Home Novel Cinta Seteguh Karang
Seteguh Karang
Wann Shazni
3/1/2019 21:15:57
7,836
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

"WEH Pendek!"

Farisya berpaling ke arah suara yang memanggilnya itu. Bukannya dia tidak kenal dengan suara itu. Siapa lagi kalau bukan Syazwan. Hanya Syazwan sahaja yang berani memanggilnya sebegitu.

"Kau nak mati ke pagi-pagi buta dah cari pasal dengan aku?" Farisya mencekak pinggang sambil merenung tajam ke arah Syazwan yang berjalan ke arahnya tanpa ada riak rasa bersalah.

"Selamat pagi wahai Cik Nur Farisya Najihan binti Dato' Kamal..." sapa Syazwan manja. Langsung tidak peduli dengan renungan tajam gadis itu. Dia sudah biasa dengan semua itu.

Farisya menjegil matanya.

"Lorh! Aku panggil nama penuh pun marah? Dah tu nak suruh aku panggil apa? Woi?" Syazwan membuat lawak bodohnya. Memang sengaja la kalau pagi-pagi dah buat onar dalam hidup Farisya. Makan penumbuk alamatnya.

Farisya mengacu menumbuk. "Jangan sampai kau makan guna straw nanti."

Syazwan ketawa. Tidak takut dengan amaran itu. Dia tahu Farisya hanya berkata-kata sahaja. Paling tidak pun gadis itu hanya mampu menendang kakinya sahaja. Farisya takkan sampai hati untuk memukulnya sehingga lunyai.

Bengang. Farisya terus berjalan ke arah kelasnya yang berada di tingkat tiga. Malas melayan Syazwan. Silap-silap penumbuk lekat di muka.

"Arie!" Syazwan mengejar pantas.

Moody sungguh la perempuan tak cukup inci ni. Datang bulan ke apa?

Farisya hanya memekakkan telinganya.

"Arie, kejap la!" Syazwan cuba menghentikan langkah Farisya dengan menghalang laluan di hadapan gadis itu.

"Kau ni kenapa?" tanya Farisya bengang. Kakinya terhenti.

Syazwan menghela nafas.

Jam ditangan dikerling sekilas. Wajah Farisya masam mencuka. "Beb, kita lambat ke kelas okey?"

Syazwan tersedar. Terus dia melihat jam tangannya. Mukanya terus berubah.

"Kelas Cik Hanisa weh!" Syazwan terus melajukan langkahnya. Sebut sahaja Cik Hanisa, pakat seram sejuk. Bukan boleh masuk lewat sikit, silap-silap kena berdiri di luar. Dah macam budak sekolah aje. Tapi disebabkan peraturan macam budak sekolah tu la tak ada sesiapa pun yang berani datang lambat ke kelas itu.

Farisya merengus. Senget punya Syazwan!

"Kau tahan aku, lepas tu selamba derk kau blah macam tu," bebel Farisya bengang.

"Weh pendek! Cepatlah!" laung Syazwan yang sudah jauh daripada Farisya.

Farisya mengigit bibir.

"Kalau kau tak mati hari ni, esok kau mati. Siaplah!" gumam Farisya sambil mengacu penumbuk ke arah Syazwan namun Syazwan hanya tersengih.

Tak guna punya kawan!




SELEPAS tamat kelas Cik Hanisa, Syazwan terus merampas beg Farisya dan terus berlari keluar tanpa sebarang kata.

Farisya termangu-mangu sendiri. Tubuhnya tidak bergerak dek terkejut dengan tangan yang pantas meragut begnya itu. Dia memandang Shahrina yang berada di sebelahnya.

"Wan tu salah makan ke semalam? Apasal perangai dia pelik sangat?" tanya Farisya. Dahinya berkerut namun riak wajahnya menahan geram.

Shahrina menjongket bahu. Dia sendiri terkejut dengan kelakuan Syazwan yang tiba-tiba itu. Setahunya Syazwan bukan seorang yang berperangai kebudak-budakkan. Lelaki itu sering menunjukkan wajah cool dan perasan macho di khayalak ramai. Tetapi kelakuannya hari ini membuatkan dirinya bingung. Jangankan dia, Farisya yang berkawan sejak kecil pun tak boleh faham situasi itu.

Farisya merengus. Di tangannya hanya ada smartphone dan buku nota sahaja. Itu pun sebab dia tidak sempat masukkan kedua barang itu ke dalam beg sandangnya.

"Mamat sengal ni kalau tak menyusahkan hidup aku memang tak sah," bebel Farisya sambil melangkah keluar dari kelas.

Shahrina mengekori di sebelah hanya membisu. Tangannya hanya menggosok lengan Farisya supaya bersabar. Bukan boleh harap sangat dua orang jaguh taekwondo ni. Tak pasal-pasal nanti ada pulak scene WWE.

"Tu. Muka selamba derk dia aje." Farisya menjuih bibir ke arah Syazwan yang bersantai di kerusi batu. Muka selamba derk aje macam tak buat salah.

"Awak jangan belasah dia pula Arie..." Takut-takut Shahrina bersuara. Mana tidaknya, Farisya kalau naik angin, kaki tangan semua naik.

"Ala Rin, kau nak takut sangat kenapa? Kau pernah tengok ke si mamat tu kena belasah teruk dengan aku? Dari kecik sampailah sekarang, dia tak pernah bagi peluang kat aku untuk belasah dia. Pantas aje dia tepis. Eii geram pulak aku!" bebel Farisya lagi. Jemarinya dikepal-kepal sambil menumbuk di tapak tangannya.

Shahrina hanya mampu menayang gigi. Ada benarnya kata-kata Farisya. Dia tidak pernah lagi melihat dua orang itu bertumbuk sampai masuk ke hospital bagai. Sekasar-kasar dan sehebat-hebat Farisya, tidak pernah lagi dia melihat Syazwan dipukul teruk oleh Farisya.

Terus Farisya melangkah pantas ke arah Syazwan. Laju tangannya cuba mengetuk kepala Syazwan dengan buku notanya tetapi lelaki itu menepis pantas. Tawa Syazwan membuatkan dia semakin bengang.

"Kau ni kutip makanan kat mana-mana ke sampai biul sangat otak kau hari ni?" tanya Farisya geram.

"Nope." Pendek Syazwan membalas.

"Dah tu?"

Syazwan tersenyum.

"Kau ni pehal pulak senyum-senyum? Geli bulu roma aku." Farisya membuat muka geli.

Baginya pelik kalau Syazwan bersifat sebegitu melainkan otaknya memang dah tak betul.

Shahrina hanya duduk senyap di sebelah. Dia yakin Syazwan ingin menyampaikan sesuatu. Dia yakin sikap Syazwan hari ini pasti ada kena mengena dengan Farisya.

"Rin, cuba kau tampar muka dia sikit. Aku rasa dia sakit la," arah Farisya selamba.

Wajah Shahrina sudah berubah. Ada rasa serba salah di situ. Dia memandang Syazwan. Syazwan turut memandangnya.

"Kau kalau tak boleh nak lawan aku, tak payah suruh Rin belasah aku okey. Nah, ambil balik beg kau. Bukan ada barang berharga sangat pun." Syazwan menghenyak beg itu ke arah Farisya.

Farisya membuat muka. "Gila!" bentak Farisya geram.

"Jom teman aku beli barang kejap," ajak Syazwan tanpa mempedulikan amarah Farisya.

"Malas. Kau pergi la dengan Rin," balas Farisya, menjuih bibir ke arah Shahrina.

Mentang-mentang kelas petang batal, nak pergi sana sini pula. Selalunya dia akan habiskan masa dengan training ataupun berada di tasik. Memang tak la kalau dia nak pergi bersantai tanpa sebab dan hala tuju.

"Ah, tak pe la. Hari ni saya ada hal sikit. Arie, awak temanlah Wan." Shahrina segera memberi alasan. Dia tidak mahu menganggu.

Syazwan mengerut dahi. Namun belum sempat dia bersuara, dia melihat isyarat daripada Shahrina. Isyarat yang menyatakan dia tak perlu pergi bersama.

"Alah, dia lelaki. Dia boleh pergi sendiri. Hari tu selamba badak dia aje tinggal aku lewat malam tepi jalan," bidas Farisya.

Mata Syazwan terjegil.

"Amboi! Sedapnya mulut mengata. Bukan kau ke yang halau aku balik, bajet berani nak balik jalan kaki sorang diri. Nak salahkan orang pulak."

Farisya tersengih.

"Korang berdua pergi la. Rin tak nak kacau line. Hehehe, okey bye Rin balik hostel dulu ye." Sejurus menuturkan kata-kata itu, Shahrina terus melarikan diri. Risau Farisya naik angin pula.

Farisya merenung tajam ke arah Syazwan.

"Sejak bila Rin pandai mengusik kita macam tu? Kau mengajar eh?" tanya Farisya garang.

"Eh, apa pula aku? Dia bukannya budak kecil nak diajar bagai," balas Syazwan, mempertahankan diri. Padahal dia sebenarnya tidak sangka kata-kata sebegitu keluar dari mulut Shahrina yang sememangnya terkenal dengan sikap pemalunya.

Inilah orang kata, nak berkawan tu kena tengok sikapnya. Sikap kawan tu la nak membentukkan diri kita. Terbukti setelah Shahrina berkawan dengan mereka yang sememangnya mulut becok, gadis itu pun dah mula banyak bercakap.

Farisya merengus.

"Jom..."

"Pergilah sorang!" Farisya terus menggalas beg silangnya dan berlalu pergi.

"Weh pendek!"

Langkah Farisya terhenti. Dia terus berpaling ke arah Syazwan dengan muka garang.

"Pendek! Arie pendek. Nur Farisya Najihan tak cukup inci..." laung Syazwan selamba. Nasib la waktu tu tak ada orang lalu lalang sangat. Kalau tak pasti mata-mata akan memerhati mereka.

Laju Farisya mengatur langkah ke arah Syazwan.

"Senyap la sengal! Jom, jangan nak bising sangat. Kang ada jugak yang makan guna straw esok!" Garang Farisya memberi amaran. Mengalah jua akhirnya.

Dia benci dengan perangai Syazwan. Yang tahu segala kelemahannya, yang boleh menjatuhkan egonya bila-bila masa sahaja. Dia benci!

Syazwan tersenyum kemenangan. Sengaja dia membuat gaya yes di hadapan Farisya. Nak bagi sakit hati la tu.

Farisya merengus. "Benci kau!" Kakinya melangkah laju meninggalkan Syazwan. Panas! Hatinya panas!

Syazwan ketawa.

Makin bertambah sakit hatinya mendengar tawa Syazwan. Dia berpaling dan melaung kasar.

"Cepat la sengal! Tunggu situ apa lagi?"

Syazwan tersengih. Uih! Black Arie naik angin!

Terus dia berlari anak ke arah Farisya.

"Benci kau tu sebenarnya sayang. Macam la aku tak kenal kau." Sempat lagi Syazwan bersuara.

"Kau diam la!"

Syazwan tersenyum dalam diam. Itulah Nur Farisya Najihan. Egonya sepanjang masa. Dia tidak kisah semua tu. Asalkan misi pertamanya sudah berjalan dengan lancar.




BIBIRNYA mengukir senyuman tatkala memandang air kotak kiwi yang berada di hadapannya itu. Serta merta ingatannya terlintas pada si gadis bertali pinggang hitam itu.

"Kau apehal senyum depan air kotak tu, Kimi?" tegur satu suara sambil menggeleng kepala. Haziq, designer syarikat Astana Architects Sdn Bhd merangkap kawan baiknya.

Hakimi tersedar. Kemudian dia memandang Haziq. Bibirnya mengukir senyuman lagi.

"Ada kisah disebalik air kotak ni."

Haziq ketawa.

"Tapi cara kau tenung air kotak tu siap tersenyum-senyum bagai, dah lain macam aje. Macam orang angau aje. Mesti perempuan yang jadi puncanya," gurau Haziq, cuba mengorek rahsia. 

Giliran Hakimi pula ketawa.

"Ye, memang perempuan. Tapi budak perempuan..."

Dahi Haziq berkerut. Seolah-olah tidak mengerti apa yang Hakimi cuba sampaikan. Padahal dia menembak tanpa niat pun. Tidak sangka memang betul-betul ada kena mengena dengan perempuan. Tetapi... ada sesuatu yang tidak kena di situ.

"Maksud kau..." Haziq terhenti bersuara.

Hakimi mengangguk. "Yes. Orang yang buat aku senyum tu sebenarnya budak perempuan."

"Kau sihat ke tak ni, Kimi? Sejak bila kau tukar taste pulak ni?" tanya Haziq separuh risau. Apa dah jadi dengan Hakimi sebenarnya? Sudah buang tabiatkah?

"Eh kau ni. Ada ke patut kata kat aku macam tu." Hakimi menggeleng kepala. Ke situ pula Haziq fikir. Padahal dia cuma teringat tentang situasi sahaja. Bukannya seperti yang Haziq fikirkan.

"Tak adalah. Dah perangai kau pelik sangat, siapa tak salah faham. Kalau kau nak cari calon sekalipun, at least cari la yang muda setahun dua. Janganlah kau nak bercinta dengan budak pulak," seloroh Haziq diselitkan sedikit dengan nasihat.

Hakimi menggeleng kepala.

"Aku tak ada masa untuk bercinta, Ziq. Aku tak nak buang masa..." ujar Hakimi penuh makna. Kemudian dia menyedut minuman kiwi itu sehingga habis.

Haziq membisu. Terasa bagaikan tersalah topik untuk bicara.

"By the way budak perempuan tu bukan calang-calang orang," sambung Hakimi lagi.

Kening Haziq terangkat sebelah bagaikan tertarik dengan kata-kata Hakimi. Namun dia hanya membisu, menunggu Hakimi meneruskan kata-kata yang seterusnya.

"Maksud aku dari segi tenaga dia." Hakimi memperbetulkan keadaan. Bimbang Haziq salah faham.

"Apasal? Dia ada kuasa ke?" Haziq bertanya soalan tidak masuk akal.

Hakimi menggeleng kepala. Astaghfirullah Haziq ni. Ke situ pulak dia fikir.

"Dia tak ada kuasa tapi tenaga dia mungkin boleh mengalahkan tenaga kita. Budak perempuan ni ada seni pertahanan diri. Tapi bukan sebarangan. Tengok sekilas, kau takkan sangka ilmu yang dia ada," ujar Hakimi, menjelaskan apa yang patut supaya Haziq tidak salah faham.

"Ooo..." Haziq mengangguk. "So apa kisah yang boleh dikaitkan dengan air kotak kiwi kau ni?" tanya Haziq lagi.

Hakimi tersenyum. Soalan menarik.

"Kau, bila senyum macam tu buat aku meremang bulu roma." Haziq membuat muka geli. Meremang bulu romanya melihat cara senyuman Hakimi itu. Risau sungguh!

Hakimi menepuk bahu Haziq. Gurau kasar nampak.

"Tak la. Kau ni. Kisah menariknya ialah aku dengan dia sama-sama peminat air kotak kiwi."

Haziq membuat muka. Rupanya wujud juga manusia yang sama spesis seperti Hakimi. Seorang penggila kiwi. Segalanya kiwi.

"So kau nak cakap kau dah jumpa soulmate dan soulmate kau tu masih budak? Macam tu?" sindir Haziq. Dia memandang Hakimi tidak percaya. Mungkin dalam hatinya menyatakan Hakimi sudah hilang akal.

"Umur dia dah 19 tahun, Ziq. Bukan budak sekolah yang macam kau tengah bayang dalam otak kau ni."

Hakimi menggeleng kepala. Kalau dah namanya Haziq, selagi tak cerita sampai ke Z memang selagi tu la dia buat andaian melampau-lampau.

"Tu remaja, bukannya budak. Kau kalau nak bagi penerangan tu, sila buat penerangan dengan betul. Aku hampir-hampir fikir kau terjatuh cinta dengan budak sekolah. Apa la aku nak buat kat kau kalau kau betul-betul jatuh cinta dengan budak," ujar Haziq. Tergeleng kepalanya ketika itu. Hakimi ni memang suka buat orang serangan jantung.

Hakimi tertawa. Siapa suruh fikir di luar kotak sangat.

"So?" Haziq menjongket sebelah keningnya. Tertunggu-tunggu dengan cerita seterusnya.

Hakimi tersenyum. Gadis itu menarik. Dia tertarik. Unik. Tetapi dia tertarik bukan kerana perasaan cinta. Dia cuma ingin tahu. Kerana terasa dunianya aneh selepas bertemu dengan gadis itu. Gadis itu seakan-akan membuka satu dunia lain untuk dia terokai.

"Kimi?" Haziq menegur. Senyuman Hakimi menyeramkannya.

"Perasaan aku waktu ni cuma nak jumpa dia. Aku rasa dia bawa satu tenaga yang buat orang sekeliling gembira dan lupa hal sekeliling. Aku akan terlupa masalah aku lepas jumpa dengan dia. Dan aku bagaikan jadi diri aku yang dulu selepas bertemu dengan dia," luah Hakimi tenang.

Haziq membisu. Dia tertanya-tanya menarik macam manakah sehingga membuatkan Hakimi jadi sebegitu? Hebat sangatkah gadis sampai mampu mengubah personaliti Hakimi?

"Kimi, sebelum kau parah lebih baik aku bawa kau pergi hospital. Sekarang ni bukan aje hati kau sakit tapi otak kau jugak sakit," celah Haziq, membuat gaya ketakutan. Sejurus itu tamparan melekap di bahunya.

"Teruk la kau ni."

Haziq ketawa.

"Betullah. Kau ni parah sangat. Aku risau budak tu buat apa-apa kat kau aje sebab kau dah teruk sangat ni," sambung Haziq lagi.

Hakimi memeluk tubuh. Dia menggeleng kepala.

"Tak baik kau kata kat dia macam tu. Memang mula-mula nampak macam dia tu budak nakal tapi sebenarnya dia budak baik. Kau tahu kan, dalam hidup ni sikap manusia adalah perkara yang sukar dijangka. Dan adakalanya sikap manusia berubah kerana sesuatu situasi. Jadi jangan judge orang berdasarkan apa yang kita nampak. Sini, mata hati tu lebih penting. Dari sini la kita nak nampak apa yang kita tak nampak dengan mata kasar," ujar Hakimi penuh makna yang mendalam. Jari telunjuknya ditunjukkan di dadanya merujuk kepada hati.

Haziq tersenyum sebelum menepuk bahu Hakimi.

"Kimi, kau tahu tak?"

Hakimi memandang tepat ke anak mata Haziq. "Apa?"

"Kau sepatutnya jadi novelis bukan arkitek." Selepas menuturkan kata-kata itu, Haziq ketawa.

Hakimi membuat muka. Budak ni, orang serius dia main-main pulak.

"Okey okey. Aku akui kata-kata kau. Tapi hati-hati. Jangan biar mata membutakan hati," pesan Haziq penuh makna mendalam. Mengharapkan Hakimi berhati-hati dengan hati.

Hakimi membisu. Namun dia kembali tersenyum. Kerana dia tahu keadaan hatinya ketika ini.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni