Home Novel Cinta Seteguh Karang
Seteguh Karang
Wann Shazni
3/1/2019 21:15:57
6,981
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

SKUTER ungu Farisya berhenti di kedai runcit biasa di kawasan perumahannya. Seperti biasa sebelum pulang ke rumah, dia akan berhenti untuk membeli stok makanan ringan terlebih dahulu. Segalanya untuk menghilang stress ketika dia sibuk dengan projek dan assignmentnya.

Sejak kes malam itu, dia dapat semula motor skuternya yang rosak itu. Paling penting, dia tidak perlu menumpang Syazwan pergi dan balik. Tidak perlulah dia mendengar bebelan lelaki itu.

Laju langkahnya menuju ke arah peti minuman. Matanya menatap tepat pada air kotak kiwi kegemarannya.

"Oh!"

Farisya memandang satu batang tubuh yang berdiri di sebelahnya yang cuba mencapai air kotak yang sama.

"Hah, awak!" Suara itu menegur.

Farisya mendongak memandang lelaki itu yang sememangnya lebih tinggi darinya. Macam kenal.

"Hello?" Lelaki itu menegur.

"Ahhh! Ingat! Kat balai polis tu kan?" Akhirnya dapat juga otak Farisya beroperasi dengan normal.

Kejadian malam yang lepas membuatkan otaknya tidak dapat beroperasi dengan baik. Puas dia fikir gerangan lelaki itu. Seakan-akan pernah bertemu tetapi dia tidak pasti di mana. Untuk seketika matanya membulat memandang lelaki itu dengan mulutnya yang sudah berbentuk bulat.

"Dan paling penting pelanggaran dan air kotak kiwi!" tambah Farisya lagi. Suaranya latang. Namun bibirnya tersenyum gembira seolah-olah ada perkara yang menyeronokkan. Rupanya mereka sudah bertemu berkali-kali sebelum kejadian malam itu.

Hakimi memeluk tubuh. Yes! Dia mengangguk sambil memandang gadis itu. Mereka bertemu kembali selepas kejadian malam itu. Setelah mengetahui gadis itu adalah gadis yang menghuru harakan hidupnya, dia tidak sabar-sabar hendak bertemu. Mengharapkan gadis itu juga tidak lupa kewujudannya yang penuh pergaduhan itu.

"Ah! Kenapalah tak ingat sebelum ni," gumam Farisya sedikit geram.

Hakimi ketawa. Comel pulak tengok budak kecik ni.

"Apa gelak-gelak?" Farisya mencekak pinggang.

"Kiwi lagi?" tanya Hakimi sambil menjongket sebelah keningnya.

"Yes!" Laju Farisya ingin mencapai namun air kotak itu dapat ke tangan Hakimi terlebih dahulu.

"Sorry, this is mine." Selamba sahaja Hakimi berkata.

"Eh, saya datang dulu kot. Dan paling penting saya yang buka peti ni dulu." Farisya tidak mahu mengalah.

Kenapalah dalam banyak-banyak air kotak minuman yang ada dalam peti tu, perisa kiwi juga yang selalu tinggal satu. Stress! Paling penting kenapa mereka berdua perlu berebut minuman yang sama? Macam dah tak ada minuman lain yang boleh diminum. Padahal banyak lagi perisa lain.

"Hari tu saya dah mengalah so adil kan?" Hakimi masih bermain tarik tali.

Farisya membuat muka tidak puas hati.

"Dah lama hidup?" tanya Farisya.

"Alhamdulillah dah 26 tahun hidup," jawab Hakimi selamba.

Farisya mengigit bibir.

Hakimi ketawa melihat Farisya sebegitu. Dia hampir lupa bahawa gadis itu mempunyai seni pertahanan diri. Silap-silap malam ni tidur di hospital pula.

"Dik... awak ni memang keras kepala ye?" tanya Hakimi.

Farisya menjongket bahu. Sengaja malas menjawab pertanyaan itu. Yang penting dia mahukan air kotak kiwi itu secepat mungkin.

"Awak dewasa kan, so belajar la mengalah." Selamba Farisya bersuara.

Kalau dah dinamakan Nur Farisya Najihan, mana kenal erti mengalah. Selagi tak dapat selagi itu dia akan terus mencuba. Tiada perkataan erti putus asa dalam kamus kehidupannya.

Hakimi ketawa lagi. "Kalau saya tak mengalah, awak nak belasah saya ke?"

Farisya menjongket bahu lagi.

"Tingkatan berapa sekarang?" Sempat lagi Hakimi beramah mesra.

Serentak itu mata Farisya terbuntang. What?! Pantas dia menendang kaki lelaki itu dengan perasaan geram.

"Kenapa?" Hakimi mengerut dahi menahan sakit. Tanya umur aje pun. Bukan suruh belanja ke apa. Dia makin tidak mengerti. Apalah misteri sangat budak kecil ni.

"Saya tahu la badan saya ni kecil. Tapi tak payah la anggap saya ni budak sekolah. Umur saya dah 19 tahun kot!" Farisya sudah bengang.

Dia paling geram bila orang salah tafsir umurnya. Hanya kerana berbadan kecil dia dianggap budak sekolah. Ah! Geram.

Mata Hakimi tidak berkelip-kelip memandang Farisya. Kemudian dia menilik dari atas hingga ke bawah. 19 tahun ke?

"Apa tengok-tengok?" Farisya mencekak pinggang.

"Tak nampak macam umur 19 tahun pun..." ujar Hakimi tanpa ragu-ragu. Memang tak nampak langsung. Tambah-tambah pula ketinggian dan tubuh badan yang kecil sebegitu.

Farisya merengus. "Dah tu kau nak suruh aku tempek kad pengenalan kat dahi ke?" Farisya bersuara bengang membuatkan lelaki itu tersengih.

Uih garang. Desis Hakimi.

"Maaf, maaf. Dah, jangan gaduh kat sini. Jom..." Hakimi mencapai satu lagi air kotak ice  lemon tea dan berlalu ke kaunter.

Farisya merengus. Air kiwi aku mangkuk! Gumam Farisya geram.

Hakimi memandang Farisya. Dia membuat isyarat mata ke arah air kotak yang sedang dibayar itu. Kemudian dia tersenyum.

Happy la tu dapat air kotak kiwi. Senget! Bebel Farisya geram. Merasakan lelaki itu sedang mengejeknya kerana kalah dalam perbalahan kali ini.

Tanpa bersuara, dia terus berlalu keluar dari kedai itu dengan perasaan bebal. Sudahlah dihimpit masalah tentang majlis ulangtahun. Hari ini juga la dia nak jumpa mamat yang menghuru harakan hidup dia. Bila la nak aman hidupnya?

"Eh nak pergi mana tu?" Hakimi bertanya kuat.

Farisya menghentikan langkah dan memandang Hakimi.

"Ambil la air kotak tu. Malas la nak gaduh," balas Farisya dengan muka masam. Buat kali pertamanya dia mengalah dengan seseorang. Pecah rekod gayanya. Dia malas nak bertekak lagi. Tambahan pula mood yang dah spoil itu.

Hakimi ketawa. Dia mendekati Farisya dan memberikan air kotak kiwi itu.

"Nah. Bayaran untuk pelanggaran hari tu."

Dahi Farisya berkerut.

"Siku luka kan?" tanya Hakimi sambil membuat isyarat mata ke arah siku Farisya yang terluka dek perlanggaran hari itu.

Farisya menjenguk sikunya. Hanya tinggal bekas sahaja. Lukanya makin pulih.

"Ceh. Ni aje? Ingatkan nak belanja candle light dinner ke..." Mula la Farisya nak merepek. Padahal mereka bukan kenal sangat pun.

Kata-kata Farisya membuatkan Hakimi tersengih kecil. Boleh tahan jugak budak ni.

"Ni satu cara baru untuk mengorat ke macam mana?" Hakimi menjongket kening.

Farisya menjeling geram. Terus dicapai air kotak yang berada di tangan lelaki itu dengan kasar.

"Perasan. Harap muka aje kacak tapi otak lembab." Selamba Farisya membidas.

Hakimi menelan air liur. Dia hanya memerhati Farisya mengeluarkan sesuatu dari dompet jeansnya.

"Nah, ambil ni. Aku tak suka berhutang dengan orang." Farisya menghulurkan dua keping wang ringgit seringgit.

Hakimi menolak lembut. "Saya ikhlas belanja."

Farisya membuat muka.

"Jangan nanti tiba-tiba kau muncul depan aku cakap aku ada hutang kau bagai plak. Masa tu nyawa kau melayang kang." Keras Farisya bersuara. Terus hilang saya-awak seperti awal perbualan mereka tadi.

Hakimi hanya menggosok belakang tengkuknya. Tidak tahu hendak membalas apa. Apatah lagi gadis itu mula berkasar. Risau pula dia. Tak pasal-pasal malam ni tidur kat hospital.

"Tak pe, nanti kalau terserempak lagi saya belanja candle light dinner pulak," balas Hakimi selamba.

Sekali lagi Farisya membuat muka.

"Ni taktik baru lelaki untuk sapu perempuan ke?" tanya Farisya selamba. Deep sungguh ayat.

Hakimi terkedu. Macam berbalas balik aje gayanya.

Farisya tersengih. "Okey bro. Gerak dulu." Terus Farisya melangkah ke arah motor skuternya.

"Eh kejap!" Hakimi cuba memanggil namun gadis itu sudah pun memecut laju.

Astaghfirullah al' azim. Budak ni bawa motor macam ada 9 nyawa. Hakimi menggeleng kepala. Untuk seketika dia mengeluh perlahan.

'Sembang macam kenal tapi nama tak bagitahu pun.'

Hakimi tersenyum sendiri. Telatah gadis itu sungguh mengusik hatinya. Ganas dan selambanya macam dah lama kenal padahal nama pun tak tahu.

Ajaibnya mereka bertemu lagi kerana air kotak kiwi. Meskipun pertemuan sebelum ini bukanlah pertemuan yang baik tetapi hari ini seakan-akan mereka sudah mengenali antara satu sama lain.

Hai... wujud jugak manusia macam budak kecik tu. Selamba derk dia aje.

Tanpa membuang masa, dia mengatur langkah ke arah kereta dan pulang ke rumah.




BIBIRNYA bernyanyi-nyanyi kecil entah apa lagunya. Air kotak kiwi di tangannya dipandang. Untuk seketika dia tersengih kecil. Tak pernah tak ada orang yang mengalah untuknya. Termasuk lelaki yang baru dikenalinya itu.

"Amboi dia. Seronok sungguh ye hari ni," tegur Mak Mah yang kebetulan baru keluar dari dapur.

Kalau balik rumah dengan nyanyi-nyanyi ni, sah sudahlah mood gadis itu baik. Kalau balik dengan muka monyok, adalah tu. Tapi rasanya pagi tadi mood Farisya dah jadi angin puting beliung. Macam mana pula tiba-tiba boleh jadi angin sepoi-sepoi bahasa pula?

"Air kotak kiwi, Mak Mah." Farisya tersengih sambil menayang air kotak kiwi kegemarannya itu. Sehari tanpa air kotak kiwi memang tidak lengkap hidupnya.

Mak Mah menggeleng kepala. "Risy ni kalau balik rumah tanpa air kotak kiwi memang tak sah."

Faham sangat la dia dengan minuman kegemaran Farisya itu. Setiap hari lepas balik dari kolej pasti akan dibawa baliknya air kotak kiwi itu. Tetapi dia yakin mood Farisya yang seronok lain macam itu bukan kerana air kotak tersebut. Pasti ada hal lain yang berlaku.

Farisya terus memeluk lengan Mak Mah dan menarik wanita itu ke ruang tamu.

"Eh ni dah kenapa pula tarik Mak Mah ni?" tanya Mak Mah sedikit kalut. Ada la tu nak ajak bergosip.

Farisya tersengih. Macam tahu-tahu aje Mak Mah dengan apa yang dia lakukan.

"Mak Mah duduk sini." Farisya menyuruh wanita itu duduk.

Mak Mah memandang pelik. Namun terus duduk di atas sofa seperti yang disuruh oleh gadis itu. Farisya  juga mengambil tempat di sebelahnya.

"Mak Mah percaya tak dengan cinta pandang pertama?" Farisya mula bertanya soalan di luar jangkaan.

Mata Mak Mah merenung anak gadis itu dengan pandangan pelik. Untuk seketika dia tersenyum kecil.

"Kenapa? Wan cakap apa kat Risy?" tanya Mak Mah separuh mengusik.

Farisya membuat muka. "Ish Mak Mah ni. Bukan si mamat galah tu la. Ni orang lain."

Riak wajah Mak Mah seakan-akan terkejut. Lelaki mana pula yang Farisya berkawan selain daripada Syazwan? Ada sesuatu yang dia tidak tahukah?

"Ala Mak Mah ni pandang Risy macam pesalah pulak. Ni ada sorang mamat ni, dia acah-acah nak ngorat Risy. Siap bagi air kotak kiwi free lagi," adu Farisya sambil menayang air kotak kiwi di tangannya.

"Amboi. Patutlah balik tadi asyik bernyanyi aje," sindir Mak Mah sekadar bergurau. Patutlah bahagia semacam. Rupanya hati sedang berbunga-bunga cinta.

Farisya tersengih.

"Jatuh cinta ke?"

Farisya membuat muka. "Terima kasih ajelah Mak Mah. Tapi kalau dia jatuh cinta dengan Risy, Risy nak buat apa ye?" Farisya mula buat perangai perasannya.

Mak Mah menepuk paha Farisya. "Boleh tahan perasan juga Risy ni ye."

Farisya tergelak. "Mak Mah perli Risy eh."

"Tak adalah. Mak Mah gurau aje. Terkejut Mak Mah bila Risy tanya soalan macam tu," ujar wanita itu lagi.

Setahunya Farisya tidak pernah bercakap tentang soal percintaan. Biarpun bersama Syazwan sejak dari kecil namun perasaan itu tidak pernah berubah. Mungkin Farisya sudah bertemu dengan calon yang sesuai?

"Ah Mak Mah, jangan nak fikir macam-macam sangat. Risy gurau aje okey!" Farisya segera membetulkan keadaan. Bimbang Mak Mah mula salah tafsir tentang ceritanya. Niatnya tadi hanya hendak bergurau sebagai pembuka bicara sahaja. Tapi rasanya Mak Mah dah mula salah faham tentang kata-kata itu.

"Mamat tu la punca siku Risy luka tapi dia juga la yang jadi penyelamat Risy pada kes malam tu," ujar Farisya menceritakan hal sebenar.

"Tapi of course la Risy yang kalahkan malaun-malaun tu. Yang dikatakan penyelamat Risy tu sebab dia jadi saksi kejadian. Jadi tak ada la timbul salah faham kata Risy belasah geng mangkuk ayun tu saja-saja," tambah Farisya lagi.

Mak Mah ketawa. Risau sangat orang salah faham.

"Iyelah Risy..."

"Mak Mah ni. Risy tak tipu okey. Ni cerita yang sebenar. Tadi Risy cuma terserempak dengan dia kat kedai. Berebut air kiwi tapi lastly dia belanja Risy. Tu yang Risy happy. Sebab Nur Farisya Najihan tak pernah kalah dalam perbalahan," ujar Farisya bangga.

Sedari tadi asyik bercakap tidak henti-henti. Risau kononnya Mak Mah salah faham lepas tu digosipnya bersama papanya. Lagi haru. Lepas tu benda yang sekecil zarah tu la nak jadi sebesar bumi. Nak tunggu gosip tu hilang sepenuhnya pun mahunya tunggu berbulan-bulan.

Mak Mah tersenyum kemudian menepuk paha gadis itu. Seronok dia melihat Farisya bercerita.

"Mak Mah suka tengok Risy macam ni. Sejak akhir-akhir ni banyak sangat kejadian berlaku pada Risy. Jadi Mak Mah risau."

Farisya terharu. Bebelan tadi terhenti seketika. Wanita yang sudah dianggap seperti ibunya sendiri itu dipeluk manja dari tepi.

"Mak Mak ni saja aje kan nak buat ayat sedih time mood happy. Spoil la Mak Mah." Selamba Farisya membebel.

"Ish budak ni!" Dicubit paha Farisya. Geram sungguh. Tak pernah pun Farisya hendak serius dalam kata-katanya.

Farisya tersengih. Pelukan di renggangkan.

"Risy..."

"Ye Mak Mah." Farisya masih tersengih-sengih.

Mak Mah tersenyum. Segala yang masih simpan di dalam hati tidak mampu diluahkan. Apatah lagi melihat wajah Farisya yang ceria itu. Dia tahu seceria bagaimana pun wajah itu, hati gadis itu diselit pelbagai kedukaan yang disembunyikan. 

"Nak makan?"

"Risy nak mandi dulu. Kejap lagi Risy turun makan," kata Farisya.

Perutnya tidak terlalu lapar memandangkan dia sudah habiskan satu kotak air kiwi itu. Lagipun dia dari kolej. Lebih baik bersihkan diri dulu sebelum menjamah apa-apa makanan.

"Risy naik atas dulu. Nanti Risy turun cari makan sendiri. Mak Mah tak payah la susah-susah. Risy boleh buat sendiri," tambah Farisya lagi membuatkan wanita itu hanya mengangguk.

Farisya meminta diri berlalu untuk membersihkan diri. Mak Mah hanya memandang sayu sambil menghantar pandangan ke arah Farisya yang sudah menaiki tangga ke tingkat atas. Biarlah dia membisu dahulu. Kerana hati Farisya masih dengan kenangan lalu.


Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni