Home Novel Cinta Seteguh Karang
Seteguh Karang
Wann Shazni
3/1/2019 21:15:57
71,232
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 21

MASA pantas berlalu. Tanpa disangka semester 3 akan berakhir tidak lama lagi. Masing-masing bertungkus-lumus menyiapkan assignment dan projek akhir. Sebulan sebelum semester berakhir, mereka masih berfokus pada projek akhir.

Bahan-bahan projek memenuhi ruang bilik rehat itu. Biarpun luas tetapi apabila dipenuhi dengan bahan-bahan untuk projek membuatkan bilik itu seakan-akan kecil. Kiri kanan depan belakang bersepah-sepah.

"Wei korang, turun la makan dulu," ajak Farisya yang muncul tiba-tiba di muka pintu. Melihat wajah Syazwan dan Shahrina satu persatu. Keletihan. Sudah tiga hari mereka tidak dapat tidur yang mencukupi kerana bertungkus lumus dengan projek. Dan sudah tiga hari juga mereka berkampung di kediaman Farisya.

Syazwan hanya mengangguk. Begitu juga dengan Shahrina. Masing-masing mengeliat kecil sebelum melangkah mengekori Farisya turun ke dapur.

"Wan, Rin, jemput makan. Jangan malu-malu. Makan sampai kenyang. Lepas ni nak buat kerja lagi," ujar Mak Mah ramah.

"Ye Mak Mah. Terima kasih banyak-banyak. Maaf susahkan Mak Mah," jawab Syazwan hormat.

"Terima kasih Mak Mah," ujar Shahrina sopan.

Farisya tersenyum. Sememangnya masing-masing sudah kelaparan. Apatah lagi otak dan tubuh mereka memaksa untuk bekerja keras. Semakin kuat mereka bekerja keras, semakin meragam perut mereka. Sehinggakan setiap masa Mak Mah menyediakan snek sampingan untuk alas perut.

"Tak ada susahnya, Wan."

Syazwan tersenyum. Kerana dia sudah terbiasa dengan keadaan rumah Farisya apatah lagi bersama Mak Mah. Dia tahu Mak Mah cukup bersemangat apabila Farisya membawa kawan-kawan datang ke rumah. Kerana Farisya tidak mempunyai ramai kawan. Hanya dia sahaja yang selalu datang. Tetapi kali ini bertambah seorang lagi iaitu Shahrina.

"Makan la. Jangan malu-malu. Wan memang jenis tak malu dah. Kau tu Rin, kalau boleh tolong habiskan makanan kat meja ni. Mak Mah masak sedap. Dia pantang orang tak makan habis masakan dia," seloroh Farisya nakal.

Shahrina tersengih. Malu.

"Mengarut betul budak ni." Mak Mah mencuit lengan Farisya. Farisya tersengih.

Masing-masing menarik kerusi lalu duduk. Makanan yang terhidang di atas meja sungguh menyelerakan. Tanpa banyak suara, mereka terus menjamah makanan. Masa yang ada tidak boleh terbuang begitu sahaja. Tatkala ini masa begitu berharga bagi mereka.

Selepas menjamah makan malam, mereka kembali menyambung tugasan mereka. Masing-masing menunjukkan riak wajah yang serius sewaktu membuat kerja.

Projek akhir yang mereka jalankan waktu itu adalah menghasilkan satu packaging produk. Mereka memilih produk makanan iaitu produk biskut. Sudah tentulah element yang perlu dititikberatkan adalah design. Design yang menarik perhatian serta beberapa element lain amat penting dalam penghasilan tersebut.

Bukan itu sahaja, mereka juga perlu menyediakan flyers untuk memperkenalkan produk tersebut. Umpama mereka sedang membuka syarikat dan mereka ingin memperkenalkan produk mereka kepada orang awam.

Setiap projek, mereka bertiga sering bekerjasama. Meskipun adakalanya lecturer memerlukan empat hingga lima dalam kumpulan, mereka tetap bertiga. Sebab pertamanya, tiada siapa yang berani sekumpulan dengan Farisya. Sebab keduanya, Farisya tidak suka orang lain dalam kumpulannya. Dia tidak selesa bekerjasama dengan orang yang tidak rapat dengannya. Bukan kerana berlagak sombong.

Hanya kerana dalam kumpulan mereka hanya ada tiga orang, mereka perlu bekerja keras berbanding kumpulan lain. Namun begitu mereka berpuas hati. Kerana tiada masalah tentang sleeping partner terutamanya. Masing-masing buat kerja mengikut tugasan yang diberi.

Bab seni rekabentuk selalunya diberikan kepada Farisya dan Syazwan yang sememangnya hebat. Shahrina pula selalu memberi penambahan idea untuk lebih menarik. Pendek kata, ketiga-tiga mereka saling memerlukan dan saling setuju dengan pendapat masing-masing.

"Beb, aku tidur kejap. Pukul 2 nanti gerakkan aku," ujar Farisya yang sudah menguap besar. Syazwan yang berada di hadapannya menempek buku ke muka Farisya.

"Perangai tu bagi sopan sikit. Kau tu perempuan." Sempat lagi Syazwan membebel. Menguap tak tutup mulut. Dah la luas. Bukan setakat lalat aje yang boleh masuk, anak ayam pun muat.

Farisya tersengih. Dia dah mamai sangat dah. Letih punya pasal. Tanpa banyak suara, dia terus naik ke atas sofa dan tidur.

Syazwan hanya menggeleng kepala. Dia terus fokus pada tugasannya.

"Wan..." Shahrina menegur lembut.

"Emm.."

Shahrina memandang Farisya yang sudah tidur nyenyak. Langsung tak bergerak dah. Tu memang dah tahap letih sangat agaknya.

"Awak berdua tak kisah ke satu kumpulan dengan saya?" tanya Shahrina perlahan.

Serentak itu Syazwan mengangkat muka. Dia memandang Shahrina pelik. Gadis itu mamai jugak ke?

Shahrina tersengih. Dia tahu agak pelik dia bertanyakan soalan itu kepada Syazwan sedangkan setiap assignment mereka bersama.

"Rin, awak dah masuk dalam kumpulan ni berapa lama?" jawapan Shahrina dibalas dengan pertanyaan.

"Hampir setahun. Dalam 10 bulan macam tu," jawab Shahrina. Dia mula mengenali mereka dengan lebih dekat ketika di penghujung semester 1.

Syazwan menjongket kening. 10 bulan itu baginya bukan satu masa yang singkat. Biarpun mereka baru mengenali tetapi mudah sahaja mereka rapat.

Pertemuan mereka hanyalah bermula sejak Farisya menyelamatkan Shahrina daripada dibuli. Tambahan pula Farisya seorang yang pantang melihat orang lemah dibuli. Sejak daripada itu baru mereka sedar bahawa Shahrina juga sekelas dengan mereka. Mungkin kerana sikap Shahrina yang suka menyendiri dan terasing membuatkan mereka tidak pernah perasan dengan kehadiran gadis itu. Apatah lagi dia dan Farisya juga tidak suka bergaul dengan orang lain.

Kemudian mereka mula rapat apabila Shahrina datang berterima kasih kepada Farisya. Sewaktu membuat assignment, Farisya mengangkat tangan untuk mengambil Shahrina sebagai ahli kumpulannya. Maka di dalam kelas itu menjadi sunyi sepi kerana tiada sesiapa pun yang berani menjadi ahli kumpulan Farisya apatah lagi mendekatinya. Antara sebab lain pula Shahrina sering keseorangan tanpa kumpulan. Adakalanya dia melihat Shahrina ditindas setiap kali berada dalam kumpulan yang lain.

Pada mulanya agak janggal namun lama kelamaan mereka semakin serasi dan rapat. Sehinggalah sekarang, mereka bertiga sering bersama. Shahrina yang dahulunya pendiam, sekarang dah banyak cakap. Dek kerana perangai selamba Farisya agaknya.

Syazwan memusingkan pensel di tangannya. Dia memandang Shahrina.

"Dah tu kenapa awak boleh tanya soalan pelik macam tu?" tanya Syazwan serius.

"Tak adalah. Saya cuma risau kalau pointer awak dengan Arie jatuh disebabkan saya. Awak berdua bijak. Setiap sem awak berdua dapat dekan. Setiap kali ujian, awak berdua dapat markah tertinggi. Saya bukan bijak macam awak berdua. Jadi saya agak risau pointer awak dengan Arie sem ni..." ujar Shahrina perlahan.

Dia sebenarnya bertuah kerana bersama dengan mereka. Tetapi dia risau akan membuatkan pointer mereka jatuh kerananya. Baginya Syazwan dan Farisya tidak pernah berlagak apatah lagi kedekut ilmu. Kedua-dua mereka sememangnya seorang pelajar yang cemerlang. Baginya tidak hairan kalau Syazwan dan Farisya mendapat dekan.

Serentak itu Syazwan ketawa. "Rin, itu ke penyebab awak tanya soalan pelik tadi?"

Shahrina mengangguk. Dia sedar dia hanya menumpang di dalam kumpulan yang hebat itu.

Syazwan menggeleng kepala. Tidak sangka Shahrina berfikiran begitu.

"Rin, awak pun bijak. Masing-masing ada kepandaian dan kelebihan sendiri. Pointer bukan segalanya. Kadang-kadang pointer tinggi tapi assignment bukan dia yang buat. Nampak? Apa yang kita perlu fikir adalah untuk berjaya. Biar pointer yang kita dapat tu hasil usaha kita bukan hasil dari orang lain.

Lagipun sepanjang saya sekumpulan dengan awak, tak ada yang teruk pun. Kita bekerjasama dengan baik. Tiada yang jadi sleeping partner. Itu pun dah cukup bagus. Jadi Rin, awak tak perlu risau pasal semua tu. Yang penting kita dapat ilmu dan gapai cita-cita. Okey?" Panjang lebar Syazwan bersuara sambil tersenyum manis.

Baginya Shahrina ada kebijaksaan tersendiri. Apabila mereka bergabung, hasilnya meletup. Jadi tidak adil kalau Shahrina berfikir dirinya hanya sekadar menumpang mereka. Sedangkan mereka sama-sama saling memerlukan, saling melengkapi kelemahan masing-masing.

Shahrina membalas senyuman. Dia mengangguk faham.

Benar, dia untung kenal Syazwan dan Farisya. Kerana mereka, hidupnya terasa kelainan. Kerana mereka, banyak perkara dia pelajari. Kerana telatah mereka, hidupnya terasa bahagia.

"Awak jangan la rasa rendah diri. Kalau Arie dengar, rasanya dah lunyai awak kena belasah manja dengan dia," seloroh Syazwan membuatkan mereka berdua ketawa.

Pandangan Syazwan beralih ke arah Farisya. Gadis itu sudah tidur tidak ingat dunia. Tetapi mujurlah jenis senang bangun apabila digerak. Kalaulah jenis bom di sebelah pun tak bangun, entah apa la yang dia nak buat.

Dia melihat baki-baki projek bahagian Farisya. Biarpun luaran nampak kasar tetapi Farisya cerewet dalam kerjanya. Semua benda nak kemas. Sekurang-kurangnya masih ada juga perangai perempuannya itu. Tanpa sedar dia tersenyum sendiri. 

Shahrina pula seakan-akan perasaan arah pandangan Syazwan ketika itu. Dia mengerling sekilas ke arah Farisya. Entah apa yang membuatkan Syazwan tersenyum sendiri.

"Awak suka Arie ke Wan?" tanya Shahrina membuatkan Syazwan terus memandang wajah itu.

Mata Syazwan tidak kedip-kedip memandang Shahrina. Nampak pendiam tapi pertanyaan benar-benar menyentapkan nyawanya.

Shahrina menayang gigi. Serba salah. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal itu. Kemudian dibetulkan kedudukan tudungnya yang terasa senget.

"Saya gurau aje." Pantas Shahrina fokus pada kerjanya semula. Tiba-tiba pipinya terasa panas selepas menanyakan soalan sebegitu kepada Syazwan.

Baginya tiada salah pun kalau Syazwan ada perasaan pada Farisya. Apatah lagi mereka berdua membesar bersama-sama. Dari kecil sehinggalah sekarang. Tidak mustahil kalau salah seorang mempunyai perasaan sayang.

Seraya itu Syazwan ketawa. Lucu.

"Rin, apa kena dengan awak malam ni? Dari tadi awak asyik tanya soalan pelik-pelik," ujar Syazwan sambil ketawa.

Shahrina tersengih. Malu.

"Tiga hari tak tidur dah buat awak jadi macam ni. Risau saya," sambung Syazwan lagi. Tawanya masih belum reda. Rasa segar pula matanya ketika itu dengan perangai pelik Shahrina.

"Mana ada. Saya gurau ajelah." Shahrina berdalih. Malu diusik begitu. Pantas dia menuang air kopi ke dalam cawannya dan meneguk perlahan.

Tersenyum Syazwan ketika itu. "Kalau letih sangat, awak tidur la dulu."

Pantas Shahrina menggeleng kepala. "Tak pe. Saya boleh tahan lagi."

Syazwan tersenyum lagi. Dia tahu sedari tadi Shahrina asyik menguap sahaja. Pasti keletihan. Gadis itu juga mungkin tidak sampai hati untuk membiarkan dia keseorangan.

"Arie... dia tu dah biasa keseorangan. Tambah-tambah lepas mama dia meninggal dunia. Ikutkan sebenarnya hubungan kami bukanlah teruk sangat pun. Cumanya sebab kami kerap bertanding dalam perlawanan buat kami sering bertekak. Arie pula tak pernah boleh untuk melepasi saya. Sebab tu dia geram. Seboleh-bolehnya dia nak berada di atas saya.

Dari kecil sampai sekarang, tak pernah terpisah. Dah faham perangai masing-masing, dah tahu segalanya. Arie pula seorang yang ceria. Walaupun ada masalah, dia tetap buat muka macam tak ada apa-apa," cerita Syazwan sambil tersenyum.

Biarpun dia menceritakan tentang Farisya di hadapan Shahrina namun tangannya masih berjalan meneruskan projeknya.

Shahrina tersenyum. Bahagia melihat pasangan itu. Adakalanya dia berasa cemburu. Kerana di sisi Farisya, ada Syazwan yang selalu mengambil berat.

"Mungkin saya ni dah ditakdirkan bersama dengan Arie sampai ke tua agaknya. Tengoklah, dengan perangai kasar, dengan gelaran Black Arie, lelaki mana yang nak dekat dengan dia. Nak handle dia lagilah. Keras kepala," sambung Syazwan lagi diselitkan dengan gurauan nakal. Dia ketawa kecil dengan kata-katanya sendiri.

Shahrina tersengih. Ada benarnya kata-kata Syazwan itu. Sepanjang dia mengenali mereka, hanya Syazwan sahaja yang boleh melawan cakap Farisya. Kalau orang lain, lari 100 meter jawabnya.

"Dah, Rin. Awak jangan tanya soalan pelik-pelik lagi. Risau saya. Kalau awak letih sangat, baik awak tidur. Kejap lagi saya gerak awak dengan Arie terus." Syazwan mengakhiri topik perbualan itu. Kasihan melihat Shahrina menahan mata.

Shahrina serba salah. "Tak pe ke?"

"Tak pe. Awak jangan risau."

Shahrina mengangguk. Dia meninggalkan tempat duduknya dan berlalu ke arah ruang tepi sofa. Di lantai sudah ada bantal dan selimut yang disediakan oleh Mak Mah untuk keperluan mereka. Mereka tidak mahu tempat tidur yang selesa, bimbang akan terlajak tidur. Sebab itu mereka akan tidur di lantai sahaja. Ataupun di sofa mahupun meja. Tidur berlapikkan tangan sudah menjadi harian mereka juga.

Syazwan hanya memerhati dua gadis yang sudah tidur itu. Biarlah mereka tidur. Dia yakin mereka benar-benar letih. Dia mengeliat kecil dan membuat beberapa regangan untuk menghilangkan mengantuk. Air kopi dituang ke dalam cawan dan dihirup perlahan. Mengharapkan matanya boleh bertahan walaupun keseorangan.

Dia meneruskan kerjanya sendirian. Berkorban tidurnya sekali lagi. Lagipun dia lelaki. Sekali sekala biarlah dia bekerja keras. Apatah lagi dia adalah ketua kumpulan.

Earphone dicapai dan disumbat ke dalam telinganya. Itu adalah salah satu cara untuk dia mengelakkan diri daripada tidur. Dia terus fokus tanpa tangguh lagi. Yang penting projek itu harus siap sebelum tarikh yang ditetapkan.




MASING-MASING turun dengan mata layu biarpun sudah membersihkan diri. Hendak mengeluarkan suara apatah lagi. Daripada riuh rendah, tiba-tiba sahaja menjadi sunyi sepi. Letih punya pasal sampaikan nak keluar suara pun dah malas.

"Selamat pagi Mak Mah," sapa Farisya dengan suara lemah. Mengantuk lagi gayanya. Dia berjalan dengan mata separuh terbuka.

"Selamat pagi Risy. Wan, Rin, jemput makan. Mak Mah dah sediakan sarapan," jemput Mak Mah sambil tersenyum memandang ketiga anak muda itu. Mengerti mereka itu letih kerana tidak cukup tidur.

"Terima kasih Mak Mah," ujar Syazwan dan Shahrina.

Longlai Farisya menarik kerusi. Selepas duduk di meja makan, kepalanya terlentok di atas meja.

Tergeleng kepala Mak Mah ketika itu. Dia memerhati seorang demi seorang. Shahrina sedari tadi hanya menenyeh matanya. Syazwan pula sedang-sedang sahaja. Namun masih nampak keletihannya.

"Pendek, kau kalau nak tidur pergi masuk bilik. Kat meja makan bukan tempat untuk tidur," tegur Syazwan. Dia menepuk kerusi, sengaja menganggu Farisya tidur.

Serentak itu tubuh Farisya terus menegak dek terkejut. Dia memandang Syazwan dengan pandangan tajam. Memberi amaran agar tidak menganggunya.

Shahrina hanya sekadar memerhati. Dia tidak mahu masuk campur pergaduhan itu.

"Risy, bangun dulu. Kejap lagi sambung la tidur balik," ujar Mak Mah lembut.

Bibir Farisya mencebik. "Mak Mah ingat budak tu nak bagi Risy tidur ke? Dia punya perangai kalah ketua tentera tahu," adu Farisya.

Syazwan membuat muka. Menipu sungguh Farisya ni. Mana ada dia buat perangai ketua tentera. Kalau ada, rasanya memang tak tidur langsung kot dua orang gadis itu.

"Korang ni, asyik gaduh aje." Tergeleng kepala Mak Mah melihat dua orang itu. Tak pernah kata seorang nak mengalah. Masing-masing keras kepala.

"Apa yang bising sangat tu. Ceria sungguh rumah ni sejak dua tiga hari ni," sapa Dato' Kamal yang muncul dengan tiba-tiba.

"Uncle." Syazwan menyapa sebelum bersalaman dengan lelaki itu. Shahrina pula hanya menunduk hormat. Farisya masih begitu. Lebih melayan mengantuknya.

Dato' Kamal sekadar menggeleng kepala melihat anak gadisnya. Masih berperangai selamba tanpa pedulikan orang lain.

Namun dia gembira melihat Farisya membawa balik kawan-kawannya. Dari kecil dia hanya mengenali Syazwan sahaja. Farisya tidak pernah cuba rapat dengan orang lain. Setiap masa bersama Syazwan. Namun perubahan itu berlaku sejak Farisya masuk kolej. Pertemuan dengan Shahrina membuatkan mereka mula rapat.

Dia gembira apabila Farisya sudah mempunyai kawan perempuan. Apatah lagi si gadis yang bernama Shahrina itu seorang gadis yang lemah lembut dan sopan santun. Yang sememangnya jauh beza dengan perangai Farisya. Shahrina pula seorang yang tidak banyak cakap. Pasti hanya mengangguk sahaja apabila Farisya mula membuka mulut.

Farisya tidak pernah membenarkan sesiapa tahu tentang dirinya. Apatah lagi sebagai anak kepada pemilik Syarikat Berjaya Achitects Sdn Bhd. Farisya lebih suka menjadi seorang yang low profile. Tidak bangga dengan apa yang dia ada. Malah tidak pernah menunjukkan kemewahan yang dimiliki. Buktinya, Farisya hanya meminta skuter untuk ke kolej.

"Risy, bangun sarapan dulu. Haih budak ni, tak malu ke dengan Syazwan dan Shahrina?" tegur Dato' Kamal sambil menepuk lembut kepala anak gadisnya itu.

Farisya membuat muka tidak puas hati. Kalau diikutkan hati, mahunya dipilih tidur berbanding dengan makanan. Tetapi perutnya sudah berbunyi-bunyi minta diisi.

"Mak Mah, meh saya tolong." Shahrina segera ke arah Mak Mah dan mendapatkan pinggan yang sedang diangkat oleh wanita itu.

"Ish kamu ni Rin, Mak Mah kata tak payah. Kamu tu tetamu. Duduk aje kat kerusi tu." Pantas Mak Mah melarang. Pinggan itu ditarik semula.

Sememangnya Shahrina memang suka sangat menghulurkan bantuan. Padahal dia adalah tetamu rumah. Tak manis tetamu membuat kerja rumah. Apatah lagi mereka sekarang sedang bertungkus-lumus dengan projek akhir yang sudah semestinya tidak dapat berehat dengan cukup.

Semalam Shahrina sempat menolongnya di dapur biarpun sudah dilarang berkali-kali. Padahal waktu itu adalah waktu mereka berehat. Sempat mereka berbual-bual ringkas. Apa yang dia tahu, Shahrina seorang gadis kampung yang sememangnya sudah biasa buat kerja rumah. Biarpun dia datang sebagai tetamu tetapi sebagai perempuan, dia suka menolong di dapur.

Melihat perangai lembut gadis itu, dia terfikir bagaimana gadis itu boleh melayan kerenah Farisya yang sememangnya agak kasar itu. Namun dia gembira kerana Farisya membawa kawan perempuan ke rumah.

Sejak mereka datang, rumah itu tidak pernah sunyi. Masing-masing dengan telatah sendiri. Farisya dengan Syazwan masih bergaduh seperti biasa. Tak pernah nak ubah perangai sejak kecil itu. Ada sahaja benda nak berlawan.

Suasana ceria membuatkan rumah yang sebelum ini suram akhirnya riuh jua. Mengharapkan Farisya ceria dan bahagia sentiasa.

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni