Home Novel Cinta Seteguh Karang
Seteguh Karang
Wann Shazni
3/1/2019 21:15:57
71,427
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 23

"UNCLE suka bekerja dengan kamu, Kimi. Seorang yang berprofesional, bakal pewaris Astana Architects Sdn Bhd," puji Dato' Kamal lembut.

Melihat anak muda yang baru berumur 26 tahun tetapi ilmu dan kemahirannya seperti orang yang bertahun-tahun berpengalaman. Malah seorang yang menetapi masa dan sangat berprofesional sepanjang bekerja. Biarpun mereka saling mengenali, Hakimi tetap memanggilnya formal. Meskipun disuruh berkali-kali untuk memanggilnya uncle.

Namun dia mengerti. Tan Sri Faris sudah mendidik anaknya sebegitu. Kalau tidak takkanlah Hakimi masih bersikap formal biarpun hanya bercakap dengan papanya sendiri. Akhirnya dia mengalah dan membiarkan sahaja Hakimi sebegitu. Barangkali Hakimi selesa sebegitu.

"Tak adalah uncle. Saya ni masih mentah, banyak lagi yang perlu saya belajar. Apa yang saya dapat ni hanyalah sedikit ilmu yang saya tahu. Selebihnya masih banyak lagi yang perlu saya belajar," jawab Hakimi sopan. Masih merendah diri meskipun dipuji sebegitu.

Ketika berada di luar kerja, dia memanggil Dato' Kamal dengan panggilan uncle. Seringkali lelaki itu mengasaknya untuk memanggil uncle meskipun waktu bekerja tetapi dia tidak mampu melakukan semua itu. Kerana dia masih hormat dengan Dato' Kamal sebagai partnership.

"Tapi uncle bangga. Umur semuda Kimi dah handle projek besar ni. Uncle yakin bukan mudah Tan Sri Faris nak lepas tangan projek tu pada Kimi. Dia nampak potensi Kimi sebab tu dia bagi Kimi handle projek ni. Uncle harapkan segalanya berjalan dengan lancar. Lagipun ni projek pertama Kimi. Projek yang menjadi aset kepada syarikat papa Kimi juga," puji Dato' Kamal lagi. Bangga sungguh dia dengan anak sahabat baiknya itu.

Hakimi hanya tersenyum manis. Pujian Dato' Kamal terlalu tinggi melambung baginya. Itu adalah permulaan. Dia mengharapkan tiada masalah. Apatah lagi dia adalah permata syarikat papanya. Kalau dia terjunam, pasti akan menjatuhkan nama syarikat papanya.

"Uncle pun harap Farisya boleh jadi macam Kimi. Tapi buat masa sekarang uncle tak nampak lagi la tanda-tanda dia berminat dengan syarikat ni," sambung Dato' Kamal. Mula bercerita tentang Farisya pula.

Mana tidaknya, Farisya masih tidak menunjukkan tanda-tanda berminat dengan syarikat. Apatah lagi berlainan bidang yang diambil. Seboleh-bolehnya dia mahu Farisya mengetahui asas pengendalian syarikat. Tak perlulah dia risau sangat. Boleh juga dia lepas tangan pada Farisya.

"Insya-Allah dia boleh. Sekarang ni kan dia masih belajar. Mesti dia nak fokus pelajaran dulu. Umur dia pun muda lagi. Masih nak enjoy. Dah besar panjang nanti dia fikir la balik." Hakimi memberi pendapat. Lagipun dia tidak nampak Farisya itu seorang yang lepas tangan. Mustahillah Farisya tidak mempedulikan syarikat itu.

Dato' Kamal hanya mengangguk. Setuju dengan kata-kata Hakimi.

"Maafkan uncle kalau Farisya ada buat apa-apa yang tak menyenangkan hati Kimi. Mulut dia tu main cakap aje. Perangai kasarnya lagi. Dia bukan ada kawan sangat pun. Uncle ni kadang-kadang risau. Walaupun dia boleh berdikari tetapi uncle risau. Salah uncle juga sebab sibuk dengan syarikat..." Wajah Dato' Kamal sedikit muram.

Mengenangkan Farisya, macam-macam perkara main di fikirannya. Risau meskipun Farisya mampu buat segalanya sendiri. Anaknya membesar sendirian. Dia serba salah tetapi Farisya tidak menyalahkannya.

"Uncle..." Hakimi memanggil perlahan.

Serentak itu Dato' Kamal menghela nafas sebelum melemparkan senyuman pada anak muda itu.

"Maaflah. Uncle terbawa-bawa pula."

"Tak apa uncle."

Hakimi sedar. Dia mengerti. Bagaimana seorang bapa sanggup berkorban demi anaknya. Sama seperti papanya. Setelah kematian mamanya, papanya berterusan bekerja keras. Semuanya untuk masa depannya.

Sama juga seperti Dato' Kamal. Dia yakin Dato' Kamal mahukan kesenangan kepada Farisya. Kerana untuk menubuhkan sesebuah syarikat itu bukanlah mudah. Bermula dari bawah, penuh dengan keperitan dan kini berjaya. Orang tua mereka tidak mahu membiarkan anak-anak mereka melalui apa yang mereka lalui dahulu.

Dia yakin Farisya berfikiran sama. Mengerti mengapa papanya bekerja keras untuk syarikat. Kerana suatu hari nanti akan ada pewaris yang bakal mengantikan tempat tertinggi lelaki itu.

"Suatu hari nanti Farisya akan nampak pengorbanan uncle..." ujar Hakimi perlahan.

Dato' Kamal mengangguk.

Makanan yang mereka pesan tiba di meja membuatkan perbualan mereka terus terhenti. Ketika ini mereka hanya fokus pada makanan dan hanya berbual tentang projek sahaja. Perbualan penuh perasaan sebentar tadi bagaikan terhapus sahaja.




"WAN..."

"Emm..."

Farisya membisu. Dia masih berjalan di sebelah Syazwan meskipun destinasi mereka berbeza.

"Woi, panggil aku lepas tu senyap dah kenapa? Satu lagi, kenapa kau ikut aku dari tadi? Skuter kau kat tempat letak motor sana tu. Sini tempat letak kereta. Kau mamai ke apa? Merajuk sebab Rin tak ikut kau?" Sempat lagi Syazwan membebel panjang sambil tangannya menunjuk ke tempat letak motor yang sudah melepasi mereka.

Farisya menjuih bibir. "Ikut pun tak boleh ke. Sombong aih!"

Syazwan membuat muka.

"Kau nak balik dengan aku boleh. Tapi skuter kau tu memang teringin nak tinggal sini ke?" sindir Syazwan.

Farisya menjeling.

"Hah, nak cakap apa? Cepat sikit. Aku nak balik ni."

Farisya membisu. Kemudian dia mendongak memandang wajah serius Syazwan. Agak seram.

"Tak apalah. Lain kali ajelah. Bye!" Farisya terus memaling tubuhnya. Elok selangkah dia berjalan, langkahnya terhenti dek begnya ditarik dari belakang.

"Pendek, kau ada buat salah lagi ke?" duga Syazwan tegas.

Segera Farisya berpaling. "Mana ada!"

"Dah tu? Cepatlah cakap. Sejak bila si pendek Farisya jadi manusia tak reti bercakap? Selalunya bukan main sedap bom orang," perli Syazwan.

Farisya merengus. Tak suka sungguh dia apabila Syazwan memanggilnya pendek.

"Tak adalah. Nanti-nanti la aku cakap. Tak sesuai." Farisya meneruskan langkah namun dia tidak mampu berganjak sedikitpun. Kerana Syazwan masih menarik begnya.

"Wan!"

"Kau tahukan aku paling tak suka orang cakap tak habis."

Farisya menghela nafas. Bukannya dia tidak mahu bercakap tetapi dia merasakan sekarang bukan masa yang sesuai. Bimbang menganggu emosi Syazwan.

"Ala, aku nak tanya jadual kau cuti ni aje. Jangan la bercuti sorang-sorang. Ajak la aku sekali." Selamba Farisya bersuara.

Syazwan memandang tanpa reaksi. "Aku nak cuti ni tanpa kau. Bosan tiap-tiap saat pandang muka kau."

Farisya menggigit bibir. Sengal punya Syazwan!

"Okey fine!" Farisya merampas begnya dan melangkah dengan perasaan geram.

"Pendek, kau ingat kau boleh tipu aku ke? Kau ingat aku baru kenal kau semalam?"

Entah macam mana, tiba-tiba sahaja Syazwan dekat dengannya. Siap tarik begnya pula untuk menghentikan langkahnya.

"Kau ni kenapa?" marah Farisya. Dah bad mood sangat blah ajelah. Nak paksa-paksa orang pulak.

"Benda yang kau nak cakap tu bukan pasal ni. Kan?" duga Syazwan.

"Benda apanya?" Farisya cuba berdalih.

"Mana aku tahu! Kalau aku tahu, baik aku tak tanya kau dah. Pendek!" Syazwan menunjal dahi Farisya.

Farisya menggosok dahinya. Geram. Dia memandang wajah Syazwan yang tanpa reaksi itu. Dia tidak pasti adakah masa itu sesuai untuk bersuara tentang itu. Bimbang akan menyentapkan Syazwan.

"Wan..."

Syazwan menjongket sebelah keningnya.

"Kau... kau tak nak kembali ke gelanggang ke?" tanya Farisya perlahan.

Serta merta wajah Syazwan berubah.

"Wan... aku tahu kau berhenti bukan sebab nak fokus pelajaran. Orang lain boleh aje sertai kelab kat kolej. Kenapa kau nak larikan diri lagi? Please Wan, benda tu dah lepas. Aku rindu nak sama-sama masuk gelanggang dengan kau. Aku rindu nak berlatih dengan kau," sambung Farisya lagi apabila melihat Syazwan masih tidak bersuara. Berbeza dengan tadi. Lelaki itu mengasaknya untuk bersuara tetapi ketika ini lelaki itu membisu tanpa suara.

Syazwan masih membisu. Agak terkejut dengan kata-kata Farisya. Selama ini Farisya tidak pernah memaksanya untuk kembali ke gelanggang. Tetapi hari ini Farisya bersuara kembali setelah lama berdiam diri.

"Wan... aku tahu la kau masih ada rasa bersalah pasal hal tu. Tapi hal tu dah lepas kan. Dah lama pun. Kenapa kau sanggup berhenti daripada minat kau sendiri..." sambung Farisya lagi dengan suara yang sedikit tegas.

Sejurus itu Syazwan ketawa. "Kau mengarut apa ni pendek. Bila masa aku ada rasa bersalah pulak? Kan aku dah bagitahu kau yang aku nak fokus pada pelajaran. Lagipun taekwondo hanya sekadar hobi aje. Aku bukan macam kau. Terlalu taksub," ujar Syazwan selamba.

Wajah yang dipamerkan oleh Farisya ketika itu hanyalah wajah serius. Dia tahu Syazwan cuba berlawak bodoh dengannya. Tetapi dia tiada masa untuk melayan semua itu. Kerana baginya hal itu adalah serius. Meskipun Syazwan tidak mengambil serius tentang hal itu.

"Arie, belum sampai masanya untuk aku kembali ke gelanggang. Lagipun aku rasa kalau aku kembali ke gelanggang, mesti kau terlebih happy sebab berjaya kalahkan aku." Syazwan berseloroh lagi meskipun tahu perasaan sebenar Farisya ketika itu.

"Sekarang. Sekarang adalah masa yang sesuai untuk kau kembali ke gelanggang. Pertandingan kali ni, aku nak kau sertai! Kita pergi sama-sama! Kita ada kat gelanggang sama-sama! Kita menang sama-sama! Wan! Kau dah lupa ke janji kita?!" Farisya meninggikan suara.

Syazwan menggeleng kepala.

"Cuti nanti aku nak tolong abah aku kat restoran."

"Boleh tak kau berhenti bagi alasan?" Farisya mencekak pinggang. Mendongak memandang Syazwan yang sememangnya tinggi daripadanya.

"Aku tak bagi alasan. Aku cuma nak rehat dari dunia tu. Banyak benda lagi aku nak fokus," jawab Syazwan. Dia memalingkan tubuhnya. Malas hendak bertekak dengan Farisya kerana dia tahu dia pasti tidak akan menang.

"Aku tak habis cakap lagi, Wan!" Farisya menarik beg galas Syazwan membuatkan langkah lelaki itu terhenti.

"Risy! Boleh tak kau jangan paksa aku?!" Syazwan meninggikan suara selepas berpaling menghadap Farisya.

Farisya membisu. Bukan terkejut kerana Syazwan meninggikan suara kepadanya, tetapi kerana panggilan nama itu. Risy.

"Aku dah tunaikan semua janji kita selama ni. Sama-sama kat gelanggang, sama-sama menang pingat, sama-sama naik pentas. Sekarang aku nak rehat dari dunia tu.  Tolong jangan cakap pasal ni lagi..." Belum sempat Syazwan menghabiskan kata-kata itu, Farisya segera mencelah.

"Tipu! Kau sebenarnya takut. Disebabkan hal tu, kau tak berani masuk gelanggang! Disebabkan aku, kau buang minat kau!"

"Risy! Jangan ungkit pasal tu lagi boleh tak!"

Farisya tersentap.

"Kalau kau berterusan nak ungkit pasal tu jugak, jangan datang cari aku..." Wajah serius Syazwan menunjuk segala perasaannya. Dia terus berlalu tanpa menunggu balasan Farisya.

Baginya Farisya tak mengerti perasaannya. Paling penting Farisya tidak faham apa yang dia lalui selama ini.

"Wan! Syazwan!!"

Syazwan terus berlalu tanpa mempedulikan jeritan itu. Dia tahu Farisya bengang. Dia malas ambil peduli. Kalau perkara lain, dia masih boleh bertolak ansur. Tetapi kalau hal itu, dia anggap Farisya tidak memahaminya langsung.




FARISYA melemparkan beg sandangnya ke katil. Dia bengang. Namun dalam amarahnya, dia sedih. Sedih dengan keadaan Syazwan ketika itu. Minat terhadap taekwondo terpadam begitu sahaja. Hanya kerana satu kejadian itu.

"Kau... tak pernah jujur pada diri. Kau selalu cakap aku selalu pendam perasaan tapi kau pun sama aje. Tak guna punya Syazwan! Benci kau!" marah Farisya seorang diri.

Dia terus melompat ke katil. Merebahkan tubuhnya sementara matanya terus menghadap siling.

Alangkah bagusnya kalau Syazwan bersama-sama dalam pertandingan itu. Selepas Syazwan mengambil keputusan untuk berhenti taekwondo, lelaki itu hanya menjadi pemerhati di tempat duduk penonton. Hanya bersorak memberi semangat kepadanya.

Dia rindukan saat-saat dahulu. Bersama-sama berlatih sehingga kepenatan. Peluh sama-sama menitis di setiap inci tubuh mereka. Training setiap minggu. Sungguh, dia merindukan semua itu. Apakah mungkin semua itu akan berulang kembali atau hanya berterusan menjadi kenangan?

Tatkala dia dibuai kisah lalu, smartphonenya berbunyi. Pantas dia menyeluk tangan ke dalam beg sandangnya mencari smartphonenya.

"Rin?" Dahi Farisya berkerut.

"Hello."

"Arie, awak ada nampak buku nota saya atas meja study awak tak? Saya rasa saya tertinggal kat dalam bilik awak la." Suara Shahrina kedengaran kalut di talian.

Farisya segera bangun dan pergi ke arah meja belajarnya. Matanya menangkap satu buku nota berwarna purple di atas mejanya. Barangkali itu buku nota yang Shahrina maksudkan.

"Ada," ringkas jawapan Farisya. Dia mencapai buku nota itu. Tak pernah pula dia perasan buku itu tertinggal di situ.

"Boleh tak awak bawa nota tu kat saya Arie? Minta maaf sebab susahkan awak. Tapi ni urgent sebab ada benda penting dalam tu..."

"Oh boleh. Kau tunggu aku kat hostel, aku datang kejap lagi."

"Okey Arie. Terima kasih..." ucap Shahrina. Suaranya kembali ceria tidak seperti mula-mula tadi.

"Alah, benda kecil aje. Nak berterima kasih bagai. Lain kali jangan cuai sangat. Nasib ada kat aku, kalau hilang kat mana-mana, nak cari mana?" Sempat lagi Farisya membebel.

Shahrina tersengih dengan bebelan itu.

"Okey, kejap lagi aku sampai." Fariya terus mematikan talian itu. Kepalanya digeleng perlahan.

Beg sandangnya di capai. Dalam kalutnya, buku nota itu terlepas dari tangannya sewaktu cuba memasukkan dalam beg sandangnya.

Farisya menunduk dan mengambil buku nota itu. Tatkala itu dia terbaca sesuatu yang tertulis di dalam nota itu. Matanya sedikit terbeliak.

Diselak setiap helaian buku nota itu. Dia tergamam sendiri. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Serta merta amarahnya membuak-buak. Sudahlah amarahnya dengan Syazwan masih belum reda. Ditambahkan pula dengan kebenaran yang sedang tertayang di hadapan matanya itu.

Tanpa berlengahkan masa, dia mencapai kunci skuternya dan menurun tangga dengan laju. Dia perlu menyelesaikan sesuatu dengan Shahrina.

Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni