Home Novel Cinta Seteguh Karang
Seteguh Karang
Wann Shazni
3/1/2019 21:15:57
71,324
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 12

SYAZWAN mendekati meja Farisya. Dia tahu Farisya masih bengang dengan apa yang berlaku semalam. Tetapi dia tidak mahu pergaduhan mereka terlalu lama. Suram hari-harinya nanti. Paling penting dia tidak mahu orang lain menegur kerana perubahan sikap mereka.

"Arie..."

Syazwan mengambil tempat duduk di sebelah Arie. Beg sandangnya diletak di atas meja. Bayangan Shahrina masih tidak nampak. Pasti masih dalam perjalanan ke kelas.

Farisya yang sedang menghadap laptopnya hanya membisu. Hanya fokus pada assignmentnya tanpa mempedulikan sedikit pun kehadiran Syazwan.

"Kau masih marahkan aku ke?" tanya Syazwan perlahan.

Farisya masih begitu. Bagaikan Syazwan tidak wujud di sebelahnya.

Syazwan mengeluh. Kalau dah namanya hati batu, tetap hati batu. Farisya bukan senang nak mengalah. Apatah lagi kalau bukan kesalahannya.

Tetapi apa yang dia lakukan itu adalah untuk kebaikan Farisya juga. Memang cara itu nampak seperti cuba menipu gadis itu. Kerana dia langsung tidak memberitahu Farisya tentang tujuan shopping semalam.

"Risy... sorry," ucap Syazwan lembut. Cuba untuk merendahkan egonya demi si gadis itu.

Serentak itu Farisya berpaling. Kerana sudah lama Syazwan tidak memanggil panggilan itu. Semenjak kematian mamanya, tiada siapa pun yang memanggilnya dengan nama itu kecuali papanya, Mak Mah dan Pak Mat.

Syazwan tersenyum. Dapat juga dia mencuri perhatian Farisya.

Farisya membuat muka lantas memaling semula kepalanya memandang laptop.

Syazwan mengeluh.

"Arie... kau marah aku lagi ke? Aku tahu la aku salah. Tapi aku tahu apa yang aku buat semalam tu benda betul," ujar Syazwan. Minta maaf pun sempat lagi back up diri.

Farisya merengus.

"Arie..."

Geram pula Syazwan ketika itu. Lantas dia menarik laptop itu ke arahnya.

"Woi! Kau ni dah kenapa?!" Farisya bersuara latang membuatkan rakan sekelas memandang ke arah mereka.

Keluhan berat dilepaskan. Syazwan merenung wajah geram Farisya itu.

"Bila aku cakap, kau buat tak tahu. Kau ingat aku cakap dengan tunggul?" perli Syazwan.

"Suka hati aku la!" marah Farisya semula. Dia cuba mengambil laptopnya dari Syazwan namun Syazwan tidak senang-senang untuk memberikan kepadanya.

"Sampai bila kau nak jadi macam ni?" tanya Syazwan tegas. Merujuk kepada kisah ulangtahun syarikat Dato' Kamal.

"Kau jangan sibuk hal aku boleh tak? Kau ingat bila kau kenal aku lama, kau tahu semua tentang aku? Kau sikit pun tak faham aku. Jadi jangan senang-senang mengaku kawan!" balas Farisya pula. Amarah yang ditahan akhirnya meletus jua.

Serentak itu Syazwan bangun dari tempat duduknya.

"Okey! Betul Farisya! Aku memang dah lama kenal kau tapi aku tak pernah faham apa yang kau fikir, apa yang kau buat! Yang aku tahu Nur Farisya Najihan seorang yang berhati keras, kepala konkrit, yang hanya tahu pentingkan perasaan sendiri aje! Orang macam kau sesuai hidup sorang-sorang. Tak payah ada kawan. Sebab takkan ada siapa pun boleh faham kau!" kasar Syazwan bersuara membuatkan keadaan sekeliling yang bising itu berubah menjadi sunyi. Masing-masing mula fokus pada pergaduhan dua sahabat karib itu.

Tatkala itu dia terus menghempas fail assignment group di meja Farisya dan melangkah ke meja paling belakang. Hari ini dia tidak mahu duduk bersama dengan Farisya. Kerana dia tahu pergaduhan takkan tamat dengan kekerasan. Dan selamanya Farisya takkan pernah mengalah.

Shahrina yang berada di muka pintu terpinga-pinga melihat keadaan itu. Wajah amarah Syazwan membuatkan dia tidak berani menegur lelaki itu. Farisya pula masih menahan perasaan. Kalau dia tegur, pasti teruk jadinya. Lebih baik dia berdiam diri. Tunggu keadaan reda dahulu.

Perlahan Shahrina mengambil tempat di sisi Farisya. Namun dia tidak bersuara apa-apa. Sekilas dia mengerling ke arah Syazwan yang berada di tempat belakang.

Nampak gayanya pergaduhan kali ini mengambil masa yang lama untuk berbaik. Dia tidak tahu apa yang berlaku di antara Farisya dan Syazwan semalam. Dia juga tidak tahu apa penyebab mereka bergaduh teruk sebegitu.

Shahrina mengeluh. Alamatnya dia bakal jadi orang tengah untuk menghubungkan dua orang itu.




KEADAANNYA masih begitu. Masih berdiam diri. Masih tidak menjamah makanan yang terhidang. Masih menyendiri daripada orang ramai. Dia masih di atas katil putih, berpeluk lutut dan tidak keluar dari bilik itu.

Dato' Kamal hanya memandang sayu ke arah anak perempuannya yang berada di atas katil itu. Kata doktor, Farisya masih lagi dalam keadaan terkejut kerana dia tersedar ketika kemalangan itu berlaku. Apa yang dia  nampak dengan matanya itu menjadikan dirinya fobia.

"Uncle..." tegur satu suara kecil yang sudah berdiri di sebelah Dato' Kamal. Sopan dia mencium tangan lelaki itu.

Kemudian dia memandang ke arah Farisya yang berpeluk lutut di atas katil. Sewaktu di tanah perkuburan dua hari lepas, Farisya menangis sepuasnya dan tidak berhenti-henti memanggil mamanya sehingga tekaknya luka dan demam panas.

Tidak pernah dia melihat Farisya selemah itu. Farisya yang dia kenal seorang yang kuat dan mempunyai semangat yang kental. Farisya tidak pernah menangis biarpun terjatuh, terseliuh ataupun cedera ketika perlawanan taekwondo. Tetapi dua hari ini, dia melihat satu sikap Farisya yang dia tidak pernah nampak selama ini.

"Wan..." Puan Wan Azwa menegur anak lelakinya. Dia tahu pasti Syazwan tidak sanggup melihat sahabatnya bersedih begitu.

Syazwan berpaling memandang ibunya. Wajahnya berubah sedih.

Dato' Kamal mencangkung di hadapan Syazwan. Dia menyentuh lembut bahu Syazwan. Wajahnya masih sedih.

"Wan, uncle yakin Risy perlukan Wan sekarang ni. Uncle harap Wan dapat redakan kesedihan Risy ye..." Lembut Dato' Kamal bersuara.

Dia risau. Risau dengan keadaan Farisya. Sudah dua hari begitu. Dia risau akan berlarutan sehingga berminggu-minggu. Dia risau kalau kemalangan itu membuatkan Farisya berubah sikap. Dia risau Farisya hidup dalam keadaan fobia.

Dia kehilangan isterinya. Meskipun berat untuk dia terima tetapi segalanya sudah tersurat. Dia mengerti pada kata-kata terakhir isterinya. Kata-kata itu masih terniang-niang di telinganya. Lembutnya suara itu dan senyuman yang tidak pernah lekang. Rupanya sudah tahu bahawa dirinya bakal dijemput Ilahi.

Melihat Syazwan mengangguk, dia tersenyum. Mengharapkan anak kecil itu sahaja dapat mengubat luka Farisya ketika itu. Seorang sahabat dan juga rakan seperjuangan.

Perlahan Syazwan melangkah. Mendekati katil Farisya.

"Risy..." Syazwan memanggil perlahan. Dia menarik kerusi dan duduk dekat dengan Farisya.

Farisya masih membisu.

"Risy kena makan kalau tak nanti sakit," pujuk Syazwan lembut.

Farisya menggeleng.

"Kenapa?"

"Risy nak ikut mama..." ujar Farisya perlahan. Suaranya antara dengar dan tidak dengar kerana tekaknya luka.

"Mana boleh macam tu. Kita kena teruskan hidup. Ajal mama Risy dah sampai. Ingat tak kata ustazah hari tu, kalau kita rindukan orang yang dah meninggal dunia, kita kena sedekahkan Al-Fatihah untuk dia. Doakan untuk dia supaya dia bahagia di syurga. Mama Risy baik, mesti dia masuk syurga..." petah Syazwan berbicara.

Farisya memandang Syazwan. Dikesat air matanya dengan hujung bajunya.

"Tapi Risy dah tak ada mama..." ujar Farisya sebak.

"Risy ada ibu Wan. Ibu Wan boleh jadi mama Risy. Kita kan kawan. Risy boleh datang selalu kat rumah Wan nanti. Kita main sama-sama. Ibu akan masak sedap-sedap untuk kita. Ibu akan bawa kita pergi jalan-jalan. Dan ibu akan bawa kita pergi training dan perlawanan taekwondo," ujar Syazwan ceria.

"Betul?" tanya Farisya.

Syazwan menggangguk pantas. Penuh semangat.

"Janji?"

"Janji!" Syazwan mengangkat tangan bagaikan bersumpah akan memegang janji tersebut.

"Wan janji takkan tinggal Risy. Wan akan bersama Risy selama-lamanya. Wan takkan tinggal Risy kalau Risy sedih macam ni. Wan akan ada dengan Risy selalu. Wan janji!" ujar Syazwan tegas.

Farisya mula mengukir senyuman.

"Jadi, Risy kena makan tau. Nanti dah sihat, boleh main sama-sama..." sambung Syazwan lagi.

Farisya mengangguk. Lantas dia mencapai mangkuk bubur yang terhidang di hadapannya.

Dato' Kamal hanya mampu mengalirkan air mata tanpa suara ketika itu. Mengerti perasaan anak kecil yang kehilangan ibunya.

Puan Wan Azwa turut bersedih. Perjanjian Syazwan dengan Farisya itu membuatkan dia sebak. Farisya sangat memerlukan kasih sayang seorang ibu. Kehilangan itu pasti mengejutkannya apatah lagi kemalangan itu berlaku di hadapan matanya sendiri.

"Wan..."

Teguran itu membuatkan Syazwan tersedar dari khayalan panjang. Hilang segala ingatan tentang kenangan lalu bersama Farisya. Segera dia mendongak kepalanya, memandang sang tubuh berdiri di hadapan mejanya.

"Ah, Rin..." Syazwan mengukir senyuman.

"Panjang awak termenung. Awak buka buku tapi fikiran awak bukan ada dalam library ni," ujar Shahrina lembut. Dari tadi dia hanya sekadar memerhati Syazwan dari jauh. Dia yakin sikap Syazwan ketika ini ada kena mengena dengan apa yang berlaku pagi tadi.

Syazwan tersenyum. Tiada niat untuk memberi penjelasan tentang itu. Baginya selagi Farisya tidak membuka mulut tentang apa yang berlaku pada masa lalunya, dia tidak mahu memandai diri untuk membuka pekung kepada orang lain.

“Macam mana dengan semalam?” tanya Shahrina sambil menarik kerusi di hadapan Syazwan. Sewaktu keluar kelas tadi, mereka terus berpisah. Farisya dengan caranya. Syazwan juga dengan caranya. Dia jadi buntu. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk mendekati Syazwan terlebih dahulu. Kerana dia tahu ketika ini Farisya memerlukan masa untuk keseorangan.

Sewaktu dalam kelas tadi pun, Farisya tidak bercakap dengannya. Jadi dia lebih memilih untuk berdiam diri. Bimbang kalau dia membuka mulut, hubungan dia dengan Farisya pula yang bermasalah.

“Apa yang awak tengok pagi ni, itulah yang berlaku semalam.” Syazwan menjawab pertanyaan Shahrina. Dia tahu Shahrina pasti terasa pelik melihat perubahan sikap mereka hari ini sedangkan semalam mereka masih boleh menggila dan bergaduh manja bersama. Tetapi hari ini sudah bertukar menjadi perang dunia.

"Awak dengan Arie gaduh teruk pagi tadi. Tak pernah-pernah saya tengok awak marah Arie macam tu walaupun Arie tinggikan suara."

Shahrina tahu, Syazwan bukan seorang yang senang melemparkan amarah pada orang lain. Lelaki itu akan bersabar selagi boleh bersabar. Tetapi apa yang berlaku pagi tadi, dia yakin keadaan menjadi lebih teruk. Walaupun dia tidak tahu apa yang berlaku tetapi dia risau kejadian itu akan menganggu persahabatan mereka.

Syazwan mengeluh. Berat sahaja bunyinya.

"Saya dah tak tahu nak buat apa dah. Arie tetap dengan keras kepalanya. Dan keadaan itu akan berterusan. Dia takkan mengalah. Selamanya takkan pernah mengalah," ujar Syazwan berat.

Buntu. Segalanya buntu. Dia tidak tahu apa yang perlu dia lakukan sekarang. Membiarkan sahaja Farisya dengan sikap degilnya. Tetapi dia kasihankan Dato' Kamal. Dia yakin lelaki itu menunggu kedatangan Farisya setiap tahun.

Ibunya pernah memberitahunya. Biarpun Dato' Kamal tahu anak gadisnya tidak datang tetapi dia masih menunggu sehinggalah majlis bermula. Wajah sungul penuh kekecewaan itu ditahan jua.

Mendengar cerita itu membuatkan dia nekad untuk memaksa Farisya pergi pada tahun ini. Dia mahu Dato' Kamal gembira. Biarpun dia tahu Dato' Kamal tidak pernah gembira pada hari kematian isterinya. Lelaki itu tidak pernah sedikit pun melupakan kejadian itu. Cintanya tetap utuh pada wanita yang bernama Zahra. Kerana itulah dia tidak pernah berkahwin lain meskipun dia mampu berbuat begitu.

"Wan... walaupun saya tak tahu cerita sebenar dan apa yang berlaku dalam hidup Arie, tapi saya harap sangat tahun ni dia kuatkan diri untuk melangkah ke syarikat papa dia. Saya yakin dia bukan nak melarikan diri. Dia cuma perlukan masa untuk berfikir. Biarlah dia bersendirian buat sementara waktu ni. Bila dia dah reda, awak pujuk dia balik. 

Kadang-kadang tak semua benda kita boleh paksa dengan kekerasan. Hati ni, kita tak tahu macam mana. Dia berbolak balik. Jadi kita doakan supaya hati Arie lembut, ye..." ujar Shahrina lembut.

Dia mengharapkan Syazwan dan Farisya berbaik semula seperti selalu. Melihat pergaduhan manja mereka, berperang mulut membuatkan hari-harinya bahagia. Kerana tanpa mereka, dia terasa bagaikan kosong. Dia cuma budak pendiam yang hidup dalam dunianya sendiri. Yang sering dibuli dan dipijak-pijak. Tetapi Farisya dan Syazwan menarik dia keluar dari dunia itu.

Dia harus berterima kasih kepada mereka. Kerana merekalah yang mewarna warnikan hidupnya yang suram. Dahulu hidupnya hanya ada satu warna putih yang tiada sebarang corak. Kosong. Membosankan. Tetapi setelah kedatangan mereka dalam hidupnya, segalanya banyak berubah.

"Arie tu, dia nampak aje kasar tapi sebenarnya di sebalik kekasaran tu ada perasaan yang dia sembunyikan dari pandangan semua orang. Perasaan yang dia tak nak sesiapa pun tahu. Tapi semua tu buat orang sekeliling susah nak faham dia apatah lagi nak tahu apa yang dia fikir," keluh Syazwan berat.

Shahrina mengangguk, mengerti akan kata-kata Syazwan. Tetapi apakan daya, mereka tidak mampu berbuat apa-apa untuk menukar fikiran Farisya.

Buku di hadapannya ditutup. Tiada mood untuk mencari idea untuk projek mereka hari ini. Fikirannya sepanjang masa dipenuhi oleh gadis yang bernama Farisya. Dia risau dengan Farisya meskipun mereka bergaduh. Kerana dia pernah berjanji tidak akan meninggalkan Fariya ketika susah mahupun senang.

Entahlah. Dia hilang akal. Apa lagi dia perlu lakukan sekarang melainkan mengalah sahaja. Tetapi dia kasihan dengan Dato' Kamal. Lelaki itu, walaupun tidak menunjukkan reaksi di hadapan mereka tetapi dia tahu hati kecil itu terguris dengan perbuatan Farisya. Tapi manakan seorang ayah sanggup berterus terang di hadapan anaknya, memberi tahu bahawa hatinya kecewa.

Perlahan dia melepaskan keluhan. Entah berapa kali dia mengeluh hari ini. Satu hari ini bagaikan bebanan bertahun-tahun.

Semuanya hanya kerana Nur Farisya Najihan.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wann Shazni