Home Novel Cinta Kisah Adam Dan Ainur
Kisah Adam Dan Ainur
Yana Agasshi
29/11/2020 20:54:42
28,215
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 8

      SUARA lunak Camilla Cabello dan Shawn Mendes memenuhi ruang kereta menemani pemanduan mereka. Senyum sorang sorang Ainur menghayati lagu kegemarannya buat masa sekarang tu.


Tak sampai lagi part chorus, hujung jari Adam menekan punat kecil radio membuatkan suasana berubah sepi sekelip mata. 


Berkerut dahi Ainur menoleh pada Adam yang selamba saja riaknya. Dah sedia maklum bahawa suaminya tu sorang tak berminat dengan sebarang hiburan terutamanya rancangan tv dan lagu lagu. Semua dia tak minat. Farisha pernah cakap, dulu-dulu,  Adam dah terbiasa ikut peraturan ketat yang ditetapkan abah. Tak boleh melepak lebih dari pukul 5, tak boleh keluar malam, tak boleh tengok tv, tak dengar lagu, tak boleh itu, tak boleh ini. Pokoknya, memang strict!


Peringkat Farisha dengan Farhana je abahnya dah kurang disiplin macam Adam dulu. Tu yang sampai sekarang macam tuuuu jugak si Adam.


Ainur menjuih akur sebelum sempat membantah. Pandangannya dilempar kedepan.


      "Hmm.....Lama ke abang cuti?"  dia bersuara cuba memulakan perbualan walau tahu, jangka hayat perbualannya ni takkan bertahan lama. Sekurang kurangnya betah la sampai ke destinasi nak dituju.


Adam masih fokus kedepan.


"Esok kerja" sepatah dijawab.


      "Bila lagi abang cuti?"


"Tak tahu."


    'Tu tak tau, ni tak tau," Ainur jeling dalam diam dengan hati sebal. Tapi dia tak naklah berputus asa semudah tu kan.. 3 tahun dah berlalu, alah bisa tegar biasa..


"Abang tak sarapan lagi tadi kan? Nak sarapan dulu ke?"


     "Tak lapar."


'Alahaiiiii... Macam sajaaa je nak sakitkan hati orang kann..' kecik besar kecik besar je Ainur merenung sisi muka Adam.


Jangan kata 3 tahun, 10 tahun kena macam ni pun masih boleh sakit hati lagi. Untung la aku yatim piatu, Adam Firdaus oi. Kalau tak, dah lama aku lari rumah family sendiri! Biar padan muka. Masa tu baru tau langit tinggi ke rendah.


Sedetik, dia rasa macam dipanah rasa berdosa. Cepat-cepat hati kecilnya istighfar banyak kali.


'Tak baik cakap macam tu kat suami Ainur.. Berdosa..."


     'Hmhhh......' - nafasnya dihela perlahan lahan dengan muka pasrah. Sempat dia mengerling Irwan dibelakang yang elok je duduk diam tak berkutik. Ingat betul pesanan mak tok nya nih.


"Iwan, Iwan dah lama tak tidur rumah che Nur kan?"


Ainur ubah pulak topik perbualan dengan Irwan. Lagi baik respon yang akan didapat rasanya.


Mendengar itu, Irwan mendorong tubuhnya kedepan. Terjongol kepalanya diruang antara 2 kerusi depan.


"Mak tok tak bagi.. Mak tok cakap nanti pakcik Adam marah."


"Ish.. Mana ada. Pakcik Adam baik la.. Dia lagi suka ada Iwan teman che Nur."

     

        "Betul ke??" bulat mata Irwan gembira mendengarnya.


 "Nanti Iwan bagitau Mak Tok nak tidur rumah che Nur."


      "Kau tidur luar sorang sorang biar kena makan dek hantu," sampuk Adam tiba-tiba dengan nada seriusnya itu.


Terus berubah air muka Irwan macam baru mati anak kucing kesayangan. Perlahan lahan si comel tu mengesot ke belakang membuatkan Ainur menjeling geram. 


      'Tak pandai langsung ambik hati budak.'


"Pakcik Adam gurau jelah, sayang.. Nanti che Nur bagitau mak tok ya? Nanti Iwan tidur dengan Che Nur. Biar pakcik Adam yang tidur luar sorang sorang. Hantu pun tak berani makan dia," pujuk Ainur sambil melirik kearah Adam yang langsung tak rasa bersalah. Tak tahu la macam mana dilayannya anak sendiri nanti.


      "Ya...," meleret Irwan menjawab dengan muka mendung. Alahaii.. Comel sangattt...




***************



       PINTU Honda City putihnya yang dah diparkir betul betul didepan Ah Seng Mart itu dikunci terlebih dahulu sebelum dia menhampiri Ainur dan Irwan yang dah menunggunya di sebelah barisan troli milik salah satu pasaraya terlama di pekan Rajawali itu.


Dah 40 tahun lebih rasanya beroperasi. Dari kedai runcit biasa , sampailah sudah gah berdiri sebagai mini market yang ada cukup lengkap walau tak sebesar pasaraya di bandar sana. 


Orang tak ramai pun tika ini. Biasa biasa saja jumlah pengunjungnya.


Tak tunggu lama, Adam menarik satu troli untuk isi barang barang yang nak dibeli nanti. Dah lama jugak sebenarnya dia sendiri tak ke sini. Matanya melilau sekeliling dan ternyata, tak banyak yang berubah.


      "Pakcik Adam, Iwan nak tolak boleh?" tiba-tiba Irwan menarik lengan bajunya dengan senyum lebar. 


Anak matanya beralih pula pada Ainur disebelah Irwan yang mengangguk tanda iakan aje. Dah dia pun tak kisah sangat, jadi ditolaknya troli pada Irwan. Suka sangat budak tu dapat tolak troli. Mereka mula menapak masuk kedalam pasaraya mini itu. Adam dan Ainur berjalan perlahan dibelakang Irwan.


       "Mana senarai barang tu? Ainur nak tengok," pinta Ainur teringatkan kertas putih yang Hajah Fauziah bagi tadi pagi.


Adam tak cakap banyak, terus menyeluk poketnya jeansnya sebelum mengeluarkan kertas putih lalu dihulur  pada Ainur. Anak matanya memandang Ainur yang tekun membaca isi kandungan kertas tu.


      "Bawang besar 10 kilo, bawang putih 5kg, kentang 5kg, gula, beras, ayam...50 ekor??" mata Ainur membuntang setelah melihat angka ayam yang nak dibeli.


 "Biar betul ni bang. Tak banyak sangat ke 50 ekor? Ni, ada ikan tongkol lagi. Dah macam kenduri kawen pulak," komennya lagi seakan tak percaya. Yelah, orang kampung tak sampai pun 200 orang. Tak semua orang tua makan ayam. Ikan pun dah banyak...


Adam senyum kecil melihatkan reaksi comel Ainur. Tapi sayang Ainur tak nampak dek masih membelek sekeping kertas ditangannya. Lelaki itu mengambil semula kertas dari tangan Ainur.


     "Budak, ikut sini," dia mencuit sekali kepala Irwan sebelum melangkah ke arah kiri keda, bahagian semua jenis bawang, kentang diletakkan.


Berat semacam Irwan mengejar langkah Adam sambil menolak troli dibuntuti Ainur. Lelaki ni lain sikit kerjanya. Tak ada dah nak check kualiti, kuantiti, harga apa semua. Kalau labelnya tertera 'Bawang, maka bawang lah tu.


Macam tu jugak Adam. Lelaki tinggi lampai tu bersahaja aje geraknya tapi tangkas capai itu ini. Tak sampai 10 minit, dah hampir penuh troli di isinya. Sampaikan tak menang langkah Ainur nak kejar.


Jenuh Ainur membebel dalam diam. Tak romantik langsung! Pasangan lain, kalau sebut kata keluar shopping, romantis habis siap jalan seiring berpimpin tangan, buat-buat pilih itu ini biar dapat panjangkan lagi masa tapi ini tidak. Dah macam ada lumba beli barang paling cepat dia punya shopping.


Irwan dah tak larat nak menolak troli penuh keliling pasaraya jadi troli dah bertukar tangan, balik pada Adam kembali. Mana nak larat, penuh sampai nak terkeluar pulak diisinya barang. 20 minit berlalu, semua dalam senarai dah di ambil, cuma tunggu nak bayar. Mereka sama-sama bergerak kearah kaunter bayaran. Terpaksa beratur bila masih ada 4 orang dalam barisan. Adam tercegat berpeluk tubuh.


Melihat itu, Ainur berbisik sesuatu dicuping Irwan membuatkan mata Irwan bercahaya gembira. Ainur pun ikut senyum dan mengisyarat kan minion nya tu bertindak. Dah macam watak kartun dah 2 orang ni...


      "Pakcik Adam..," Irwan menarik narik hujung baju Adam dengan muka comelnya.


Adam serius membalas pandangan .


"Tadi kat belakang sanaaaaa tu..,"  jauh jari telunjuk Irwan menunjuk ke satu arah.


"Ada rak makanan. Iwan lapar.. Nak sangat makan donut dengan popcorn ayam. Dulu kalau mama balik, mama selalu belikan untuk Iwan..,"  sambungnya berubah sayu sekelip mata.


Terharu Ainur memerhati bakat terpendam si comel kesayangannya tu. Ni kalau masuk rancangan pilih kasih tv 2, konfem Rosyam Nor pilih kau, Iwan. Tapi...tu Rosyam Nor. Kalau Adam Firdaus, tak taulah termakan umpan ke tak.


Ainur melirik ke arah Adam yang masih merenung Irwan tanpa sepatah kata. Berdebar pulak rasanya sebab yang nak beli makanan tu, dia sendiri sebenarnya. Irwan cuma akan terima upah sampingan.


Hesh tak boleh jadi. Aku pun kena main peranan?


      "Ha'a bang," celahnya dengan senyum kekok. Pandangan Adam beralih padanya pula.


"Kesian Iwan ni.. Dari tadi ikut kita. Mestila dia lapar, dahaga.."


"Tak suruh pun dia iku."


     "Allah.. Abang, tak baik la.. Kejap je pun. Abang kan tengah beratur lagi, sempat la Ainur teman Iwan kejap beli makanan sikit."


"Dah jom pergi sekali."


Terkejut Ainur bila Adam siap nak tolak troli nak ikut dia ke Food Section. Laju lengannya didepa luas tanda menghalang.

 

      "Tak payah la abang.. Nanti orang lain masuk barisan.. Abang tunggu sini kejap, biar Ainur je pergi dengan Iwan. Okey?  Jom Iwan, jom," tak menunggu jawapan Adam, berdesup Ainur menarik tangan Irwan meninggalkan suaminya tu. Tak pandang belakang!


Adam ketawa kecil melihatkan keletah Ainur. Sungguh mencuit hati. Bukan dia tak dengar apa yang dibisikkan ditelinga Irwan tadi. Saja je dia nak menyakat. Adoiiilah.


       "Adam?" satu suara menyapa dari belakang membuatkan dia spontan menoleh. Anak matanya jatuh pada seorang lelaki berkumis nipis.




         "YA ALLAH... Lama betul tak dengar khabar kau, Adam...," teruja Arsyad berjabat tangan dengan Adam yang merupakan kawan sekolahnya dulu. Dah 10 tahun lebih tak jumpa. Untung saja masing-masing tak banyak berubah dari segi rupa.


Adam kali ini membalas dengan senyum kecil. Gembira dapat jumpa kawan lama. Teringat zaman sekolah dulu dulu, sempat jugak la ponteng kelas sama-sama. Ramai yang expect dia pelajar contoh sebab dia anak kepada cikgu matematik yang paling dihormati kat sekolah walhal dialah yang paling legend bab lompat pagar sekolah, merokok dalam semak, curi buah kebun orang kampung pun dia. Sesama legend je tau.Sekali la dengan si Arsyad ni. Sampai sekarang mak ayah tak tahu.


       "Kau apa khabar?" Adam menyoal memulakan perbualan tak seperti kebiasaannya. Cuma takdelah teruja macam si Arsyad. Bersahaja je dia macam baru semalam jumpa.


"Alhamdulillah... Aku macam nilah. Dah jadi manusia," balas Arsyad bersama tawa besar dihujung jawapan.


Adam pun ikut senyum . 


      "Sejak habis sekolah dulu, aku pindah ikut mak aku duduk Melaka. Sekarang dah 5 tahun aku stay KL. Anak bini aku pun stay sana,"  sambung lelaki iras Hisyam Hamid itu ramah.


Adam mengangguk ngangguk kepala sebelum buat-buat melilau kiri kanan.


"Mana anak bini kau?"


     "Eh dorang kat KL la... Aku datang sini sebab ada kerja. Kan aku bawak lori pindah barang sekarang.. Ni aku datang bawak barang la ni... Dari KL ke kampung Mahsuri. Kampung kau la."


Dahi Adam berkerut dengan kening sedikit diangkat. Ada orang baru pindah ke? Tak perasan pulak tadi.


Melihat reaksi Adam, Arsyad menepuk sekali lengan kiri lelaki yang sama ketinggian dengannya itu.


 "Alah, kau ingat tak Encik Hasnol? Pakcik polis duda tu la... Yang duduk rumah batu dekat rumah ketua kampung tu...," dia cuba menerangkan siapa yang dimaksud kannya se detail mungkin.


Adam pulak bersungguh cuba memerah otaknya. Dah terbayang kabur kabur seraut wajah garang lelaki bermisai kemas dengan rambut gaya Jalaluddin Hassan tu. Tapi otaknya belum fully access lagi.


Tepuk dahi Arsyad menanti. Dia ketawa dengan gelengan.


"Lama sangat kot.. Kau pun bukan ambik kisah sangat pasal orang kampung kan. Tapi tulah.. Ni  aku bawak barang anak lelaki dia la... Faizal namanya.."


Adam terpempam saat sebaris nama tu meluncur keluar dari mulut Arsyad. Sekelip mata saja segala memori yang dah lama dibuang jauh kembali memenuhi seluruh benaknya. Tak berkedip matanya memandang Arsyad seakan tak percaya dengan apa yang didengar. Ada satu rasa aneh menyelinap masuk dicelah hatinya. Rasa aneh yang membuatkan perutnya jadi sebu.


      "Anak dia tu, sekarang dah jadi pegawai polis kat KL sana  Tapi baru dipindahkan kat area ni. Tu yang dia nak pindah masuk rumah lama bapak dia... Kebetulan pulak dia dapat nombor aku dari kawan dia.. Yelah.. Dalam ramainramai tukang bawak lori, aku ni jugak yang dia ber 'jodoh,"  sayup sayup suara Arsyad kedengaran menyapa cupingnya. Makin lama, makin kuat rasa aneh tadi menguasai hati..



*************



 02 MAY 2011 (9 tahun yang lalu)


       

            "TAK PAYAH la bawak banyak barang, Farisha... Bawak yang penting penting sudahla..,"  suara Hajah Fauziah lembut kedengaran bila melihatkan Farisya yang sakan menyumbat barang kedalam bagasi.


Ada lagi beberapa kotak yang tak di isi. Lantai kayu berlapik tikar getah rona biru cerah ruang tamu itu pun masih penuh dengan barang-barang belum dibungkus.


Adam duduk dimuka pintu menghadap kearah halaman rumah tanpa sepatah kata. Saja merasa angin luar sementara tunggu masuk waktu solat Isya'.


        "Ala mak, ni semua penting la ni... Dungun Terengganu tu boleh tahan jauh. Takkan la mak nak datang hantar kalau ada barang tertinggal," pangkas Farisha penuh semangat.


Mana tak semangat, sejak lahir sampai sekaran, dah 18 tahun dia cuma terperuk di kampung Mahsuri, ak pernah jalan jauh. Kali pertama nak belajar dinegeri orang teruja tu lain macam la sikit. Nak berangkat 2 hari lagi, malam ni dah packing luggage.


Hajah Fauziah sekadar geleng kepala sedang tangannya tetap melipat kain baju anak gadisnya tu. Teringat pula pada Ainur, teman baik Farisha yang dah dianggap macam anak sendiri. Mereka sama-sama dapat tawaran belajar ditempat yang sama. Cuma jurusan yang berlainan.


       "Ainur dah siap kemas ke, Farisha?"


Sebaris nama itu mampu menarik perhatian Adam. Diam-diam lelaki berkain pelikat hijau itu menadah telinga.


      "Entah. Tak tanya pulak,"  ala kadar Farisha menjawab.


"Ish kamu ni.. Tak baik la macam tu.. Sepatutnya kamu tanya dia macam mana persediaan.. Semua ok ke tidak.. Apa yang tak cukup, kita boleh tolong mana yang mampu."


      "Ala mak, macam mak tak tau. Tak cukup pun dia cakap cukup. Dia mana suka kita selalu tolong dia.. Dia segan lah mak."


"Ainur tu yatim piatu, Farisha.. Harapkan Mak Yam tu je jaga dia.. Tu pun si Ainur sendiri kerja sampingan petang petang kat kedai Pak Saad. Dah tanggungjawab kita sebagai orang kampung ni tolong dia..."


       "Mak tak faham... Ainur tu, Sha sorangggg je kenal hati budi dia  Kalau Sha cakap dia tak nak kita tolong.., maknanya dia tak nak kita tolong la.. Lagipun, Ainur kan dapat biasiswa sepenuhnya dari kerajaan. Mak jangan pening pening ya. Baik mak tolong Sha kemas ni. Banyak lagi barang ni..."


Untuk kesekian kalinya Hajah Fauziah menggeleng kepala melayan kerenah Farisha. Tak pernah menang dia kalau berdebat. Nak tak nak, dia kembali menyusun barangan Farisha kedalam kotak.


Sampailah anak matanya terpandang kotak saiz sederhana  segi empat bercorak teddy bear. Macam kotak hadiah. Gatal pulak tangannya pergi buka tudung kotak tu. Dilihat ada banyak sampul surat dan kad warna warni dalam itu. Semerbak bau bedak mencuit rongga hidungnya. Dia memandang Farisha.


        "Banyaknya surat.. Siapa punya ni, Farisha...?"  Hajah Fauziah menyoal sekadar ingin tahu.Tak tahu pulak anak nya yang kasar macam lelaki tu suka simpan benda benda macam ni...


Farisha sedikit terkejut, laju dia merampas kotak tu dari tangan ibunya sebelum tersengih sengih macam kerang busuk.


      "Mak ni.. Apa pulak bukak barang orang.."


"Mak tak sengaja.. Kamu punya ke ?"


"Urm.....," Farisha teragak-agak.


Mulut tempayannya dah mula rasa tak sedap. Gatal je mulut nak pecah lubang. Akhirnya dia melempar senyum lebar.


        "Ni Ainur punya la mak.. Dah lama Sha simpan rahsia ni, tapi alang alang tuan punya badan dah lama takde hilangkan diri, jadi tak masalah la kalau sha bagitau pun kan."


Dahi Hajah Fauziah berkerut seribu langsung tak memahami ucapan Farisha.


"Rahsia apa? Siapa yang hilang?"


Jangan kata Hajah Fauziah, si Adam dimuka pintu pun tak tahu macam mana dah berubah posisi dengan berpaling kebelakang. Bersahaja menyandar pada dinding sambil memandang Farisha. Telinganya dipasang setajam mungkin dengan hati yang berdebar.


Farisha tarik nafas dalam bersama senyum nakal.


"Mak ingat tak Faizal anak Encik Hasnol tu?"


       "Ya.. Ingatla.. Kan selalu dengan kamu 2 orang.. Dah 2 tahun pindah Kuala Lumpur kan.. kenapa dengan dia...?"


"Ha... Yang mak tak tahu.., Faizal tu suka Ainur..."


Adam tersentak. Tak berkedip matanya merenung Farisha dengan jantung berdegup kencang. Takut takut kalau apa yang akan didengar seterusnya boleh membuatkan dia kecewa sendiri. Tak mungkin gadis yang dipuja dalam diam selama ni, dah...berpunya.


      "Yelah, semua orang suka Ainur. Apa masalah nya...?" lurus Hajah Fauziah menyuarakan apa yang difikirkan membuatkan Farisha tepuk dahi.


"Bonda sayang, suka si Faizal ni suka lain. Suka more to cinta. C.I.N T.A ...."


       "Ohhhhh...," terangguk angguk Hajah Fauziah bila di 'ajar' anak perempuannya sendiri. Comel betul wanita berjubah kelawar itu.


"Ni surat ni semua, Faizal bagi Ainur la.. Ainur mintak Sha simpan sebab takut opah dia nampak. Mak tau tak.., Faizal dah suka Ainur dari darjah 6 lagi. Macam dalam drama tu.. Ainur selalu tolong Faizal bila kena buli.. Tapi sebelum ni Ainur tak tau.. Faizal bagi semua surat ni, sekaligus sebelum dia pindah. Macam... cinta dalam diam. Mak tau kan drama 9 malam yang main tiap hari jumaat tu?"


      "Tak taulah mak.. Oh.. Jadi ni semua surat Ainur la?"


"Yelah. Takkan Sha punya pulak."


      "Dahtu kenapa tak bagi balik kat Ainur... Kesian Faizal dah bagi banyak banyak macam ni... Sekurang kurangnya nanti boleh la Ainur buat kenangan..."


"Eh mak ni. Ni bukan zaman mak dulu simpan surat 20,30 tahun bagi anak cucu baca... Mengarut lah".


      "Ainur bercinta dengan budak tu ke?" tiba-tiba saja Adam mencelah serius dek tak dapat menahan rasa penasaran dalam hatinya.


Serentak Farisha dan Hajah Fauziah menoleh kearahnya dengan mulut separuh terbuka. Macam...terkedu. Tak percaya dengan apa yang didengar.


Nak nak Farisha. Muka memang speechless habis. Abangnya yang tak pernah ambik tahu walau meteor jatuh depan tangga rumahnya,  alien serang surau kampung atau Ketua kampung kawin dua sekalipun. Tapi tiba-tiba sekarang ni, lelaki tu bertanya soalan berkaitan cerita yang keluar dari mulutnya.


      "Farisha!! Kau masak maggie tak tutup api ke?!!" bergegar rumah bila suara lantang Farhana menjerit dari dapur. Marah betul tu bunyi nya sampaikan mampu buat Farisha lupa soal Adam.


"Matila aku...," kalut Farisha bangun sebelum sepantas kilat berlari meluru ke dapur dbuntuti Hajah Fauziah dengan muka risaunya. Orang tua itu cuma risau kalau si kembarnya bergaduh lagi. Malu kat jiran jiran sebelah.


Bila semua pada menghilang dibalik langsir dapur, Adam bingkas bangun dan menapak kearah luggage Farisha.


Kotak hadiah berisi surat disebelah luggage direnung beberapa saat sebelum tangannya mencapai kad segi empat yang paling besar antara yang lain. Kakinya melangkah masuk kedalam kamarnya bersama kad warna pink itu. Hatinya terasa pedih. Pelbagai rasa berkecamuk dalam jiwanya. Marah, takut, kecewa, semuanya bercampur.


Namun tetap saja dia tak dapat menahan rasa ingin tahunya tentang isi kandungan kad ditangannya. Dengan tangan sedikit menggigil, kad berlipat 2 itu dibuka. Tulisan tangan berdakwat biru dibaca dalam debar.


       "Assaalamualaikum Ainur... Masa awak baca surat ni, saya mungkin dah pindah KL. Ni mungkin surat terakhir saya untuk awak. Maaf sebab baru sekarang saya ada keberanian untuk hantar surat ni kat awak...."


Pandangannya dialih ke arah lain seakan tak sanggup nak terus membaca bait kata seterusnya. Tapi sedetik, dia tahan segala rasa sebelum kembali pada warkah.


        "Hari pertama saya nampak awak, 23 Januari 2005. Saya tengah tolong Walid angkat barang dalam rumah, awak datang dengan opah, bawak kuih. Masa tu saya ingat lagi, awak pakai baju kurung warna merah jambu. Rambut awak bertiup ikut arah angin. Awak senyum tengok saya, cantik sangat ..


Saya tak sangka awak sudi berkawan dengan saya bila semua orang tak suka saya. Awak layan saya baik. Awak selalu ada bila saya perlukan awak. Awak ajar saya banyak benda. Masa tu saya tak tahu apa itu cinta... Saya malu nak bagitau awak yang saya sukakan awak... Saya takut awak jauhkan diri dari saya.


Tapi sekarang, saya tak nak saya menyesal akan datang. Saya ikhlas sukakan awak lebih dari seorang kawan. Kalau diberi peluang, saya janji akan layan awak dengan lebih baik. Saya akan lindungi awak macam mana awak lindungi saya. Saya akan jaga awak macam mana awak jaga saya. Kalau awak sudi terima saya, tolong hubungi saya. 09-8765543. Lama mana pun awak ambik masa untuk buat keputusan, Saya tetap akan tunggu awak, Ainur. Terima kasih untuk semuanya...."


                                -FAIZAL ISKANDAR



Adam memejamkan matanya serapat mungkin. Perasaannya dah tak menentu. Panas seluruh muka. Tak dapat dibayangkan Ainur bersama lelaki lain. Tak pernah pun dia bayangkan Ainur berjodoh dengan lelaki lain dan tak akan pernah dia biarkan ada lelaki lain 'merampas' Ainur darinya.


Tak tunggu lama, laju dia mencari sesuatu dari laci meja sebelah katil  Gopoh tingkahnya semacam dikejar sesuatu. Sedetik, lighter kuning diambil lalu dia menapak laju kearah jendela.


Pintu jendela ditolak kasar. Dengan tangan menggigil, lighter ditekan sekali mengeluarkan api kecil. Kad ditangannya disuluh pada api dan sekelip mata, api kecil tadi memakan seluruh warkah itu. Hatinya masih dihambat rasa takut. Takut kehilangan sesuatu yang bukan miliknya..


Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Yana Agasshi