Home Novel Cinta Kisah Adam Dan Ainur
Kisah Adam Dan Ainur
Yana Agasshi
29/11/2020 20:54:42
28,226
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 7

       PEKARANGAN rumah yang lembap menaikkan bau tanah bercampur pokok. Sungguh nyaman..  Ada hikmahnya hujan lebat turun membasahi bumi sejak pukul 12 semalam sampailah subuh tadi. Pokok-pokok bunga Hajah Fauziah pun nampak segar pagi ini.


Matahari sudah mulai menunjukkan cahaya terangnya. Jam dah menginjak ke angka 8:30 pagi. Harini hari Rabu, jadi anak-anak pada ke sekolah. Yang kerja dah berangkat ketempat kerja. 


Begitu jugak Farisha yang awal-awal lagi dah menghilang sampai tak sempat sarapan. Lupa yang kereta Kelisa kesayangannya ada di bengkel.  Tu yang kalut nak dapatkan teksi kat simpang keluar kampung. Katanya ada meeting penting.


Hajah Fauziah yang berkain batik, blaus hijau dan tudung labuh hitam sedang menyapu ala kadar diruang dapur rumahnya sebelum Khadijah terjongol dimuka pintu dapur yang terbuka luas.


        "Assalamualaikum ...!" dah depan muka pun lantang lagi Khadijah memberi salam membuatkan Hajah Fauziah menoleh dengan senyuman.


"Wa'alaikumussalam.. Jah, saya baru je nak singgah rumah awak lepas siap kemas-kemas ni, nak tanya pasal barang nak dibeli," sopan sungguh cara Hajah Fauziah bertutur.


Dah memang macam tu sifatnya dari dari dulu. Tak pernah ber 'aku' 'kau' walau dengan siapa pun dia berbual. Usia dah 53 tahun tapi masih awet muda dek tingkah lakunya yang lemah lembut dan sopan. Tapi tak taulah kenapa semua sifat tu tak diwarisi anak-anaknya.


Yang Adam, bukan main dingin terkadang baran. Sekarang aje kurang sikit barannya. Kalau dulu-dulu , adik-adik nak tegur pun tak berani.


Si Farisha pulak, kepoh tak bertempat. Kembarnya Farhan, boleh tahan garang orangnya. Cuma jauh lebih matang dari Farisha. Untung la jugak dapat menantu macam Ainur..


      "Ha, aku terserempak Farisha depan surau tadi pagi. Dia ada bagitau Adam tak kerja harini..."


"Ya Jah.. Saya dah suruh dia belikan barang basah nanti.. Tu yang nak tanya awak barang apa yang nak beli tu."


      "Ha elok lah. N, aku dah suruh Aqilah tulis apa yang nak beli. Nah, kau bagi Adam,"  Khadijah menghulurkan kertas putih sekali dengan sampul coklat pada Hajah Fauziah.


Hajah Fauziah menyandarkan batang penyapu  yang dipegang sejak tadi pada dinding sebelum menyambut huluran Khadijah.


"Dalam sampul tu ada duit untuk beli barang barang nanti.. kalau kau nak tambah apa-apa, kau bagitau je Adam. Kalau tak cukup duit, gunala duit Adam dul, nanti aku ganti."


      "Yalah, Jah. Nanti saya bagitau dia."


Khadijah melilau matanya sekeliling ruang dapur.


"Mana semua orang? Sunyi aje. Tak bangun lagi ke anak menantu kau?" sempat lagi wanita itu 'merisik' khabar.


Hajah Fauziah senyum.


 "Ainur dah siap sarapan dah dengan saya tadi.. Naik bilik kejap. Adam baru siap mandi."


    "Nuar mana? Tak nampak pulak dia kat kedai Esah masa aku lalu tadi."


"Abang Nuar pergi sekolah.. Ada mesyuarat."


      "Allah.. Laki kau tu dah 8 tahun pencen, mesyuarat apa lagi," tak berlapik Khadijah menyuarakan apa yang dalam kepalanya mengundang tawa Hajah Fauziah. Kadang mengiakan ucapan wanita tua tu.


"Alhamdulillah Jah.. pihak sekolah jemput lagi bincang tentang kebajikan sekolah kampung kita ni.. Walaupun bukan sebagai cikgu, sekurang kurangnya abang Nuar boleh tolong sebagai ahli PIBG sekolah...."


       "Hmhh.. Macam-macam la kamu orang semua ni. Dahlah. Aku nak beransur dulu."


"Tak nak masuk makan dulu ke? Ainur ada masak nasi goreng."


      "Takpelah. Aku nak cepat, nak singgah rumah Imran, nak tempah santan awal-awal.. Banyak jugak 15 kilo ni."


"Ah.. yelah. Nanti saya ke rumah awak."


      "Ya. Aku pergi dulu. Assalamualaikum."


"Wa'alaikumussalam..."


Susuk tubuh Khadijah yang laju berjalan tu dihantar hingga hilang dari pandangan. Senyum masih tak lekang dibibirnya, kadang terhibur dengan kerenah orang orang kampungnya.


*********


        "BUAT apa kat sini ?"


"Opocot mak kau!"  tersentak Ainur bila  Adam tiba-tiba mencuit bahunya dari belakang.


Dia yang sedari tadi mengintai dari celah langsir antara ruang tamu dan dapur tu cepat cepat menarik tangan Adam bergerak ke arah dinding. Konon menyorok.


      "Terkejut la Ainur!" separa berbisik suara Ainur menepuk lengan Adam yang mempamerkan muka kosong.


"Ainur tunggu Mak Jah takde.. Nanti kalau dia nampak Ainur, macam-macam soalan dia tanya," sambung gadis itu lancar walau dia tahu Adam tak pernah ambik peduli.


Adam mengerling sekali ke arah dapur. Cuma ada ibunya yang sedang duduk dimeja makan tak berbuat apa-apa. Wajah Ainur kembali dipandang.


"Takde pun Mak Jah," ucapnya sebelum terus membuka langkah menuruni anak tangga ke ruang dapur.


    "Memang la takde. Orang cakap tadi lah. Ishh..," omel Ainur dengan muka sebal sambil turut menuruni anak tangga.


Adam yang siap berjeans denim dan t shirt polo hitam duduk bertentangan Hajah Fauziah tanpa sepatah kata.


Tak menunggu disuruh, Ainur mencapai cawan kaca dari atas rak dan menuangkan kopi panas yang dah tersedia diatas meja sebelum meletakkannya didepan Adam. Dia ikut melabuhkan punggung disebelah suaminya.


"Ni long, senarai barang yang nak dibeli dengan duit sekali," Hajah Fauziah menghulurkan kertas dan sampul yang diterima tadi pada Adam.


Macam biasa, Adam sekadar mengangguk sekali sambil menghirup perlahan kopi panasnya. Minum air pun bukan main serius muka!


     "Mak ada nak kirim apa-apa tak ? Kami boleh beli sekali," Ainur mencelah lembut dengan muka ceria. 


Yelah, detik-detik boleh keluar dari rumah lah detik yang paling berwarna dalam hidupnya. Walaupun cuma ke pekan.


Hajah Fauziah menggeleng.


 "Barang dapur ada lagi.. Lagipun minggu depan Hana balik tidur sini.. Kita keluar sekali la minggu depan."


      "Yeke? Rindunyaaa Aisyah dengan Aryan kan mak."


Teruja Ainur membayangkan keletah comel anak saudaranya tu 2 orang. Yang kakak umur 6 tahun, yang adik 4 tahun tapi dia punya pandai cakap, Ya Allah....comel sangat-sangat.


"Tula.. Mak pun tak sabar. Dah lama tak peluk cucu cucu mak."


     "Assalamualaikum....! Che Nur ...!" satu suara yang cukup dikenali kuat memberi salam membuatkan semua mata tertumpu arah muka pintu.


Budak lelaki berseluar track dan kemeja biru tercegat disitu dengan senyum lebar menampakkan barisan gigi tersusun bersih.


Melihat susuk 'chubby' yang comel tu sorang, Ainur bingkas bangun meluru kearahnya dengan senyum lebar.


"Iwan.... Alalala... hensemnya pagi ni...," pipi pau Irwan dicubit cubit dengan suara geramnya tu. Tak tahan tengok si comel ni.


Irwan, anak lelaki Syuhada, yakni cucu tunggal Khadijah. Syuhada kerja di Kuantan jadi sejak lahir lagi Khadijah la yang besarkan Irwan memandangkan Syuhada tak sempat nak jaga sorang sorang.


Tambahan pulak dengan statusnya sebagai ibu tunggal. Selalu la Ainur tolong jagakan bila Khadijah tu ada urusan. Masa si Irwan masuk tadika pun, Ainur la yang uruskan hal-hal sekolah. Sekarang dah umur 8 tahun, masih lagi Ainur layan kalahkan bayi!


       "Iwan tak pergi sekolah ke?" Ainur mengusap rambut Irwan yang dah disikat kemas gaya 70:30. Dah orang tua yang sikatkan... Gaya pun retro laaaa..  


"Tak! Pagi tadi sakit perut."


    "Eh eh. Pagi tadi? Sekarang dah ok la?"


'Hihihi...' - tersengih sengih Irwan sambil menggaru garu kepalanya yang tak gatal.


     "Iwan pakai cantik cantik ni nak pergi mana..?"  celah Hajah Fauziah pula ingin tahu.


Kebiasaannya, si Irwan ni siang malam asyik seluar pendek bunga bunga dengan t shirt kartun. Tu pun comot sana sini.


Mendengar itu, Irwan mendongak cuba mencari mata Ainur.


"Iwan nak ikut Che Nur pergi pekan. Mak Tok cakap boleh ikut.."


Hajah Ainur ketawa kecil sementara Adam, dah kembali pada kopi hangatnya tak berminat.


      "Boleh... dah hensem macam ni, mestila boleh ikut..."


"Yeayyy!!! Mak Tok pesan kan, jangan nakal nakal. Dengar cakap che Nur. Kalau tak, pakcik Adam tarik telinga," jujur pulak Irwan menyampaikan pesan neneknya membuatkan Ainur dan Hajah Fauziah ketawa lucu.


Makin beria la Ainur duk cubit cubit pipi budak tu.


Sedetik, Adam pun bangun dari duduknya. Tanpa sepatah suara lelaki 31 tahun itu memasukkan kertas dan sampul yang diatas meja kedalam poket jeansnya sebelum membuka langkah untuk naik ke dalam rumah. Kasutnya kat pintu masuk depan, mestila dia nak keluar ikut pintu depan.


Ainur yang melihat mulai kalut.


'Tak bagi hint pun nak gerak!'


      "Iwan pegi ikut pakcik adam masuk kereta dulu ek, che Nur nak ambik barang kejap," pesannya pada Irwan sebelum laju mencari tangan Hajah Fauziah untuk disalami.

 

"Ainur pergi dulu Mak. Assalamualaikun,"  pamitnya gaduh lalu berlari anak masuk kedalam kamar.


Cepat cepat capai handbag yang dah disediakan atas katil bersaiz queennya. Untung dia pagi pagi lagi dah berdandan rapi. Takdelah dandan sangat. Simple saja berkain labuh hitam dipadankan dengan blaus muslimah merah jambu dan shawl hitam dibelit ala kadar. Muka yang sedia cantik cuma disapu bb cream. Leceh nak make up tebal tebal. Setelah menyarung kasut flat yang dibeli dari kedai Kasut You tahun lepas, dia terus menerobos masuk kedalam perut kereta milik Adam yang menunggunya di pekarangan rumah. Adam dah siap untuk memandu, begitu juga Irwan yang selesa menyandar ditempat duduk belakang.


Termengah mengah Ainur kalahkan dikejar hantu. Untuk beberapa saat, sepi menemani.  Kereta pun tak bergerak. Ainur jadi hairan. Mata galaknya memandang Adam sambil angkat kening konon 'Tunggu-Apa-Lagi? Moh-Lahh-Kita'. Bersemangat ni dia nak ke pekan.


Adam membalas pandangannya dengan muka serius seperti biasa.


"Seatbelt tak reti pakai ke? Benda sama je nak kena pesan,"  bersahaja ucapan tu keluar dari mulutnya namun tajam menyapa cuping Ainur. Pedih benor nak ditelan.


Terkemut kemut la si isteri tu pakai seatbelt agar selamat perjalanan mereka sampai ke pekan  Nasib kau la, Ainur....

Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Yana Agasshi