Home Novel Cinta Seteguh Karang
Seteguh Karang
Wann Shazni
3/1/2019 21:15:57
71,279
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 19

SEBAIK sahaja tiba di rumah, Farisya terus merebahkan tubuhnya ke sofa. Keletihan yang membuatkan tubuhnya sudah tidak mampu bergerak lagi. Sememangnya papanya sedang membulinya.

Berkerut dahi Mak Mah sebaik sahaja melihat Farisya sebegitu. Apa yang Farisya ni buat sampai letih sangat?

"Kenapa dengan Risy tu dato'?" tanya Mak Mah pelik sambil mengerling ke arah Farisya yang tampak teruk sekali keletihannya.

Dato' Kamal ketawa mendengar pertanyaan Mak Mah.

"Papa tu la, buli Risy," jawab Farisya dengan suara latang. Muka masamnya jelas menunjukkan betapa teruk dia dibuli hari ini.

Mak Mah makin tidak mengerti. Dato' Kamal tetap ketawa.

"Saya suruh dia stay dengan saya satu hari ni. Tu yang mengamuk sakan tu. Dia ingat lunch aje," jawab Dato' Kamal, akhirnya menceritakan hal sebenar.

Selepas lunch tadi, dia menyuruh Farisya mengikutnya meeting dengan Tan Sri Faris. Kebetulan pula Tan Sri Faris meminta Hakimi menunggu sama. Jadi meeting business mereka itu diakhiri dengan bercerita tentang kisah lalu.

Mak Mah mencapai briefcase Dato' Kamal sambil tersenyum. Patutlah. Masam mencuka sungguh. Terkena rupanya.

Farisya membuat muka. Merajuk kononnya. Sepanjang hari tadi dia hanya jadi orang bisu. Satu ditanya, satu dibalas. Tiba-tiba pula jadi pemalu ala-ala kucing parsi. Sudah tentulah itu bukan sikapnya.

Sewaktu makan tadi, dia hanya fokus pada makanan sahaja. Hanya memerhati cara mereka bekerja. Memerhati gerak geri orang dalam bisnes. Dia masih mentah untuk hadapi situasi itu. Disebabkan itulah dia rasa janggal dalam perbincangan tadi. Apa yang dia dengari pun, hanya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Satu habuk pun tak faham.

Dato' Kamal mengambil tempat di sofa sebelah. Bibirnya masih tidak lekang dengan senyuman. Geli hati dengan sikap anak tunggalnya seorang itu. Baru sikit aje dah mengamuk macam kena kurung seminggu.

"Apa salahnya papa nak anak papa teman bila papa ada meeting. Lagipun papa ada projek dengan Uncle Faris. Sebab tu papa ajak aje Risy. Boleh la Risy kenal-kenal, tahu selok belok bisnes," ujar Dato' Kamal lembut.

Panjang muncung Farisya ketika itu. Iyelah tu.

"Kalau pasal bisnes tu, Risy on. Tapi kalau papa nak jodohkan Risy, Risy tak nak." Selamba Farisya bersuara. Manalah tahu papanya ada agenda lain ke. Bukan boleh harap sangat.

Mata Dato' Kamal terbeliak. Begitu juga dengan Mak Mah.

"Eh, ke situ pula dia fikir." Tawa Dato' Kamal meletus.

Mak Mah sudah menjongket kening ke arah Farisya. Sejak tahu Hakimi adalah lelaki yang menghuru-harakan hidup Farisya, dia tak habis-habis mengusik gadis itu sehingga merajuk dibuatnya.

Farisya tersengih sambil membuat isyarat peace. Gurau pun tak boleh ke. Gelabah pulak.

Mak Mah menggeleng kepala. Keluar sudah perangai nakal Farisya. Dia meminta diri meninggalkan dua beranak itu. Dia yakin mereka ingin bersama kerana sudah lama tidak berbual panjang sebegitu.

"Lagipun Risy, panggillah dia abang. Dia tua pada Risy. Tak manis panggil nama aje," tegur Dato' Kamal lagi. Dia perasan Farisya tak pernah membahasakan Hakimi sebagai abang.

Farisya menjuih bibir. Abang? Erk!

"Ala, panggil Encik Kimi aje. Nak abang-abang apa. Bukan rapat pun." Selamba Farisya membidas. Meremang bulu romanya kalau kena panggil abang pada lelaki itu.

Tergeleng kepala Dato' Kamal ketika itu. Susah sungguh kalau bercakap dengan anaknya itu. Ada aje nak menang.

"Tapi kan pa, kenapa dia tak jadi naib pengerusi aje sedangkan semua orang tahu dia anak Tan Sri Faris. Tambah pula dia kerja kat syarikat bapa dia sendiri," tanya Farisya sedikit keliru. Dia tertanya-tanya tentang itu sejak tadi.

Sewaktu meeting, Hakimi bercakap formal seperti pekerja bawahan walaupun orang yang dia sedang bercakap itu adalah bapanya sendiri. Malah dia juga dapat tahu, itu adalah kali pertama Hakimi memegang jawatan sebagai ketua untuk projek itu. Kiranya sebelum ini lelaki itu tidak pernah menjadi ketua untuk mana-mana projek meskipun bekerja di syarikat bapanya sendiri.

Adakah dunia ini kejam atau dia masih tidak nampak realitinya? Farisya menggaru kepala.

Dato' Kamal tersenyum. Baginya sesuatu yang mengejutkan apabila Farisya berminat untuk bertanya tentang perihal orang lain. Kerana Nur Farisya Najihan yang dia tahu adalah seorang yang tidak ambil peduli tentang hal sekeliling apatah lagi hal peribadi orang lain.

"Risy rasa kejam ke?" tanya Dato' Kamal, ringkas.

Farisya menjongket bahu. Tiada jawapan untuk itu. Dia sendiri tidak dapat memahami situasi begitu. Hendak bersangka baik pun, dia sendiri tidak tahu hendak bersangka bagaimana.

"Itulah cara Uncle Faris ajar anak dia dari kecil. Bermula dari bawah." Dato' Kamal bersuara.

Dahi Farisya berkerut. Seakan-akan tidak dapat memahami apa yang dikatakan itu.

Dato' Kamal tersenyum lagi. Dia tahu Farisya masih tidak dapat tangkap kata-katanya.

"Sebenarnya dia nak ajar anak dia bermula dari bawah. Sebagaimana dia sendiri bermula dari bawah sehingga berjaya meluaskan empayar dia. Dia nak anak dia bersusah payah dahulu. Supaya tak ada sifat sombong hanya kerana pangkat. Itulah cara dia mendidik Hakimi," cerita Dato' Kamal secara ringkas.

Dia kenal Tan Sri Faris sejak sekolah. Susah payah mereka bersama sehingga berjaya. Tetapi pangkat tidak membuatkan mereka sombong. Kerana mereka tahu hakikat sebenar pangkat itu hanya sekadar nama. Tiada apa yang boleh dibanggakan.

Farisya menangguk faham. Dari pemerhatiannya, Hakimi tidak sombong seperti anak orang ternama yang lain. Penuh dengan sopan santun dan budi bahasa. Langsung tak nampak dia sebenarnya anak kepada orang ternama. Sungguh, dia tidak pernah menyangka. Hebat sungguh Tan Sri Faris mengajar anaknya.

Pada mulanya dia merasakan tidak adil dan kejam. Masakan anak sendiri dilayan sebegitu. Kini dia mengerti jua. Bukan mudah untuk mengajar anak sendiri bermula dari bawah. Dia tabik dengan semua itu.

Tetapi dia rasa jawatan lelaki itu sebagai arkitek bukanlah sebarang jawatan yang mudah. Tetap ada cabarannya tersendiri. Baginya segalanya bukan mudah untuk dicapai. Untuk mengendalikan sesuatu projek besar bukanlah sesuatu yang mudah. Melibatkan wang ringgit dan cara perjalanannya sehingga mendapatkan hasil. Walaupun nampak macam mudah tetapi sebenarnya setiap projek ada risiko tersendiri.

Jadi tidak hairanlah kalau lelaki itu berdebar-debar dengan projek pertamanya. Salah satunya mesti orang lain melihat akan kebolehannya. Kedua, pasti lelaki itu akan jadi sebutan kerana dia adalah bakal pewaris syarikat itu. Sudah semestinya setiap tindakan yang dibuat akan menjadi pandangan orang. Baginya semua itu bukan mudah.

"Risy, sebenarnya papa pun akan buat keputusan yang sama kalau Risy masuk ke syarikat nanti. Mula dari bawah. Walaupun papa tahu Risy bukan macam orang lain tapi papa nak Risy belajar dari bawah. Untuk lihat apa orang dibawah lalui sebelum naik ke peringkat tinggi. Waktu tu Risy akan belajar banyak perkara dan Risy akan lebih tahu menghargai apa yang Risy ada," kata Dato' Kamal lembut.

Farisya tersengih kecil.

"Orait!" Farisya menabik hormat. "Risy akan mula dari cleaner sampailah ganti tempat papa. Okey?" Farisya menayang gigi sambil membuat isyarat thumb up.

Dato' Kamal ketawa. Terasa lucu mendengar kata-kata itu.

Farisya tersengih. Nakal. Tetapi dia tidak kisah kalau papanya hendak membuat perkara yang sama kepadanya. Dia yakin papanya hendak mengajarnya tentang sesuatu yang dia masih belum nampak. Kerana dia tahu setiap ilmu yang dia dapat itu pasti dihargainya kerana baginya untuk mendapatkan sesuatu ilmu bukannya mudah.

Barangkali dia perlu bekerja keras sebagaimana papanya berjaya sehingga sekarang. Setiap kemanisan pasti ada kepahitan yang tersimpan. Dia yakin sebelum papanya berjaya ke peringkat sekarang, pasti pernah jatuh rebah suatu masa dahulu.

"Risy pewaris papa. Satu-satunya orang yang akan mewarisi syarikat tu nanti. Jadi papa nak Risy belajar dari sekarang. Papa tahu Risy sibuk dengan pelajaran, dengan taekwondo. Tapi kalau Risy ada masa lapang, papa nak Risy datang syarikat. Belajar selok belok bisnes. Sekurang-kurangnya Risy dah biasa dengan urusan syarikat," kata Dato' Kamal serius.

Farisya mengangguk faham. Dia tahu suatu hari nanti dia tetap akan mengendalikan syarikat papanya. Tetapi papanya tidak pernah memaksanya untuk mempelajari semua itu. Tambahan pula bidang yang diceburi ketika itu bukanlah bidang untuk dia gunakan dalam syarikat. Papanya tidak menghalang minat dan kerjayanya. Dia bebas memilih minatnya. Cuma dia perlu terima hakikat bahawa dia adalah pewaris syarikat itu. Tanggungjawab itu takkan dapat lari dari hidupnya. Takkanlah dia hendak memusnahkan syarikat yang papanya bertungkus lumus dari bawah.

"Insya-Allah pa. Risy cuba."

Lebar senyuman Dato' Kamal ketika itu. Gembira mendengar jawapan positif Farisya. Kerana selama ini Farisya kuat memberontak. Mungkinkah Farisya sudah semakin matang selepas apa yang berlaku.

"Papa tak halang minat Risy dalam seni sebab papa tahu Risy ada bakat. Bakat yang arwah mama tinggalkan untuk Risy. Jadi papa tak nak halang. Papa sokong minat Risy. Cumanya bila papa dah tua, papa tak larat dah nak handle syarikat. Papa pun tak tahu berapa lama lagi papa nak hidup. Jadi tak salah kalau Risy belajar dari sekarang. Mana tahu Risy boleh pecah rekod jadi CEO muda plus juara black belt kat Malaysia ni." Dato' Kamal sempat lagi berseloroh dalam seriusnya. 

Farisya tersengih. Nasihat itu mendalam tetapi penghujung kata-kata papanya agak lucu. Pakej CEO muda plus juara black belt. Pecah rekod tu! CEO gengster ni! Hahaha.

"Orait! Lepas Risy jadi CEO, siapa yang cari pasal, buat hal, Risy akan belasah sampai lunyai. Risy yakin diorang takkan berani lawan Risy," ujar Farisya megah sambil mendebik dadanya. Rasanya tak sampai seminggu, semua pekerja hantar surat perletakkan jawatan. Takut punya pasal dengan bos gengster. Agak-agak salah sikit dah dibelasah lunyai, siapa nak berani hadap.

Tergeleng kepala Dato' Kamal ketika itu. Alahai si Farisya...

Kemudian dia memandang lembut wajah Farisya yang ceria itu. Wajah ceria dan nakal itu. Sungguh, dia rindu. Anaknya yang dia sangka semakin jauh kini kembali kepadanya. Setiap kali pertanyaan demi pertanyaan bermain di fikirannya. Tetapi dia masih belum mampu meluahkan lagi.

"Pa?"

Dato' Kamal tersenyum apabila Farisya memanggilnya.

"Kenapa pa?" tanya Farisya. Dia jadi pelik apabila Dato’ Kamal tiba-tiba diamkan diri.

Dato' Kamal hanya menggeleng kepala sebagai jawapan.

Farisya memuncung mulutnya. "Papa ni, dah pandai menipu ye. Papa pandang Risy macam tu mesti papa nak cakap sesuatu kat Risy kan? Cakap la. Kalau papa simpan lama-lama pun, papa bukan dapat jawapan pun. Sebab Risy ni misteri," jawab Farisya selamba. Diselitkan sedikit kenakalan di penghujung ayat hingga membuatkan Dato' Kamal tertawa.

"Tak ada apa-apa la. Papa bahagia tengok Risy macam ni..."

Farisya memandang papanya. Yakin ada sesuatu yang bermain di fikiran itu. Pantas dia bangun dan mendekati papanya. Dicapai tangan tua itu.

"Papa tak nak tanya Risy pasal majlis ulangtahun ke?" Lembut Farisya bersuara. Seakan-akan tahu apa yang bermain di fikiran papanya. Dia tahu papanya kerap memandangnya dengan pandangan sebegitu tetapi papanya tidak mampu meluahkan. Mungkin kerana menjaga hatinya.

Dato' Kamal tersenyum. Menepuk lembut bahu anak gadisnya. Namun dia tidak bersuara.

"Wan beli dress kat Risy tapi Risy tak pakai pun. Risy syak dia mesti salah makan hari tu," cerita Farisya ceria.

Dahi Dato' Kamal berkerut. Dress?

"Wan tu, dia beli dress untuk pakai waktu majlis tu. Tapi Risy mana la suka pakai macam tu. Selamba aje Risy pergi dengan pakai baju biasa. Padan muka dia," sambung Farisya lagi.

Dato' Kamal ketawa. Memang dia tahu Farisya akan muncul dengan pakaian casual. Jaket jeans dan seluar jeans. Kerana itu sahaja pakaian hariannya. Dia tidak pernah melihat anak gadisnya memakai dress mahupun apa-apa pakaian yang nampak feminine.

Tatkala itu dia dapat membayangkan wajah kecewa Syazwan waktu itu. Pasti menyangka Farisya akan memakai pakaian itu tetapi rupanya tidak.

"Pa..." Suara Farisya mula mengendur. Riak wajahnya juga sudah lain.

"Risy minta maaf sebab lambat sedar. Risy muncul kali ni sebab Wan dengan Mak Mah yang sedarkan Risy. Risy tahu papa tertanya-tanya kenapa Risy boleh jejak kaki kat syarikat papa tahun ni.

Apa yang Wan cerita, sama macam Risy nampak waktu tu. Setiap tahun papa tunggu Risy. Setiap tahun papa mengharapkan Risy. Papa akan tunggu Risy lama sebelum masuk dewan. Setiap tahun papa tak pernah lupa apa yang berlaku hari tu. Setiap tahun papa tak pernah lupa untuk sebut pasal arwah mama. Setiap tahun majlis syarikat tidak semeriah majlis lain. Kerana setiap ucapan papa, ada Risy, ada arwah mama, ada arwah adik. Papa tak pernah lupa. Tapi papa tak pernah tunjuk perasaan papa yang sebenar. Mungkin sebab papa tak nak Risy sedih.

Risy sangka papa lupa. Risy rasa papa kejam. Risy rasa papa tak ada perasaan sebab masih boleh buat majlis pada hari kematian mama. Tapi bila Risy nampak sendiri, Risy tahu apa yang Risy fikir selama ni salah..." luah Farisya sebak. Air matanya mengalir membasahi pipi. Sejak arwah mamanya meninggal, dia tidak pernah menangis lagi. Sedaya upaya dia menahan tangisnya sehinggakan walaupun dia merasa sedih, dia tidak boleh mengalirkan air mata. Sehinggalah pada majlis itu, air matanya kembali mengalir. Seperti dulu.

"Risy..." Mata Dato' Kamal juga berkaca. Setitis air jernih membasahi pipi. Dipeluk tubuh anaknya. Kepala itu diusap lembut. Dia sebak.

"Risy... maafkan papa," ujar Dato' Kamal.

Farisya menggeleng kepala.

"Risy yang salah. Risy minta maaf..."

"Papa bahagia. Bahagia sangat..."

Farisya sebak. Benarlah, papanya sangat memerlukan dia tetapi dia tidak pernah ada di sisi papanya. Dia bukan anak yag baik. Kerana masa lalu, dia bina tembok. Kerana masa lalu, dia membuatkan papanya kecewa.

Papa... Risy minta maaf. Andai Risy sedar lebih awal, papa tak perlu lalui semua ni bertahun lamanya. Risy yang salah. Maafkan Risy...

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni