Home Novel Cinta Seteguh Karang
Seteguh Karang
Wann Shazni
3/1/2019 21:15:57
71,478
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 29

"AWAK semua ni siapa?"

Plastik makanan hampir terlepas dari pegangan Shahrina.

Pertanyaan itu membuatkan masing-masing terkedu. Shahrina dan Syazwan saling berpandangan.

"Arie!"

Farisya terkial-kial apabila Shahrina memeluk tubuhnya.

"Arie, awak tak kenal saya ke?" tanya Shahrina. Kemudian dia melepaskan pelukan dan menatap wajah Farisya.

Mata Farisya terkebil-kebil.

Syazwan terkedu. Terkaku. Seperti tidak sedar apa yang berlaku.

"Wan!"

Panggilan Shahrina menyedarkan Syazwan. Segera Syazwan mendekati katil itu.

"Arie, kau tak kenal aku?" tanya Syazwan sambil merunding ke dirinya.

Dahi Farisya berkerut. Namun masih tidak bersuara.

Syazwan terkedu. Apakah yang sudah berlaku? Adakah pukulan di kepala membuatkan Farisya lupa ingatan? Adakah Farisya melupakan segala-galanya? Memori mereka, persahabatan mereka dan segalanya yang mereka kongsi bersama sejak kecil.

Sejurus itu Syazwan terus berlari keluar dari bilik itu. Shahrina sekadar membisu.

"Kenapa dengan Wan tu?" tanya Dato' Kamal sebaik sahaja melangkah masuk ke bilik Farisya. Dia sempat melihat Syazwan berlari keluar dari bilik itu bagaikan ada kecemasan sahaja.

Tiba-tiba sahaja Farisya ketawa nakal. Dia membuat isyarat peace.

"Abaikan aje papa. Saja nak mengusik." Selamba Farisya bersuara lantas mencapai bungkusan makanan yang dibawa oleh mereka. Epal yang diambil dilap-lap pada bajunya lalu digigit rakus.

Mata Shahrina sudah terkebil-kebil. Kemudian dia merenung Farisya sedalam-dalamnya.

"Kenapa?" Farisya bertanya selamba.

"Awak ingat saya tak Arie?" tanya Shahrina inginkan kepastian.

"Apa pulak tak ingat. Kau ni manusia yang aku pernah selamatkan dari makhluk asing bernama Fatin tau. Paling penting apa pulak aku tak ingat kawan perempuan pertama aku."

Sambil bercakap sambil mengunyah buah epal merah itu. Rakus gayanya seakan-akan tak makan sebulan. Dengan tidak dipotong kulit buahnya lagi.

"Ish budak ni. Kalau ya pun nak makan, basuh la dulu," tegur Dato' Kamal sambil menggeleng kepala.

Farisya tersengih. Namun terus menguyah rakus buah epal itu sehingga hampir tinggal separuh sahaja. Makan ke telan sebenarnya?

"Jangan dilayan sangat Risy ni, Rin. Dia dah bosan sangat la tu sampai boleh mengusik Wan. Kejap lagi jenuh berperang la dua orang itu," ujar Dato' Kamal sambil menyusun makanan dan buah-buahnya di atas meja di sisi Farisya.

Dia bersyukur kerana Farisya sudah sedar. Malah sifat Farisya selepas bangun dari pengsan seolah-olah bangun dari tidur yang panjang sahaja. Perangai selambanya dan selera makanannya. Belum sampai tengah hari lagi, Farisya sudah menghabiskan sarapan bihun goreng dari hospital, sebungkus nasi goreng tomato dan dua paket roti telur.

Sebentar tadi dia baru sahaja pulang daripada kafe dek pemintaan Farisya pada sepotong kek. Belum apa-apa lagi dah minta macam-macam makanan. Mengalahkan orang sihat sahaja.

Shahrina menggaru kepalanya yang tidak gatal. Sebenarnya dia agak pening dengan apa yang sedang berlaku.

"Rin, kau tak payah la buat muka sakit perut. Aku okey aje. Kepala berbalut ni cuma gimik aje. Doktor tu saja nak buat macam aku ni cedera serius. Poyo ah doktor tu. Minta nak balik pun dia berleter panjang-panjang." Farisya merengus bengang.

Mananya tak bengang, dia sedaya upaya acah-acah kuat di hadapan doktor hanya kerana ingin keluar secepat mungkin dari hospital. Naik rimas dibuatnya. Bau ubat satu hal. Makanan pun satu hal juga, tawar semacam. Yang sakit bertambah sakit jadinya. Paling dia tak suka adalah jarum yang ada di tangannya itu. Nak bergerak punya takut. Takut patah punya pasal.

Dato' Kamal hanya mampu menggeleng kepala. Kalau dah penakut tu memang penakut jugak la. Padahal baru duduk satu malam aje pun tapi perangai macam dah duduk hospital berbulan-bulan.

"Uncle balik rumah dulu. Korang berbual la. Risy, malam ni papa datang balik." Dato' Kamal mengambil beg pakaian Farisya yang sudah dipakai dari dalam almari.

"Tak apalah pa. Papa rehat la. Semalaman papa jaga Risy. Papa mesti letih tidur kat sofa aje. Rin ada, apa-apa nanti Risy cari dia aje. Kan Rin?"

Shahrina mengangguk setuju. Lagipun Dato' Kamal tidak pulang ke rumah sebaik sahaja mendengar berita itu. Pak Mat hanya menghantar beg pakaian dan makanan sahaja.

Kemudian mereka mendapat berita yang Farisya sudah sedar dari pengsan. Sebab itulah mereka bergegas ke hospital untuk melihat keadaan Farisya. Masuk sahaja di muka pintu, Farisya mengenakan mereka. Sehingga kini dia tidak tahu ke mana Syazwan pergi.

"Emm, kalau macam tu papa balik dulu. Risy jangan buat perkara yang bukan-bukan pula," pesan Dato' Kamal penuh makna mendalam membuatkan Farisya tersengih. Dia berlalu keluar dengan pantas kerana tidak mahu membuang masa.

"Arie, saya pergi cari Wan kejap..." Belum sempat Shahrina bangun, Farisya menarik tangannya.

"Biarkan aje. Kejap lagi dia datang balik la." Selamba sahaja Farisya berkata. Tiada langsung rasa bersalah kepada Syazwan padahal mereka masih belum berbaik.

"Awak tahu kan, kalau Wan tahu awak permainkan dia, lagi dia bengang." Shahrina cuba meredakan pergaduhan dua sahabat itu. Masing-masing ego sungguh.

Farisya membuat muka. Dia terus mengunyah buah epal dengan rakus. Ketika itu Shahrina hanya mampu menggeleng kepala.

Tiba-tiba pintu bilik dibuka. Seseorang melangkah masuk dengan langkah bersahaja sambil berpeluk tubuh. Namun jelas pada wajah itu tampak bengang.

Farisya membuat muka selamba. Seolah-olah Syazwan tidak wujud di situ.

"Pendek, seronok kenakan aku?" tanya Syazwan menahan geram. Dia benar-benar takut sampaikan dia bergegas mencari doktor yang merawat Farisya semalam. Puas dia memaksa doktor itu untuk memberitahu hal yang sebenar tetapi doktor itu hanya menjawab Farisya hanya ada luka-luka kecil sahaja. Tiada perkara yang lebih kritikal berlaku.

Tatkala itu dia mula sedar. Mengenangkan sikap Farisya yang suka mengenakanya, dia pasti Farisya sengaja berpura-pura terlupa ingatan.

"Of course best." Farisya membuat thumb up dengan wajah bersahaja.

Syazwan merengus.

"Tu kira okey la aku acah jadi manusia hilang ingatan. Kalau aku acah mati, rasanya akan ada drama air mata kot," perli Farisya.

"Kau ingat seronok?!" Syazwan meninggikan suara dengan tiba-tiba.

Shahrina tergamam.

Farisya berhenti menguyah. Dia memandang Syazwan. "Kau kalau datang nak marah-marah, boleh balik la. Semak hospital aje."

"Arie, kau tahu tak semua orang risaukan kau! Kenapa kau suka buat benda yang memeningkan kepala orang lain? Kenapa kau tak pernah berfikir panjang bila buat sesuatu? Kau rasa kau hebat bila boleh lawan dengan 6 orang lelaki? Kau rasa kau gagah sebab bolot semua pertandingan? Kalau lelaki tu tak tolong kau, kau dah mati dah sekarang ni!" ujar Syazwan kasar.

"Wan!" Shahrina menegur. Dia tahu Syazwan masih bengang. Tetapi ketika ini bukan masa yang sesuai untuk bergaduh.

Farisya terus melempar buah epal ke arah Syazwan.

"Kalau kau datang sini nak membebel, blah la! Menyemak aje!" Kasar Farisya membalas. Dia terus mencabut jarum di tangannya dan mencapai pantas tisu yang berada di tepi meja. Dipekup tangannya yang dicabut jarum itu dengan tisu lantas turun dari katil dan memakai selipar.

"Aku benci kau!" Tajam mata Farisya menikam anak mata Syazwan.

Farisya melintasi Syazwan. Namun belum sempat dia membuka pintu, tubuhnya terjelopok ke lantai.

"Arie!"




"AWAK ni kan Wan, Arie tu baru aje sedar. Tengok, sekarang dah jadi apa." Shahrina memarahi tindakan Syazwan sebentar tadi.

Doktor sudah memberitahu mereka agar membiarkan Farisya rehat. Jangan terlalu memberi tekanan. Biarpun hanya luka tetapi kecederaan itu tetap di kepala. Bimbang ada kesan lain pula.

"Rin," Hakimi menegur. Sedari tadi dia hanya menjadi pemerhati sahaja. Melihat dia orang itu bergaduh.

Setibanya dia hospital, dia melihat doktor dan beberapa orang jururawat bergegas masuk ke dalam bilik Farisya. Ketika itu dia merasakan ada sesuatu yang berlaku. Mujurlah tidak serius seperti yang dijangka. Bimbang juga dibuatnya.

Shahrina memuncung mulutnya. Entah mengapa dia merasa terlalu emosi. Mungkin kerana dia dihimpit rasa bersalah kerana menyebabkan Farisya jadi begitu.

"Rin kena ingat, Farisya nak selamatkan Rin. Jadi Rin kena fikir pengorbanan dia. Lagipun Farisya kuat. Insya-Allah dia akan sembuh dengan cepat." Hakimi cuba berlembut dengan memberi kata-kata nasihat. Sebagai orang dewasa di situ, takkanlah dia hanya sekadar melihat perbalahan itu. Meskipun dia tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya.

“Kalau aku tak cakap macam tu, sampai bila-bila pun dia akan rasa diri dia hebat dari semua orang. Sampai bila-bila pun dia akan bertindak ikut kepala otak dia,” celah Syazwan pula setelah lama berdiam diri.

Memang benar salahnya kerana memulakan pergaduhan itu. Meskipun dia tahu hubungan mereka masih belum pulih kerana pergaduhan yang lepas. Tetapi dia menganggap Farisya tidak matang kerana bergurau kasar seperti itu sedangkan semua orang merisaukan kesihatannya. Setelah apa yang berlaku semalam, Farisya masih lagi dengan perangai selambanya. Dia benci. Benci kerana dia mengetahui apa yang tersirat di hati Farisya yang sebenarnya. Tetapi dia tidak mampu meluahkannya.

"Arie tu... dia bukan boleh hidup tanpa taekwondo. Setiap kali pertandingan, tak pernah pun dia tinggal training. Semata-mata nak menang aje. Kali ni apa yang dia dapat? Masuk gelanggang dengan keadaan macam tu? Memang tak la," ujar Syazwan yang sememangnya lebih memahami Farisya melebihi orang lain.

Shahrina menunduk. Dia yakin Syazwan sedang menyalahkannya.

"Kita ni memang boleh cakap senang. Kita kata dia okay. Tapi hati dia kita tak tahu. Arie bukan jenis jujur pada perasaan sendiri. Dia acah kuat untuk tutup perasaan sebenar. Perasaan yang lebih jelas sekarang ni hanyalah kekecewaan. Macam mana dia cedera dulu, macam tu juga perasaan dia sekarang ni. Walaupun dia buat muka macam tak kisah tapi hakikat sebenar hatinya sedang bersedih," ujar Syazwan perlahan.

Kejadian itu masih jelas dimindanya. Farisya cedera, sama seperti sekarang. Waktu tu Farisya hanya menunjukkan wajah bersahaja seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Tetapi apabila Farisya keseorangan, gadis itu banyak termenung dan mengesat air mata seorang diri.

Ketika ini dia juga yakin perasaan Farisya sama seperti dahulu. Terpaksa membatalkan hasrat untuk pertandingan dan berehat untuk seketika.

Shahrina membisu. Kerana dia tahu Syazwan lebih memahami Farisya melebihi dia yang hanya baru kenal. Dia mungkin hanya melihat pada luaran Farisya yang berselera dan berperangai selamba. Tetapi Syazwan memandang dengan hati. Hati yang memahami sahabat baiknya yang dibesarkan bersama-sama.

Hakimi turut membisu. Dia tidak tahu apa yang berlaku pada masa lalu Farisya bersama Syazwan tetapi dia yakin Farisya pasti pernah cedera. Dia juga tidak mengenali Farisya jadi dia tidak tahu bagaimana hendak menilai gadis itu. Dia cuma mengenali si gadis itu dengan perwatakan kasar dan bersahaja.

Suasana di situ bertukar sunyi sepi. Masing-masing berdiam diri. Mungkin tiada apa yang perlu dibualkan. Kalau bersuara sekalipun, pasti mengundang pergaduhan sahaja.




KETIKA mendengar penerangan Hakimi dan Dato' Kamal, Syazwan sudah naik baran. Bengang dengan apa yang dia dengari itu.

Sedaya upaya Shahrina menyejukkan hati lelaki itu. Dia juga geram tetapi dia yakin kemenangan berpihak kepada Farisya. Apatah lagi dia masih menyimpan semua bukti-bukti ugutan daripada Fatin. Semua itu menjadi bukti menunjukkan Fatin terlibat dari awal lagi.

Mendengar berita Fatin sudah ditangkap polis membuatkan mereka gembira. Tetapi apa yang tidak seronoknya apabila Fatin tidak mengaku tentang kesalahannya. Setelah ditunjukkan video yang dirakam oleh Haziq, dia memutar belit pula cerita kononnya dia dipaksa berkomplot dengan geng itu untuk memukul Farisya.

Namun nasib berpihak kepada mereka kerana Liyana dan Sarah sudah memberi kerjasama kepada mereka. Mungkin kerana merasakan Fatin mempergunakan diri mereka dan untuk dijadikan kambing hitam untuk menutup kesalahan Fatin itu sendiri.

"Rin kenal Fatin macam mana. Dia takkan senang-senang nak mengaku walaupun memang terang-terang salah dia. Dia rasa bila guna duit tu boleh menyelesaikan semua masalah dan boleh tutup kejahatan dia," ujar Shahrina perlahan. Dia mengenali Fatin sejak zaman sekolah lagi. Jadi dia tahu bagaimana sikap Fatin yang sebenarnya. Apatah lagi Fatin suka merendah-rendahkan dan membuli insan yang lemah sepertinya.

"Rin, tak kisah la dia nak membuli ke apa ke yang penting sekarang nie Arie hampir kehilangan nyawa tahu tak?" Syazwan menekan keras perkataan nyawa.

Buli apa sampai nak membabitkan nyawa orang. Ni spesis manusia atau apa. Binatang pun ada perasaan tambahan pula manusia.

"Wan, benda dah jadi. Sekarang ni kita cuma tunggu siasatan pihak polis aje. Lagipun uncle kenal siapa ayah dia. Shareholder syarikat uncle, Tan Sri Hisyam. Mungkin dia tak salah tapi uncle tak nak dia guna cara kotor untuk selamatkan anak dia," ujar Dato' Kamal pula.

"Rasanya Fatin tak tahu Farisya anak Dato' Kamal. Waktu pergi balai polis tadi pun dah nampak yang dia tak tahu latar belakang Farisya yang sebenar. Waktu jumpa Tan Sri Hisyam tadi muka dia dah lain. Sebab apa? Sebab pengaruh Dato' Kamal lebih luas dari Tan Sri Hisyam," sambung Hakimi pula.

Waktu itu wajah Fatin benar-benar berubah. Wajah Tan Sri Hisyam pula seakan-akan malu. Mungkin tidak menyangka anak tunggalnya sanggup berbuat begitu. Bukan setakat membuli, malah bersekongkol dengan gengster untuk mengajar Farisya dan Shahrina.

"Sekarang ni kita berdoa agar kebenaran menjadi milik kita. Lagipun bukti dah jelas. Mahu tak mahu Tan Sri Hisyam terpaksa menerimanya. Takkan kita nak pejam mata pula semata-mata nak jaga hati shareholder." Dato' Kamal bersuara lagi.

Shahrina mengangguk setuju. Sekurang-kurangnya Fatin perlu mendapat balasan yang setimpal. Kalau tidak dia masih lagi seronok menggunakan kuasanya untuk menindas orang lain.

Ketika di balai polis sebentar tadi pun, Fatin masih bersikap berlagak. Padahal masih dalam tahanan. Berlagak sungguh Fatin dengan kuasanya. Tetapi dia lupa, ada yang lebih berkuasa daripada keluarganya. Silap-silap bisnes keluarga itu hancur gara-gara perbuatannya. Sudahlah memburukkan nama Tan Sri Hisyam. Penangan anak tunggal yang terlalu dimanjakan.

Syazwan memeluk tubuh. Dia cuba bersabar. Tetapi kalau Fatin masih tidak mahu mengalah, memang tak pasal-pasal dia pula yang pergi tumbuk perempuan itu.

Previous: Bab 28
Next: Bab 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni