Home Novel Cinta Seteguh Karang
Seteguh Karang
Wann Shazni
3/1/2019 21:15:57
71,402
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

"BENCI! Benci! Benci Wan Muhammad Syazwan! Mamat galah! Mamat sengal! Tak guna! Mangkuk ayun! Mangkuk tingkat!" kutuk Farisya geram sambil menyepak batu di atas rumput itu.

Ikutkan hati memang sudah ditumbuk lelaki itu sepuas hati. Tak payah dia susah-susah nak sepak batu bagai.

Sungguh, kali ini dia benar-benar bengang dengan sikap Syazwan. Selama ini Syazwan tidak pernah memaksanya apatah lagi berbuat begitu. Dia sendiri tidak menyangka Syazwan akan membalas balik kata-katanya dan meninggikan suara.

"Aku benci kau, sengal!" gumam Farisya geram.

'Aku tahu benci kau tu sebenarnya sayang. Macam la aku tak kenal kau.'

Seakan-akan terdengar suara Syazwan berbisik di telinganya membuatkan dia mengibas-gibas seperti menghalau sesuatu berdekatan telinganya.

"Huh! Tak lama lagi aku yang gila!" Farisya merengus. Geram.

Matanya memandang tasik di hadapannya. Bagaikan sudah lama dia tidak menjejakkan kaki di tempat kegemaran arwah mamanya.

Seperti biasa, di bawah pohon rimbun itu adalah tempat lepaknya. Tempat di mana penuh kenangan bersama mamanya. Tempat di mana arwah mamanya sering melukis. Tempat untuk arwah mamanya mencari ilham. Suatu ketika dahulu menjadi tempat kegemaran arwah mamanya tetapi kini menjadi tempat kegemarannya. Kerana hanya di situ kenangan yang tinggal buatnya. Di situ terasa kehangatan arwah mamanya memeluk tubuhnya. Terasa bagaikan mendengar suara arwah mamanya dan melihat senyuman manis wanita itu. Dia terbayang segalanya tentang arwah mamanya ketika berada di situ.

Farisya melemparkan beg sandangnya ke tanah kemudian dia melabuhkan punggungnya di situ. Fikiranya benar-benar serabut semenjak majlis ulangtahun syarikat menjadi topik perbualan. Dia rimas. Setiap tahun, waktu itulah yang paling membebankan kepalanya.

"Eh! Budak kecik!" Satu suara menegur dekat dengannya membuatkan dia segera berpaling.

"Kau lagi!" Farisya merengus. Dia terkejut juga melihat lelaki itu berdiri di sebelahnya. Fikirnya siapa la yang berani menegurnya sebegitu.

Tatkala itu Farisya merenung tajam ke arah lelaki itu. Menyedari sesuatu yang tidak patut dia dengar.

"Hello pak cik, saya ada nama okey! Jangan sesuka hati aje nak panggil orang budak kecik!"

Hakimi tersengih. Uih, baru jumpa aje dah kena marah. Tu baru bab nama. Kalau lebih-lebih, alamatnya memang tidur hospital la dia malam ni.

"By the way cik adik, walaupun dah banyak kali kita terserempak tapi kita tak pernah pun nak buat sesi perkenalan dengan cara baik. Jadi, macam mana nak tahu nama kalau tak bagitahu. Tak gitu, kecik?" ujar Hakimi lembut. Bagi Farisya nada itu berupa sindiran tetapi Hakimi langsung tidak berniat begitu.

Farisya merengus. Sorang-sorang tambah masalah kepadanya. Kejap Syazwan kejap si mamat ni. Ada aje tak kena.

Dah la dia tengah stress dengan Syazwan, lelaki ni datang macam nak tambahkan masalah pula. Hairan juga, perjumpaan mereka yang lepas, lelaki itu muncul ketika dia bergaduh dengan Syazwan. Kali ini, dalam situasi yang sama, lelaki itu muncul lagi.

"Ponteng kelas eh?" sakat Hakimi.

Dia sebenarnya tidak menyangka akan bertemu dengan gadis itu lagi. Apatah lagi di situ. Selalunya mereka terserempak di kedai. Berebut air kotak kiwi.

Farisya menjeling. "Suka hati dia aje tuduh orang. Habis tu dia tu tak ponteng kerja?" balas Farisya semula. Tidak mahu mengalah. Suka hati aje nak tuduh dia ponteng kelas. Padahal kelas dah habis kot!

Hakimi tersengih. Membalas balik nampaknya. Dia mengambil tempat duduk di sebelah gadis itu. Namun masih ada jarak yang agak luas. Barangkali berhati-hati, bimbang makan penumbuk pula kalau tersalah cakap.

"Cuti la kecik. Berehat sekejap setelah berbulan-bulan bertungkus lumus untuk projek," jawab Hakimi jujur. Sememangnya dia tidak dapat rehat dengan cukup sejak akhir-akhir ini. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk mengambil cuti supaya dapat menenangkan fikirannya.

Farisya hanya mengangguk namun sempat mencebik bibirnya. Tatkala itu dia menjeling tajam ke arah lelaki itu. Masih tidak berpuas hati dengan sesuatu.

"Oit pak cik, berhenti panggil kecik boleh tak?" tegur Farisya geram.

Hakimi tersengih. Ni spesis telinga gajah ni. Baru sebut sikit dah naik angin.

"Okey. So nak panggil apa?" tanya Hakimi kembali.

"Arie." Ringkas Farisya bersuara.

Hakimi mengangguk. "Nama penuh?" tanya Hakimi lagi. Dia yakin Arie itu hanya nama panggilan sahaja.

"Rahsia."

Hakimi mencebik. "Itu pun nak rahsia."

Jelingan tajam dilemparkan ke arah lelaki itu. "Sibuk aje."

"Yelah kecik..." Hakimi mengalah jua. Tanya nama penuh pun naik angin. Tu belum tanya hal lain lagi. Tak pasal-pasal patah gigi depannya. Belum tua lagi dah kena pakai gigi palsu. Oh tidak! Lebih baik mengalah. Tak sanggup dia bayangkan kalau itu yang terjadi.

"Aip!" Farisya menjegil matanya apabila mendengar perkataan 'kecik' dari mulut lelaki itu.

Hakimi menayang gigi. "Okey Arie..."

Farisya mengangguk bangga. Kemudian dia menghalakan pandangan ke arah tasik. Suasana agak menyenangkan di samping tiupan angin menghala ke wajahnya.

"Memang suka lepak kat sini ke?" tanya Hakimi, cuba mencelah kesunyian di antara mereka.

Farisya hanya mengangguk sebagai jawapan.

Hakimi hanya membisu. Dia yakin gadis itu tidak berminat untuk meneruskan perbualan. Dia tersenyum sendiri. Dia mula merasakan, perjumpaan kali ini adalah perjumpaan yang aneh. Kerana gadis itu tidak bersuara banyak seperti sebelum ini. Pasti ada sesuatu yang berlaku.

"Pak cik, tak ada air kotak kiwi ke?" tanya Farisya selamba dengan tiba-tiba.

"Hah?" Hakimi terpinga-pinga.

Farisya merengus. Spoil sungguh la mamat ni. Boleh pulak dia blur time soalan penting.

"Tak beli pun. Dah banyak stok kat rumah," jawab Hakimi yang akhirnya kembali fokus.

Farisya mencebik.

'Kalau aku beli stok berkotak-kotak, pakai tak cukup seminggu. Silap-silap satu kotak boleh habis dalam masa sehari,' omel Farisya sendirian.

Dia penggila air kiwi. Tak kiralah air kotak mahupun makanan, dia terlalu addict dengan kiwi. Kalau boleh setiap hari dia mahu makan atau minum sesuatu yang ada kiwi.

"Memang suka sangat ke dengan air kiwi?" tanya Hakimi.

Farisya mengangguk. "Penggila nombor satu." Farisya bersuara penuh semangat membuatkan Hakimi ketawa.

"So, jom minum?" ajak Hakimi.

Farisya membuat muka sebelum menyilangkan kedua tangannya menjadi pangkah.

"Maaf, tak berminat."

Hakimi ketawa. "Amboi, sombong."

"Nope. Seperti yang saya katakan dulu, saya tak suka berhutang dengan orang," jawab Farisya tegas.

Hakimi menjongket kening. Pelik sungguh la perangai budak ni.

"Bukan hari tu cakap suruh belanja candle light dinner ke?" sakat Hakimi nakal. Dia masih ingat lagi kata-kata gadis itu. Bukan main seronok menyakatnya seolah-olah sudah kenal lama.

Pantas Farisya memberikan jelingan maut. Dasar mamat tak reti nak membezakan mana satu betul dengan gurauan sungguh.

"Pak cik, umur dah cukup tua pun tak boleh nak faham ayat kiasan budak-budak ke?" perli Farisya.

Hakimi tersengih lagi. Aih garang sungguh.

"Gurau ajelah. By the way, saya masih muda untuk digelar pak cik," tegur Hakimi lembut.

Farisya menjuih bibir. "Dah tu nak suruh panggil abang? Eceh! Bluerk!" Farisya membuat gaya termuntah membuatkan Hakimi ketawa lagi.

Lantas dia bangun dari tempat duduknya. Memperbetulkan kemeja dan seluarnya. Beg sandang di kilas ke belakang tubuhnya. Kemudian dia berdiri di hadapan Hakimi dan merendahkan tubuhnya sedikit.

"Pak cik, nak lepak kat sini jangan lewat sangat tau. Nanti ada yang meneman. Kalau pak cik single, boleh teruskan. Dapat juga pasangan hidup kan. Okey, bye! Chow dulu, bro!" Farisya berbisik nakal lantas melarikan diri selepas menuturkan kata-kata itu.

Rasa bagaikan sudah lama tidak mengusik orang sebegitu. Senyuman mula terukir di bibirnya. Tanpa sedar, masalah pagi tadi bagaikan ditiup angin. Berlalu tanpa sedar.

Hakimi membulatkan matanya. Belum sempat dia bersuara, gadis itu hilang dari pandangannya.

"Jangan-jangan yang aku jumpa tadi tu..." Hakimi tidak meneruskan kata-katanya. Kejap sungguh budak kecik tu lesap. Dikerling ke arah jam tangannya. Sudah hampir pukul 6.30 petang. Waktu-waktu sebegitu tidak elok berada di luar rumah.

Hakimi segera bangun. Hilang segala bebanan kerjanya. Tanpa sedar, dia tersenyum lagi.

Budak kecik ni... kau sangat pelik.




TEPUKAN gemuruh menghiasi dewan tersebut. Ada juga yang bersiul dan bersorak memberi semangat kepada peserta terlibat.

"Yeahh!" Syazwan bersorak penuh semangat melihat ahli kumpulannya berjaya mengalahkan pihak lawan.

Wajah Farisya juga berubah ceria. Pasukan daripada pihak lawan ketinggalan banyak mata berbanding pihak mereka. Dia yakin peluang untuk menang adalah cerah. Biarpun ada di antara pihak lawan memiliki kebolehan yang hebat tetapi mereka tidak cepat mengalah. Kerana pesan masternya, jangan menilai sesuatu pada luaran dan jangan sesekali mengalah selagi belum tamat masa perlawanan.

"Nampaknya kali ni pasukan kita bolot pingat lagi," ujar Syazwan ceria.

Farisya mengangguk setuju. 5 tahun berturut-turut pasukan mereka membolot pingat dan piala. Boleh dikatakan peserta dari pasukan mereka mempunyai kebolehan tersendiri. Jadi tidak hairanlah kalau setiap tahun boleh menjuarai pertandingan.

Sejak berumur 6 tahun, dia mula berminat dengan taekwondo. Semuanya kerana Syazwan. Kerana dia tidak suka kalah dengan lelaki itu. Mereka kawan namun pada masa yang sama mereka adalah lawan.

"Risy, sakit lagi ke kaki tu?" tanya Syazwan sambil menunjuk ke arah kaki Farisya yang terseliuh akibat perlawanan sebentar tadi.

Fariya mengangguk. Sebentar tadi kakinya sudah spray dengan ubat. Namun masih terasa sakit lagi.

"Tak pe. Nanti okey la tu," ujar Syazwan bersama senyuman. Dia mengambil tempat di sebelah Farisya.

Lawan Farisya benar-benar kasar biarpun perempuan. Perlawanan pertama Farisya membuatkan Farisya cedera di kaki namun masih boleh menyertai perlawanan seterusnya. Namun apabila masuk ke perlawanan ketiga, Farisya sudah cedera teruk. Walaupun kalah namun baginya Farisya tetap berjaya kerana itu adalah pertandingan pertama Farisya. Tidak hairanlah sekiranya ada kekalahan. Kerana kekalahan itu akan membangkitkan semangat Farisya semula.

"Suatu hari nanti Risy akan kalahkan Wan!" ujar Farisya tiba-tiba.

Syazwan tersengih.

"No way. Risy takkan boleh kalahkan Wan." Syazwan menggoyangkan jari telunjuknya. Berlagak sahaja gayanya.

Farisya mencebik. Tidak berpuas hati. "Risy akan kalahkan Wan nanti. Risy akan bolot pingat banyak-banyak. Risy nak dapat tali pinggang hitam dan kalahkan Wan," ujar Farisya lagi. Penuh bersemangat.

Syazwan menayang gigi. Kemudian dia menunjuk ke arah tali pinggang biru yang diikat kemas di pinggangnya.

"Wan dah biru, Risy baru kuning. Macam mana Risy nak kalahkan Wan kalau warna tali pinggang pun Risy tak boleh kalahkan lagi." Bangga Syazwan bersuara. Sengaja nak cari gaduh dengan Farisya.

Farisya menggigit bibir. Geram. "Suatu hari. Suatu hari nanti!"

Syazwan tersengih lagi. "Risy, boleh janji tak?"

"Janji apa?" tanya Farisya, masih dengan rajuknya apabila Syazwan merendah-rendahkannya tadi.

"Janji kita akan menang pingat dan naik atas pentas sama-sama. Kita akan pakai black belt sama-sama dan pergi ke seluruh dunia bersama-sama," ujar Syazwan penuh makna.

Mata Farisya sudah bersinar. Dia tahu biarpun Syazwan suka mengusiknya namun Syazwan bijak memujuknya kembali.

Dia mengangguk pantas. Penuh semangat.

"Janji!"

"Tapi Wan takkan benarkan Risy kalahkan Wan tau," sambung Syazwan nakal membuatkan wajah ceria Fariya berubah. Syazwan tersengih.

Perbualan itu terhenti apabila nama Syazwan dipanggil oleh pengurus pasukan mereka. Memberitahu Syazwan agar bersiap sedia untuk perlawanan seterusnya. Syazwan menangguk, mengerti akan arahan itu.

Dia bingkas bangun dan menyiapkan diri. Menyarungkan body protector teakwondo pada tubuhnya, memakai head guard dengan kemas serta peralatan lain untuk pelindungan.

Beberapa rakan seperjuangan yang lain sudah mengelilinginya, memberi kata-kata semangat. Syazwan menangguk penuh semangat. Senior-seniornya banyak memberi tunjuk ajar dan trick untuk kalahkan pihak lawan.

Farisya tersenyum sendiri. Dia memberi isyarat 'good luck' kepada Syazwan bersama senyuman lebar. Syazwan membalas senyuman dan memberi isyarat bahawa dia akan berusaha kuat.

Perlawanan demi perlawan berlangsung. Daripada pukul 10 sehingga pukul 5 petang. Seharian berada di dewan itu. Meskipun penat namun masing-masing tidak sabar untuk menunggu keputusan.

Majlis penutupan diakhiri dengan pengumuman pemenang pertandingan taekwondo tersebut. Seperti biasa, peserta dari tempat mereka memenangi banyak pingat. Tidak dinafikan ahli dari Elite Martial Arts Academy sememangnya melahirkan ahli yang berkualiti. Kerana itulah akedemi mereka sering memenangi pingat.

Syazwan menepuk tangan apabila nama Farisya dipanggil. Farisya pula seakan-akan terkejut.

"Cepatlah!" Syazwan menegur Farisya membuatkan Farisya terkocoh-kocoh naik ke pentas.

Syazwan tersengih melihat Farisya yang pertama kali naik pentas. Pasti Farisya gemuruh kerana berada di atas pentas di hadapan orang ramai apatah lagi ada orang hebat bersama.

Namun dia dapat melihat wajah ceria Farisya yang pertama kali memenangi pingat perak itu. Baginya kali pertama Farisya adalah sesuatu yang hebat. Mungkin kerana Farisya sering berusaha untuk mengalahkannya. Sememangnya semangat Farisya sangat kuat.

Farisya bergegas ke arah tempat duduknya. Dia tersengih sambil menayangkan pingat yang tergantung di lehernya ke arah Syazwan. Diacah-acah pingat itu kepada Syazwan. Konon-konon nak bangga diri kerana dia juga mendapat pingat.

"Tahniah," ucap Syazwan ringkas.

Farisya tersengih kemudian mengangguk pantas. Mereka memandang semula ke arah pentas dan memberikan tepukan gemuruh kepada peserta yang menang.

"Wan!" Farisya kelihatan tidak sabar-sabar apabila nama Syazwan dipanggil. Syazwan tersengih. Dia berjalan dengan tenang naik pentas. Kerana menaiki pentas bukan lagi kali pertama baginya.

Farisya menepuk tangan kuat dengan senyuman lebar. Seronok melihat Syazwan turut menenangi pingat. Namun dia tahu Syazwan pasti mendapat pingat emas kerana prestasinya dalam perlawanan kali ini juga sangat hebat. Sehingga ke akhir Syazwan bertahan biarpun tangannya terseliuh sedikit.

"Risy!"

Syazwan melambai-lambai tangannya ke arah Farisya bersama senyuman lebar. Kemudian dia menayangkan pingat emas yang tergantung di lehernya.

Laju langkahnya menuju ke arah Farisya yang turut menayangkan pingat yang tergantung di leher. Masing tersenyum bangga.

"Tengok, kita dah tunaikan janji kita. Kita menang dan naik pentas bersama-sama," ujar Syazwan gembira.

Farisya menayang giginya. Dia hanya mengangguk, mengiakan kata-kata Syazwan.

"Risy, untuk pertandingan akan datang nanti, kita akan berusaha lebih kuat!" Mata Syazwan sudah bersinar-sinar bagaikan tidak sabar-sabar untuk menunggu pertandingan seterusnya.

"Ya! Dan Risy akan menang pingat emas jugak!" ujar Farisya, turut bersemangat.

Kemudian masing-masing ketawa. Tanpa mempedulikan riuh di dewan itu. Bagaikan dunia itu hanya mereka berdua sahaja.

Bayangan kisah lalu itu akhirnya berakhir sampai di situ sahaja. Album gambar di hadapannya dipandang kosong. Gambar dia dan Syazwan pada hari tersebut. Pada kali pertama dia menyertai pertandingan dan mengenali dunia taekwondo lebih meluas. Pertandingan itu memberi semangat kepadanya apatah lagi perjanjian yang mereka berdua buat ketika itu.

Sama-sama berjaya, sama-sama menang pingat, sama-sama naik ke atas pentas, sama-sama pakai black belt dan sama-sama mengeliling dunia. Perjanjian itu, mereka sudah tunaikan beberapa tahun lalu. Namun dunia seni pertahanan mereka semakin menjauh apabila Syazwan bertindak untuk berehat dan fokus pada pelajaran ketika masuk ke kolej.

Sehingga sekarang dia masih memikirkan hal itu. Sedangkan mereka dari kecil bersama-sama. Membesar dengan taekwondo, berjanji akan terus bersama-sama untuk meneruskan bidang itu. Tetapi Syazwan mungkir janji.

"Benci kau, Syazwan! Pandai aje kau nasihatkan aku tapi kau tu tiba-tiba undur diri dari dunia taekwondo," gumam Farisya geram.

Dahulu dia selalu tidak mahu mengalah dengan lelaki itu. Dari segi pelajaran, sukan dan segalanya. Dia tidak mahu mengalah dan tidak akan mengalah. Tetapi sehingga sekarang, dia masih di tempat kedua. Masih tidak mampu mengalahkan Syazwan meskipun dia kuat berlatih. Meskipun Syazwan berhenti berlatih tetapi lelaki itu boleh membaca pergerakkannya.

"Kau mungkir janji lepas tu kau arah aku macam-macam," tambah Farisya. Terus ditutup album itu dan ditolak ke tepi. Menyampah.

'Wan janji takkan tinggal Risy. Wan akan bersama Risy selama-lamanya. Wan takkan tinggal Risy kalau Risy sedih macam ni. Wan akan ada dengan Risy selalu. Wan janji!'

Tiba-tiba kata-kata itu bermain di fikirannya. Serta merta Farisya tergamam sendiri. Dia tidak tahu mengapa kata-kata itu terlintas di fikirannya ketika itu.

Selepas kematian arwah mamanya, Syazwan tidak pernah tinggalkannya. Selalu ada di sisinya biarpun kadangkala mereka kerap bergaduh. Syazwan memegang janjinya itu sehingga sekarang. Tidak sekalipun Syazwan meninggalkannya. Sentiasa menegang janji meskipun adakalanya mood tidak baik. Kerana Syazwan tahu hendak menyejukkan hatinya kembali.

Untuk seketika Farisya mengeluh perlahan. Dia memandang pula bingkai gambar di atas meja belajarnya. Gambarnya bersama Syazwan.

"Wan, sebenanya apa yang kau tengah fikirkan sekarang? Sebelum ni kau tak pernah paksa aku. Sebelum ni kau tak pernah ungkit pasal hal ni. Kau selalu faham aku. Tapi kenapa sekarang dah lain?" Perlahan Farisya bersuara.

'Okey! Betul Farisya! Aku memang dah lama kenal kau tapi aku tak pernah faham apa yang kau fikir, apa yang kau buat! Yang aku tahu Nur Farisya Najihan seorang yang berhati keras, kepala konkrit, yang hanya tahu pentingkan perasaan sendiri aje! Orang macam kau sesuai hidup sorang-sorang. Tak payah ada kawan. Sebab takkan ada siapa pun boleh faham kau!'

Fariya mengetap bibir mengenangkan kata-kata Syazwan pagi tadi. Geram. Tetapi dia tahu, salahnya juga kerana menuturkan kata-kata kesat kepada Syazwan. Sebelum ini Syazwan tidak pernah membalas, adakalanya lebih suka mengabaikan kata-katanya. Tetapi hari ini Syazwan membalas semula dan kata-kata itu menusuk ke hatinya.

"Benci kau! Hergh!" Bingkai gambar itu diterbalikkan. Dia meluat melihat wajah Syazwan ketika itu.

Ketukan pintu membuatkan dia terkejut.

"Risy..." Suara dari luar memanggil lembut bersama ketukan.

"Ye Mak Mah," jawab Farisya pantas. Namun dia masih tidak bangun dari tempat duduknya.

Mak Mah membuka perlahan pintu bilik dan memandang wajah Farisya.

"Kenapa Mak Mah?"

Farisya memberikan reaksi pelik apabila memandang wajah Mak Mah. Ada yang tidak kenakah?

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni