Home Novel Cinta Seteguh Karang
Seteguh Karang
Wann Shazni
3/1/2019 21:15:57
71,313
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 25

MATANYA merenung makanan yang terhidang di hadapan matanya. Seakan-akan tidak percaya.

"Arie, awak nak makan semua ni ke?" tanya Shahrina was-was.

Makanan yang terhidang di meja makan bukanlah hidangan untuk dua orang. Dah macam satu family sahaja gayanya.

Farisya hanya mengangguk. Dia menyuapkan sesudu kek cheese ke dalam mulutnya. Matanya bersinar-sinar.

Shahrina menelan air liur. Dia hanya order chicken chop dan jus oren tetapi yang datangnya macam-macam menu.

"Makan Rin. Hari ni kita akan makan aje," pelawa Farisya. Matanya masih tidak terlepas pandang pada makanan yang terhidang itu. Sudah lama dia tidak menjamah makanan sebegitu. Western dan manisan. Makanan kegemarannya.

"Arie, awak stress ke?" tanya Shahrina takut-takut.

Dia tahu sangat kalau Farisya dah mula makan macam-macam, pasti ada perkara yang bermain di fikirannya. Walaupun dia tidak tahu apa yang sedang Farisya fikirkan tetapi dia yakin Farisya sedang stress. 

Farisya mengangguk. Tangan kanannya masih tidak berhenti-henti bergerak menyuap ke dalam mulutnya.

"Kau tahu tak Rin, agak rugi Wan tak datang hari ni. Disebabkan bergaduh dengan aku, dia tak nak cakap dengan aku. Tapi disebabkan dia, aku dapat makan macam ni. Tak cukup dengan stress pasal dia, bertambah pula bengang aku dengan kau. Kalau tiap-tiap hari macam ni, aku mungkin akan mati kekenyangan," ujar Farisya selamba.

Shahrina tersengih kecil. Seperti yang dijangka. Selalunya Syazwan sentiasa ada bersama tetapi hari ini adalah hari tanpa Syazwan. Rupanya sedang bergaduh. Entah apa la yang mereka gaduhkan itu. Dia sudah pening kepala.

Sebenarnya dia sudah menyedari hal itu dan ingin bertanya pada Farisya tetapi kerana Farisya tidak membuka cerita tentang itu, dia malas nak menyibuk. Pasti ada sebab mengapa Farisya tidak memberitahunya.

"Minah-minah tu kacau kau tak lagi? Kalau kacau, aku nak hayun menumbuk aje."

Shahrina membetulkan tudungnya. Tersengih serba salah. Risau pula dibuatnya. Dia menggeleng sebagai jawapan. Lagipun sekarang cuti semester. Untuk apa lagi mereka menganggunya.

Cumanya dia agak terkilan tidak dapat balik cuti semester kali ini dek kejadian tiket basnya dikoyak oleh Fatin. Biarpun Farisya ingin membantunya tetapi dia tidak mahu. Walaupun nilai tiket bas itu hanya murah di mata Farisya tetapi baginya dia perlu mengikat perut. Akhirnya kerana dia menolak tawaran itu, Farisya memaksa dia untuk menginap di rumahnya. Apatah lagi Dato' Kamal jarang pulang. Terpaksa jua dia terima kerana bimbang Farisya naik angin lagi.

Dia ingin mengambil peluang itu untuk mengenali Farisya lebih dekat. Apatah lagi sewaktu cuti semester kali ini dia dapat melihat Farisya training dan perlawanan taekwondo yang dia inginkan itu. Pasti ada hikmah kejadian itu berlaku.

Dia hanya melihat Farisya mengunyah makanan tanpa memandang kiri dan kanan. Malas hendak mencelah kerana dia tahu Farisya sudah berada di dalam dunianya sendiri. Pantas dia menyuap makanan yang terhidang di dalam pinggannya itu. Kalau bukan kerana Farisya, dia tidak mungkin dapat menjamah makanan sebegitu.

Sedang enak menjamah makanan, tiba-tiba ada jari mengetuk meja mereka. Farisya dan Shahrina sama-sama mendongak memerhati satu batang tubuh yang berdiri di hadapan mereka.

"Kau!" Mata Farisya terbeliak.

"Hai..." Sapa lelaki itu.

Farisya menelan makanannya sambil memandang lelaki itu tanpa berkelip-kelip. Kemudian dia memandang kiri kanan depan dan belakang bagaikan mencari sesuatu.

"Cari siapa?" tanya Hakimi aneh.

"Datang dengan papa ke?" tanya Farisya.

"Tak la. Hari ni off day. Keluar makan seorang diri aje," jawab Hakimi.

Farisya membuat muka. "Kesiannya hidup, kawan pun tak ada ke."

Kata-kata Farisya membuatkan Hakimi ketawa. Sememangnya Farisya tak tahu jaga mulutnya. Melepas ikut suka aje.

Shahrina pula hanya berdiam diri. Selain daripada Syazwan, dia tidak pernah melihat Farisya mesra dengan orang lain. Dia yakin lelaki yang berada di hadapannya itu bukan calang-calang orang yang boleh rapat dengan Farisya. Apatah lagi Farisya menyebut tentang papanya. Pasti lelaki itu rapat dengannya.

"Kiwi lagi?" tanya Hakimi sambil menunjuk ke arah sepotong kek kiwi, dessert kiwi dan jus kiwi. Budak ni memang penggila kiwi sungguh.

Farisya membuat muka selamba. "Well..."

"Ah, kenalkan ni Rin," sambung Farisya apabila menyedari mereka bagaikan berbual dalam dunia mereka sendiri tanpa mempedulikan orang lain.

"Rin, ni Hakimi. Papa aku bekerjasama dengan projek syarikat papa dia," sambung Farisya lagi.

Hakimi menangkat tangan hormat. Begitu juga dengan Shahrina.

"Join la kitorang makan. Tak adalah bosan sangat..." tambah Farisya lagi.

"Tak apalah, tak nak ganggu girls talk."

Farisya membuat muka. Girls talk pulak. "Orang nak teman, sombong. Hah, makan la sesorang diri tu."

Hakimi tersengih. Kena sedebik dengan budak tak cukup inci ni.  Sejurus itu Hakimi meminta diri berlalu dari situ dan duduk di meja tidak jauh daripada tempat mereka.

"Rin, kau nak tahu tak mamat tu siapa?" Tubuh Farisya ke hadapan dan bercakap perlahan dengan Shahrina.

"Tadi awak dah bagitahu," ujar Shahrina lurus.

"Ah, tu salah satu. Tapi ada yang lagi menarik yang kau tak tahu?" Farisya tersengih nakal.

"Apa dia?" Dahi Shahrina mula berkerut.

"Mamat tu la yang langgar aku sampai luka masa aku nak hantar assignment Cik Hanisa hari tu. Dan semua kejadian yang berlaku berkait dengan dia," bisik Farisya.

Mata Shahrina terbeliak. Wow!

Farisya menayang gigi. "Hebat tak pertemuan kitorang? Daripada cari pasal sampailah aku tahu dia tu anak kawan papa aku. Tragis juga bila diingatkan perkenalan kitorang." Farisya ketawa sendiri.

Shahrina hanya mampu menayang gigi. Memang tragis. Sejak kejadian pelanggaran itu, Farisya hanya mengutuk tentang lelaki itu. Tidak sangka pula sekarang mereka boleh menyapa sebegitu. Seolah-olah tiada apa yang berlaku di antara mereka.

Hebat sungguh manusia bernama Nur Farisya Najihan ni. Manusia yang berada di sekelilingnya mempunyai cerita tersendiri.

Mereka terus menikmati makanan tanpa pedulikan hal sekeliling lagi. Makanan yang sebanyak itu tidak sepatutnya dihabiskan oleh dua orang. Tetapi ajaibnya hanya kerana pergaduhan, makanan itu mampu dihabiskan. Dan sudah semestinya Farisya tukang penghabisan.

"Alhamdulillah..." ucap Farisya sebaik sahaja menghabiskan jus kiwinya itu. Sudah kekenyangan. Kalau setiap hari begini, boleh mati kekenyang jawabnya.

Shahrina mengelap lembut mulutnya. Dia hanya tersengih melihat Farisya ketika itu. Muka orang kekenyangan. Yang pastinya sudah tidak larat untuk bangun.

"Sakit perut la pulak..." Farisya memegang perutnya.

"Aih, kalau ya pun bagi la hadam lumat dulu. Boleh dapat sejam dua jam ke. Ni baru habis makan dah kena buang. Rugi duit aku," bebel Farisya yang sememangnya berperangai selamba badak dia.

Tatkala itu Shahrina hanya mampu menggeleng kepala. Arie oh Arie...

"Rin, aku pergi toilet kejap eh. Kau tunggu sini diam-diam. Jangan pergi mana-mana," pesan Farisya kepada Shahrina serupa macam Shahrina itu budak kecil sahaja.

Tersengih Shahrina dibuatnya. Dia hanya menghantar pandangan kosong ke arah Farisya yang sudah melangkah pantas menuju ke toilet. Dah tak tahan sangat la tu.

Sementara menunggu Farisya, Shahrina memerhati sekeliling. Suasana yang penuh dengan pelbagai ragam manusia. Bermacam-macam emosi.

Kemudian dia menghantar pandang ke luar tingkap pula. Melihat manusia-manusia yang lalu lalang. Melihat kereta yang bergerak. Suasana sibuk itu tidak seperti suasana di kampungnya. Yang aman dan tenang daripada bunyi kenderaan.

Sepanjang belajar di situ, dia tidak pernah keluar tanpa tujuan. Jadi dia masih tidak dapat biasakan diri dengan suasana bandar.

"Shahrina?"

Teguran itu memaksa Shahrina menghala pandangan ke arah batang tubuh itu. Dia menelan air liur.

"Buat apa kat sini?" tanya satu lagi suara.

Shahrina membisu. Tidak sangka akan terserempak dengan Fatin dan kumpulannya. Hampir sahaja dia terlupa bahawa mereka adalah penduduk di situ. Sudah semestinya mereka akan tersempak.

"Tak balik kampung ke?" tanya Fatin, berbunyi sinis.

Shahrina menggeleng kepala. Namun mulutnya masih terkunci. Perkataan kampung membuatkan dia rindu. Kalau bukan kerana Fatin, sudah pasti ketika ini dia bersama keluarganya.

"Arie kan kawan baik kau, kenapa dia tak tolong belikan tiket baru aje," sambung Sarah pula. Dah kata kawan baik sangat, takkan tiket sekeping pun tak mampu tolong beli.

Shahrina hanya membisu. Ikutkan hati dia mahu membalas tetapi biarlah. Keadaan takkan berubah pun. Malah lebih memburukkan keadaan.

Fatin dan gengnya saling berpandangan. Mungkin agak bengang dengan reaksi Shahrina.

"Rin, aku nak ingatkan kau sekali lagi. Kau takkan pernah terlepas dari aku lepas ni. Tak kisahlah kalau ada Arie ataupun Wan sekalipun. Kalau diorang berani masuk campur urusan kita, nasib diorang akan sama macam kau," ujar Fatin keras. Dia mengapai tangan Shahrina bagaikan cuba memberi amaran kepada gadis itu.

Shahrina cuba merenggangkan pegangan itu. Dia sebenarnya terkejut apabila Fatin bertindak begitu biarpun ramai orang di sekeliling mereka.

"Rin, lama tunggu?" tegur satu suara membuatkan ketiga-tiga gadis itu terkejut. Shahrina menurunkan tangannya ke bawah meja sebaik sahaja dilepaskan.

"Kawan?" tanya Hakimi sambil memandang ke arah gadis-gadis itu. Shahrina tersenyum sebagai jawapan. Namun jelas senyumannya itu senyuman tidak selesa.

"Hai..." Tiba-tiba sahaja Fatin menyapa mesra.

"Hai..." Hakimi tersenyum kemudian menarik kerusi dan duduk.

"Siapa ni Rin?" tanya Fatin. Sekejap sahaja suara dan moodnya berubah. Penuh dengan lemah lembut dan sopan santun.

"Saya abang saudara dia. Kalau tak ada apa-apa boleh tinggalkan kitorang tak? Sebab saya tak selesa orang lain ganggu..." ujar Hakimi lembut. Lembut tetapi penuh makna tersirat.

Serta merta wajah ketiga-tiga itu berubah. Sedaya upaya menahan perasaan dan meminta diri untuk berlalu. Barangkali termalu sendiri.

Shahrina menghela nafas sebaik sahaja mereka berlalu pergi. Kemudian matanya meliar ke arah pintu utama. Kelibat Farisya masih belum muncul. Kepalanya beralih ke hadapan, memandang Hakimi yang berada di hadapannya.

"Terima kasih," ucap Shahrina.

Sungguh dia tidak sangka kejadian itu berlaku. Apatah lagi tiba-tiba melibatkan lelaki yang baru dikenalinya melalui Farisya.

"Tak ada apa-apa. Dari jauh tadi tengok Rin macam tak selesa. Tiga orang tu macam nak marah-marah. Rasa tak sedap hati pula kan. Okey ke?" tanya Hakimi lembut

Shahrina mengangguk.

Hakimi menghala pandangan ke luar. Ketiga-tiga itu sudah keluar dari restoran itu. Barangkali melupakan hasrat mereka untuk menjamah makanan di situ selepas kejadian iu berlaku.

"Minta maaf la tiba-tiba kenalkan diri sebagai abang saudara. Kalau tak nanti lain pula yang diorang fikir," sambung Hakimi lagi.

Shahrina menggeleng kepala. "Eh tak apa. Itu pun dah cukup baik sebab selamatkan saya dari diorang."

"Hah, korang berdua buat apa ni?" sergah Farisya dari belakang, kedua-dua belah tangannya menepuk pantas kedua bahu Shahrina membuatkan Shahrina melompat terkejut.

Hakimi ketawa. Dia bingkas bangun dari tempat duduk yang sememangnya tempat Farisya.

"Selamatkan kawan baik Cik Farisya yang sedang dalam kesusahan." Selamba Hakimi bersuara membuatkan dahi Farisya berkerut tidak mengerti.

"Selamat menjamu selera." Hakimi mengakhiri perbualannya dan melangkah ke mejanya semula.

Farisya memandang tidak mengerti. Dia memandang Shahrina pula. Macam aneh aje situasi.

Pantas dia melabuhkan punggung dan memandang Shahrina.

"Dia datang mengorat kau ke?" debik Farisya gelojoh.

Shahrina tersengih. Seraya itu dia menggeleng kepala.

"Bukanlah..."

"Dah tu aku tinggal kau pergi toilet, laju pulak dia datang kat kau. Cinta pandang pertama ke?" Farisya terus mengasak dengan soalan-soalan gila.

"Bukanlah Arie." Shahrina hanya mampu menggeleng kepala. Elok aje Hakimi tidak mahu ada salah faham apabila berhadapan dengan geng Fatin, Farisya pula yang tersalah faham tentang itu.

Farisya tidak berpuas hati. Dia mengerling ke belakang, melihat Hakimi enak menikmati makanannya.

Baginya Hakimi ni macam ada dua personaliti. Kadangkala sukar untuk dia memahami tentang lelaki itu. Adakalanya nampak lembut, adakalanya nampak garang dan sinis.

"Korang ni lain macam la..."

"Bukanlah Arie," celah Shahrina pantas. Selagi tak diberitahu hal sebenar, selagi itulah Farisya akan membuat andaian sendiri. Dia mengeluh sebelum memulakan cerita.

"Tadi geng Fatin datang..." Perlahan Shahrina menuturkan kata-kata itu membuatkan mata Farisya terbeliak.

"Then?"

"Macam biasalah diorang ugut saya. Tapi Hakimi datang tolong saya tadi. Itu aje. Mungkin sebab dia tengok saya tak selesa tadi," cerita Shahrina.

Kening Farisya terjongket sebelah. 'Hebat jugak si Hakimi ni. Baik pula dia tolong orang. Tapi sebenarnya dia okey aje. Aku aje yang selalu cari pasal dengan dia,' desis Farisya sendirian.

"Arie, awak jangan la fikir yang bukan-bukan pula." Shahrina melambai-lambai tangannya di hadapan Farisya.

Farisya tersengih. Nakal.

"At least si Fatin and the gang tu sentap la sikit kan."

"Apasal pulak?" Dahi Shahrina berkerut.

"Kau tak pernah rapat dengan mana-mana lelaki selain Wan. So bila diorang nampak kau dengan Hakimi tu, mesti diorang terkejut. Tak sangka kau ada boyfriend macam Hakimi," ujar Farisya menerangkan selanjutnya.

Shahrina menggeleng kepala. "Apa pula boyfriend?"

"Apasal?"

"Dia datang kenalkan diri sebagai abang saudara la," sambung Shahrina.

"What?!"

Shahrina menayang gigi. Hancur habis bayangan di minda Farisya. Pasti Farisya menyangka Hakimi memperkenalkan diri sebagai boyfriendnya. Memang tak la. Entah lelaki tu dah ada calon, tak pun dah ada anak berduyun-duyun. Sebab itulah lelaki itu menggunakan jawapan selamat.

Farisya mengalih pandangan ke belakang.

Serius mamat ni tak normal!




WAJAH Fatin begitu bengang sehinggakan Sarah dan Liyana tidak mampu bersuara. Bimbang apabila ditegur, lain pula jadinya.

"Shahrina tu... dia rasa dia boleh terlepas dari aku! Silap besar la. Aku akan pastikan hidup dia hancur sebagaimana dia hancurkan hidup aku dulu!" ujar Fatin penuh dendam.

"Tak sangka aku dia ada abang saudara kat sini. Handsome pulak tu," ujar Liyana tersengih nakal. Gedik sahaja gayanya apabila terbayang dengan lelaki yang bersama Shahrina itu.

Sarah menyiku lengan Liyana. Mengharapkan Liyana mengerti keadaan itu. Bimbang Fatin bertambah bengang. Liyana segera menutup mulut.

Fatin berpeluk tubuh. "Betul kata kau, Yana. Aku tak sangka dia ada abang saudara kat sini. Aku tak pernah tengok pun dia tu selama ni."

Sarah mencebik. "Kau yakin ke lelaki tu abang saudara dia? Entah-entah kekasih gelap dia. Yang tanggung makan minum dia selama ni. Manusia bukan boleh diharap sangat. Nampak baik tapi sebenarnya lebih dahsyat daripada yang disangka. Mana la tahu kan..." Sarah sengaja mengapi-apikan Fatin.

Fatin memandang Sarah. Turut bersetuju dengan kata-kata Sarah. Tidak mustahil juga kan.

"Dia ambil peluang kononnya tiket bas dia koyak untuk bersama lelaki tu. Wah, boleh tahan jugak si Rin ni kan." Giliran Liyana pula menambah.

Fatin memetik jari. Setuju dengan kata-kata Liyana dan Sarah.

"Apa yang korang berdua cakap tu memang masuk akal. Rin bukan orang senang. Siap boleh masuk restoran mahal lagi. Dia mana mampu. Tak sangka jugak kan dia tu..." Fatin bersuara penuh yakin. Wajahnya sudah berubah sinis. Kalau satu kampung tahu perangai Shahrina, bukan setakat dipulau malah dihalaunya dari kampung.

Liyana dan Sarah saling berpandangan.

"Aku dah dapat idea macam mana nak kenakan Rin. Tapi ada sorang lagi yang selalu buat onar dalam perancangan kita." Fatin berpeluk tubuh. Kegembiraan tadi hanya sementara. Masih ada lagi yang dia tidak berpuas hati.

"Arie?"

"Yup!"

"Kau ingat senang ke nak kalahkan jaguh taekwondo macam Arie? Lagipun setiap kali dia sentiasa keluar dengan Wan," ujar Liyana. Dia juga geram kerana Farisya selalu menggagalkan rancangan mereka.

"Yana, cuba kau bagitahu aku. Dalam dunia ni apa aje yang aku tak boleh buat?" tanya Fatin sinis sambil meletakkan tangannya di atas bahu Liyana.

Liyana tersenyum. Apa benda yang Fatin tak boleh buat? Memang semua benda Fatin boleh buat. Hanya dengan wang ringgit, segalanya menjadi mudah. Untung jadi anak orang kaya. Hanya menggunakan wang ringgit untuk kepuasannya dan menutupi kebenaran di hadapan mata.

"So apa rancangan kau Atin?" tanya Sarah. Dia yakin Fatin pasti ada rancangan lain. Kerana dia tahu personaliti Fatin bagaimana. Gadis itu tidak akan mudah mengalah selagi tidak dapat apa yang dia mahukan.

Fatin tersenyum penuh makna. Bagaikan ada sesuatu bermain di mindanya.

Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni