Home Novel Cinta Seteguh Karang
Seteguh Karang
Wann Shazni
3/1/2019 21:15:57
71,189
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 31

LAMA Hakimi berdiam diri memikirkan apa yang dia lihat dan dengar itu. Ada benar kata-kata Syazwan yang lepas. Farisya lebih banyak menyembunyikan perasaan sebenarnya.

Adakah taekwondo itu benar-benar penting dalam hidup gadis itu? Dia dapat melihat wajah kecewa Farisya yang terpaksa menarik diri daripada pertandingan itu.

Sewaktu dia sampai ke bilik Farisya, dia tidak nampak sebarang kelibat gadis itu. Dia cuba mencari. Barangkali gadis itu bersiar-siar menghirup udara. Kerana setiap kali dia datang, Farisya mengadu bosan sahaja.

Dia mencari dan terus mencari sehinggalah dia melihat seorang gadis seperti Farisya berseorangan di bangunan atas bumbung itu. Belum sempat dia melangkah mendekatinya, dia terdengar Farisya bercakap sesuatu dalam telefon. Dan kata-kata itu membuatkan dia terdiam seribu bahasa.

Akhirnya dia memilih untuk mengundur diri. Mungkin Farisya memerlukan masa untuk bersendirian dan jujur pada perasaannya sendiri.

Semakin hari dia semakin mengenali anak tunggal Dato' Kamal itu. Entah kenapa adakalanya dia sukar untuk mengerti setiap tindakan si gadis itu. Sukar dijangka apa yang gadis itu fikirkan.

"Kimi, kau okey ke?" tanya Haziq sambil menghulurkan segelas air milo ais kepada Hakimi.

Hakimi tersenyum sebagai jawapan. Senyuman kelatnya cukup mengambarkan perasaannya tidak baik ketika ini.

"Kes tu dah jadi kes polis. Biarlah polis buat kerja. Sekarang aku yakin Dato' Kamal akan ambil tindakan keras pada anak Tan Sri Hisyam. Sebab benda ni melibatkan nyawa. So, don't worry okey? Aku rasa kau yang terlebih risau berbanding si Arie tu." 

Haziq menepuk bahu Hakimi berkali-kali, cuba memberi semangat kepada sahabatnya. Semenjak kejadian itu berlaku, Hakimi lebih resah berbanding dengan orang lain. Malah setiap hari Hakimi akan bersama dengan Dato' Kamal ke balai polis itu menyelesaikan kes itu.

"Tak adalah, Ziq. Kalau aku kat tempat dia pun, aku akan kecewa. Pertandingan dah dekat. Tiba-tiba kena tarik diri." Hakimi menerangkan situasi Farisya. Terbayang keadaan Farisya bersendirian tadi. Sedaya upaya unuk menahan diri daripada mengalirkan air mata.

"Anggaplah bukan rezeki dia, Kimi."

Hakimi mengangguk lemah. Dia tahu tiada siapa pun yang boleh melawan takdir. Segalanya sudah tersurat. Yang penting Farisya sudah sembuh. Itu sahaja.

"Dato' Kamal cakap dia boleh consider kalau anak Tan Sri Hisyam minta maaf pada Farisya. Dia pun tak nak saman bagai. Dia nak perhubungan yang baik. Kau sendiri tahu macam mana sikap Dato' Kamal. Dia tak balas perbuatan jahat orang pada dia. Dia balas dengan senyuman.

Sama macam Farisya. Dia tak kisah pun padahal nyawa dia mungkin boleh melayang waktu tu. Anak dengan bapa, sama-sama memiliki hati murni. Aku dapat rasa jalan hidup Farisya tu penuh dengan dugaan yang kita tak pernah nampak. Dia lalui semua benda tu dengan senyuman. Tanpa kita tahu apa yang tersirat di hati dia," ujar Hakimi panjang lebar.

Sebenarnya dia kagum. Bukan semua orang mampu bersikap seperti itu. Biarpun sudah menjadi kes polis, Dato' Kamal masih memberi peluang kepada mereka. Kalau benar mereka insaf, dia akan tarik balik kes itu tanpa dendam.

Haziq mengangguk. Sebab itulah Dato' Kamal seorang usahawan yang berjaya. Kerana akhlak dan budi bahasanya. Seorang yang bertanggungjawab dan tidak menggunakan cara kotor dalam perniagaannya. Seorang bapa tunggal yang membesarkan anak gadisnya seorang diri. Begitu tabah kehidupan dua beranak itu.

"Tak apalah Kimi. Aku pun harap kedua pihak dapat berdamai." Sekali lagi Haziq menepuk bahu Hakimi memberi semangat.

Hakimi mengangguk. Mengharapkan kedamaian di kedua pihak.

"Bila Farisya boleh keluar?" Haziq segera mengubah topik. Tidak mahu melihat wajah risau Hakimi itu lagi.

"Rasa esok dia dah boleh keluar. Dato' Kamal minta aku bawa dia pergi balai polis untuk bagi keterangan. Mungkin petang sikit rasanya. Pagi tu aku masuk office macam biasa," jawab Hakimi.

Haziq tersenyum penuh makna.

"Kimi, kenapa aku rasa macam hubungan kau dengan dia semakin lama semakin rapat. Ada apa-apa ke?" usik Haziq nakal. Dia ingin mengorek rahsia sehabis mungkin. Bukan calang-calang orang yang Hakimi kenal kali ini. Anak Dato’ Kamal pula tu.

"Eh kau ni ke situ pulak." Hakimi membuat muka.

Haziq ketawa.

"Tak ada salah pun kan? Kau pun belajar la jujur pada diri. Aku kenal kau, Kimi..." ujar Haziq.

Hakimi membisu. Bicara tentang perasaan membuatkan dia tidak tahu hendak membuat apa. Dia cuma menolong atas dasar ihsan. Lagipun kebetulan dia berada di situ. Automatik dia terlibat sama di setiap kejadian melibatkan Farisya.

"Aku tak nak cakap banyak. Aku cuma boleh doa agar Tuhan bukakan hati kau untuk terima orang baru dalam hidup kau..." ujar Haziq penuh makna.

Dia tidak mengerti kekecewaan bercinta jadi dia tidak faham perasaan Hakimi ketika ini. Apa yang dia nampak hanyalah kemunculan Farisya banyak mengubah hidup Hakimi.

Hakimi terus membisu. Kalau benar cinta, kenapa dia tidak merasainya?




"ALAH, kenapa pak cik ni pulak yang datang?" bebel Farisya sebaik sahaja melihat Hakimi di hadapannya. Mana pula perginya Shahrina ni. Janji nak datang ambilnya.

Hakimi ketawa. Sememangnya Farisya seorang yang berterus terang. Apa yang berada di dalam mindanya, diluahkan terus di bibir. Langsung tak fikir perasaan orang lain. Mujurlah dia sudah terbiasa dengan sikap selamba gadis itu.

"Sebab kejap lagi nak pergi balai polis terus. Rin tak jadi ikut sebab ada hal," ujar Hakimi menjawab soalan Farisya.

"Wait! Apasal semua orang tiba-tiba ada hal pula? Dan kenapa pak cik ni yang sibuk-sibuk nak urusakan semua benda. Kita bukan rapat sangat pun." Selamba badak aje Farisya membidas. Sejak memanggil Hakimi dengan panggilan pak cik, dia teruskan sahaja panggilan itu dengan selambanya. Nampak macam Hakimi pun dah malas nak tegur sebab kalau tegur pun macam tak ada apa-apa.

"Ada benda lain diorang nak uruskan. Dato' Kamal minta saya uruskan anak dara dia sorang ni. Kebetulan dia ada meeting penting. Jangan la marah." Hakimi terus meluru ke arah almari pakaian. 

Beg kertas dikeluarkan. Beberapa pakaian milik Farisya yang dilipat kecil di dalam almari itu dimasukkan ke dalam beg itu. Di situ dia dapat melihat betapa Farisya mementingkan kekemasan meskipun dalam keadaan sakit.

Farisya menjegil matanya melihat Hakimi mengemas barang-barang peribadinya. Bukan apa, dia bimbang ada benda yang memalukan yang terlihat. Mujurlah dia sudah menyusun kemas terlebih dahulu. Itu pun disebabkan bosan berada di wad apatah lagi keseorangan.

"Dah macam suami la pulak," desis Farisya sendiri. Tengok pada gaya tu dah nampak.

"Apa?" Hakimi memandang Farisya. Seakan-akan terdengar sesuatu yang tidak disangka.

"Hah? Eh nothing. Kemas kemas. Silakan..." Farisya tersengih nakal sambil membuat isyarat tangan menyuruh Hakimi teruskan mengemas. Mujur Hakimi tidak dengar dengan jelas, kalau tidak mesti teruk dia dibahan lelaki itu nanti.

Hakimi menyembunyikan senyuman. Telinganya cukup jelas dengan kata-kata itu. Boleh tahan jugak budak tak cukup inci ni.

"Bila doktor nak buang jarum ni? Tak boleh ke dia buang awal-awal? Sakit kot," bebel Farisya lagi. Dibelek-belek jarum di tangannya. Risau sungguh kalau tiba-tiba patah. Meraung nanti. Tu tak termasuk dengan adegan darah memancut keluar. Ah! Boleh pengsan gamaknya.

Bila fikiran dah mula mengarut, macam-macam benda dahsyat yang dia bayangkan. Farisya oh Farisya.

"Diorang bimbang pesakit lari sebelum bayar bil," balas Hakimi membuatkan Farisya mencebik.

Tak payah tunggu doktor buang jarum ni untuk lari. Silap-silap aku bawa lari sekali dengan botol ni. Desis Farisya.

"Diam tu tanda ada agenda jahat la tu..." tegur Hakimi.

"Ehh... baik-baik sikit." Mata comelnya dijegil ke arah Hakimi, cuba menidakkan apa yang bermain di fikirannya ketika itu. Macam tahu-tahu aje apa yang dia fikir. Ada kuasa membaca fikiran orang ke apa dia ni?

Hakimi ketawa. Setelah siap mengemas, dia meletakkan beg itu di hadapan Farisya.

"Saya nak pergi settle bil dan ubat dulu. Duduk sini diam-diam. Jangan nak buat agenda jahat sangat," pesan Hakimi lagak seorang abang. Memberi amaran agar Farisya tidak membuat yang bukan-bukan. Mana la tahu, belum apa-apa lagi dah lesap. Bukan boleh harap sangat si budak kecil ini. Harap aje kecil tapi lincah!

Farisya membuat muka. "Yelah. Terima kasih banyak-banyak."

Hakimi tersenyum. "Good girl."

Farisya menggigit bibir sambil memerhati Hakimi melangkah keluar dari biliknya. Perangai lelaki itu sukar dijangka. Yang peliknya kenapa papanya boleh bagi lelaki itu settle semua tentang dirinya. Dah macam tak ada orang lain sangat yang nak boleh tolong pun. Padahal boleh aje Pak Mat yang settle semua ni.

"Arie!"

Mata Farisya terkebil-kebil memandang susuk tubuh di muka pintu. Macam tak percaya dengan apa yang dia lihat.

"Eh cik!"

Cik Hanisa segera mendekati Farisya. "Saya baru dengar berita daripada Syazwan semalam. Terkejut juga bila dengar kamu tarik diri dari pertandingan."

Farisya tersengih. Cepatnya berita tersebar. Penangan orang famous macam ni la keadaannya.

"Tak ada rezeki kali ni, Cik."

Cik Hanisa mengusap lembut berlakang Farisya. Anak pelajar yang dia harapkan selama ini. Tidak sangka hal itu berlaku. Dia mendengar desas desus menyatakan pelajar kolej mereka terlibat dengan gengster. Apatah lagi mendengar nama Arie di sekitar kolej. Dia fikir dia tersalah dengar. Dia cuba menghubungi Farisya tetapi hanya mendapat voice message. Kemudian dia menghubungi Syazwan memandangkan lelaki itu rapat dengan Farisya.

Mengetahui hal yang sebenar, dia segera meluru ke hospital. Khabar angin menyatakan Farisya terlibat dengan gengster. Apa pula menyatakan Farisya cuba memukul senior. Semuanya dikhabarkan adalah perkara buruk. Dia tidak mempercayai semua itu sehinggalah kebenaran terbongkar.

"Cik buat apa kat sini?" tanya Farisya.

"Melawat kamu la." Cik Hanisa menghulurkan sebakul buah tangan kepada Farisya.

Farisya tersengih sambil mencapai buah tangan itu. "Tapi saya dah boleh keluar la cik."

"Oh ye ke. Alhamdulillah. Kamu tu kena jaga diri elok-elok. Kamu tu permata kolej. Ada mata-mata yang memerhati tidak puas hati dengan kamu. Khabar angin yang tersebar semuanya tak boleh pakai dan banyak memburukkan nama kamu. Kalau berterusan macam tu, kamu boleh jatuh Arie." Panjang Cik Hanisa memberi nasihat.

Mananya tidak risau. Sekejap sahaja berita tersebar malah datang dengan bermacam-macam versi. Entah mana satu versi yang boleh diguna pakai. Kebanyakan tersebar berita buruk berbanding berita benar. Haih! Bimbang juga nama Farisya menjadi busuk hanya kerana khabar angin yang tidak betul itu.

Farisya angkat tangan gaya menabik hormat.

"Baik cik! Don't worry."

"Ni kamu balik dengan siapa?" tanya Cik Hanisa lagi.

"Kawan. Dia tengah settle bil dengan ubat kat kaunter.

Cik Hanisa mengangguk faham. Mujur dia datang cepat, dapat juga dia melihat keadaan Farisya sendiri di hadapan matanya.

"Kalau macam tu saya pergi dulu. Jaga diri baik-baik. Jangan risau pada pertandingan tu. Nanti ada pertandingan lain, saya bagitahu kamu. Buat masa sekarang kamu berehat la dulu." Cik Hanisa cuba memujuk. Barangkali memahami kekecewaan Farisya yang tidak dapat bertanding.

Farisya menangguk.

"Baik cik. Terima kasih datang melawat."

Cik Hanisa tersenyum. Dia keluar dari bilik itu dengan segera. Hatinya sedikit tenang apabila mengetahui khabar angin itu hanyalah sekadar khabar angin. Melihat Farisya yang sudah ceria itu, dia yakin Farisya sudah sembuh.

Farisya mengeliat kecil. Tidak sangka Cik Hanisa yang garang itu melawatnya ketika itu. Mungkin kerana wanita itu risau tentang dirinya. Apatah lagi dia tidak dapat bertanding dalam perlawanan taekwondo yang ditunggu-tunggukan oleh wanita itu.

Ahh... cuti kali ini lebih membosankan daripada duduk dalam wad ni. Keluh Farisya sendirian.




SUASANA di dalam kereta sunyi sepi. Tiada suara. Tiada siaran radio. Sepi. Masing-masing sibuk melayan perasaan sendiri.

Selepas habis memberi keterangan di balai polis, Farisya sengaja ingin berdepan dengan Fatin. Ingin melihat keadaan gadis yang bajet bagus itu.

Biarpun Fatin tidak merayu tetapi dia tahu Fatin menyesal. Dia mendengar dari pegawai polis yang menyatakan Fatin mula memberi kerjasama. Sama ada disebabkan papanya atau gadis itu benar-benar berubah.

Farisya tidak berniat hendak memanjangkan pergaduhan itu. Dia malas hendak ambil kisah. Jadi dia menarik kembali fail saman yang papanya lakukan itu. Lagipun papanya sendiri membiarkan dia untuk membuat keputusan. Jadi dia membuat keputusan itu tanpa ada rasa penyesalan sedikit pun.

"Kau tahu tak... masa kecil dulu arwah mama aku pesan. Biar orang buat jahat kat kita, jangan kita buat jahat kat orang. Biar orang lempar tahi kat kita tapi kita balaslah dengan bunga. Masa tu aku tahu arwah mama aku nak ajar aku sesuatu. Ajar aku untuk tidak hidup berdendam meskipun aku bakal kehilangan sesuatu..." Suara Farisya mencecah kesunyian itu.

Hakimi membisu. Dia yakin apa yang Farisya katakan ketika ini berkaitan dengan apa yang berlaku di balai polis sebentar tadi. Dia juga mendengar ayat yang sama Farisya ucapkan kepada Fatin.

"Lagipun aku bukan Tuhan nak hukum dia. Memang betul cara dia salah. Ikutkan hati tadi aku nak lunyai-lunyaikan dia. Tapi waktu tu aku terbayang muka arwah mama aku. Sebab tu aku tukar fikiran. Biarlah. Tak rugi aku bagi bunga pada orang yang dah lempar benda busuk kat aku..." sambung Farisya lagi.

"Baguslah..." Pendek sahaja jawapan Hakimi.

Farisya memaling muka. Memandang Hakimi yang fokus memandu itu. Hairan. Mamat ni apasal tiba-tiba senyap. Kena kejutan ke macam mana?

"Weh pak cik. Apasal diam?" tanya Farisya selamba. Padahal lelaki itu lebih tua daripadanya.

Hakimi tersenyum. "Tak ada apa-apalah..."

Dahi Farisya berkerut seribu. Aneh jugak kalau Hakimi ni diam. Walaupun lelaki itu nampak matang tetapi adakalanya perangai kebudak-budakan terserlah.

Hakimi terus fokus pada pemanduannya. Tidak berniat hendak menerangkan apa-apa kepada Farisya.

Ketika itu fikirannya ligat memikirkan apa yang dia nampak depan matanya sebentar tadi. Tetapi dia tidak yakin adakah itu benar. Kalau benar, apa yang dia perlu lakukan?

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni