Home Novel Cinta Seteguh Karang
Seteguh Karang
Wann Shazni
3/1/2019 21:15:57
71,254
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 15

TANPA disangka, akhirnya kakinya berdiri jua di hadapan bangunan megah yang tinggi melangit itu.

Entah apa yang membuatkan dia mengubah keputusannya sehingga kakinya melangkah jua ke situ. 8 tahun dia tidak pernah menjejakkan kaki ke situ. Tidak pernah sekilas pun dia memandang bangunan megah itu. Hanya kerana masa lalunya.

Dia mendongak memandang langit yang cerah itu. Memerhati sekelilingnya. Dalam masa 8 tahun, banyak perkara yang berubah. Syarikat papanya semakin maju. Kali terakhir dia menjejakkan kaki ke situ, syarikat itu baru 5 tahun ditubuhkan. Kini, sudah 13 tahun syarikat itu beroperasi. Segalanya dari hasil titik peluh papanya. Dan dia sedikit pun tidak pernah mengambil peduli tentang prihal syarikat itu.

Kata-kata Mak Mah dan Syazwan membuatkan dia tersedar sendiri. Kerana egonya, dia tidak ambil peduli perasaan papanya. Kerana dia pengecut, dia melarikan diri.

Perlahan dia menghela nafas. Kakinya melangkah masuk ke dalam bangunan megah itu. Dia memandang poster dan beberapa banner yang memenuhi ruang lobi itu. Orang ramai juga mula berarak ke arah dewan majlis. Semuanya berpakaian kemas dan korporat.

Farisya menilik dirinya. Hanya berpakaian simple. Tubuhnya tersarung dengan T-shirt hitam bersama jaket jeans dipadankan dengan seluar jeans dan kasut vans hitamnya. Beg sandangnya pula disilang di bahunya. Rambutnya yang selalunya diikat tocang satu dilepaskan.

Dia berjalan berlawanan arah. Menaiki tingkat lain. Meskipun sudah 8 tahun dia tidak menjejakkan kaki di situ tetapi keadaan di situ masih tidak banyak perubahan.

Dia rindu. Tetapi dia tidak pernah menjejakkan kaki ke situ. Sengaja dia berjalan-jalan menikmati ruangan di dalam syarikat itu. Bagaikan bersiar-siar menikmati angin petang sahaja gayanya.

Setiap tempat ada kenangannya tersendiri. Bersama arwah mamanya dan papanya. Tersenyum gembira. Tanpa sedar bibir Farisya tersenyum sendiri. Segalanya bagaikan tertayang di hadapan matanya akan kenangan lalu itu.

Tatkala itu langkahnya terhenti di satu sudut. Satu kanvas bersaiz A3 tergantung di dinding. Matanya merenung lukisan itu. Ada empat kuntum bunga rose berwarna merah di dalam pasu berwarna coklat gelap. Berlatar belakangkan warna dinding berwarna coklat kekuningan. Sungguh cantik pada pandangan matanya sebagai seorang pelajar seni. Lukisan itu sudah cukup teliti dan kemas, menggambarkan bahawa pelukis tersebut seorang yang kemas dan penuh kesabaran untuk menghasilkan lukisan sebegitu.

Dia yakin apa yang sedang dia fikirkan ketika ini tidak salah. Lukisan itu adalah hasil tangan arwah mamanya. Dia masih ingat betapa mamanya sangat suka melukis flora. Bunga rose terutamanya. Dia tidak menyangka papanya mengantungkan lukisan itu di situ. Masih terletak elok biarpun sudah 8 tahu berlalu. Tiada tanda-tanda lukisan itu rosak. Betapa papanya menjaga hasil tangan arwah mamanya dengan baik. Dia jadi sebak dengan tiba-tiba.

"Arie?"

Teguran itu membuatkan Farisya segera berpaling.

"Auntie, uncle..."

Puan Wan Azwa mendekati Farisya. Bibirnya mengukir senyuman. Tidak menyangka akan bertemu dengan Farisya di situ. Dia sangkakan Farisya tidak akan hadir seperti selalu.

"Wan tak datang ke auntie " tanya Farisya. Padahal sudah terang-teranglah Syazwan takkan hadir kalau tanpanya.

Puan Wan Azwa menggeleng kepala. Kemudian dia memandang suaminya di sebelah. Bibirnya mengukir senyuman.

"Nak uncle call Wan suruh datang sini?"

Farisya menayang gigi sambil tersengih dengan perasaan serba salah. Seakan-akan cuba menutupi apa yang berlaku di antara mereka. Dia menggeleng kepala.

Puan Wan Azwa tersenyum kecil. Dia mengusap bahu Farisya, seakan-akan memahami apa yang bermain di fikiran Farisya. "Papa Arie ada kat bilik. Dia mesti tengah tunggu Arie..." ujar wanita itu lembut.

Farisya membisu.

"Arie..."

"Ye auntie."

"Kenapa?"

Farisya menggeleng kepala. Dia tersenyum kecil.

"Boleh tak Arie minta tolong sesuatu?" tanya Farisya lembut.

Puan Wan Azwa dan Encik Wan Syahir memandang sesama sendiri.

"Jangan bagitahu papa yang Arie datang hari ni," sambung Farisya.

"Arie..."

Farisya tersenyum kecil. "Arie cuma datang tengok aje."

"Arie..."

"Masuklah. Alang-alang Arie dah datang, apa salahnya masuk. Lagipun Arie bukan sesiapa pun. Pewaris syarikat ni juga," celah Encik Wan Syahir pula. Puan Wan Azwa mengangguk setuju.

Farisya mula rasa bersalah. Tidak tahu apa yang perlu dia lakukan ketika itu. Padahal dia sudah berada di situ. Kenapa pula dia perlu melarikan diri. Dia tidak tahu apa yang dia fikirkan ketika itu.

"Auntie dengan uncle tunggu Arie kat dalam ye." Puan Azwan memujuk lembut. Diusap tangan Farisya sebelum berlalu. Mengharapkan Farisya tidak pergi begitu sahaja.

"Papa Arie pun tunggu Arie kat dalam," tambah Encik Wan Syahir pula.

Farisya hanya menghantar pandangan bersama senyuman kelat. Dia sudah berada di situ tetapi dia masih ingin melarikan diri. Dia sudah berada di situ tetapi dia tidak mahu papanya tahu. Ah! Dia sendiri tidak faham dengan perasaannya sendiri.

Perlahan Farisya melangkah ke arah bilik seperti yang Encik Wan Syahir katakan itu. Memikirkan kata-kata Syazwan yang lepas, papanya akan menunggunya sebelum masuk ke dewan majlis.

Langkahnya terhenti sebaik sahaja melihat susuk tubuh yang dikenali berdiri di hadapan pintu bilik itu. Farisya hanya memerhati perlakuan lelaki itu. Hanya memerhati sekeliling dan sesekali mengerling ke arah jam di tangannya.

"Dato, majlis akan bermula dalam masa 2 minit lagi," ujar seorang perempuan, kemungkinan adalah setiausaha papanya.

Dato' Kamal hanya mengangguk. "Nadia, awak ada nampak Farisya tak?" tanya Dato' Kamal.

Wajah perempuan yang dipanggil Nadia itu sedikit berubah. Dia menggeleng perlahan.

"Tak ada Dato'."

Farisya membisu. Jelas terpapar kekecewaan di wajah papanya. Benar kata Syazwan. Papanya akan menunggunya setiap tahun tetapi dia tidak pernah muncul sekalipun.

"Tak apa Nadia. Dia mungkin datang lewat sikit," ujar Dato' Kamal, cuba tersenyum. Sekaligus cuba memujuk hatinya.

Kemudian mereka melangkah masuk ke dewan. Tanpa perasan kewujudan Farisya yang berselindung di sebalik dinding itu.

'Papa...' Farisya memejam matanya. Beginikah setiap tahun papanya hadapi selama 8 tahun lepas? Beginikah perasaan papanya yang menahan kecewa kerana dia tidak hadir setiap tahun. Beginikah riak wajah papanya setiap tahun pada hari ulangtahun syarikat. Hanya kerana dia. Hanya kerana menunggu kedatangannya. Dan dia hanya membalas dengan kekecewaan.

Farisya turut melangkah ke arah dewan itu. Dia dapat mendengar tepukan gemuruh daripada tetamu yang hadir. Farisya tidak masuk ke dalam dewan itu. Dia hanya berdiri di muka pintu, berselindung di dinding. Dia yakin tiada sesiapa yang akan menyedari kedatangannya.

"Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada tetamu yang hadir pada hari ini. Terima kasih saya ucapkan kerana sudi meluangkan masa untuk majlis tahun ini. Alhamdulillah Berjaya Architects Sdn Bhd sudah masuk 13 tahun beroperasi.

Seperti yang diketahui oleh semua orang, hari ini juga merupakan hari kematian arwah isteri saya, Datin Zahra dan anak dalam kandungannya. Sebelum memulakan majlis, saya ingin meminta para tetamu yang beragama Islam untuk sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah," ujar Dato' Kamal. Kemudian para tetamu yang beragama Islam mula mengangkat tangan dan membacakan Al-Fatihah.

Farisya tergamam. Suasana yang mulanya riuh kini bertukar sunyi. Sepi bagaikan tiada sesiapa yang wujud di situ.

Selepas mengaminkan doa, Dato' Kamal bersuara lagi. Menceritakan tentang syarikat, ahli rakan kongsi dan juga para pekerjanya. Malah dia juga menceritakan tentang kehebatan arwah isterinya tanpa rasa jemu. Dia juga tidak lupa untuk menyebut nama Farisya dalam ucapannya. Penutupannya diakhiri dengan perasmian majlis ulangtahun syarikat kali ke-13.

Farisya yang berdiri di muka pintu seakan-akan tidak dapat bergerak. Kaki keras di situ. Segalanya bagaikan kejutan. Mendengar ucapan papanya ketika itu membuatkan air matanya mengalir.

Air matanya yang tidak pernah mengalir sejak arwah mamanya meninggal dunia akhirnya mengalir juga pada hari ini. Dia tidak pernah menyangka majlis ulangtahun syarikat yang sepatutnya disambut penuh kegembiraan rupanya disambut dalam keadaan duka dan penuh dengan kenangan silam. Sesaat pun papanya tidak pernah lupa apa yang berlaku pada hari tersebut.

Dia tidak tahu papanya sedih pada hari tersebut. Dia tidak pernah cuba untuk faham perasaan papanya. Benar kata Syazwan, dia ego. Dia keras kepala. Tidak pernah cuba selami perasaan orang lain.

"Arie..."

Teguran itu memaksa Farisya berpaling. Pantas dia mengesat air matanya apabila melihat Syazwan berdiri di belakangnya.

"Wan..."

Syazwan terkedu. Melihat air mata Farisya, dia tahu hati Farisya sudah terbuka semula. Dia tidak pernah melihat Farisya menangis selepas kematian Datin Zahra. Farisya sering memendam perasaannya.

"Sekarang aku faham kenapa kau paksa aku datang tahun ni..." ujar Fariya sebak.

Syazwan tersenyum. Akhirnya dia berjaya. Berjaya meruntuhkan tembok yang Farisya bina selama 8 tahun. Berjaya melembutkan hati yang keras dan ego itu.

Farisya mengesat air matanya namun air matanya seakan-akan tidak mahu berhenti.

"Arie... kau nak tahu tak?" Syazwan menjongket keningnya.

"Tahu apa?" tanya Farisya. Tangannya masih tidak henti-henti mengelap wajahnya yang basah dengan air mata.

"Kau dah cantik bila kau lepas rambut macam tu. Tapi muka kau nampak buruk lepas kau menangis macam ni," ujar Syazwan selamba.

Serentak itu Farisya menendang kaki Syazwan. Bibirnya diketap geram.

"Syazwan tak guna!"

Syazwan ketawa. Di gosok kakinya yang ditendang itu. Boleh tahan sakit juga.

"Nur Farisya Najihan yang aku kenal bukan jenis kuat menangis. Dia hati batu. So kalau dia menangis macam ni, title Black Arie boleh hilang tahu tak," sambung Syazwan lagi. Memang sengaja cari penyakit gamaknya.

Farisya membuat muka. Diacah penumbuk ke arah Syazwan namun Syazwan hanya membuat muka selamba.

"So, kau takkan larikan diri kan?" Suara Syazwan mula serius. Dia memandang tepat wajah Farisya.

Farisya melarikan pandangan. Dia membisu meskipun ada banyak perkara yang ingin dia katakan.

"Okey, kau boleh simpan kata maaf kau nanti. Sekarang kau berhadapan dengan papa kau dulu. Dia tunggu kau dah 8 tahun dah. Sampai berjanggut tunggu kau," ujar Syazwan namun sempat lagi dia bergurau nakal.

Dia memegang bahu Farisya dan memalingkan tubuh Farisya. Namun Farisya berpaling semula ke arah Syazwan.

"Wan..."

"Emm?" Syazwan menjongket kening.

"Thank."

Syazwan tersenyum. Kemudian dia mengetuk kepala Farisya dengan buku limanya.

"Oit!" Farisya menjegil matanya namun Syazwan hanya ketawa.

"Kenapa ketuk kepala aku?" Farisya menggosok kepalanya.

Syazwan ketawa lagi. "Cik Farisya, tak sesuai la untuk aku dengar kau ucap terima kasih kat aku sedangkan kita tengah berperang dunia sekarang ni. Geli telinga aku. Tahi telinga pun boleh cair tahu tak?"

Farisya membuat muka. Diacu penumbuk ke arah Syazwan namun seperti biasa Syazwan mampu menepis penumbuknya.

"Dan satu lagi. Macam mana kau boleh datang dengan pakaian macam ni? Kau ingat kau pergi kelas ke apa?" bebel Syazwan lagi.

Farisya mencebik. "Dah tu kau nak aku pakai dress yang kau beli tu?"

"Dah tu aku beli nak suruh siapa pakai? Patung?" perli Syazwan.

Farisya menjongket bahu. Syazwan menggeleng kepala. Kalau dah namanya Farisya ni memang tak makan saman. Nampak gayanya dalam mimpi sahajalah Farisya nak pakai dress.

"Hal kita, nanti kita settle. Kau, ada benda yang kau kena buat hari ni. So..." Syazwan memaling semula tubuh Farisya membelakangkannya. "Face to face dengan papa kau. Bagitahu dia yang kau datang hari ni, datang untuk buktikan kau anak dia yang dia tunggu selama 8 tahun ni," sambung Syazwan. Sejurus itu dia menolak tubuh Farisya bersama senyuman kecil.

Matanya hanya melihat Farisya yang melangkah masuk ke dalam dewan. Sesekali gadis itu berpaling memandangnya namun dia memberi amaran menyuruh Farisya memandang depan.

Bibirnya mengukir senyuman. Bahagia. Ya. Dia bahagia melihat kebahagiaan itu. Tembok yang Farisya bina akhirnya runtuh jua. Kali ini dia dapat melihat dua beranak itu tanpa masalah lagi. 

Syazwan melangkah masuk ke dalam dewan itu. Mencari kelibat ibu dan abahnya. Kalau bukan kerana mereka, dia tidak tahu bahawa Farisya hadir hari ini. Mujurlah ibunya menghantar SMS kepadanya. Dapat juga dia melihat keadaan Farisya. Dan dia mungkin adalah orang pertama yang melihat Farisya menangis sebentar tadi. Tangisan yang sudah lama tidak muncul.

"Dato..." Nadia, setiausaha syarikat meluru ke arah Dato' Kamal bagaikan ingin memberitahu sesuatu.

"Saya rasa Farisya datang hari ni," sambungnya perlahan sambil menunjuk ke arah gadis berjaket jeans yang berdiri tidak jauh dari mereka. Dia yakin gadis itu adalah anak Dato' Kamal meskipun dia tidak pernah jumpa sekalipun. Tetapi bingkai gambar di atas meja Dato' Kamal dan kerana Dato' Kamal sering menceritakan tentang anak tunggalnya itu, dia yakin gadis asing yang dia lihat itu adalah Farisya. Kerana menurut Dato' Kamal, dia hanya perlu melihat seorang gadis yang berpakaian lain daripada yang lain untuk mengetahui gadis itu adalah Farisya.

Dato' Kamal menghala pandangan ke arah gadis yang tunjuk oleh setiausahanya itu. Matanya dengan mata gadis itu saling memandang. Dia tergamam. Memandang setiausahanya seakan-akan tidak percaya. Kemudian dia meminta diri untuk berlalu daripada kelompok itu.

"Risy?" Dato' Kamal meluru mendapatkan Farisya yang agak kekok dengan situasi itu.

"Papa." Farisya tersenyum. Dia cuba mengawal reaksinya.

"Bila sampai? Risy datang dengan siapa? Dengan Wan?" tanya Dato' Kamal bertalu-talu. Barangkali tidak menyangka Farisya akan datang jua.

"Tadi. Risy duduk kat pintu aje. Wan ada sekali," jawab Farisya.

Lebar senyuman Dato' Kamal ketika itu. "Papa gembira bila Risy datang hari ni."

Jelas terpancar kegembiraan di wajah lelaki itu. Mana tidaknya, sudah 8 tahun anak gadisnya itu tidak pernah menjejakkan kaki ke situ.

"Mari..."

"Pa..." Farisya menghalang papanya.

"Kenapa?"

"Risy tak nak papa malu," ujar Farisya. Dia tahu papanya ingin memperkenalkan dia kepada tetamu yang hadir. Sudah tentulah dia akan menjadi tatapan orang ramai.

"Kenapa pula papa nak malu? Risy anak papa kan."

Farisya menggigit bibir. Kemudian dia menunjukkan ke arah pakaiannya. Dia tersengih.

Dato' Kamal tersenyum. Dia mengusap kepala anak gadisnya. "Anak papa pakai apa pun tetap comel. Dah, jom ikut papa."

Farisya hanya menurut sahaja langkahnya. Dari jauh dia sempat melihat wajah Syazwan yang tersenyum lebar memandangnya. Penuh makna.

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni