Home Novel Cinta Seteguh Karang
Seteguh Karang
Wann Shazni
3/1/2019 21:15:57
10,079
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 16

HAKIMI tergamam melihat seseorang yang dikenali berdiri di atas pentas itu. Sungguh, dia tidak pernah menyangka. Pertemuan yang sangat unik dan sering kali ada kejutan. Matanya tidak berhenti-henti memandang gadis berjaket jeans itu. Anehnya. Sungguh aneh. Dalam majlis sebegini, gadis itu hanya berpakaian biasa.

Diperkenalkan sebagai bakal pewaris syarikat Berjaya Architects Sdn Bhd dan juga anak kepada Dato' Kamal sungguh mengejutkannya. Siapa nak sangka gadis yang dia sangkakan hanya gadis biasa rupanya bukan calang-calang orang. Seorang yang bakal mengusai syarikat yang berdiri megah itu suatu masa nanti.

"Dah besar dah anak Dato' Kamal," ujar Tan Sri Faris yang duduk di sebelah Hakimi.

"Dulu dia suka aje ikut Kimi. Tapi time tu kamu berdua kecil lagi. Kimi masa tu mungkin sekolah rendah dah kot. Farisya kecil lagi," sambung Tan Sri Faris. Mengingati semula kisah lalu mereka.

Hakimi tersenyum. Sedangkan dia langsung tidak ingat semua itu. Dia tahu papanya dan Dato' Kamal adalah kawan sejak sekolah. Arwah mamanya dan arwah Datin Zahra juga merupakan kawan rapat. Memang betul dia pernah rapat dengan anak Dato' Kamal tetapi dia tidak pernah menyangka gadis kasar bertali pinggang hitam itu adalah anak Dato' Kamal.

Sungguh, kecil sahaja dunia ini. Biarpun sudah bertahun-tahun tidak bertemu, kini mereka bertemu semula dengan pertemuan yang tidak terjangka.

Matanya melirik ke arah dua beranak yang sudah dikelilingi oleh beberapa orang tetamu. Pada pandangannya, gadis itu nampak tidak selesa dengan situasi begitu. Dia terus memerhati tanpa jemu. Mulutnya menguyah tetapi matanya tidak terlepas daripada memandang gadis itu.

Kemudian dia melihat gadis itu menuju ke arah meja buffet, barangkali lapar. Bibirnya tersenyum melihat gadis itu termanggu-manggu di situ, mungkin keliru memilih hidangan.

Hakimi bangun dari tempat duduknya. Dia melangkah perlahan ke arah gadis itu.

"Kiwi... kiwi... kiwi..." Farisya bersuara gembira sambil mengambil beberapa dessert kiwi.

"Kiwi lagi?" tegur Hakimi dari belakang.

"Kau tahu kan aku suka kiwi. Aku tahu papa aku sediakan dessert kiwi banyak-banyak ni sebab dia tahu aku suka makan kiwi," jawab Farisya tanpa berpaling sekilas pun. Matanya hanya fokus pada hidangan kiwi kegemarannya. Kalau dah makanan ada depan mata, dia tidak peduli dah hal lain.

Hakimi terkedu. Belum sempat dia bersuara, tangan kecil itu menghulurkan pinggan ke arahnya.

"Wan, pegang jap. Aku nak..." Sebaik sahaja Farisya berpaling, mulutnya ternganga. Matanya terkebil-kebil.

"Ah?!"

Hakimi ketawa melihat reaksi Farisya.

"Cik adik, memang kalau bercakap dengan orang dah tak pandang dah ke?" usik Hakimi nakal. Nasib dia sempat pegang pinggan itu. Kalau tidak memang berkecai jatuh ke lantai.

Farisya menggigit bibir. Dia ingatkan Syazwan yang menegurnya. Tak sangka pula boleh bertemu dengan mamat itu.

Pantas dia mencapai pinggan dari tangan Hakimi. "Terima kasih, pak cik." Farisya tersengih namun lebih kepada sengihan paksa.

Dia kembali fokus mencari hidangan yang menarik di matanya. Namun baginya semua menarik. Terasa ingin cuba satu persatu makanan yang terhidang tu.

Tatkala itu tangannya berhenti memilih dan dia berpaling ke arah Hakimi semula. Baru dia sedar lelaki itu tidak berganjak dari tempatnya.

"Awak buat apa kat sini?" tanya Farisya.

"Makan?" Hakimi menjawab ringkas, dia menjongket sebelah keningnya. Bagaikan cuba menguji Farisya.

Farisya membuat muka. Serius tak lawak la pak cik.

"Nanti buat pembayaran kat kaunter ye," ujar Farisya selamba. Pandai pula dia buat lawak antarabangsa kat situ.

Hakimi ketawa. "Amboi perli sungguh tu Cik Nur Farisya Najihan binti Dato' Kamal."

Farisya mengigit bibir. Matanya terbuntang mendengar nama penuhnya disebut. Hebat sungguh ingatan lelaki itu. Sampai boleh hafal nama penuhnya. Belum sempat dia bersuara, ada suara menegurnya dari belakang.

"Sini rupanya. Papa ingat Risy pergi mana tadi." Dato' Kamal mendekati anak gadisnya.

"Uncle..." Hakimi segera bersalaman dengan Dato' Kamal.

Farisya yang melihat situasi itu sedikit blur. Kepalanya disengetkan sedikit. Uncle?

"Sihat Hakimi?" tanya Dato' Kamal ramah.

"Alhamdulillah, uncle..." jawab Hakimi sopan.

"Hah Risy, ni uncle Faris. Ingat tak? Kawan papa masa sekolah. Arwah mama dengan arwah Datin Sri Aisya kawan baik." Dato' Kamal memperkenalkan lelaki yang berdiri di sebelahnya kepada Farisya.

Farisya tersengih. Penuh serba salah. Kerana dia langsung tidak ingat semua itu.

"Dia mana nak ingat, Kamal. Masa tu dia kecil lagi. Sekarang ni dah besar panjang," ujar Tan Sri Faris sambil tersenyum.

“Ni Hakimi, anak uncle.” Tan Sri Faris memperkenalkan anak terunanya kepada gadis itu.

Farisya memandang Hakimi, menjongketkan sedikit sebelah keningnya. Pergh! Anak tan sri rupanya! Tak nampak gaya langsung.

Hakimi tersenyum. "Dah besar dah anak uncle. Saya terserempak dengan dia banyak kali dah. Tapi saya tak sangka dia anak uncle," ujar Hakimi. Memberitahu bahawa mereka saling mengenali sebelum ini.

"Eh, ye ke?" Dato' Kamal dan Tan Sri Faris kelihatan terkejut.

"Kes gangguan seksual." Farisya dan Hakimi menyebut serentak membuatkan mereka berdua saling berpandangan.

"Oh yang Kimi cakap budak perempuan belasah semua lelaki tu?" Tan Sri Faris kelihatan terkejut. Hakimi hanya mengangguk.

Farisya tersengih. Oh, ada gosip pasal dia rupanya.

"Anak aku kan juara taekwondo. Perangai dia lain sikit. Kasar terlebih. Entah ikut siapa agaknya..." Dato' Kamal bergurau senda.

Farisya tersengih lagi. "Papa ni..."

"Baguslah tu Farisya. Perempuan zaman sekarang kena belajar semua tu. Macam-macam kes berlaku sekarang ni," ujar Tan Sri Faris, menyokong Farisya yang mempelajari seni pertahanan diri itu. Bukan senang perempuan hendak mengalahkan tiga lelaki.

"Uncle kalau nak hire bodyguard, boleh cari saya." Pandai pula Farisya menokok tambah membuatkan mereka ketawa. Farisya tersengih nakal. Cepat pula dia beramah mesra dengan mereka.

Kemudian mereka terus berlalu menuju ke arah meja makan. Berbual sakan dan mengimbas kembali kisah lalu di hadapan anak-anak mereka. Farisya hanya mendengar tanpa mencelah sedikit pun. Dia hanya fokus menikmati makanan yang terhidang itu. Hakimi pula hanya memerhati Farisya yang menikmati makanan penuh nikmat. Bibirnya tersenyum kecil.

Pertemuan mereka... penuh tragedi aneh.




"HOI pendek!" tegur satu suara dari belakang.

Farisya mengigit bibir. Tidak perlu dia berpaling kerana dia sudah tahu hanya seorang sahaja yang berani memanggilnya begitu. Tak lain tak bukan Syazwan orangnya.

Syazwan berjalan mendekati Farisya yang duduk berdekatan dengan kolam ikan di sekitar lobi itu.

"So, bila kau nak melutut depan aku minta maaf?" Selama sahaja Syazwan bertanya.

"Gila!" ujar Farisya. Menyampah sungguh dia dengan Syazwan. Padahal malam tu bukan main Syazwan merajuk dengannya. Macam dah nak putus kawan. Hari ini boleh pula buat macam tiada apa-apa yang pernah berlaku di antara mereka.

Syazwan ketawa. "Ye aku gila. Gila sebab terpaksa hadap perangai kepala batu kau tu. Lega aku sekarang ni. Boleh aku tidur nyenyak malam ni. Berbaloi jugak berperang dunia dengan kau," ujar Syazwan. Dalam guraunya ada ketegasannya.

Farisya mencebik. "Siapa suruh hadap perangai kepala batu aku. Bukan suruh pun," balas Farisya lalu menjelir lidah ke arah Syazwan.

Syazwan mengacu penumbuk. Acah-acah hendak menumbuk Farisya. "Kau ni kan."

Farisya menjelir lidah lagi. Dia tahu Syazwan takkan menumbuknya.

"Siapa lagi nak hadap perangai kau melainkan aku? Siapa aje yang selalu membebel kat kau, bagi kau jadi orang kalau bukan aku?" Syazwan mencekak pinggang.

Bibir Farisya terkumat kumit mengejek kata-kata Syazwan.

"Ish budak pendek ni!" Syazwan menjegil matanya.

Farisya tersengih.

"Wan."

"Apa."

"Aku sayang kau."

Syazwan terkedu. Kemudian dia tersengih nakal.

"Kau tengah luahkan perasaan kat aku ke, Arie?"

Farisya membuat muka. Di acah penumbuk ke arah Syazwan. "Sengal la kau ni!"

Syazwan ketawa. "Kalau orang lain dengar mesti dia kata kau tengah luahkan perasaan kat aku."

Farisya merengus. Senget punya Syazwan!

"Aku sayang kau jugak," jawab Syazwan dengan suara lembut, menunjukkan dia ikhlas menuturkan kata-kata itu.

Farisya tersengih.

"Kau... tak marah aku lagi kan?" tanya Farisya, manja. Acah-acah jadi kucing parsi jadian.

Syazwan membuat muka. "Gila aku tak marah kau? Marah ah. Marah sangat-sangat. Kalau boleh aku nak lunyai-lunyaikan kau sekarang ni jugak." Garang Syazwan bersuara. Lagak masih marahkan Farisya.

Farisya mencebik. "Ala, aku minta maaf la. Aku stress tahu tak. Kau tak pernah paksa aku tapi bila jadi macam ni, aku rasa stress la. Kau tahu aku tak suka dipaksa tapi kau buat juga. Terima la akibat." Giliran Farisya pula membebel.

Syazwan berpeluk tubuh. "Amboi. Aku buat semua ni sebab..."

"Ye aku tahu. Aku minta maaf," pintas Farisya dengan suara perlahan.

"Apa dia? Aku tak dengar la." Syazwan membuat perangai nakal.

"Aku minta maaf la mangkuk!" Wajah Farisya merah padam. Dia tahu Syazwan sengaja mengenakannya. Melihat Syazwan ketawa, dia mengigit bibir. Seronok la tu.

"Arie, kau ingat tak perjanjian kita waktu kecil dulu?" Suara Syazwan mendatar. Bibirnya tersenyum kecil.

Farisya membisu. Lantas dia mengangguk. Masakan dia lupa perjanjian mereka.

"Perjanjian tu aku akan pegang selama-lamanya. Aku akan sentiasa di sisi kau waktu susah dan senang. Aku takkan tinggalkan kau. Aku takkan biarkan kau bersendirian. Kau kena ingat, gaduh macam mana pun kita berdua, aku takkan tinggalkan kau. Kau kena ingat, teruk macam mana pun kita gaduh, persahabatan kita takkan terputus. Ingat tu," ujar Syazwan tenang.

Farisya menangguk. Cuba menahan sebak. Dia tahu, itulah kali pertama mereka bergaduh teruk. Banyak hari mereka tidak bercakap. Masing-masing mengelakkan diri. Dia menyangka Syazwan benar-benar meninggalkannya. Tetapi rupanya Syazwan masih berada di sisinya. Memberi semangat. Sama seperti tadi.

"Pendek, kau jangan nak menangis sangat. Sejak sense air mata kau dah kembali, aku agak risau kau jadi ratu air mata pula," usik Syazwan nakal sekaligus cuba mengembalikan suasana ceria di antara mereka.

Farisya menendang kaki Syazwan. Geram. "Mana ada!"

Tergelak kecil Syazwan ketika itu. Namun dia gembira kerana Farisya sudah kembali ke perangai asal. Dia tidak mahu Farisya menangis. Meskipun dahulu dia begitu risau kerana Farisya sering memendam perasaan dan hanya menangis dalam hati.

"Arie..." Syazwan menegur dengan suara lembut. Tawanya tadi hilang serta merta.

"Emm?"

"Aku minta maaf."

Farisya mendongak memandang Syazwan. Bibirnya dijuih ke hadapan. “Tak nak maafkan." Lantas dijelir lidah kepada Syazwan. Nakal.

Syazwan menjeling. "Aku serius la pendek!"

Tersengih Farisya ketika itu. Naik angin pula si Syazwan ni.

"Ye, aku maafkan. Aku tak benci kau pun. Cuma geram aje." Farisya kembali serius.

Perbualan mereka terhenti apabila Nadia, setiausaha Dato' Kamal memanggil Farisya. Farisya meminta diri terlebih dahulu. Meninggalkan Syazwan di situ sendirian. Pasti papanya ada sesuatu yang ingin diberitahu.

Syazwan hanya melambai kecil. Bibirnya tersenyum kecil. Dia lega. Akhirnya segalanya kembali seperti dahulu. Farisya dan papanya. Dia dan Farisya.

'Risy... kalau boleh aku nak tengok kau senyum macam sekarang. Senyuman lebar. Bukan lagi senyuman kepura-puraan,' desis Syazwan sendirian.

Dia rindukan Risy yang dia kenal suatu ketika dahulu. Nama Risy dipadamkan dari hidup Farisya hanya kerana masa lalu. Farisya tidak pernah membenarkan dia untuk memanggil nama itu lagi. Sehingga kini hanya Arie sahaja panggilan yang sering disebut-sebut.

Matanya dipejam. Mengharapkan segalanya seperti dahulu. Kebahagian dan kegembiraan. Alangkah indahnya kalau masa boleh berputar semula.




"LETIHNYA..." Farisya mengeliat kecil di dalam kereta. Selepas tamat majlis, dia berjalan sendirian di sekitar syarikat sementara menunggu papanya menyelesaikan tugasnya. Memandangkan dia datang bersama teksi, papanya menyuruh dia menunggu untuk pulang bersama. Kerana bosan menunggu, dia menilau tanpa arah tuju.

Hakikatnya dia datang dengan teksi kerana tidak mahu sesiapa menyedari kedatangannya ke syarikat itu. Sudah semestinya papa ataupun staf syarikat terutamanya setiausaha papanya tahu tentang skuter ungunya itu.

"Risy boleh aje balik dengan Wan tadi. Bukannya dia tak pernah hantar Risy balik," omel Farisya. Beria-ria dia nak balik dengan Syazwan tetapi papanya melarang. Kononnya tidak mahu menyusahkan anak muda itu.

Dato' Kamal tersenyum. "Dah lama papa tak berbual dengan Risy. Risy dengan Wan tiap-tiap hari jumpa."

Tersengih Farisya ketika itu. Namun dia setuju dengan kata-kata itu. Dia dan papanya jarang berbual apatah lagi sejak papanya menyusulkan hal majlis pada hari ini. Seboleh-bolehnya dia mengelak daripada topik itu. Disebabkan itu, jarak dengan papanya semakin jauh.

"Risy minta maaf, pa..." ujar Farisya perlahan. Kini dia menyedari kesalahannya. Dia terlalu ego. Kalaulah dia menyedari semua itu lebih awal, pasti papanya tidak kecewa teruk.

Tangannya mengusap lembut kepala anak gadisnya. Satu-satunya peneman yang ada di dunia itu. Hanya Farisya sahaja. "Papa faham..."

Farisya menggeleng kepala. Dia mencapai tangan tua itu dan digenggam erat.

"Selama ni Risy tak nak pergi bukan sebab Risy benci papa. Risy cuma..." Belum sempat Farisya menghabiskan kata-katanya, Dato' Kamal mencelah pantas.

"Papa tahu. Risy fobia sebab Risy yang alami semua tu. Papa tak salahkan Risy. Papa cuba faham Risy. Tapi papa sentiasa berdoa supaya hati Risy terbuka semula. Risy bukan ego. Risy cuma takut. Risy tak berani hadapi. Tapi hari ni Risy ada kekuatan itu melawan ketakutan tu. Alhamdulillah, papa bersyukur sangat."

Kata-kata itu membuatkan Farisya tersenyum. Lantas dipeluk tubuh itu.

"Sayang papa." Manja Farisya bersuara ketika itu.

Lebar senyuman Dato' Kamal ketika itu. Dia mengusap kepala Farisya. Lembut. Sudah lama tidak melihat Farisya manja sebegitu.

Pelukan itu dilepaskan dan Farisya tersengih memandang papanya.

"Papa..."

Dahi Dato' Kamal berkerut. Mula merasakan Farisya ingin memberitahu sesuatu.

"Lelaki tadi tu kan, Kimi? Apa Kimi tah nama dia..." Farisya menggaru kepala. Sungguh, dalam banyak-banyak perkara, nama orang adalah sesuatu yang paling susah untuk di hafal dan ingat.

"Hakimi." Dato' Kamal membetulkan sebutan itu.

Farisya tersengih.

"Kenapa dengan dia?" tanya Dato' Kamal.

"Dia tu, ada sekali tu terlanggar Risy sampai luka siku Risy. Risy marah-marahkan dia padahal dia nak tolong Risy. Hehehe..." Farisya tersengih dengan ceritanya sendiri. Boleh tahan teruk juga perangainya bila diingatkan semula.

Dato' Kamal menggeleng kepala. Dia masih ingat lagi cerita itu. Cumanya dia tidak tahu siapa gerangan lelaki itu. Tidak sangka pula Hakimi orangnya.

Dia yakin anak muda itu bersikap lembut. Cumanya Farisya sahaja yang selalu dikelilingi aura hitam yang membuatkan orang sekeliling seram sejuk dengannya.

"Dua tiga hari lepas pun Risy ada jumpa dia. Aih, kerap pula jumpa. Tapi tak sangka pula dia adalah orang yang Risy kenal dulu," sambung Farisya lagi.

"Mesti jodoh ni." usik Dato' Kamal.

Farisya membuat muka.

"Pak Mat, tak lama lagi rumah kita akan ada kenduri gamaknya," ujar Dato' Kamal kepada pemandu peribadinya, Pak Mat.

Pak Mat ketawa. "Bagus la dato. Dua tiga tahun nanti rumah tu makin bertambah pula bilangan." Pak Mat turut bergurau senda. Sememangnya perhubungan mereka sangat rapat. Dato' Kamal melayannya bagaikan keluarga. Farisya pula sudah dianggap seperti anaknya.

Farisya menggigit bibir. "Pak Mat ni, mengarut ke situ pulak. Papa ni, kenduri apa pulak. Ish!"

Ketawa mereka pecah melihat Farisya merajuk.

"Daripada kahwin dengan dia, baik kahwin dengan Wan," tambah Farisya. Ni memang sengaja nak kena bahan gamaknya.

"Wah dato, ramai yang minat Risy ni. Jenuh la dato nak buat pemilihan menantu nanti," ujar Pak Mat separuh mengusik.

"Betul tu Pak Mat. Kena buat interview terbuka gamaknya nanti." Dato' Kamal menyambung gurauan itu. Semakin lama semakin panjang.

Farisya memeluk tubuh. "Eeii papa dengan Pak Mat ni, mengada-ngada la."

Papanya dengan Pak Mat, kalau dah boleh membahan memang begitu jadinya. Seronok pula melihat mereka. Bahagia. Lebar senyuman papanya sama seperti dahulu.

Hatinya tersenyum girang. Melihat papanya bahagia, dia turut bahagia. Dia menyesal kerana tidak menyedari semua itu lebih awal. Kalaulah...

Kata-kata itu terhenti di situ. Farisya menggeleng kepala. Dia tidak mahu meneruskan kata-kata itu. Kerana dia tahu segalanya takkan boleh berpatah balik hanya dengan perkataan 'kalau'.


Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni