Home Novel Cinta Seteguh Karang
Seteguh Karang
Wann Shazni
3/1/2019 21:15:57
10,911
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

“AH! Tak guna punya jam!” bentak Farisya.

Laju kakinya berlari melintasi setiap orang yang lalu lalang di kaki lima itu. Dia sudah terlambat. Semuanya bermula daripada sebuah jam. Hanya kerana alarm tidak berbunyi, dia sudah terlewat untuk bangun.Bukan itu sahaja, motor skuternya pula buat hal. Ah! Tambah lagi masalah. Mahu telefon kawannya, smartphone miliknya pula lupa cas. Ah! Makin bertambah-tambah masalahnya. Hari ini adalah hari yang paling malang sekali!

Makin pantas langkahnya tanpa mempedulikan sekeliling.Yang penting dia perlu berada di kampus dengan segera. Mujurlah rumah dan kampusnya berdekatan sahaja. Hanya 10 minit perjalanan dari rumah ke kampusnya. Hanya 10 minit tetapi dengan motosikal. Ah! Malang!

Sempat lagi matanya mengerling ke arah jam tangan. Sudah pukul 9.45 pagi. Tinggal 15 minit lagi sebelum pukul 10.

Ah masak aku kali ni! Farisya merengus geram.

Dia sudah berjanji dengan pensyarahnya untuk menghantar tugasan pada hari ini sebelum pukul 10. Dia diberi pengecualian atas sebab terlibat dengan pertandingan taekwondo mewakili kolej dua hari yang lepas.

Seharian dia menghabiskan tugasannya sehinggalah pukul 4 pagi. Lebih malangnya dia pula terlupa untuk set alarm seperti biasa.Mungkin kerana terlalu letih menghadap tugasan itu seharian. Ditambah pula dengan keletihan perlawanan itu.

Buk!

“Auww!” Farisya menggosok-gosok pinggangnya. Dah macam cempedak buruk jatuh ke tanah.

“Ah maaf!” ujar satu suara itu.

“Woi buta ke!” marah Farisya, geram.

“Maaf, saya tak perasan,” ujar suara itu lagi, memohon maaf. Dia tidak nampak kehadiran gadis itu sebaik sahaja keluar dari kedai itu .Mungkin kerana terlindung dek pokok-pokok kecil yang bersusun elok di situ.

Farisya terus bangun. Dia merengus geram sambil menggosok sikunya yang sudah berdarah itu.

Mata lelaki itu memandang ke arah siku Farisya. “Siku berdarah tu. Saya bawa pergi klinik ya.” Lembut sahaja nada suaranya. Barangkali serba salah melihat gadis itu cedera dek pelanggaran itu.

“Tak payah!” balas Farisya kasar.

Moodnya kacau bilau. Hari ini adalah hari malang buatnya.Jam tangan dipandang. Matanya sudah terbuntang. “Ahh!” jerit Farisya perlahan.Tanpa mempedulikan lelaki itu, dia terus berlari.

“Ah dik tunggu!” Lelaki itu terkial-kial sendiri apabila melihat gadis bertocang satu itu melarikan diri tanpa sempat dia membuat apa-apa. Untuk seketika dia hanya menggeleng kepala.

‘Garangnya. Hai budak-budak sekarang ni. Makin tak hormat orang yang lebih tua...’ desis Hakimi sendirian.

 

 

 

PELUH menitis disapu perlahan dengan tangannya. Terasa belakangnya sudah basah dengan peluhan itu. Keadaannya tidak ubah seperti sudah selesai larian marathon. Mujurlah beg galasnya dapat menutup belakang tubuhnya. Kalau tidak, pasti akan ditegur.

“Hah Arie, saya ingat kamu tak dapat hantar tugasan harini,” tegur Cik Hanisa sebaik sahaja melihat gadis itu berada di hadapan mejanya. Dia memandang pelik ke arah Farisya. Terhenti tangannya daripada menyemak assignment pelajar.

“Maaf cik,” jawab Farisya dengan nafas yang tercungap-cungap.

“Kenapa dengan kamu ni?”

Farisya tersengih. “Marathon cik.”

Cik Hanisa hanya menggeleng kepala. Tidak bertanya banyak. Macam-macam kerenah sungguh pelajar seorang ini.

Dia kenal sangat sikap pelajar yang bernama Nur Farisya Najihan itu. Seorang yang peramah dan selamba. Gadis itu sangat terkenal dikolej itu dengan panggilan Black Arie hanya kerana gadis itu sering sahaja membolot semua pertandingan taekwondo hampir seluruh Malaysia. Bukan itu sahaja, gelaran itu juga diberi kerana tiada seorang pun berani dekat denganFarisya kerana sikap kasarnya yang seakan-akan tomboy itu.

“Macam mana dengan pertandingan? Saya dengar awak bolot lagi.”

Farisya membuat isyarat peace sambil tersengih. “Peace cik. Takkan cik tak kenal saya.” Selamba sahaja Farisya menjawab. Dia rapat dengan pensyarah-pensyarah yang mengajarnya. Malah dia senang hati apabila dilayan dengan elok. Bukan bermakna memilih kasih tetapi dia tahu pensyarahnya mahu yang terbaik buatnya. Apatah lagi dia terpaksa membahagikan masa kepada pelajaran dan juga latihan taekwondonya.

Dia tidak peduli pada mulut-mulut yang mengata belakang tentangnya. Yang penting dia mampu buktikan kepada mereka yang dia mampu buat. Biarpun kadang kala dia sanggup tidak tidur dua tiga hari semata-mata menyiapkan tugasan yang diberi oleh pensyarah.

“Terima kasih cik sebab terima assignment saya walaupun terlewat 10 minit,” ujar Farisya separuh lega. Biarpun terlewat 10 minit dari waktu yang ditetapkan namun dia lega apabila Cik Hanisa masih berbaik hati untuk menerima tugasan itu tanpa bertanya banyak. Dia yakin CikHanisa memahaminya mungkin kerana sikapnya yang tidak pernah mungkir janji.

“Lepas ni hantar tepat pada masanya ya.” Cik Hanisa hanya tersenyum.

Baginya Farisya seorang pelajar cemerlang. Pelajaran dan sukan dibahagi sama rata. Gadis itu mempunyai potensi yang tinggi untuk berjayadalam kedua-dua bidang tersebut. Kerana itu dia masih memberi peluang agar pelajar seperti Farisya tidak disia-siakan.

 “Baik cik!” ujar Farisya semangat lalu mengangkat tangan dengan gaya tabik hormat. Kemudian dia meminta diri untuk berlalu.

Cik Hanisa hanya menggeleng kepalanya melihat Farisya yang sudah berlalu keluar dari pejabat. Rajin sungguh gadis itu marathon walaupun baru semalam menyertai pertandingan taekwondo. Masih tak tahu duduk diam walaupun seharian keletihan. Bibirnya tersenyum kecil.

Farisya mengelap peluhnya. Ah! Kerja gila dia marathon dari rumah hingga ke kampusnya. Assignment punya pasal. Elok sangatlah dia dah training stamina lebih awal dari orang lain.

Disentuh sikunya yang terasa sengal itu. Dijenguk sikunya yang luka gara-gara pelanggaran tadi. Masih ada darah dan kotoran yang melekat.Segera dia mengatur langkah menuju ke singki yang berdekatan.

Sikunya dibasah sedikit demi sedikit. Terasa pediha pabila air mengalir pada luka itu. Dia perlu basuh luka itu sebelum ada kuman merebak.

“Arie!”

Satu suara menegurnya membuatkan Farisya berpaling. Pili air ditutup.

“Yo!” Farisya membalas sapaan itu sambil mengangkat tangan.

Dua susuk tubuh itu mendekati Farisya.

“Bukan hari ni kelas batal ke?” tanya Syazwan pelik. Baginya aneh kalau terlihat Farisya berada di situ sedangkan kelas mereka pada pagi itu dibatalkan.

 “Awak lupa ke, Arie?” tanya gadis bertudung biru lembut yang berdiri di sebelah Syazwan pula. Shahrina namanya atau mesra dipanggil Rin.

Wan Muhammad Syazwan atau lebih mesra dipanggil Wan merupakan kawan baik sejak kecil merangkap kawan sekelas Farisya. Shahrina merupakan kawan sekelas mereka berdua. Dia mula berkenalan dengan mereka sebaik sahaja masuk ke kolej itu. Lama-kelamaan menjadi kawan baik sehinggakan ke mana-mana sahaja pergi seringkali bertiga.

 “Aku tahu la kelasbatal. Ni aku datang hantar assigment la,” jawab Farisya.

Mereka hanya menangguk faham. Hampir terlupa bahawa Farisya diberi kelonggaran untuk penghantaran assignment individu kerana terlibat dengan pertandingan.

“Hah korang berdua ni buat apa pula kat sini?” Farisya menjongket kening.

“Saya pergi library. Terserempak dengan Wan tadi,”jawab Shahrina.

Syazwan hanya mengangguk. Dia kebosanan berada di rumah jadi dia membuat keputusan untuk pergi ke library untuk mencari maklumat untuk projek mereka yang seterusnya. Tanpa sangka dia bertemu dengan Shahrina yang turut berada di library itu juga. Akhirnya mereka membuat keputusan untuk mencari maklumat bersama.

Farisya hanya mengangguk.

 “Kenapa pula dengan tangan awak tu, Arie?” tanya Shahrina bersama dahi berkerut. Matanya sempat lagi menilik siku Farisya yang terluka itu. Dari tadi dia melihat Farisya menggosok-gosok sikunya sewaktu bercakap.

 “Jatuh. Mamat mana tah jalan tak guna mata.” Farisya mula bengang apabila mengingati peristiwa tadi. Sudahlah dia terlambat, boleh pula muncul bala lain. Jelas perasaannya ditunjukkan melalui riak wajahnya.

Syazwan dan Shahrina saling berpandangan sambil menjongket bahu sesama sendiri. Pasti ada sesuatu yang berlaku. Kalau tidak, Farisya tidak mengamuk sebegitu.

“Kau basuh mamat tu ke?” duga Syazwan. Sudah masak dengan sikap Farisya yang kasar itu. Disebabkan itulah tiada sesiapa yang berani mendekati Farisya. Peliknya hanya dia sahaja yang mampu bertahan dengan Farisya sejak dari zaman sekolah walaupun kadangkala mereka bertengkar juga.

Farisya mengembung pipinya. Dia tahu Syazwan mengejeknya.

“Awak ni kan Wan, tak baik tanya Arie macam tu,” celah Shahrina pantas. Dia malas hendak melihat dua orang itu bertekak di hadapannya. Masing-masing ego, masing-masing nak menang.

Syazwan berpeluk tubuh. “Apa pula? Arie memang macam tu kan. Pantang orang cari pasal dengan dia, mesti dia mengamuk.”

Syazwan mempertahankan kata-katanya. Dia lebih mengenali Farisya sejak zaman sekolah. Malah mereka sama-sama dalam kelab taekwondo. Adakalanya Farisya menyalahgunakan kemahiran seni pertahanan dirinya untuk menakutkan orang lain. Sebab itulah sesiapa yang tersalah langkah, pasti berlaku pergaduhan.

“Hari ni aku kejar masa. Tak sempat nak bertekak dengan mamat tu,” balas Farisya pantas. Dia merengus geram. Cuba juga untuk mempertahankan dirinya yang tidak bersalah itu.

Shahrina hanya mampu menggeleng kepala. Ada benarnya kata-kata Syazwan. Farisya menakutkan. Sebab itulah dia digelar BlackArie. Tetapi Farisya juga yang menyelamatkannya daripada dibuli. Ketika di awal semester, dia dibuli oleh senior-senior. Ketika itulah Farisya yang menyelamatkannya daripada terus menjadi mangsa mereka. Sejak daripada itu,tiada sesiapa yang berani membulinya. Apatah lagi Farisya sering berada disisinya.

Sejujurnya pada mula perkenalannya dengan Farisya, dia merasakan gadis itu sangat menakutkan. Tetapi semakin lama dia mengenali gadis itu, dia tahu Farisya bukanlah teruk seperti yang disangka. Cumanya Farisya lebih suka menggunakan kekasaran untuk menunjukkan perasaannya. Itu sifat semula jadi gadis itu. Tetapi dalam kasar itu, masih ada kelembutan yang jarang terlihat.

Syazwan hanya membuat muka. Kiranya bernasib baik la mamat tu. Kalau tak masak kena balun dengan si Farisya ni. Paling sikit pun patah gigi aje mamat tu.

“Ni nak pergi klinik ke tak?” tanya Syazwan. Walaupun bertekak sampai nak pecah bangunan sekalipun, dia masih risaukan Farisya. Senakal-nakalnya dalam mengusik, dia masih tidak sampai hati untuk membiarkan Farisya cedera.

Farisya memandang Syazwan. Dia mendekati lelaki itu.Terpaksa didongakkan kepalanya untuk memandang wajah Syazwan memandangkan tingginya hanya pada paras bahu lelaki itu.

“Kau kot kena pergi klinik.” Farisya menunjal dada bidang Syazwan.

Segera Syazwan menepis tangan kecil itu. Dia pelik dengan kata-kata Farisya.

“Apasal pulak?”

“Sebab aku rasa nak belasah kau.” Farisya tersenyum manis sebelum menghalakan penumbuknya ke arah perut Syazwan namun malangnya Syazwan terlebih dahulu menahan tumbukan itu.

Shahrina segera memekup mulutnya.

Farisya merengus. Geram setelah Syazwan berjaya menahan tumbukannya. Lelaki itu seakan-akan mampu membaca mindanya.

Syazwan tersenyum kemenangan.

“Rin, awak nak tahu tak kenapa Arie tak nak pergi klinik?” Syazwan sudah tergelak-gelak. Nakal.

Shahrina mengerut dahinya manakala Farisya sudah berpeluk tubuh menahan geram.

“Sebab dia takut dengan doktor... auw!” Syazwan terus terduduk dek tendangan padu Farisya di betis kanannya.

Puas! Farisya menyapu tapak tangannya dengan wajah senanghati. “Padan muka. Cuba cari penyakit lagi!”

Shahrina menelan air liur. Tidak berani masuk campur.

“Bukan boleh tegur, asyik nak melenting aje,” gumam Syazwan sambil menggosok betisnya. Kaki besi Farisya boleh buat kakinya hampir patah.

“Okey Rin, aku balik dulu! Tolong bawa mamat galah ni ke klinik.” Farisya mengenyitkan mata dan melambai manja. Dia terus melangkah tanpa berpaling belakang.

Dia benci kerana Syazwan mengetahui kelemahannya. Hanya kerana kelemahannya itu, Syazwan sering menggunakannya untuk menakut-nakutkannya. Syazwan kerap mengusiknya tentang itu. Hanya kerana kesilapan lalu, dia diejek oleh lelaki itu sehingga sekarang. Farisya merengus.

“Awak nak pergi klinik ke Wan?” tanya Shahrina, naif.

Syazwan memandang Shahrina. “Rin, awak nampak saya ni cedera parah ke?”

Segera Shahrina menggeleng.

“Dah tu awak jangan buat perangai lurus bendul sangat.” Syazwan bingkas bangun. Dia merenggangkan otot-otot kakinya. Dipandang susuk tubuh Farisya yang kian jauh itu.

Arie oh Arie. Bila kau nak berubah?

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni