Home Novel Cinta Seteguh Karang
Seteguh Karang
Wann Shazni
3/1/2019 21:15:57
7,836
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

"AMBOI Kimi, senyum semacam aje. Ada apa-apa ke ni?" tegur satu suara sebaik sahaja Hakimi keluar dari kereta Audi hitamnya.

Hakimi tersenyum apabila ditegur oleh Mak Yah, pembantu rumahnya.

"Mana ada Mak Yah," dalih Hakimi.

"Iye la tu. Macam la Mak Yah kenal kamu tu semalam. Hah, hari ni Mak Yah masakkan makanan kegemaran Kimi. Dah dua hari tak balik rumah, mesti rindu nak makan masakan Mak Yah kan," ujar wanita yang dipanggil Mak Yah itu.

Hakimi tersenyum. Sememangnya Mak Yah sangat memahaminya. Kerjayanya memaksa untuk dia lupa segalanya tanpa kenal erti penat dan lelah. 

"Terima kasih Mak Yah," ucap Hakimi tanda hormat. Dia sudah menganggap wanita itu seperti keluarganya.

"Kamu tu, jangan la buat kerja sampai lupa nak makan nak tidur. Jaga kesihatan tu sama. Duit tu boleh dicari tapi kesihatan tiada ganti," nasihat Mak Yah lembut.

Hakimi hanya tersenyum. "Ye Mak Yah. Terima kasih sebab nasihatkan Kimi."

Mak Yah turut tersenyum. "Dah la, pergi la rehat. Nanti nak makan, bagitahu Mak Yah ye."

"Baik Mak Yah." Ringkas Hakimi bersuara. Kemudian dia mengatur langkah naik ke bilik.

Sebaik sahaja masuk ke dalam bilik, Hakimi merebahkan tubuhnya ke atas katil. Tubuhnya dua tiga hari ini cepat sahaja letih. Mungkin kerana tidak cukup tidur.

Bibirnya mengukir senyuman. Tatkala mengenangkan kejadian tadi, dia hanya mampu menggeleng kepala. Segalanya berlaku dengan pantas. Tanpa sempat mengenali antara satu sama lain. Nama terutamanya.

Paling kelakarnya, dia salah menyangka si gadis itu masih bersekolah. Tubuh kecil dan ketinggian yang rendah itu sememangnya membuatkan dia hanya memikirkan gadis itu bersekolah. Tidak pernah pula terfikir bahawa gadis itu berumur 19 tahun. Melihat gadis itu marah dan naik angin, dia yakin sudah ramai yang sudah tersalah tafsir tentang umurnya.

Hakimi tertawa kecil. Memikirkan kejadian itu membuatkan dia geli hati. Tubuhnya kecil tetapi sifatnya boleh tahan. Gengster tak gengsternya. Gurauan sesuka hatinya. Ditambah lagi dengan pakej ilmu seni pertahanan diri gadis itu. Silap cakap boleh hilang nyawa gamaknya.

Dia yakin si gadis itu bukan calang-calang orang. Ilmu yang ada di dada bukannya mainan. Yakini gadis itu memiliki tali pinggang hitam taekwondo. Biarpun berbadan kecil namun tiada siapa yang menyangka dengan tenaga gadis itu.

Biarpun pada mulanya dia menggelar gadis itu adalah gadis tiada adab tetapi sebenarnya gadis itu bukanlah teruk seperti yang disangka. Mungkin kerana sikap kasarnya membuatkan orang asing sepertinya tidak dapat menerima layanan sebegitu yang sudah semestinya dianggap tiada adab.

Tetapi layanan yang diterimanya tadi seakan-akan tiada apa yang pernah berlaku di antara mereka malah mereka berbual dan bergurau seperti kawan baik.

Hakimi tertawa sendiri. Pelik dan aneh. Dia sendiri bingung dengan dirinya. Dia bukan jenis yang senang bergaul dengan orang yang tidak kenal. Apatah lagi bergaul dengan gadis yang banyak menghuru-harakan hidupnya. Tetapi bersama gadis itu, seakan-akan sudah kenal lama.

Pertemuan dengan gadis itu memberi 1001 makna yang dia tidak pernah pasti apa maknanya. Cuma dia merasakan segalanya sangat aneh.

Sejak bertemu dengan gadis itu, dia seakan-akan berfikir di luar kotak. Bagaikan melihat satu dunia yang tidak pernah dia lihat sebelum ini. Satu dunia yang dia tidak pernah cuba untuk memahaminya.

Sungguh, dunia ini sangat warna warni. Dia tidak pernah cuba untuk keluar dari dunia sekarang ini. Dia lebih suka menyendiri dan elakkan dari daripada bergaul dengan orang lain. Sikapnya dahulu bagaikan hilang dari radar. Yang ada hanyalah insan yang suka menyendiri dan hidup di dalam dunianya.

Dunianya hanya penuh dengan kerjaya. Satu kerjaya yang buat dia lupa pada kehidupan lain. Satu kerjaya yang membuatkan dia menjadi workaholic. Dia mula cintakan kerjayanya melebihi segalanya. Tiada yang lebih indah daripada kerjayanya. Segalanya hanya kerjaya.

Sungguh. Dia bahagia. Dia bahagia dengan kehidupan sekarang. Biarpun terlalu banyak perubahan. Biarpun dia lebih banyak menyendiri. Tetapi dia tetap bahagia. Bahagia yang tidak dapat di mana-mana. Satu kebahagiaan yang menandakan kepuasan diri.

Biarpun dia tahu wang ringgit tidak mampu membeli segalanya tetapi yang dikejarnya bukanlah wang. Dia cuma terlalu mencintai kerjayanya sampai dia sanggup bersengkang mata untuk projek. Itu sifatnya. Takkan mudah mengalah. Dalam lembutnya ada ketegasannya. Fokusnya pada kerjaya, tiada siapa mampu menghalangnya.

Hakimi menghela nafas. Matanya memandang siling. Hidupnya banyak berubah. Dan sekali lagi kehidupannya terasa ada perubahan.

Semuanya gara-gara si gadis bertali pinggang hitam itu.




BERITA yang ditayangkan di kaca televisyen hanya dipandang kosong. Tiada apa yang masuk ke dalam kepalanya ketika itu. Fikirannya masih memikirkan tentang Farisya yang masih dengan keras kepalanya.

"Hah Wan, termenung panjang aje. Ada apa-apa masalah ke?" tanya Puan Wan Azwa lalu duduk di sebelah anak terunanya. Sedari tadi dia melihat anak terunanya hanya termenung panjang. Sudah semestinya ada sesuatu yang bermain di fikirannya.

"Arie la bu. Ibu tahu kan, majlis ulangtahun syarikat Uncle Kamal dah dekat. Arie macam biasa la, setiap tahun tak pernah nak tunjuk muka dalam syarikat tu. Macam mana orang nak kenal anak Dato' Kamal," bebel Syazwan panjang. Serupa dia pulak yang jadi Dato' Kamal.

Puan Wan Azwa tersenyum kecil. Masih tak habis-habis dengan masalah Farisya. Dia tahu Syazwan tidak pernah meninggalkan Farisya ketika dalam masalah walaupun dengan perangai keras kepala gadis itu. Sabar sungguh anaknya melayan kerenah Farisya. Sudah hampir 10 tahun bersama namun Syazwan masih setia bersama Farisya sehingga ke hari ini. Tidak pernah terpisah sekalipun sepanjang perkenalan mereka. Mungkin kerana persahabatan yang sudah lama itu membuatkan mereka saling memahami antara satu sama lain.

"Wan kena faham perasaan Arie..." Lembut Puan Azwa memberi nasihat.

Syazwan membuat muka. Berapa lama lagi dia nak kena faham perasaan Farisya? Hampir bertahun lamanya dia berpihak pada Farisya kononnya memahami.

"Faham apa bu. Dah bertahun kan. Kenapa Arie masih nak mengelak lagi? Wan tahu Arie tak suka berhadapan dengan orang ramai, tak suka orang tahu dia anak dato, tak suka orang tahu dia pewaris syarikat Berjaya Architects Sdn Bhd. Tapi Wan tahu sebenarnya ada sebab lain yang buat dia tak nak jejak kaki ke syarikat tu lagi," luah Syazwan lagi.

Bukannya dia tidak tahu apa yang berada di dalam hati Farisya yang sebenar. Cuma dia berpura-pura untuk jadi buta melihat kebenaran itu. Hanya kerana dia ingin sentiasa berada di sisi Farisya, dia hanya mengiakan sahaja keputusan yang Farisya lakukan.

Puan Wan Azwa memaut lembut bahu anaknya. Bibirnya mengukir senyuman kecil. Nampak gayanya marah sungguh Syazwan terhadap Farisya. Adakah tahap kesabaran anak terunanya itu sudah sampai ke limitnya?

"Sebab tu Wan kena faham sebab lain tu. Wan tahu kan Arie takkan buat sesuatu keputusan tanpa sebab. Jangan paksa Arie. Kita tak tahu perasaan apa yang dia pendam dalam hati. Kita tak tahu macam mana keadaan waktu dia lalui dulu.

Wan tak boleh paksa Arie. Walaupun bertahun-tahun dia tak pernah jejak kaki ke syarikat, tapi ibu tahu Arie pasti nak ke sana. Cuma dia tak kuat tapi dia tak nak bagitahu kita," nasihat Puan Wan Azwa lagi. Nada lembutnya, sedikit sebanyak membuatkan perasaan Syazwan mula terkawal.

"Jadi Wan nak buat apa untuk Arie?" tanya Syazwan, mahukan cadangan. Kalau boleh dia mahu Farisya muncul pada majlis tahun ini. Biarlah perasaan Dato' Kamal merasa senang hati.

Kadangkala dia kasihan melihat wajah lelaki yang sudah dianggap seperti ayahnya itu. Dalam gembira sebenarnya terselit luka. Hidup berdua dengan anak gadisnya sahaja. Membesarkan si gadis yang bernama Nur Farisya Najihan tanpa kasih sayang seorang ibu. Kerana cintanya kekal bersama sang arwah isterinya, Datin Zahra.

"Bagi ibu, biarlah Arie buat keputusan. Tapi ibu tahu, anak ibu ni susah nak mengalah. Jadi, cubalah pujuk dengan cara baik, jangan dengan memaksa."

Cadangan Puan Wan Azwa membuatkan Syazwan tersengih.

"Wan rasa Wan nak pengsankan dia, lepas tu bawa dia ke majlis. Settle." Syazwan membuat cadangan gila.

Seraya itu tamparan kecil hinggap di pahanya. Puan Wan Azwa memberi pandangan tajam membuatkan Syazwan tersengih kecil.

"Ibu risau Wan yang pengsan nanti."

"Ibu ni..." Syazwan membuat muka.

"Wan masih memegang gelaran orang yang tak boleh dikalahkan oleh Nur Farisya Najihan okey! Arie boleh kalahkan orang lain tapi bukan Wan. Dia selamanya takkan boleh kalahkan Wan," sambung Syazwan tegas.

Sekuat mana pun Farisya, sebanyak mana pun Farisya memenangi pingat, seramai mana pun Farisya mengalahkan pihak lawan, Farisya masih tidak dapat mengalahkannya. Ketika Farisya memegang gelaran Queen Taekwondo, dia pula memegang gelaran King Taekwondo. Farisya masih berada di tangga kedua selepasnya. Sekuat mana pun Farisya cuba untuk mengalahkannya, gadis itu takkan pernah berjaya. Kerana dia sudah memahami gerakkan dan tindakan Farisya yang seterusnya.

Puan Wan Azwa tersenyum. Kerana itulah Farisya selalu berlatih hanya kerana ingin mengalahkan Syazwan. Tetapi sampai ke hari ini gadis itu masih tidak mampu mengalahkan anak terunanya.

"Iyelah Wan. Arie tu selalu berlatih. Wan tu buat apa aje. Sibuk study. Sanggup berhenti training padahal boleh aje training dengan Arie," kata Puan Azwa.

Dia tertanya-tanya kenapa anaknya tidak meneruskan sahaja latihan di zaman kolej bersama Arie. Alasan ingin fokus pada pelajaran mungkin juga hanya sekadar alasan. Padahal setiap hari mereka bersama. Sekelas, sekumpulan. Boleh dikatakan setiap saat bertemu. Mungkin juga Syazwan ingin berehat dari dunia taekwondonya. Entahlah. Yang pastinya dia bangga kerana anaknya pernah berjaya ke peringkat tinggi.

"Arie tu kena banyak training bu sebab dia tu pendek. Selalu aje orang salah anggap dia budak sekolah. Tu la kecik-kecik tak nak minum susu, dah besar jadi kemetot," kutuk Syazwan selamba membuatkan ibunya mencubit pahanya. Mengaduh sakit dibuatnya.

"Ish mulut. Sedap aje nak mengata orang. Kecik-kecik dia tu pun dia boleh menang tau. Jangan pandang rendah ye." Puan Wan Azwa menggeleng kepala. Masih mempertahankan Farisya daripada anaknya sendiri.

"Eh ibu ni, patutnya ibu pertahankan anak ibu ni. Ni tidak, pertahankan Arie pulak." Syazwan membuat muka. Boleh pulak ibu dia menangkan Farisya.

"Memang patut la sebab mulut tu. Asyik nak mengutuk aje. Dah, pergi tidur cepat. Esok ada kelas pagi kan. Jangan nak membuta pulak." Puan Wan Azwa terus berlalu. Makin dilayan kerenah anaknya, makin menjadi-jadi.

Syazwan hanya menayang gigi.

Perbualan hanya terhenti di situ sahaja. Masalah bagaikan hilang ditiup angin. Entah apa yang berlaku nanti.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni