Home Novel Cinta Seteguh Karang
Seteguh Karang
Wann Shazni
3/1/2019 21:15:57
19,260
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 17

"YO morning!" Latang Farisya menyapa bersama senyuman lebar.

Syazwan hanya menggeleng kepala melihat wajah Farisya terlebih ceria. Malah perangainya kini lebih menyeramkan berbanding Black Arie.

Shahrina pula hanya mampu tersengih. Sudah seminggu perangai Farisya sebegitu. Selepas mendengar cerita daripada Syazwan, dia mula merasa lega. Kalau tidak dia yang akan pening kepala memikirkan cara untuk merapatkan dua orang itu kembali.

"Awal korang datang hari ni," tegur Farisya sambil tersengih. Gila tak datang awal. Kelas Cik Hanisa kot!

"Kau buat macam kau baru masuk kelas Cik Hanisa ni semalam aje," sindir Syazwan. Boleh pulak la minah pendek ni tanya soalan macam tu.

Padahal semua pelajar sudah tahu tentang kelas Cik Hanisa itu. Dari junior sampai ke senior. Hari pertama kelas itu lagi, pelajar diberi amaran agar tidak datang lewat. Kalau tidak memang berdiri di luar kelas macam zaman sekolah gayanya.

Cik Hanisa memang terkenal dengan sikap pentingkan masa. Lambat sikit pasti ke luar kelas ceritanya. Tetapi dalam garang-garangnya wanita itu, sebenarnya seorang yang mudah untuk meminta tunjuk ajar. Wanita itu suka apabila pelajar-pelajar mencarinya untuk menambahkan ilmu. Ilmu yang diberi sangat mudah difahami.

Di dalam kelas, wanita itu bersikap tegas. Tiada istilah main-main di dalam kelasnya. Walaupun sering kali mengenakan denda seperti budak sekolah tetapi kerana itulah tiada siapa yang berani membuat salah dan melawannya. Bimbang terpaksa menanggung malu sehingga tahun akhir belajar. Paling tidak pun terpaksa repeat paper pada semester akan datang. Memang mimpi ngeri la jawabnya.

Farisya tersengih lagi. "Tahu la. Tapi hari ni macam terlebih awal aje."

Syazwan membuat muka. Shahrina tersengih kecil. Sejak bila la Farisya hilang ingatan ni?

Mananya tak awal. Nak bersiap sedia untuk test hari ini. Bukan apa, selalunya Cik Hanisa akan masuk lebih awal dari selalu apabila ada test. Siapa tak seram sejuk. Tak pasal-pasal fail paper hanya disebabkan lambat masuk.

"Dah siap sedia ke?" tanya Syazwan dalam nada perli. Gembira semacam aje. Dah study habis ke ni?

Dia sebenarnya tidak risau dengan Farisya apatah lagi melibatkan hal pelajaran. Biarpun Farisya bukan dikategorikan ulat buku tetapi gadis itu ada caranya tersendiri untuk belajar. Dia langsung tidak hairan kalau test kali ini Farisya antara top 3 yang paling tinggi. Dalam kelas mereka, Farisya adalah orang kedua tertinggi selepas dirinya. Malah setiap semester mereka berdua akan mendapat Anugerah Dekan bersama-sama. Mereka berdua sememangnya best student di jabatan multimedia itu. Malah antara top 5 pelajar tertinggi di kolej tersebut.

Sejak kecil lagi mereka saling berlawanan sesama sendiri. Tidak kisahlah taekwondo mahupun pelajaran, masing-masing tidak pernah mengalah. Tetapi sehebat manapun gadis itu berusaha namun masih berada di tempat kedua, masih berada di bawahnya sehingga sekarang. Mungkin kerana itulah yang membuatkan mereka menjadi rapat sehingga sekarang.

Farisya mengambil tempat di sebelah Shahrina sambil membuat isyarat peace. Kerana moodnya terlebih baik, dia sudah study dengan penuh semangat. Mungkin kerana persekitarannya penuh dengan aura kegembiraan, segalanya membuatkan dia jadi lebih semangat.

Terasa selepas majlis ulangtahun syarikat papanya, kehidupannya terasa lebih baik dari sebelum ini. Mungkin inilah yang dikatakan hidup tanpa ada perasaan dendam. Terasa begitu tenang apabila dia berjaya meluahkan segala isi hatinya yang tersimpan semat selama 8 tahun. Salah faham yang berlarutan lamanya dalam keluarga kecilnya akhirnya sampai di garisan penamat.

"Saya rasa Arie tersalah makan ni," bisik Syazwan kepada Shahrina.

Siapalah tak seram kalau Farisya jadi macam tu. Dia tahu Farisya seorang yang kuat berusaha tetapi sejak akhir-akhir ini agak menakutkan gayanya. Serupa macam dah jadi orang lain.

Shahrina tersengih. Dia tak nak cakap banyak. Cukup melihat Farisya bahagia, sudah membuatkan dia gembira. Sebabnya aura yang ada pada Farisya selalunya memberikan semangat kepadanya. Biarpun Farisya nampak macam dingin pada luaran tetapi sebenarnya Farisya seorang yang peramah. Ya peramah. Peramah dengan caranya.

Farisya mengerling sekilas. Kemudian dia menongkat dagu memandang kedua sahabatnya itu. Terasa macam gatal aje telinganya mendengar suara-suara sedang bercakap belakang tentangnya.

"Korang berdua, dah habis mengutuk aku ke? Apa soalan yang Cik Hanisa nak bagi tu ada cerita pasal aku ke?" tanya Farisya, sebelah kening terjongket. Menyindir mereka yang masih tak habis-habis mengata tentangnya. Nak happy pun tak boleh ke?

Syazwan mencebik. Perli gayanya tu. Macam tahu-tahu aje orang tengah kutuk dia.

Shahrina pula sudah kalut membuka buku yang sudah berada di hadapannya. Kalau dah ditegur macam tu, nampaknya Farisya memang tahu apa yang mereka bualkan.

Farisya ketawa. Dia tidak kisah pasal Syazwan tetapi gelagat Shahrina membuatkan dia geli hati. Shahrina memang tak pandai nak menyorok perasaan sebenar. Selalu sahaja menunjukkan reaksi yang sangat jelas. Cepat sangat nak gelabah. Sebab tulah dia suka kenakan gadis itu.

"Rin." Farisya menegur.

Shahrina memandang dengan pandangan bingung.

"Aku gurau aje yang kau gelabah macam aku nak makan orang dah kenapa?" sambung Farisya. Dia tergelak kecil.

Shahrina memandang Syazwan. Syazwan hanya menjongket keningnya. Kemudian dia memandang Farisya pula. Farisya membuat isyarat peace. Tanda berjaya kenakan Shahrina.

"Awak ni kan..." Shahrina memuncungkan mulutnya.

Syazwan hanya menggeleng kepala memandang kedua gadis itu. Kemudian dia memandang bukunya semula.

"Awak buat macam awak baru kenal Arie tu semalam, Rin. Dia kan suka kenakan awak macam tu. Sepuluh kali dia kenakan awak, takkan awak tak dapat tangkap lagi," ujar Syazwan dengan nada mendatar. Matanya masih memandang buku. Malas nak melayan permainan Farisya. Farisya kalau dah mula menyakat, susah pula nak berhenti nanti. Parah jadinya.

"Aku gurau ajelah." Farisya mempertahankan diri. Dia tahu Syazwan memerlinya. Memang dia suka kenakan Shahrina tetapi bukan kerana ingin membuli. Dia cuma sekadar suka-suka kerana reaksi Shahrina sangat melucukan.

Shahrina menggaru dahinya dengan wajah yang berkerut. Baru sedar dengan keadaan sebenar. Dia tersengih memandang Farisya.

Manakala Syazwan hanya membuat muka. Malas nak layan. Dia mahu fokus pada buku itu sebelum Cik Hanisa masuk. Biarpun dia sudah study di rumah tetapi dia masih mahu membaca di saat-saat akhir. Mana tahu kalau dia terlepas pandang mana-mana topik.

Farisya menjelir lidah sebaik sahaja melihat reaksi Syazwan. Geram. Spoil mood gembiranya hari ini.

"Rin, lepas test ni kita ronda-ronda jom. Kali ni tak payah ajak mamat galah sebelah tu," ujar Farisya seperti berbisik namun suaranya masih dapat didengari Syazwan dan sememangnya sengaja membiarkan Syazwan mendengar kata-kata itu. Sengaja mahu mengapi-apikan Syazwan kononnya.

"Pergilah, ada aku kisah." Selamba sahaja Syazwan membalas. Hairan apa dia kalau Farisya mahu abaikan dirinya. Macam mana pun tiap-tiap hari mereka tetap berjumpa juga. Gaduh teruk macam mana pun, tetap kembali bersama jua. Jadi apa yang dia nak kisahkan sangat kalau setakat kena tinggal sekejap aje pun.

Shahrina yang berada di tengah-tengah itu hanya mampu tersengih. Masuk campur karang, dia pula yang melepas ke luar tingkap.

Farisya menjeling geram. Dia menjelir lidah ke arah Syazwan.

"Tapi Arie, bukan ke awak ada latihan petang ni?" celah Shahrina yang baru menyedari sesuatu. Rasanya Farisya ada latihan taekwondo petang ni.

"Alamak! Betullah!" Farisya terus tersedar. Macam manalah dia boleh terlupa. Padahal taekwondo itulah nyawa keduanya. Happy sangat sampai lupa habis. Aish!

Tersengih Shahrina ketika itu. Sejak bila Farisya jadi pelupa ni?

"Kan saya dah kata, dia salah makan hari ni," celah Syazwan yang sengaja nak menuang api ke dalam minyak.

Farisya membuat mulut dan sudah mengacah penumbuk. Geram.

Syazwan senget! Sehari kalau tak bergaduh memang tak sah!




SHAHRINA tersenyum sendirian mengenangkan kejadian di dalam kelas sebentar tadi. Farisya dengan caranya. Syazwan dengan caranya. Masing-masing tidak mahu mengalah. Setiap hari pasti ada pergaduhan. Cumanya mereka akan berbaik semula seperti tiada apa-apa yang berlaku. Kerana itulah cara mereka bergurau. Bergurau kasar.

Lega rasanya selepas menjawab test Cik Hanisa. Sebenarnya perkara yang lagi stress daripada test adalah lecturer itu sendiri. Kerana setiap kali berada di dalam kelas itu, dia dapat merasakan tekanan pada setiap orang pelajar. Mungkin kerana ketegasan wanita itu sendiri.

Tepukan sekumpulan perempuan di kaki lima hostel itu membuatkan langkah Shahrina terhenti. Hilang segala ingatan tentang perkara yang berlaku sebentar tadi. Dia memandang tiga orang gadis yang berdiri dengan gaya berlagaknya di hadapannya. Namun ketika matanya bertentangan dengan mereka, dia pantas menunduk kepala. Tidak berani untuk melawan mata dengan mereka.

"Wah Shahrina Binti Shahrizal, makin hebat kau sekarang ni kan?" ujar satu suara, sinis nadanya. Dia berpeluk tubuh memandang Shahrina dengan pandangan yang menikam.

Jelas wajah Shahrina ketakutan. Dia ingin berundur tetapi kakinya seakan-akan tidak mampu bergerak. Mengapa mereka datang ketika ini?

"Apa yang tak hebatnya, dia ada bodyguard kiri kanan," sambung seorang lagi gadis berbaju dress hijau paras lutut. Kemudian mereka bertiga ketawa sinis.

"Senior nak apa lagi?" tanya Shahrina perlahan. Antara dengar dan tidak dengar.

Dia kenal dengan ketiga-tiga orang itu. Seniornya yang pernah membulinya sebelum dia bertemu dengan Farisya dan Syazwan. Salah seorang daripada kumpulan itu merupakan kenalan lama sejak sekolah. Seseorang yang tidak pernah berpuas hati dengannya. Dia tidak tahu mengapa dalam hidupnya mesti wujud gadis yang bernama Fatin itu. Baginya gadis itu terlalu banyak menyusahkan hidupnya sejak dari sekolah. Dia tidak tahu apa salahnya sehingga gadis itu membulinya sedangkan dia tidak pernah menganggu hidup gadis itu.

Dua orang lagi, Sarah dan Liyana adalah pengikut setia gadis yang bernama Fatin itu. Ke mana sahaja Fatin pergi, pasti ada dua orang di kiri dan kanannya. Apapun yang Fatin lakukan, dua orang lagi akan mengikut telunjuknya. Kerana mereka tahu Fatin adalah orang yang lebih berkuasa dan boleh melakukan apa sahaja hanya dengan wang ringgit. Disebabkan kuasa itulah, Fatin suka menindas orang yang lemah.

"Aku cuma nak tengok hidup kau tak tenang aje," ujar Fatin selamba.

Shahrina membisu.

"Aku cuma nak bagi amaran kat kau. Jangan ingat bila Black Arie dengan Wan ada dengan kau, kau akan selamat. Kau lupa, diorang tu bukan duduk hostel macam kau. Diorang bukan sepanjang masa bersama kau. Jadi kau kena ingat, hidup kau takkan terlepas dari kitorang," ujar Fatin dengan nada tegas. Memberi amaran kepada Shahrina.

"Saya tak pernah kacau awak semua. Kenapa masih nak ganggu saya lagi?" ujar Shahrina perlahan. Kerana dia masih takut dengan kenangan lalu.

Masih jelas di ingatannya ketika dia mula menjejakkan kaki ke kolej itu. Kegembiraannya bertukar tragedi apabila jiran sebelah hostelnya adalah gadis itu. Seseorang yang membulinya sejak sekolah. Seseorang yang membuatkan hidupnya tidak pernah tenang.

"Budak nerd macam kau patut duduk library diam-diam macam zaman sekolah dulu. Kau berkawan dengan buku aje dulu. Tapi sekarang kau dah pandai pula berkawan dengan orang. Orang hebat-hebat pulak tu." Fatin berpeluk tubuh. Wajahnya tidak berpuas hati.

Shahrina yang dia kenal sewaktu zaman sekolah itu cuma budak nerd yang hanya tahu berkomunikasi dengan buku sahaja. Yang selalu keseorangan tanpa teman. Yang selalu bersendirian di library setiap hari. Tetapi sejak masuk ke kolej, si nerd Shahrina sudah berubah. Dikelilingi dengan orang-orang hebat pula tu. Pandai pula dia memilih orang untuk dibuat kawan.

"Maaf, tapi tolong jangan ganggu saya lagi." Shahrina cuba bertegas. Meskipun dia sebenarnya takut. Tiga lawan satu, sudah semestinya dia akan kalah. Dan dia tahu, dia takkan menang. Melainkan ada Farisya mahupun Syazwan.

Dia mula mengatur langkah untuk masuk ke bangunan hostel tetapi ditahan oleh Sarah dan Liyana, pengikut setia Fatin.

"Atin, kau tengok junior kesayangan kau ni. Dia dah pandai melawan la," ujar Sarah yang berambut kerinting sehingga paras bahu. Sengaja mengapi-apikan keadaan itu supaya Fatin tidak melepaskan mangsanya dengan mudah. Permainan baru sahaja bermula, takkan dah mengalah?

Langkah Shahrina terhenti. Dia mengundur ke belakang namun ditahan oleh Liyana. Gadis bermata biru dek contact lens itu tersenyum sinis. Penuh makna. Tangan kanan Shahrina dipegang.

Fatin mendekati Shahrina. Jari telunjuknya menolak dagu Shahrina agar gadis itu memandang ke wajahnya. Bibirnya tersenyum sinis.

"Baju aku banyak sangat la minggu ni. Boleh tak kau tolong basuhkan? Aku tak tidur lagi ni sebab siapkan assignment. Rin, kau baik kan. Sebelum kau kenal Arie, kau buat aje apa yang kitorang suruh. Takkan lepas kenal Arie, kau dah jadi manusia bongkak?" kata Fatin sinis. Kemudian jari telunjuknya bermain-main di bahu Shahrina pula, ala-ala menggoda.

"Ehh ehh... jangan melawan ye. Tak baik," sinis Liyana menyambung. Tangan kiri Shahrina dipegang kasar.

Shahrina membisu. Dia ingin menepis namun kedua tangan yang memegangnya itu seakan-akan cuba menyakitinya. Dia tahu kalau dia melawan, pasti keadaan akan jadi lagi teruk. Pasti akan berlaku perkara yang dia tidak pernah terjangka. Sebelum semua itu berlaku, lebih baik dia hanya mengikuti sahaja kemahuan mereka. Kerana dia tahu dirinya tidak kuat untuk melawan mereka. Dia tiada kuasa apatah lagi wang ringgit seperti Fatin. Dia umpama seekor kucing jalanan yang dilayan seperti binatang busuk yang penuh kurap di badan.

Fatin tersenyum sinis. Berjaya membuat Shahrina jadi begitu. Berjaya memusnahkan kebahagian Shahrina pada hari ini. Dia benci melihat Shahrina tersenyum bahagia. Baginya bahagia Shahrina umpama bala baginya. Dia tidak akan membiarkan gadis itu bahagia. Dia perlu membalas dendam terhadap apa yang gadis itu lakukan terhadapnya dahulu. Dia akan berterusan menganggu Shahrina sehingga dia puas. Sehingga Shahrina jatuh tersungkur di hadapannya.

"Rin, aku lapar la. Aku sibuk dengan assignment sampai tak sempat nak makan. Boleh tak kau pergi kafe belikan makanan kat kitorang. Emm, pinjam duit kau dulu boleh? Kitorang tak sempat nak keluarkan duit la," tambah Sarah pula. 

Tangan Shahrina dilepas kasar. Masing-masing tersenyum mengejek dan membuat muka nakal sesama sendiri. Agenda pertama sudah bermula. Meraka akan menyusahkan Shahrina sehabis mungkin. Sehingga Shahrina merayu dan melutut di hadapan mereka.

Shahrina memeluk rapat failnya. Cuma mencari kekuatan. Tetapi ketika ini dia tidak mampu berbuat apa-apa. Kerana dia tahu, dia sudah kalah.

"Hah! Apa tunggu lagi? Cepatlah! Kau nak kitorang mati kebuluran ke?!" Fatin meninggikan suara. Segala kelembutan sinisnya hilang serta merta. Mukanya sudah menyinga.

Kalut Shahrina ketika itu. Dia tahu kini dia terpaksa menuruti pemintaan itu. Kalau tidak pasti lebih teruk jadinya.

“Eh kejap!”

Langkah Shahrina terhenti apabila mendengar Fatin bersuara. Dia berpaling ke belakang namun tidak bersuara. Wajah itu sudah cukup menakutkan baginya untuk dia pandang.

“Kalau aku dapat tahu kau mengadu hal ni pada Arie atau Wan, siap kau. Apa yang kau rasa ni baru sikit aje. Tapi kalau diorang tahu, aku tak rasa kau boleh jumpa diorang lagi. Mungkin aku akan buat hidup kau lebih susah dari sekarang. Well, aku akan buat hidup kau merana sampai kau dah tak sanggup nak hidup kat muka bumi ni lagi,” ugut Fatin keras.

Sharina menelan air liur. Terasa begitu kesat mendengar ugutan itu. Fatin benar-benar bermain kotor dengannya.

“Emm, mungkin waktu tu aku akan bagi kau peluang untuk kau merayu dan melutut depan aku, untuk bebaskan kau dari jadi hamba aku,” sambung Fatin sinis, disambut dengan tawa sinis Sarah dan Liyana.

Shahrina menunduk. Perasaannya ditahan. Dia tahu dia tidak boleh kelihatan lemah di hadapan mereka.

“Hah! Pergilah! Yang tercegat-cegat kat situ apahal! Tak tahu nak blah lagi?” tempik Fatin lagi.

Shahrina terus berlalu dari situ tanpa suara. Berjalan menuju ke arah kafe untuk memenuhi pemintaan mereka bertiga. Kini keadaan itu sama seperti semester awal dahulu. Dia terpaksa mengikat perut kembali. Kerana dia tahu Fatin tidak akan sesekali memberikan duit kepadanya meskipun gadis itu tahu dia datang daripada keluarga yang susah. Sampai begitu sekali mereka membulinya.

Perlahan Shahrina menarik nafas. Dia tidak mengeluh. Dia cuma terasa sedih dengan dirinya sendiri yang tidak berani untuk mempertahankan diri. Berterusan membiarkan dirinya dijadikan hamba kepada orang-orang yang berkuasa.

Hidupnya cukup bahagia selepas kedatangan Farisya dan Syazwan. Ketika Farisya menyelamatkannya, saat itu dia rasa cukup tenang dan damai. Dia fikir dia sudah tidak perlu lalui situasi sebegitu lagi. Dia tidak tahu dendam apa yang Fatin katakan. Dia cuma ingin bebas. Ingin menjadi seperti orang lain, yang mempunyai kehidupan sendiri.

Kalaulah dia ada kekuatan untuk membalas, sudah lama dia lakukan. Tetapi dia hanyalah budak nerd yang pengecut, yang hanya memerlukan pelindung untuk menang. Pelindung seperti Farisya untuk menyelamatkannya.

Longlai langkahnya ketika itu. Kalaulah Farisya dan Syazwan tahu, dia yakin mereka akan menyelamatkannya.

Pasrah. Inikah takdir yang tersurat untuknya?

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni