Home Novel Cinta Seteguh Karang
Seteguh Karang
Wann Shazni
3/1/2019 21:15:57
7,836
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

FARISYA melemparkan beg galasnya ke sofa. Dihempas kasar tubuhnya di atas sofa itu sambil melepaskan keluhan berat. Hari ini hari yang paling malang dan penuh dengan masalah. Segalanya bermula kerana jam. Ah!

“Apalah nasib aku hari ni. Satu hari yang bermasalah...”keluh Farisya.

Selepas menghantar tugasannya, dia menuju ke perpustakaan. Malangnya dia terlupa membawa kad pelajar. Terpaksalah dia membatalkan niat untuk mencari maklumat. Malangnya bertimpa-timpa apabila dia terlupa membawa dompetnya ketika hendak membeli makanan. Yang paling malangnya,makanan itu sudah pun ditempah dan sudah bersiap sedia untuk dibayar.

Mujurlah ada makhluk Tuhan ini membantunya. Kalau tidak pasti dia malu sendiri. Tidak pernah seumur hidupnya melalui hari yang huru hara seperti hari ini. Segalanya hanya kerana jam.

Dia memandang sekeliling ruang tamu rumahnya itu. Sunyi sepi. Suasana yang sering dirasai ketika berada di rumah. Dia sudah biasa dengan suasana itu sejak kecil lagi. Apatah lagi menjadi anak tunggal dalam keluarga. Ditinggalkan sendirian bersama pembantu rumah di banglo mewah itu bukan lagi asing baginya. Makan sendirian di meja makan. Kadangkala dia hanya ditemani dengan siaran di kaca televisyen.

Farisya membaringkan tubuhnya di atas katil. Tangan kanan diletakkan di atas dahi. Matanya dipejam rapat. Fikirannya melayang mengingati kejadian tadi.

 

 

 

 “KENAPA dengan kau hari ni?” tanya Syazwan sambil menghulurkan bungkusan makanan itukepada Farisya. Tidak pernah-pernah dia melihat Farisya sebegitu.

Farisya mengeluh sebelum mencapai bungkusan itu. “Tak ada apa-apalah.”

Syazwan memandang Farisya dengan pandangan tidak puas hati. Mujurlah dia terserempak dengan gadis itu ketika hendak membeli makanan. Melihat gadis itu menggelabah mencari sesuatu di dalam begnya, dia pasti Farisya terlupa membawa dompet. Terus dia menghulurkan pertolongan tanpa banyak soal.

“Aku tak pernah nampak kau gelabah sampai macam tu sekali. Kau ada masalah ke?” tanya Syazwan tanpa berselindung lagi.

Thank. Nanti aku bayar balik duit kau.”

Tanpa menjawab pertanyaan Syazwan, dia terus berlalu. Namun langkahnya terhenti apabila Syazwan menarik beg sandangnya. Hampir sahaja dia terjatuh ke belakang dek kerana tubuhnya yang kecil itu.

“Pendek, kau tak jawab soalan aku lagi.”

Farisya mengembungkan pipinya sebaik sahaja mendengar perkataan pendek dari mulut Syazwan. Dia benci dengan panggilan itu hanya kerana tubuhnya yang kecil dan rendah. Biarpun sudah berumur 19 tahun namun tingginya hanya 150 cm. Hanya kerana ketinggiannya, dia ejek oleh lelaki itu.

Syazwan menunjukkan muka tidak bersalah.

“Aku okey la.” Farisya meragut begnya dari pegangan Syazwan.

Dia tiada mood untuk mencari gaduh dengan Syazwan.Tidak seperti hari-hari sebelum ini. Pantang bertemu pasti akan mencetuskan pergaduhan. Biarpun mereka berkawan dari sekolah namun hubungan mereka tetap sama. Macam kucing dengan anjing. Tetapi ada masanya mereka mampu bekerjasama seperti biasa seolah-olah tiada apa-apa.

“Kau bagi jawapan macam aku baru kenal kau semalam,sengal.” Syazwan mengetuk kepala Farisya. Dia benci dengan sikap Farisya yang pentingkan diri itu. Selalunya menyatakan ‘okey’ walaupun mempunyai masalah.

“Sakitlah sengal!” Farisya menggosok kepalanya. Dia merengus geram.

Syazwan membuka zip beg sandangnya. Tangannya menyeluk bagaikan mencari sesuatu.

Farisya memandang pelik.

“Nah!” Syazwan menghulurkan beberapa keping plaster kepada Farisya.

“Nak buat apa?” tanya Farisya lurus.

“Plaster ni buat tampal kat mulut kau tu. Banyak tanya sangat,” sindir Syazwan sinis.

Farisya menggigit bibir. Geram dengan sindiran itu. Dia bertanya secara baik tetapi dibalas sinis pula.

Syazwan terus menarik beg sandang Farisya dan membuka zipdi bahagian poket kecil. Dimasukkan plaster itu ke dalam poket itu.

“Siku kau luka kan. Jangan biarkan macam tu aje nanti kuman masuk,” ujar Syazwan tegas sambil menghulurkan sekeping plaster kepada Farisya.

Farisya mencapai. Tanpa membuang masa dia terus melekatkan plaster di sikunya yang luka itu sambil diperhatikan oleh Syazwan.

Thank,” ujarnya pendek.

You’re welcome. Kau tu, jangan nak berlari sangat. Luka tak apa, tapi jangan sampai aku jumpa kau patah tangan patah kaki sudah la.”

Kata-kata Syazwan membuatkan Farisya mengacah penumbuk kearah lelaki itu. Namun Syazwan hanya ketawa. Dia tahu Farisya takkan dapat melawannya kerana juara taekwondo masih menjadi miliknya biarpun Farisya berada di tempat tertinggi.

“Bising la kau ni!” Farisya merengus.

“Kita risaukan dia, dia cakap kita bising. Dasar pendek tak kenang budi...” Syazwan terus berlalu tanpa berpaling ke belakang lagi. Makin lama dia berada di situ, makin berpanjangan pergaduhan mereka. Baginya Farisya ego. Ego dengan perasaan sendiri. Berlagak seolah-olah tiada masalah tetapi sebenarnya mempunyai masalah.

Farisya menggigit bibir. Tanpa berfikir panjang dia terus berlalu pergi. Perutnya sudah berbunyi. Dia tidak sempat menjamah apa-apa dari pagi. Kerana terlalu lapar, dia berhenti di sebuah taman berdekatan dengan kawasan perumahannya.

Matanya hanya memandang gelagat manusia di sekitar taman itu. Adakalanya dia memandang kanak-kanak yang bermain dengan penuh perasaan gembira di samping ibu bapa.

Ah... bahagianya kanak-kanak itu.

Akhirnya dia membuang masa lapangnya di situ tanpa menyedari masa berlalu dengan pantas.

 

 

 

DATO’ Kamal memandang anak gadis tunggalnya. Satu-satunya peninggalan cintanya bersama isteri. Selepas isterinya meninggal dunia dalam kemalangan, Farisya tidak pernah menangis. Seawal umur 11 tahun, Farisya sudah mula berdikari sendiri. Apatah lagi dia sibuk dengan kerjanya disyarikat.

Dia tidak menyangka anak gadisnya sudah membesar. Detik demi detik berlalu tanpa disedari. Farisya membesar di hadapannya tetapi dia tidak berada di sisi anak gadisnya itu untuk melihat perjalanan yang dilalui oleh Farisya. Hanya kerana dia terlalu sibuk dengan kerja, dia terpaksa memejam mata untuk melihat semua itu.

Farisya membesar tanpa kasih sayang seorang ibu. Hanya Mak Mah, pembantu rumah mereka sahaja yang selalu mencurahkan kasih sayang kepada Farisya. Yang menjaga segala keperluan mereka di rumah. Tetapi anak gadisnya seorang yang pandai berdikari. Walaupun status anak tunggal dalam keluarga tetapi sikapnya tidak menunjukkan semua itu. Baginya Farisya matang pada sikap.

Sekalipun Farisya tidak mengeluh mahupun merugut. Segalanya diurus sendiri tanpa sebarang bantuan. Mungkin kerana dia terlalu melepaskan Farisya untuk menguruskan segalanya sehinggakan gadis itu sudah tidak memerlukan bantuan orang lain lagi. Mungkin salahnya kerana membiarkan Farisya terlalu berdikari. Salahnya juga kerana membiarkan Farisya bersendirian.

Sejak melanjutkan pelajaran pula, Farisya semakin sibuk dengan tugasan dan latihan taekwondo. Semakin hari mereka semakin menjauh. Farisya dengan kesibukannya, dia dengan kesibukannya. Masa untuk bersama kadangkala terbatas. Apabila dia berada di rumah, Farisya pula ada kerja yang perlu diselesaikan. Begitu juga sebaliknya.

“Papa tak makan ke?”

Teguran anaknya membuatkan dia tersedar. Dato’ Kama ltersenyum kecil. Dia memandang Farisya yang penuh berselera itu.

“Risy...” panggilnya perlahan.

“Emm, kenapa pa?” Farisya terus mengunyah tanpa memandang papanya.

“Risy sunyi ke?” tanyanya perlahan.

Mendengar soalan itu, Farisya terus berhenti mengunyah.Dia mengangkat kepala dan memandang ke arah papanya. Nasi yang masih berbaki dalam mulutnya di telan perlahan. “Kenapa papa tanya soalan macam tu?”

“Selama ni papa biarkan Risy seorang diri. Pertandingan Risy kali ni pun papa tak dapat pergi. Papa minta maaf sekali lagi,” ujar Dato’Kamal lagi.

Dia tahu maafnya tiada erti. Dia tahu Farisya pasti sudah lali dengan kata maafnya. Setiap kali janjinya tidak tertunai, dia akan meminta maaf. Dia tahu hati kecil si gadis itu pasti kesunyian dan memerlukan kasih sayang. Cumanya tidak ditunjukkan di hadapannya. Kerana itulah dia sukar untuk menganggak apa yang Farisya fikirkan kerana Farisya tidak menunjukkan isi hatinya. Bibirnya mengukir senyuman, sikapnya seperti tiada apa-apa yang berlaku. Dia yakin Farisya terlalu banyak memendam perasaan. Dia bimbang jikalau perasaan itu terlalu parah.

“Pa...” Farisya memandang papanya. “Risy faham papa sibuk. Ala, lagipun pertandingan kecil aje pun. Kacang aje bagi Risy,” ujar Farisya selamba sambil tersengih-sengih.

Dia tidak terasa dengan semua itu kerana dia tahu papanya sibuk dengan syarikat. Namun dia tidak tahu kenapa tiba-tiba papanya bersikap begitu. Mungkinkah papanya terlalu merisaukan dirinya? Memang itu sudah jadi tanggungjawab seorang bapa untuk merisaukan anaknya. Tetapi dia sudah biasa dengan semua itu. Biasa bersendirian dan mengurus segalanya seorang diri. Lagipun dia tidak mahu menyusahkan papanya. Dia yakin kesibukan papanya adalah untuk dirinya juga.

“Risy...”

“Pa... Risy dah besar kan pa. Risy boleh urus sendiri,”ujar Farisya tegas. Pada masa yang sama dia tidak mahu papanya diasak rasa bersalah kerana sering mengingkari janji.

Dato’ Kamal mengeluh. “Papa tahu Risy dah besar. Tapi papa tahu Risy boleh buat semua benda seorang diri. Tapi papa nak sekali sekala Risy belajar untuk bergantung pada orang lain juga. Jangan paksa untuk buat semua benda seorang diri.”

Farisya membisu.

“Risy tahu kan, papa hanya ada Risy aje kat dunia ni,”sambung Dato’ Kamal lagi.

Dia hanya ada Farisya sahaja di dunia ini. Bebas macam mana pun Farisya, walaupun Farisya tahu menjaga diri tetapi dia masih tidak boleh melepaskan tangan begitu sahaja. Baginya keselamatan Farisya tetap penting kerana Farisya masih seorang gadis. Dunia luar masih baru dalam hidup gadis itu. Dunia luar yang penuh dengan pelbagai rintangan.

Farisya cuba menahan perasaan. Dia mengerti perasaan papanya. Namun papanya terlalu merisaukan dirinya sedangkan dia sudah mampu menjaga diri sendiri.

“Ya papa...” Akhirnya Farisya mengalah.

“Risy, apa yang papa cakap ni semua untuk kebaikan Risy. Papa cuma nakkan yang terbaik untuk Risy,” tambah Dato’ Kamal sambil memandang wajah anak gadisnya itu.

“Ya pa...” Farisya mengangguk faham. Dia tidak melawan dan tidak pernah sekalipun dia melawan cakap papanya. Dia yakin papanya mahukan yang terbaik untuk dirinya.

 Dato’ Kamal tersenyum. “Marahkan papa ke?” tanya Dato’ Kamal separuh mengusik.

Farisya menggeleng kepala. “Tak la pa. Risy cuma tak nak papa layan Risy macam budak kecil. Risy dah besar kan pa. Berapa tahun Risy dah belajar hidup berdikari? Sejak mama meninggal lagi, Risy dah belajar buat semua benda sendirian.”

Dato’ Kamal memandang tepat wajah Farisya, bersama senyuman kecil. “Papa tahu. Papa minta maaf..”

Farisya bangun dari tempat duduknya dan mendekati papanya. Dipeluk leher papanya dari belakang.

“Kenapa papa nak minta maaf pula? Papa tak buat salah apa-apa pun,” ujar Farisya perlahan. Serba salah pula kerana kata-katanya itum engecilkan hati papanya.

“Kalau mama tak pergi hari tu, pasti dia masih bersamakita...”

“Papa.” Farisya mencelah tegas. Dia tidak suka papanya berkata sebegitu. “Dah tiba ajal mama, kita tak mampu buat apa-apa, pa.”

Dato’ Kamal mengangguk perlahan, cuba menahan perasaan. Kerana Farisya, dia masih kuat. Semuanya demi Farisya, satu-satunya bukti cinta yang ditinggalkan oleh isterinya.

“Papa, kita doakan mama dan adik aman di sana ya...”

Farisya mengeratkan lagi pelukan itu. Tangan papanya mengapai erat lengannya. Di situlah kekuatan yang ada.

“Papa, esok kita pergi joging nak?” tanya Farisya manja. Sengaja dia mengubah topik supaya suasana menjadi lebih ceria.

“Joging? Papa rasa belum sampai taman lagi papa dah pancit...” ujar Dato’ Kamal melayan kerenah anak gadisnya. Sudah lama dia tidak berjonging bersama anaknya kerana seringkali ada urusan kerja. Setiap minggu Farisya sering mengajaknya tetapi adakalanya dia terpaksa membatalkan perjanjian mereka di saat-saat terakhir. Namun Farisya tetap menghantarnya dengan senyuman manis dan akhirnya berjoging seorang diri atau mungkin juga bersama kawan-kawan yang lain.

Farisya mencebik. “Papa yang terlebih kuat tinggalkan Risy kat belakang, boleh pulak cakap macam tu. Poyo la papa ni.”

Dia masih ingat lagi setiap kali mereka keluar berjoging bersama. Stamina papanya itu memang mengagumkan. Semangatnya seperti remaja belasan tahun. Biarpun sudah lama mereka tidak keluar bersama tetapi dia masih mampu ingat kali terakhir mereka menikmati masa bersama.

Dato’ Kamal hanya ketawa. “Dah, jom makan. Tak baik tinggalkan rezeki macam tu.”

Perlahan Farisya melonggarkan pelukan itu dan kembali ke tempat duduknya. Sekilas dia memandang wajah papanya. Biarpun papanya tersenyum, dia tahu di hati kecil papanya masih terasa kesedihan dengan kisah lalu. Hanya dia sahaja yang mampu menenangkan hati papanya.

Dia yakin papanya kesunyian. Dia tahu papanya memerlukan teman. Tetapi papanya tidak pernah bersuarakan tentang itu. Atau mungkin papanya tidak mahu menduakan kasih dengan mamanya. Dia yakin cinta papanya kepada mamanya setia hingga ke hujung nyawa. Cinta dan kasih sayang yang tiada ganti.

Mungkin juga papanya memikirkan tentang dirinya yang tidak boleh menerima kehadiran orang lain untuk menjadi ibunya. Sejujurnya diajuga tidak mahu semua itu berlaku. Mempunyai ibu tiri yang bukan dari darah dagingnya dan hidup bersama. Ah! Lebih baik dia menjalani hidupnya seperti sekarang.

Lagipun baginya sudah cukup dia menerima kasih sayang daripada Mak Mah, pembantu rumahnya yang sudah dianggap seperti ibu kandungnya sendiri. Pak Mat yang merupakan pemandu peribadi papanya dan juga suami kepada Mak Mah pula sebagai pengganti ayahnya. Lagipun kedua mereka itu sudah dianggap seperti keluarganya sendiri. Itu pun sudah mencukupi buatnya. Dia bahagia.

“Esok kita pergi joging ya, pa,” pinta Farisya penuh pengharapan. Minggu lepas dia tidak dapat berjoging bersama papanya kerana terlibat dengan latihan taekwondo di kolej. Tetapi dia tahu, papanya masih sibuk dengan kerjanya di syarikat. Dia sendiri tidak sedar entah berapa lama mereka sudah tidak berjonging bersama.

Dato’ Kamal tersenyum sambil mengangguk.

 

 

 

MATA Syazwan merenung siling biliknya. Fikirannya melayang sejak pulang dari kolej lagi. Mengenangkan sikap Farisya sejak akhir-akhir ini, dia jadi risau. Mungkinkah gadis itu terlalu stress dengan tekanan kerja dan latihan taekwondo. Atau mungkin ada masalah lain yang timbul tanpa dia menyedarinya.

Sebentar tadi dia terasa tidak sedap hati. Bukan kerana risau dengan luka di tangan Farisya tetapi entah mengapa hari ini dia begitu risau melihat diri Farisya. Ketika Farisya berlari meninggalkannya sebentar tadi, dia meminta diri dari Shahrina untuk melihat keadaan Farisya. Tekaannya tepat sekali. Kalaulah dia tidak muncul ketika itu, entah bagaimanalah keadaan Farisya di kafe sebentar tadi.

Dia kenal Farisya sejak sekolah rendah lagi. Sejak berumur 9 tahun. Ketika itu Farisya merupakan pelajar baru di sekolah itu. Dia mengenali Farisya kerana gadis itu duduk bersebelahan dengannya. Perkenalan mereka bukanlah bermula dengan cara baik. Segalanya bermula dengan pergaduhan apabila dia menegur sikap Farisya yang kasar itu. Pergaduhan mereka lebih teruk apabila bertemu di kelab taekwondo. Hubungan mereka tidak pernah baik kerana sering sahaja berlaku pertengkaran. Namun entah mengapa, setiap tahun dia sekelas dengan Farisya. Tidak pernah berpisah.

Sehinggalah mereka masuk ke sekolah menengah, kelas tetap sama. Lama-kelamaan menjadi kawan yang membesar sejak kecil kerana seringkali bersama. Pertengkaran berlaku seperti biasa. Tetapi tidak seteruk sewaktu mula-mula kenal. Mereka mula bercakap baik-baik walaupun adakalanya ada kekasaran. Dia tahu sekasar-kasar Farisya, ada kelembutan yang tidak pernah ditunjukkan. Apatah lagi selepas mama Farisya meninggal dunia.

Syazwan mengeluh perlahan. Sikap Farisya sukar diduga namun dia mengenali tindak tanduk Farisya. Hampir 10 tahun dia mengenali Farisya.

Fikirannya melayang mengingati kisah mereka di zaman sekolah menengah.

“Arie...”

“Emm...” Mata Farisya masih memandang bukunya.

“Arie...” Syazwan memanggil sekali lagi.

“Emm...”

“Arie...”

Farisya terus berpaling ke arah Syazwan dengan muka geram. “Nak makan penumbuk ke?” tanyanya garang.

Syazwan menggigit bibir. Pantang betul minah ni. Cabar sikit dah naik angin.

“Kau ni, garang sangat la. Kau ni tak suka dengan aku sangat ke, asyik nak belasah aku aje kalau nampak aku,” ujar Syazwan separuh merajuk. Farisya tidak pernah melayannya dengan elok. Selalu sahaja dibalas dengan kekasaran walaupun ditanya baik-baik.

Farisya mencebik meluat. Dihempuk kepala Syazwan dengan bukunya.

“Gedik la kau ni.”

Syazwan berpeluk tubuh. Digosok kepalanya. Kepalanya sering menjadi mangsa Farisya. Sikit-sikit hempuk. Salah sikit hempuk. Salah banyak dah tentu la kena balun.

“Kau tu bukannya tak boleh mengelak pun. Sia-sia ada seni pertahanan diri tapi tak pandai guna,” sindir Farisya sinis.

“Eleh, sekurang-kurangnya aku tak menyalahguna seni pertahanan diri macam kau untuk buli orang sana sini,” balas Syazwan pantas.

Farisya merengus. Tangannya sudah terangkat, bersedia untuk membelasah Syazwan.

“Hempuk nak?”

“Tengok tu! Kau ni sekali sekala layan la aku dengan baik.”

Mulut Farisya terkumit-kumit mengejek. “Kalau aku layan kau dengan baik, siapa nak cari gaduh dengan aku?”

Giliran Syazwan pula mengejek kata-kata Farisya.

“Ooo, jadi aku ni hanya tempat kau cari gaduh aje lah. Patutlah kau tak pernah nak layan aku dengan baik. Asyik nak bertekak aje dengan aku. Tak apalah, aku tahu kau benci aku.”

Syazwan mula buat ayat sedih. Seakan-akan sedar dirinya hanya sekadar tempat untuk bertekak dengan Farisya.

Farisya sudah membuat muka “Poyo la mamat ni!”

Dihempuk buku mengenai kepala Syazwan. Dia bangun dari tempat duduknya dan berdiri di hadapan Syazwan.

“Selain jadi kawan untuk bergaduh, kau juga adalah mangsa untuk aku belasah. Selama aku hidup ni, tak ada orang yang boleh memahami aku selain daripada keluarga aku. Sejak aku kenal kau, walaupun kita kerap bergaduh tapi kau lebih memahami aku berbanding dengan orang. Sebab itulah aku boleh jadi diri aku bila bersama dengan kau,” ujar Farisya tenang. Persahabatannya dengan Syazwan ikhlas walaupun pada pandangan orang lain, mereka umpama musuh hanya kerana kerap bertekak.

Syazwan tersenyum kambing. “Jadi kau tak benci aku lakan?”

Farisya menggeleng namun wajahnya masih penuh dengan keegoan.

“Okey, bermakna kau sayang aku la kan.” Syazwan terkekek-kekek ketawa nakal.

Mata Farisya terbuntang. “Kau nak mati ke mangkuk!”

Syazwan sudah melarikan diri. Dia tahu Farisya sudah mengamuk. Dalam hatinya membuak-buak gembira kerana Farisya tidak pernah membencinya. Farisya cuma tidak tahu meluahkan perasaan dengan cara yang baik. Mungkin pada Farisya, kekasaran itu menunjukkan perasaan. Tapi tidak bagi orang lain. Dia ingin cuba memahami Farisya dengan lebih mendalam. Dia ingin mengenal sikap Farisya walaupun terpaksa merelakan tubuhnya dibelasah oleh gadis itu.

Syazwan tersedar sendiri apabila merasakan bibirnya sudah tersenyum lebar hampir ke telinga mengenangkan kisah lalu itu. Sejak dari itulah, dia sering mengusik Farisya dengan kata-kata sebegitu. Biarpun Farisya masih melayannya dengan kekasaran tetapi dia menganggap kekasaran itu tanda kasih sayang buatnya.

Farisya...

 

 

 

HAKIMI duduk bersilang kakinya sambil matanya merenung berita di kaca televisyen. Menggeleng kepalanya apbila melihat pelbagai kes buli yang tersiar ketika itu. Gejala buli makin berleluasa sehinggakan tidak dapat dibendung. Dek kerana terpengaruh dengan drama dan filem ganas dari dalam dan luar negara. Peranan media membentuk tingkah laku remaja yang masih dalam proses tumbesaran. Segala yang ditayang di media mudah menjadi ikutan mereka.

Budak-budak zaman sekarang sudah berani bertindak ganas tanpa memikirkan perasaan orang lain. Yang lemah menjadi mangsa. Sikap manusia sekarang semakin lama semakin hilang hormat pada orang lain. Yang atas ditunjuk kuat. Yang bawah dihenyak lunyai.

Teringat situasi pagi tadi. Pelanggarannya dengan gadis itu membuatkan dia hanya mampu menggeleng kepala. Sudah meminta maaf dengan cara baik namun dibalas dengan kekasaran. Malah ketika ingin dibantu, gadis itu masih menggunakan kekerasan. Sememangnya sikap manusia zaman sekarang makin hilang nilai murni. Sudah tidak tahu beradab dengan orang yang lebih berumur. Malah sikap seorang gadis sepatutnya berlemah lembut tetapi sekarang makin hilang rasa malunya. Langsung tidak nampak adabnya sebagai seorang perempuan.

Dia mengeluh panjang.

“Hah Kimi, panjang mengeluh. Ada masalah ke?” tanya Tan Sri Faris, papa Hakimi. Jarang dia melihat anak terunanya mengeluh. Macam ada bebanan yang berat di atas kepala anak muda itu.

Dia mengambil tempat di sofa bersebelahan. Matanya masih memandang Hakimi.

“Tak ada la pa. Kimi tengah fikir sikap manusia zaman sekarang ni. Dah tak pandai menghormati orang lain tambah-tambah kepada yang lebih tua. Sekarang ni juga banyak kes-kes buli melibatkan pelajar sekolah.Budak-budak zaman sekarang lebih suka menggunakan kekerasan untuk selesaikan masalah,” luah Hakimi, kecewa.

Tan Sri Faris mengangguk setuju. Dia tidak menyangkal kata-kata anak terunanya itu. “Budak-budak zaman sekarang disajikan dengan pelbagai media massa. Tak sama macam zaman Kimi dulu.”

Hakimi hanya melepaskan keluhan. “Entah la pa. Sama macam kes Kimi pagi tadi. Keluar aje kedai, terlanggar la sorang budak ni. Kimi dah minta maaf tapi dia terus marah siap cakap kita buta pulak.  Kimi memang tak perasan pun mungkin sebab ada pokok-pokok kat situ. Bila tengok siku dia berdarah, Kimi offer la nak hantar dia pergi klinik tapi dibalas dengan kekasaran pulak. Tak sempat cakap apa-apa, dia terus pergi macam tu aje.

Entah la pa, budak sekolah lagi kot. Tak salah pun kalau dia tak nak minta maaf tapi tak payah la nak marah-marah macam tu. Sekurang-kurangnya boleh aje cakap elok-elok,” cerita Hakimi penuh dengan perasaan hampa. Kalaulah dia tidak mempunyai kesabaran yang tinggi, sudah pasti dia juga meninggikan suara kepada gadis itu.

Tan Sri Faris tekun mendengar cerita itu.

“Tak payah fikir sangat la Kimi. Sekurang-kurangnya budak tu tak apa-apakan Kimi.”

Hakimi hanya mengangguk. Lagipun dia tak terfikir bahawa gadis itu akan mengapa-apakan dirinya. Tak mungkinlah seorang gadis sekecil itu akan memukulnya.

“Apa-apa pun selepas ni berhati-hati. Kita kat dunia ni hidup dengan pelbagai ragam orang. Rambut aje sama hitam tapi hati lain-lain. Kadang-kadang tu kita hidup dengan perasaan prasangka. Selalu menilai dengan luaran berbanding dalaman. Jadi, fikirlah baik-baik Kimi,” nasihat Tan SriFaris dengan penuh perasaan.

Dia tahu anaknya tahu menilai yang mana yang baik dan yang mana yang buruk. Jarang dia melihat anaknya marah-marah tanpa sebab yang munasabah. Anaknya lebih memilih untuk bersabar berbanding menggunakan emosi dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

Hakimi hanya menangguk perlahan.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni