Home Novel Cinta Seteguh Karang
Seteguh Karang
Wann Shazni
3/1/2019 21:15:57
9,980
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 11

LONGLAI langkahnya masuk ke dalam rumah. Rumah mewah dan besar tetapi sunyi. Sama seperti perasaannya. Kosong. Kemewahan itu tidak bermakna dia bahagia. Kemewahan itu hanya kekosongan baginya. Kemewahan yang membuatkan dia hidup kesepian.

Satu demi satu anak tangga dia naiki. Longlai langkahnya bagaikan tiada semangat. Wajahnya yang selalu ceria itu bertukar muram. Kata-kata Syazwan sebentar tadi bermain di fikirannya.

'Kau kena fikir, Arie. Apa yang papa kau buat selama ni semuanya untuk kau. Bukan untuk diri dia sendiri.'

Tombol pintu dipulas perlahan. Sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam biliknya, beg sandangnya terus dilempar ke atas katil.

Kakinya terus melangkah ke arah meja belajarnya. Kerusi ditarik perlahan lalu melabuhkan punggungnya. Laci meja ditarik perlahan. Satu bingkai gambar yang diterbalikkan dibawa keluar.

Bingkai gambar yang dahulu berada di atas meja itu kini hanya menjadi barang simpanan yang penuh dengan kenangan. Bukan bermakna benci tetapi kerana dia tidak sanggup. Menatap satu wajah yang pergi dengan tiba-tiba dari hidupnya. Segalanya masih jelas biarpun sudah bertahun-tahun berlalu.

"Mama... Risy patut buat apa sekarang ni?" tanya Farisya perlahan. Sedih macam mana sekalipun, air matanya tidak mahu mengalir. Tidak pernah mengalir selepas kematian mamanya, Datin Zahra.

Nafas dihela berat. Matanya terus menatap wajah di dalam bingkai gambar itu. Wajah ceria terpancar pada ketiga-tiga wajah itu. Wajahnya, wajah papanya dan arwah mamanya. Ketika ini dia baru sahaja memenangi tempat pertama dalam pertandingan melukis.

Melukis adalah hobi arwah mamanya. Kelebihan itu juga ada padanya. Seni mengingati dia pada arwah mamanya. Yang terlalu mencintai seni, sering tersenyum di hadapan kanvas. Baginya, tatkala melihat mamanya melukis, mamanya bagaikan berada di dalam dunia sendiri. Dunia yang penuh kebahagian.

Bibirnya mengukir senyuman. Kenangan bahagia yang diulang tayang di mindanya itu menusuk ke hatinya. Kini tiada lagi wajah mamanya yang tersenyum. Tiada lagi tubuh yang duduk di hadapan kanvas. Tiada lagi pelukan hangat dari seorang ibu. Tiada lagi suara lembut menyapanya. Tiada segalanya. Segalanya sudah pergi. Yang tinggal hanyalah kenangan. Suara, pandangan, sentuhan dan segalanya. Tiada lagi di sisinya.

"Mama... boleh ke Risy tersenyum bahagia sedangkan hari tu adalah hari kematian mama?" Farisya bertanya lagi. Seakan-akan bercakap dengan arwah mamanya.

Lama dia menatap gambar itu. Fikirannya bercelaru. 8 tahun dia tidak pernah jejak kaki ke syarikat papanya. 8 tahun dia tidak pernah memperkenalkan diri sebagai pewaris Berjaya Architects Sdn Bhd.

Dia tahu papanya bukan punca kematian mamanya. Tetapi dia tidak dapat menerima hakikat ketika itu. Sehinggalah dia terbiasa untuk jadi seorang yang misteri, yang tidak suka orang lain mengetahui latar belakangnya.

Berterusan digelar Black Arie hanya kerana sikap kasarnya. Nur Farisya Najihan yang selama ini dipanggil Risy akhirnya bertukar menjadi Arie. Baginya Risy adalah masa lalunya. Hanya keluarganya sahaja yang masih memanggilnya Risy.

Risy atau Arie, mereka tetap orang yang sama. Cumanya perwatakkan sahaja yang berbeza. 8 tahun yang lalu Farisya seorang yang sangat manja. Sikapnya masih seayu seorang perempuan. Walaupun tenaganya kuat dan semangatnya kental ketika perlawanan taekwondo tetapi dia masih seorang yang manja. Masih mahukan perhatian orang-orang sekeliling untuk tempat dia bermanja dan mendapat kekuatan. 

Tetapi segalanya berubah. Farisya yang kini hanyalah seorang yang berhati keras. Bukan hanya hatinya, malah kelakuannya juga berubah. Dia berubah menjadi kasar untuk melindungi dirinya. Dia lebih suka menyendiri berbanding bersama dengan orang lain. Terus menghindari diri daripada orang ramai mengetahui latar belakangnya. Terus membina tembok untuk tutup kelemahan dirinya.

Gambar itu terus dipandang. Dia lelah. Dia lemah. Tetapi dia mahu bertahan agar tidak terjatuh.




8 TAHUN LALU

Dia tersengih sendiri sebaik sahaja melihat dirinya dari dalam cermin panjang itu. Dress labuh berwarna rose yang tersarung pada tubuh kecilnya itu dan ditambahkan dengan aksesori cekak bunga rose di kepala membuatkan dia nampak comel.

"Comelnya anak mama ni," ujar satu suara lantas memeluk dari belakang. Digomol pipi di kecil itu.

Farisya menayang giginya. "Mestilah comel, anak siapa?" balas Farisya.

Datin Zahra tersenyum sambil mengusap lembut rambut anak perempuannya yang berusia 11 tahun itu. Cepat sungguh anak sulungnya membesar.

"Comelnya anak papa. Cantik juga mamanya," tegur satu suara pula.

Farisya terus melangkah ke arah Dato' Kamal dan menayangkan dress yang tersarung indah pada tubuhnya di hadapan papanya. Dress pilihan mamanya untuk ke majlis ulangtahun syarikat Berjaya Architects Sdn Bhd iaitu syarikat milik papanya.

"Mama pilihkan," ujar Farisya gembira.

Dato' Kamal tersenyum lantas mengusap kepala anak kecilnya. Farisya tersengih.

Datin Zahra tersenyum manis. Dia mendekati suaminya dan membetulkan tali leher yang senget itu. Lebar senyuman Dato' Kamal dengan perbuatan romantik isterinya itu.

"Terima kasih sayang..." ucap Dato' Kamal romantik.

Sememangnya mereka bertiga jarang bersama kerana sibuk dengan hal syarikat. Namun isterinya cukup memahami dan tidak pernah sekalipun merugut. Wanita itu hanya tersenyum dan menyambut kepulangannya dengan penuh kelembutan. Seperti memahami tugasannya yang memaksa untuk dia melupakan waktu-waktu bersama keluarga.

Baginya, isteri adalah semangatnya. Wanita itu banyak menyumbang bakti kepadanya dan juga syarikat. Kalau bukan sebab isterinya, syarikatnya belum tentu maju seperti sekarang. Itulah hasil titik peluh mereka berdua. Merangkak sedikit demi sedikit dan akhirnya berjaya. Sikap tidak berputus asa itulah yang membuatkan mereka suami isteri berjaya.

Tiga tahun lepas dia meminta isterinya berhenti memikirkan hal syarikat dan fokus pada anak perempuan mereka, Farisya. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu kerana kesibukan mereka, Farisya akan terabai. Isterinya tidak bersuara banyak. Sekadar akur dengan keputusannya sebagai seorang ketua keluarga.

"Terima kasih Zah sebab selalu ada di sisi abang sampai sekarang. Dari hidup susah sampailah berjaya. Abang tak sangka syarikat ni dah 5 tahun dibina. Kalau bukan sebab semangat Zah, syarikat ni mungkin tak wujud," ujar Dato' Kamal lembut.

Datin Zahra tersenyum manis. Wajahnya sering sahaja mengukir senyuman. Sepanjang masa. Seorang wanita bekerjaya yang tiada sifat bongkak dalam diri. Masih lagi seorang yang rendah diri. Kerana baginya pangkat bukan segalanya.

"Eh, baby tendang la," ujar Datin Zahra tiba-tiba sambil menyentuh perutnya yang membukit itu.

Farisya yang berdiri di hadapan cermin dengan gaya ala-ala model segera mendekati mamanya apabila mendengar kata-kata itu.

"Mana ma? Mana?" tanya Farisya teruja dengan mata membulat.

Dato' Kamal menyentuh perut isterinya. Kandungan berusia 6 bulan itu semakin aktif. Pasti anak keduanya adalah lelaki.

Farisya turut menyentuh perut yang terselindung di sebalik baju mengandung itu. Matanya membulat dan mulutnya terbuka. Dia teruja. Terasa perut mamanya bergerak-gerak menendang perut mamanya seperti yang dikatakan.

"Mama, sakit tak adik tendang?" tanya Farisya, wajahnya sedikit risau.

Datin Zahra tersenyum lagi. Dato' Kamal mengusap kepala Farisya.

"Adik tendang sebab dia happy. Tapi mama tahan sakit tu sebab mama tahu adik happy," jawab Dato' Kamal bagi pihak isterinya.

Datin Zahra mengangguk. Farisya menangguk faham.

"Dato, majlis dah nak mula..." tegur satu suara dari muka pintu membuatkan perbualan tiga beranak itu terhenti.

Dato’ Kamal mengangguk. “Jom.”

Mereka bersiap-siap ke dewan majlis untuk memulakan majlis. Farisya dan Datin Zahra mengambil tempat di meja hadapan berdekatan pentas. Manakala Dato' Kamal berada di tepi dewan, bersiap sedia untuk memberi ucapan pembukaan majlis.

Pihak-pihak atasan, pengarah dari pelbagai syarikat dan shareholder juga datang untuk memeriahkan suasana lagi. Ada juga di antaranya sahabat-sahabat rapat Dato' Kamal dan Datin Zahra.

Kemudian pengacara majlis mula memberi sepatah dua kata menandakan majlis sudah bermula.

Tepukan gemuruh diberikan sebaik sahaja Dato' Kamal menaiki pentas itu. Lelaki itu memberi ucapan pembukaan. Berterima kasih pada yang hadir, pada rakan kongsi dan juga para sahabat yang membantu serta menceritakan beberapa pengalaman ringkas sebelum syarikat itu berjaya.

Ucapan terima kasih pada sang isterinya dan juga anak perempuan sulungnya serta pemberitahuan tentang kehadiran baby dalam hidup mereka tidak lama lagi. Meminta mereka mendoakan syarikat itu terus maju pada masa akan datang.

Setelah ucapan itu berakhir, dia menjemput para hadirin yang datang untuk menjamah jamuan yang disediakan.

Farisya tersengih dan membuat thumb up pada papanya. Bangga dengan papanya. Sama seperti papanya bangga terhadapnya ketika dia naik ke pentas.

Setiap kali dia memenangi pingat ketika perlawanan taekwondo, papanya akan membuat thumb up kepadanya dari tempat duduk penonton. Sebab itu setiap kali papanya naik atas pentas dan membuat ucapan, dia akan membuat perkara yang sama seperti mana papanya membuat kepadanya.




"BETUL ni?" tanya Dato' Kamal sedikit risau. Takkanlah dia hendak membenarkan isterinya pulang bersendirian apatah lagi waktu malam.

"Tak apa. Biar la Pak Mat tunggu abang. Zah balik naik teksi aje," ujar Datin Zahra lembut.

Kasihan pada Pak Mat, pemandu mereka untuk ulang alik dari rumah ke syarikat semula. Lebih baik dia naik teksi sahaja.

Farisya sedih. Dia baru sahaja hendak menjamah makanan yang terhidang mewah di ruang buffet. Dessert yang menarik pandangannya. Acuan dan susunan yang membuatkan dia kagum. Kesenian dari makanan yang terhidang itu membuatkan matanya tidak mampu terlepas pandang. Apatah lagi pada manisan.

"Risy ikut mama balik ye," pujuk Dato' Kamal. Tahu sangat kalau Farisya bermasam muka itu. Tambah-tambah pula hanya sempat menjamah sedikit sahaja makanan yang terhidang.

Tiba-tiba pula isterinya tidak sedap badan. Mungkin kerana pembawakan budak. Dia tidak mahu isterinya berlama-lama di situ. Bimbang lain pula jadinya.

"Alaa..." Masam mencuka wajah Farisya ketika itu.

"Risy, kesian kat mama dengan adik..." pujuk Dato' Kamal, lembut.

"Tak apa la bang, Zah balik sorang. Kesian Risy, biarlah dia bersoronok." Datin Zahra bersuara.

Wajah Farisya masih masam mencuka.

"Risy nak duduk sini tapi Risy tak nak mama balik sorang-sorang..." ujar Farisya perlahan. Hati kecilnya berbelah bahagi. Tetapi mamanya bersama baby. Takkanlah dia mahu membiarkan mamanya sakit seorang diri.

Dato' Kamal tersenyum. Dia menggosok kepala Farisya. "Anak papa ni bijak tau."

Farisya membuat muka masam lagi.

"Nanti papa bawa Risy pergi makan tau. Risy nak dessert macam kat meja tadi," ujar Farisya manja. Kononnya balasan untuknya kerana temankan mamanya pulang.

"Ye, papa janji. Jaga mama elok-elok ye," pesan Dato' Kamal.

Farisya mengangguk pantas.

Datin Zahra tersenyum. Sikap Farisya membuatkan dia terharu. Dalam rajuknya itu, masih ada sifat kemanusian. Dia tidak sangka anak perempuannya sudah membesar dengan baik.

"Abang." Datin Zahra memanggil perlahan. Kemudian dia mencapai tangan suaminya dan mengucup lembut tangan suaminya.

"Maafkan kesalahan Zah. Halalkan makan minum dan segala yang abang beri pada Zah. Zah bahagia. Terima kasih sebab sudi terima baik buruk Zah," ucap Datin Zahra perlahan.

Dato' Kamal mengusap lembut bahu isterinya.

"Zah ni. Abang tak marah la. Abang tahu Zah penat sebab pembawakan budak," jawab Dato' Kamal lembut.

Dia tahu sikap isterinya. Biarpun benda nampak kecil tapi isterinya sering memohon maaf. Padahal dia tidak mengambil serius tentang hal sekecil zarah. Ucapan maaf dari bibir isterinya membuatkan hatinya lembut. Tidak pernah sekalipun dia meninggikan suara kepada isterinya. Isterinya menyediakan keperluan secukupnya untuknya. Tiada satu yang tertinggal.

Setiap pagi sebelum pergi kerja dan setiap kali pulang dari kerja, tangan itu terus dikucup. Disambut dengan senyuman meskipun dalam keletihan. Tiada sedikitpun rungutan terlepas dari bibir wanita itu. Sungguh, Datin Zahra seorang wanita yang serba boleh. Bibirnya sentiasa tersenyum manis.

Datin Zahra tersenyum. Dia menggemggam perlahan tangan suaminya. Dipandang lama wajah suaminya. Farisya di sisinya juga dipandang.

"Zah jaga kesihatan ye. Abang balik lewat sikit. Tapi kalau ada apa, bagitahu abang. Risy, jaga mama baik-baik tau," pesan Dato' Kamal kepada kedua cinta hatinya itu.

"Yes boss!" Farisya tabik hormat pada papanya membuatkan mereka bertiga ketawa.

Sebaik sahaja teksi berhenti di hadapan mereka, Datin Zahra dan Farisya terus masuk tanpa berlengah-lengah lagi. Yakin Dato' Kamal masih ada tetamu yang perlu dilayan.

Farisya melambai papanya. Senyuman Datin Zahra waktu itu adalah senyuman terakhir sebelum dia pergi buat selama-lamanya.




FARISYA berdiri di hadapan cermin. Kenangan itu masih jelas di mindanya. Sukar untuk dia lupakan apa yang berlaku. Apatah lagi semua itu terjadi pada dirinya. Di hadapan matanya sendiri.

Wajahnya dirapat ke cermin. Kemudian diselak sedikit sisi rambutnya. Disebalik rambut yang menutupi, ada luka yang tidak pernah hilang. Satu garis di dahi sebelah kirinya. Kesan calar akibat kemalangan itu. Kemalangan yang mengorbankan nyawa mama dan adiknya. Hanya dia sahaja yang terselamat kerana tercampak keluar dari kereta.

Kesan calar itu membuatkan dia tidak pernah melupakan apa yang telah berlaku pada 8 tahun yang lalu. Setiap kali melihat kesan calar itu, dia terbayang keadaan kemalangan itu. Biarpun sudah 8 tahun berlalu tetapi kejadian itu masih segar diingatannya.

Farisya memejam mata. Hanya kecuaian pemandu lain, mama dan adiknya menjadi mangsa. Hanya kerana kecuaian pemandu lain, dia hilang kasih sayang seorang ibu.

Pemandu lori yang merempuh teksi mereka itu memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat. Kerana kecuaian pemandu lori itu, tiga nyawa terkorban dan dua orang sahaja yang terselamat. Dia dan pemandu lori tersebut. Mamanya dan pemandu teksi meninggal dunia di tempat kejadian kerana teksi yang dinaiki masuk ke bawah lori. Pemandu lori pula koma manakala dia pula hanya mendapat luka kerana tercampak keluar dari teksi.

Di hadapan matanya, dia menyaksikan semua itu. Melihat di mana mamanya lemah dan berlumuran darah. Melihat bagaimana remuknya kereta itu sehingga tidak nampak rupa.

Dia sedar ketika berada di hospital dan Mak Mah berada di sisinya dengan wajah sedih. Kemudian dia melihat papanya berlinang air mata. Wajah Pak Mat yang lemah. Ketika itu dia tidak dapat menerima hakikat apabila dia dan pemandu lori sahaja yang terselamat dalam kemalangan itu.

Surat khabar heboh dengan kisah itu, langsung tidak memikirkan perasaan keluarga yang terlibat. Kerana Dato’ Kamal adalah orang dikenali, sudah tentu wartawan dan media tidak akan terlepas pandangan dengan berita itu. Papanya kehilangan isteri dan anak, dia kehilangan ibu dan adik. Tetapi tiada siapa yang peduli akan kesakitan yang dilalui oleh dua beranak itu.

Tiada siapa pernah sangka, hari ulangtahun syarikat Berjaya Architects Sdn Bhd yang berjalan dengan jayanya akan menjadi hari kematian isteri pemilik syarikat tersebut. Hari yang gembira dan sedih pada masa yang sama.

Mulai saat itu dia jadi benci dengan orang ramai. Dia benci menjadi tatapan ramai. Dia benci menjadi perbualan orang. Dia benci dengan pandangan orang terhadapnya. Dia tidak suka orang tahu siapa dirinya. Ketika itu dia mula menyendiri dan belajar menguruskan diri sendiri tanpa bantuan orang. Menjadi orang biasa tanpa mengetahui indentiti sebenar. Tiada yang tahu tentang latar belakangnya apatah lagi tentang kemalangan itu. Dia lebih suka menyendiri.

"Ma... apa patut Risy buat ma?"

Dia memandang dirinya dari cermin. 8 tahun dia melarikan diri. Benar kata Syazwan, dia tidak pernah fikir pasal perasaan papanya.

Farisya memejam mata. Dia buntu. Apa yang perlu dia lakukan?

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni