Home Novel Cinta Takdir Yang Terpilih
Takdir Yang Terpilih
Wann Shazni
25/12/2019 20:51:55
24,022
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

“CIK Arisa okey ke?” tanya Kelvin. Dia meletakkan dulang kecil di atas meja di ruangan tamu kecil di dalam bilik Arisa. Satu gelas susu dan satu piring kecil berisi pancake strawberi.

“Okey Kelvin. Don’t worry about me,” jawab Arisa ringkas. Matanya berterusan memandang ke luar jendela. Kosong. Sepi.

Kelvin hanya mengangguk. “Cik Arisa jangan lupa makan. Puan Sri minta saya ingatkan Cik Arisa untuk pakai uniform baru,” pesan Kelvin. Dia menundur ke belakang dan menunduk hormat pada Arisa sebelum melangkah keluar dari situ.

Arisa membisu. Matanya mengerling sekilas ke arah uniform perempuan yang tergantung di satu sudut itu. Kerana perangai gilanya, dia memakai uniform lelaki. Kerana perangai gilanya, semua orang sakit kepala melayan kerenahnya.

Hakikatnya semua itu hanya penuh dengan kepura-puraan sahaja. Pertanyaan Ashraf sebentar tadi membuatkan dia kembali ke dunia nyata. Membuatkan dia tersedar dirinya hanya hidup dengan kepura-puraan sahaja.

‘Ada sesuatu yang berlaku ke kat Perancis?’

Arisa tersenyum perit. Antara salah satu sebab dia pulang ke Malaysia kerana hubungannya dengan abang sulungnya, Nazrul. Dia yakin pertanyaan yang terkeluar dari mulut Ashraf sudah tentulah berkaitan dengan Nazrul. Hanya Ashraf sahaja yang tahu masalah keluarganya di Perancis. Sehingga sekarang dia sendiri tidak tahu bagaimana Ashraf tahu tentang masalah itu sedangkan dia tidak pernah bercerita sekalipun.

Namun ada di antara sebab lain yang membuatkan dia mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia. Hanya dia sahaja yang tahu. Andai keluarganya tahu tentang itu, dia tahu dia takkan dibenarkan langsung untuk pulang ke Malaysia. Tetapi dia menggunakan alasan selamat iaitu menyambung pelajaran di Carnation Academy sebagai jalan untuk dia pulang ke Malaysia.

Walaupun dia menggunakan alasan itu tetapi keputusannya masih membuatkan semua orang di sekelilingnya jadi tidak menentu. Keputusan yang dia buat waktu itu pada awalnya ditentang hebat oleh abangnya. Kerana keputusan itu, dia dapat melawan abangnya semula. Segala perasaan yang dipendam selama ini, akhirnya dapat diluahkan jua.

Arisa memejam matanya. Cuba mengingati situasi yang mencetus kekecohan dalam keluarganya. Dan itulah kali pertama dia mula melawan mereka semua. Itulah kali pertama, dia berjaya mempertahankan keputusan yang dibuatnya.

Untuk kali yang pertama, dia bebas daripada menjadi patung boneka ahli keluarganya.




“TOLAK?” Tan Sri Adrian Abdullah sudah bangun dari tempat duduknya dek terkejut dengan kata-kata anak bongsunya itu. Surat tawaran berlogo Carnation Academy yang berada di hadapannya dipandang kosong. Rasa tidak percaya mendengar kata-kata itu.

“Rie...” Puan Sri Azyan juga kelihatan terkejut. Dia memandang wajah Arisa yang hanya beriak biasa sahaja.

Nazrul pula hanya berpeluk tubuh sambil menyandar ke sofa. Namun wajahnya sudah kelihatan tegang.

Surat tawaran yang berada di atas meja itu sudah cukup membuatkan mereka terkejut. Namun apa yang lebih mengejutkan lagi adalah keputusan yang dibuat oleh Arisa. Tiba-tiba sahaja membuat keputusan tanpa berbincang dengan mereka.

“Rie buat apa ni? Bukan ke itu impian Rie selama ni?” tanya Puan Sri Azyan lembut.

Arisa hanya berdiri tegak di hadapan ketiga orang ahli keluarganya itu. Dia tahu mereka kecewa apabila mendengar berita itu. Tetapi itu adalah keputusannya.

“Rie...” Tan Sri Adrian Abdullah mula bersuara. Dia merapati Arisa. Tangan kanannya diletakkan di atas bahu Arisa lalu dielus perlahan. 

“Apa yang Rie fikir sebenarnya? Daddy dah bagi semua yang Rie nak. Apa lagi yang Rie tak cukup?” tanya lelaki itu lembut.

“Rie nak balik Malaysia,” ujar Arisa ringkas.

Serta merta wajah mereka berubah.

“Malaysia? Rie nak buat apa balik sana?” Nazrul yang sedari tadi hanya berdiam diri mula bersuara.

“Rie... Rie kan dah dapat tawaran kat Jepun. Bukan ke impian Rie nak belajar kat universiti tu. Kenapa tiba-tiba nak balik ke Malaysia?” soal Puan Sri Azyan lembut.

“Rie dah tolak tawaran tu. Rie tukar fikiran. Rie nak sambung belajar kat Carnation Academy. Rie dah lulus peperiksaan tu jadi Rie nak sambung pelajaran kat sana,” jawab Arisa tegas.

Senyap-senyap dia mengambil peperiksaan dari Carnation Academy tanpa pengetahuan ahli keluarganya. Untuk pelajar dari luar Malaysia yang ingin memasuki Carnation Academy sememangnya akan mengambil peperiksaan secara online. Biarpun akademi itu adalah milik bapa saudaranya tetapi dia menggunakan cara yang betul untuk menjadi pelajar di situ.

“Arisa!” Nazrul sudah bangun dari tempat duduknya. Wajahnya menyinga.

“Tak cukup lagi ke abang dah kawal Rie selama 6 tahun?” tanya Arisa, turut meninggikan suara.

“Arisa,” Tan Sri Adrian Abdullah menegur.

“Abang Naz cuma nakkan yang terbaik untuk Rie.” Puan Sri Azyan mencelah.

“Terbaik?” Arisa ketawa sinis. Terbaikkah? Di matanya hanya nampak dirinya dikawal seperti robot sahaja. Hanya mengikut kehendak mereka semua selama 6 tahun. Terbaikkah itu?

“Rie, cuba fikir semula. Buat keputusan dengan betul. Selama ni Rie bertungkus lumus nak pergi ke Jepun. Tiba-tiba aje Rie buat keputusan macam ni. Kenapa Rie? Kenapa Rie nak balik ke Malaysia juga?” pujuk Puan Sri Azyan dengan suara yang lembut.

“Betul Rie. Cuba fikir semula. Daddy tak nak Rie menyesal.” Tan Sri Adrian Abdullah pula mencelah.

Arisa menggeleng kepala. “Rie tak perlu fikir lagi. Itu keputusan Rie. Rie nak balik ke Malaysia dan belajar di Carnation Academy,” ujar Arisa tegas.

“Adriana Arisa!” Nazrul tiba-tiba menempik.

“Kenapa abang nak atur hidup Rie? Tak cukup ke dengan apa yang abang dah buat pada hidup Rie dulu?!” Arisa juga mula meninggikan suara.

Nazrul terkedu. Namun kedua belah tangannya mengepal penumbuk menahan geram.

Arisa menarik nafas panjang. “Keputusan Rie muktamat. Rie tak nak belajar kat Jepun. Rie nak belajar dekat Malaysia. Mummy, daddy mahupun Abang Naz, jangan halang keputusan Rie,” kata Arisa tegas.

Sudah lama dia memberi peluang kepada mereka untuk mengawal hidupnya. Kali ini biar dia sendiri yang pilih jalan hidupnya. Tiada sesiapa pun boleh menghalangnya selepas ini.

“Kalau Rie balik sana pun, dia dah tak ada!” Nazrul semakin berkeras. Dia cuba mengingati Arisa tentang apa yang berlaku pada 6 tahun yang lepas.

“Jadi kenapa perlu takut kalau Rie balik ke sana?” tanya Arisa pula. Membidas kata-kata abangnya.

Dari awal lagi dia sudah mengagak tentang itu. Dia tahu orang pertama yang akan menentang keras tentang keputusannya untuk pulang ke Malaysia adalah abangnya. Kerana kejadian yang berlaku dahulu, abangnya mengawal hidupnya. Tetapi untuk apa lagi dirinya dikawal sedangkan semua itu sudah pun berlalu. Apa yang Nazrul takutkan lagi sedangkan tiada apa yang perlu ditakutkan.

Nazrul membisu. Tiba-tiba hilang kata-kata.

“Rie...” Puan Sri Azyan sudah bangun dan menuju ke arah Arisa. Dipeluk lembut tubuh itu dari tepi. Cuba memujuk Arisa.

“Apa pun keputusan Rie, daddy cuba terima. Tapi ingat, andai kejadian tu berulang lagi, daddy takkan benarkan Rie balik ke Malaysia untuk selama-lamanya.” Tan Sri Adrian Abdullah akhirnya bersuara tegas. Sebagai ketua keluarga, dia perlu membuat keputusan yang terbaik untuk ahli keluarganya. Dia tidak mahu berlaku pergaduhan lagi apatah lagi antara Arisa dan Nazrul. Dua beradik itu selalu sahaja bertengkar pendapat.

“Daddy!” Nazrul cuba membantah.

“Naz, Rie dah besar. Biar dia pilih jalan kehidupan dia sendiri,” ujar Tan Sri Adrian Abdullah tegas.

Nazrul membisu. Dia tahu andai daddynya yang membuat keputusan, tiada siapa yang boleh mengubahnya. Hatta mummynya sendiri pun tidak berani untuk bersuara lebih, apatah lagi dia sebagai anak.




BAYANGAN kisah lalu itu terbang begitu sahaja apabila tersedar smartphone miliknya berdering. Arisa tidak tahu berapa lama dia berdiri di tepi jendela itu. Leka sungguh dia mengenangkan apa yang berlaku dalam keluarganya.

Tertera nama Abang Iz di skrin Iphone 6 miliknya membuatkan tangannya pantas mencapai dan menekan butang hijau untuk menjawab panggilan itu.

“Adik! Macam mana belajar? Best tak?” Suara Izwan kedengaran ceria di talian. Baru hari ini dia dapat menelefon adiknya memandangnya dia sedikit sibuk dengan kerjanya sebagai freelance designer yang tidak tetap tempatnya.

Arisa ketawa. Belum dia sebut hello lagi, abangnya sudah menembaknya dengan soalan. Dahsyat sungguh!

“Mestilah best. Seni kot!” jawab Arisa ceria.

Di dalam keluarganya, dia hanya rapat dengan abang keduanya, Izwan sahaja. Baginya hanya lelaki itu sahaja yang mampu memahami apa yang bermain di fikirannya. Mungkin kerana sikap ceria abangnya itu membuatkan hubungan mereka lebih rapat berbanding hubungannya dengan abang sulungnya.

“Wah Adriana Rie sekarang makin bertambah hebat la kan. Bila nak mula lukisan baru pula?” puji Izwan sambil memanggil nama seni Arisa, Adriana Rie.

Siapa tak kenal Adriana Rie. Pelukis muda yang memulakan kerjaya di Perancis ketika berumur 14 tahun. 4 tahun yang lepas mengubah kehidupan Arisa. Menjadi salah seorang pelukis muda yang berjaya di antarabangsa membuatkan dia bangga. Dia sebenarnya tidak pernah menyangka adiknya sangat berbakat dalam melukis. Awalnya dia cuma sangka melukis itu sekadar hobi sahaja. Tetapi akhirnya berubah menjadi minat adiknya.

“Rie busy dengan study la. Nanti-nanti bila ada masa lapang, Rie mula la balik,” ujar Arisa jujur. Lagipun dia hanya mahu fokus pada pelajarannya terlebih dahulu.

Alright! Good luck kat sana.”

Arisa hanya mengangguk.

“Abang bila nak balik? Temankan Rie please...” pinta Arisa manja. Dia mengharapkan Izwan kembali ke Malaysia dan menemaninya. Ketika di Perancis pun mereka tidak dapat bersama selalunya kerana abangnya lebih sibuk travel ke sana ke sini. Sudah 3 tahun abangnya keluar dari rumah.

“Abang tak puas lagi la travel. Apa yang abang nak, abang masih tak dapat,” ujar Izwan lembut.

“Ala... abang sendiri yang cakap abang nak jadi designer yang berjaya. Abang buka ajelah company sendiri. Bukannya abang tak mampu,” balas Arisa sedikit merajuk. Setiap kali abangnya hanya memberi alasan yang sama apabila dia cuba memujuk lelaki itu pulang. Entah apa la yang abangnya cari sampai 3 tahun pun belum jumpa.

“Abang ni cari jodoh ke apa?” sambung Arisa lagi. Yelah, benda apa lagi yang abangnya cari sampai tak jumpa. Baginya abangnya bukan calang-calang orang pun. Pelajar cemerlang juga. Rupa ada, wang pun ada. Apa lagi yang perlu dibimbangkan.

Kedengaran Izwan ketawa di talian. “Ke situ pula Rie ni. Kenapa? Rie nak kakak ipar mata biru ke?”

Arisa mencebik. “Tak adalah macam tu. Dah abang tak nak balik sampai sekarang. Benda apa yang abang nak cari sebenarnya? Abang merantau ke negara itu, ke negara ini sampai 3 tahun.”

Izwan tersenyum kecil. “Nanti abang balik ye sayang. Maafkan abang sebab tinggalkan Rie seorang diri...” Perlahan sahaja nada suaranya. Agak terkilan kerana terpaksa meninggalkan adiknya sendirian. Dia tahu apa yang Arisa lalui tetapi dia tidak mampu berada di sisi Arisa.

“Abang tahu Rie balik ke Malaysia pun bersebab. Macam tu juga dengan abang. Abang merantau pun bersebab. Jadi abang harap Rie faham ye. Abang akan balik nanti cuma abang tak pasti bila.” Lembut sahaja suara Izwan menuturkan kata-kata itu. Mengharapkan Arisa mengerti.

“Yelah.” Arisa akur, tidak mahu memaksa.

“Rie jaga diri baik-baik ye,” pesan Izwan lagi.

“Emm! Abang pun. Nanti dah balik sini, jangan balik tangan kosong aje. Emm satu lagi, jangan lupa bawa balik kakak ipar okey!” Sempat Arisa mengusik nakal abang keduanya itu.

Di talian sana hanya kedengaran tawa bersahaja. Kerana dia tahu adiknya cuma ingin memeriahkan suasana sahaja.

Selepas talian itu dimatikan, Arisa melepaskan keluhan kecil.

Hanya kerana masa lalu, keluarga mereka berpecah belah. Luarannya nampak bahagia tetapi hakikatnya masing-masing membuat hal sendiri. Entah sampai bila keadaan itu akan berlarutan.

Dia rindukan keluarganya yang dahulu. Dia rindukan kenangan lalu. Dia rindukan saat-saat bahagia bersama keluarganya. Tetapi sekarang segalanya sudah berubah.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni