang perlu disiapkan.” Ringkas jawapan Kheiry. Kedudukannya masih sama, masih menghadap tingkap.

Arisa hanya mengangguk. Tidak berniat hendak bertanya banyak, bimbang dikatakan penyibuk pula. Bukannya dia tidak tahu Kheiry tidak suka ditanya berkali-kali.

“Bilik ni bukan untuk melepak.” Suara Kheiry memecah ruang kesunyian di antara mereka.

“Ye aku tahu,” balas Arisa.

Kheiry menjeling sekilas. “Aku tak pernah jumpa perempuan macam kau yang sanggup buat kerja gila.”

Arisa ketawa. “Sebab kau tak pernah jumpa la, kau jadi gila kan?”

Giliran Kheiry pula ketawa. Dia tidak lupa pertemuan pertama mereka. Memang benar-benar gila.

“Aku tengok kau pelik la Eiry,” ujar Arisa lagi.

“Apasal?” Dahi Kheiry berkerut. Apa yang peliknya?

“Kenapa kau tiba-tiba jadi baik?” Lurus Arisa bertanya.

“Habis tu selama ni aku jahat la?” Kheiry menjeling tajam.

Arisa tersengih tatkala melihat jelingan tajam itu. “Tak adalah. Maksud aku sebelum ni kalau kau nampak aku aje, kau akan automatik akan jadi batu. Tak pun mesti gunung berapi kau meletus.”

“Perempuan gila.” Kheiry mengalihkan tubuhnya. Dia menyandar tubuhnya di tingkap. Posisinya sama seperti Arisa.

Arisa hanya mempamerkan wajah selambanya. Gila pun gila la. Memang dia suka buat kerja gila pun.

“First time aku jumpa kau, aku ingatkan kau lelaki,” celah Kheiry, cuba mengembalikan memori ngeri tatkala pertama kali bertemu dengan gadis itu.

Arisa hampir tersembur air kotak epalnya selepas mendengar pengakuan itu. “Aku ingat budak genius macam kau tahu perbezaan.” Arisa ketawa terbahak-bahak.

Kheiry menjeling tajam. “Tak ada kena mengena dengan genius atau tidak. Hari pertama kau datang akademi pakai uniform lelaki, takkan aku nak kata perempuan.”

Arisa menggemam mulutnya menahan tawa. Tak boleh salahkan lelaki itu juga. Sebab sewaktu dia memperkenalkan diri di hadapan kelas pun, muka masing-masing pucat lesi macam nampak hantu. Tinggal tak ada yang pengsan aje.

Kheiry menjeling meluat. Dia tahu gadis itu cuba menahan tawa. Gadis itu sememangnya membawa mimpi ngeri dalam hidupnya.

“Kau tak takut juling ke? Asyik menjeling aje dari tadi.” Sengaja Arisa menambahkan kepanasan di hati Kheiry.

“Diam! Dah la, aku nak balik,” bentak Kheiry lantas berlalu dari situ.

Arisa ketawa terkekek-kekek. “Lawak la kau ni, Eiry.”

Langkah Kheiry terhenti. Dia memandang Arisa. Bibir gadis itu tersenyum kecil sebelum mengalihkan semula pandangan ke tingkap. Arisa sudah leka dengan dunianya. Sama seperti waktu dia melangkah masuk ke dalam bilik itu sebentar tadi.

Perlahan kakinya melangkah keluar dari bilik itu. Pintu ditutup perlahan. Dia tidak tahu apa yang ada di fikiran Arisa ketika ini. Sedihkah? Gembirakah? Adakalanya dia melihat Arisa tersenyum sendiri. Adakalanya dia melihat Arisa termenung lama.

Sukar untuk dia jangka perasaan sebenar Arisa.




TANGAN Arisa ligat melakar di kanvas putih itu. Hari yang hujan dan sejuk itu membuatkan semangatnya berkobar-kobar. Idea di dalam fikirannya cuba dikeluarkan. Hujan mengingatkan dia pada kenangan lalu yang menggembirakan. Namun hujan juga yang meragut kegembiraannya. Senyuman dan tangisan, dia lalui perasaan itu di saat hujan membasahi bumi.

Setiap kali hujan turun, dia tidak pernah melupakan apa yang telah berlaku dalam hidupnya dahulu. Ada masa dia akan termenung. Ada masa dia akan tersenyum sendirian. Hakikatnya tiada sesiapa yang pernah mengerti akan perasaannya.

Kali terakhir dia melukis adalah sebulan sebelum dia pulang ke Malaysia. Selepas itu dia tidak banyak menghabiskan masa dengan melukis lagi. Tidak sekerap seperti di Perancis dahulu. Di sana setiap kali dia mempunyai masa lapang, dia hanya menghabiskan masa dengan melukis. Tidak pernah pun dia membiarkan hari-harinya tanpa membuat apa-apa.

Ketika dirinya sibuk, dia mampu melupakan segalanya. Ketika dirinya sibuk, dia dapat menggunakan alasan itu untuk tidak berinteraksi dengan sesiapa di dalam rumah itu. Dia menggunakan hobinya untuk membina tembok dengan semua orang. Kerana dia banyak meluangkan masa dengan melukis, dia dapat mempraktikkan kemahirannya dengan lebih baik.

Kerana itulah dia sering mendapat nama setiap kali memasuki pertandingan. Bermula usia 14 tahun, dia sudah dikenali dengan nama Adriana Rie kerana kemahirannya. Di situ semangatnya untuk terus bangun. Walaupun pada mulanya melukis itu bukanlah minatnya. Tetapi kerana Adriz, dia mendapat semangat itu. Tanpa disangka, seni sudah sebati dalam dirinya. Kalau dulu bermulanya kerana perjanjian mereka, tetapi kini melukis itu adalah minatnya.

4 jam Arisa menghabiskan diri di hadapan kanvas itu. Apron yang dipakainya awal tadi suci bersih kini sudah dipenuhi dengan tompokkan warna air yang bermacam-macam warna. Tangannya juga sudah comot.

Arisa tersenyum sendiri. Matanya merenung lukisan yang sudah siap itu. Lukisan yang penuh memori indah. Memori indah yang tidak mungkin akan berlaku kembali. Segalanya hanya tinggal kenangan. Kenangan itu diluahkan melalui lukisan itu.

Tangan Arisa mencapai drawing pen berwarna hitam bersaiz 0.7 yang berada di dalam bekas pen. Seperti biasa dia akan menulis tajuk di bawah hujung sebelah kanan lukisannya.

Memories of rain, Adriana Rie.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni