Home Novel Cinta Kisah Adam Dan Ainur
Kisah Adam Dan Ainur
Yana Agasshi
29/11/2020 20:54:42
28,239
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 15

        "BERAPA semua sekali?" Ainur menyoal lembut pada lelaki 60an berkopiah putih didepannya  setelah dilihat semua barang-barang yang dia letak atas meja barusan dah dimasukkan dalam plastik merah.

        "16 ringgit 30 sen. 16 ringgit jelah, Ainur," balas Pak Saad yang sememangnya tak pernah berkira dengan pelanggan. Yang sen sen belakang tu mesti digenapkan saja. Senang kira. Sebab tulah kedai runcitnya tu bertahan lama. Dah lebih 30 tahun rasanya. Ainur pun pernah kerja sementara kat situ zaman sekolah dulu.

Mendengar itu, Ainur senyum sambil mengeluarkan 1 keping not merah dan 6 keping not biru dari dompet kecil bercorak hello kitty ditangannya lalu dihulurkan pada Pak Saad. Pak Saad pantas menyambut.

    "Terima kasih Pak Saad, Ainur balik dulu," sempat Ainur pamit mesra setelah mencapai plastik merah dari atas meja kaunter didepannya.

Langkah kakinya disusun keluar dari ruang kedai runcit yang penuh dengan barangan kering dan basah itu.

     "Hati-hati Ainur," cupingnya sempat menangkap suara Pak Saad melaung dari belakang.

Dia sekadar senyum tanpa menoleh. Berjalan perlahan menyusuri jalan kecil kampungnya. Dikiri kanan tak ada rumah, cuma ada lalang separa lutut serta pokok-pokok kecil.

Menyesal pula dia tak bawak payung tadi. Sekarang tak pasal pasal sepet habis matanya menahan silau simbahan cahaya matahari pagi. Dah melepasi jam 10:30 pagi agaknya.

Langkahnya dilajukan lagi biar cepat sampai sedang otaknya masih berfikir, nak masak apa harini. Rasa macam nak makan singgang asam pedas tapi tadi dia tak jumpa ikan yang sesuai dengan lauk tu kat kedai Pak Saad tadi. Ada ikan kembung, ikan cermin, ikan selayang dengan ikan jaket aje. Itu yang dia ambik 6 ekor ikan cermin besar untuk digoreng.

Lauk tu..nantilah dia tengok apa yang ada kat dapur. Untung saja ahli keluarganya tak ada yang cerewet kalau bab makan. Nak nak Adam. Suka ke, tak suka ke, sedap ke, tak sedap ke, dia makannnn jelah tanpa sepatah kata. Tak pernah sekali pun Adam bersuara ketika dimeja makan.

          "Pheeewitt!" tiba-tiba kedengaran satu suara nakal yang dah biasa didengar.

Ainur tak menoleh pun ke arah pangkin sebelah surau kampung dari mana datangnya suara tadi. Dah kenal benar dah empunya suara. Kelajuan langkah kakinya ditambah lagi cuba melepasi kutu-kutu kampung tu semua namun seperti yang dijangka, Hanif and the gang lebih laju meluru ke arahnya, mengepungnya dengan senyum nakal. Ada 5 orang semuanya
Hanif dan Idris, satu sekolah dengannya dulu sementara 3 orang lagi, Azhar, Daus dan Syawal dari kampung sebelah.

Tak taulah apa kerja buatnya, hari-hari lepak atas pangkin surau ni. Kadang lepak di wakaf tepi jalan hujung kampung dan yang paling menyakitkan hati ialah selalu buat bising dengan enjin motor masing-masing. Bingitnya, Ya Allah...

Muka Ainur tampak sebal merenung Idris didepannya. Dah lama sebenarnya dia diganggu kutu-kutu kampung ni semua tapi dia malas nak besarkan isu ni. Jauh sekali la nak bagitahu Adam. Mahu mengamuk suaminya tu sorang kalau dapat tahu. Lunyai semua dikerjakan. Plus, dia takut nanti dia dah tak boleh keluar dari rumah. Sebab tu bertahun tahun disimpan sendiri soal ni.

         "Awak semua ni nak apa lagi? Tak bosan ke hari-hari kacau orang?"

"Alahaiiiii... Comelnya bila kau marah Ainur.. Hati aku rasa macam tak tahan pulak," ucap Idris sambil cuba mencuit pipi Ainur tapi gagal bila Ainur mengelak laju. Yang lain pada menyorak kalahkan beruk melihatkan tingkah 'jual mahal' Ainur.

       "Kau dari mana? Panas ni. Mari aku hantar balik,"  Hanif pula mencelah dengan mata layunya itu.

Padahal orangnya elok rupawan tapi sayang, tersilap pilih jalan, tersilap pilih kawan, inilah jadinya. Selekeh.

"Dah, saya nak balik. Awak jangan kacau saya kalau tak...,"

       "Kalau tak nak buat apa? Nak jerit? Ha jeritlah. Nak tengok laki kau yang berlagak tu sorang sampai ke tidak," potong Hanif yang dah lama tak sukakan Adam. Cuma sebab Adam tak pernah bertegur sapa dengannya. Sejak dulu lagi.

Ainur ketap gigi menahan geram. Muka muka didepannya satu persatu direnung tajam. Jelas terpampang dengan niat jahat. Dalam diam ada rasa debaran didada. Yelah, dia buat buat berani aje. Manalah dia mampu nak lawan lelaki lelaki ni kalau dorang cuba berbuat sesuatu yang tak elok padanya. Ligat otaknya memikirkan cara nak lepaskan diri dari situasi sekarang ni. Orang ambik benda terlarang ni kita tak boleh expect tindakan dia.

      "Dahla Hanif, saya malas la layan awak. Saya nak cepat," dalih Ainur sebelum membuka langkah untuk keluar dari kepungan tapi laju Idris  mencengkam kemas lengan kanannya menghalangnya dari bergerak pergi.

Ainur kaget membalas pandangan sinis Idris. Dia cuba menarik semula lengannya namun gagal.

      "Apa awak buat ni??Sakitlah!" marahnya sedikit lantang sambil masih cuba melepaskan lengannya dari cengkaman kuat Idris.

Kecut perutnya bila tiba-tiba Idris ketawa besar tak menghiraukan permintaannya. Ya Allah macam mana ni.. Pelbagai andaian burum mula bermain dibenaknya sekarang. Berharap akan ada orang kampung melalui jalan ini.

"Ala...janganla marah-marah sayang.. kitorang nak gurau je..," Idris mula bertindak lebih berani dengan mengusap kepala Ainur yang dilitupi shawl rona hijau daun.

Cukup membuatkan Ainur menggeliat seakan jijik.

      "Meh, aku bagi kau relaks sikit..," giliran Hanif pula mencelah masuk dengan memegang kemas kedua dua bahunya, cuba mendekatkan bibir di pipinya.

Ainur jadi cemas, sekuat mungkin dia meronta ronta minta dilepaskan dengan jantung berdegup kencang. Plastik merah ditangannya dah jatuh ke atas tanah.

     "Hoi!!" jerkah satu suara dari belakang membuatkan semua spontan menoleh.

Hanif tak sempat pun melihat dengan jelas empunya suara bila tiba-tiba satu tendangan tinggi melayang tepat keperutnya membuatkan dia tergolek-golek diatas jalan berturap. Yang lain pantas sedikit berundur dek terkejut dengan serangan tak disangka itu.

Faizal mendekati Ainur yang jelas kelihatan takut.

        "Awak okay tak Ainur?" soalnya risau.

"Ohhh.. Kaulah mamat yang orang kampung duk sembang tu. Faizal anak polis tu..," Idris bersuara berani bila dapat mengecam identiti Faizal dalam beberapa saat sahaja.

Hanif dah pun kembali berdiri disebelah Idris sambil memegang  perutnya yang terasa senak. Berkerut dahinya mengamati muka Faizal yang bergerak kedepan Ainur, melindungi wanita itu dibalik tubuhnya.

        "Ohh.. Mamat spek tebal tu kan? Sweet la ni weh.. Korang bercinta sakan zaman sekolah dulu kan... Hari-hari berkepit kalahkan laki bini, sekarang yang pompuan sibuk buat jual mahal. Phuii!!" sampuk Hanif berbaur sinis.

Faizal genggam tangannya sendiri menahan rasa marah. Sungguh hatinya sakit mendengar Hanif mencela Ainur tapi dia masih cuba mengawal diri  Dia tak nak sampai Ainur melihat babak aksi yang tak sepatutnya dilihat.

        "Baik kau blah sekarang kalau kau tak nak aku angkut korang semua naik lori," keras suara Faizal mengugut Hanif and the gang.

Pengalamannya sebagai polis buat dia boleh detect yang namanya drug addict hanya dengan sekilas pandang . Untuk golongan ini, bayang lori biru berjaring bahagian belakang dah cukup buat mereka lari tak cukup tanah.

Mendengar ucapan Faizal penuh maksud itu, Hanif telan liur memandang kawan-kawannya yang lain. Nak tak nak, mereka terpaksa akur. Sempat lagi dicerlungnya Faizal penuh tak puas hati sebelum pantas memanjat motorsikal masing-masing lalu menderum laju meninggalkan Faizal dan Ainur.

Tak buang masa Faizal terus berpaling ke arah Ainur dibelakangnya, memastikan keadaan gadis itu tak terlalu shock dengan apa yang baru berlaku.

       "Its okay Ainur. Dorang dah takde," lembut dia berkata didepan muka Ainur.

Ainur angkat muka, jelas terlihat shock namun segera dia ukir senyum kecil dibibirnya.

    "Saya okay.. Terima kasih, Faizal."

Dia tunduk mencapai plastik merah berisi ikan dan sedikit ulam yang terjatuh tadi.

      "Mari saya teman awak balik," pelawa Faizal cuma nak pastikan gadis pujaan hatinya itu selamat sampai kerumah.

Ainur membalas pandangan Faizal tanpa suara untuk beberapa detik. Air muka lelaki itu cukup membuktikan keikhlasan disebalik kata tapi Ainur kali ini tak mahu bertindak sembarangan lagi. Dia tahu Adam takkan senang melihat persahabatannya dengan Faizal. Dia tak nak mengguris hati suaminya lagi.

Akhirnya dia menggeleng dengan senyuman.

      "Takpelah, Faizal. Dah dekat pun.. Saya boleh balik sendiri. Terima kasih taw."

Baru saja Ainur nak melangkah, Faizal pantas menghalang.

      "Ainur tunggu."

Ainur tak jadi meneruskan langkah. Angkat kening dia membalas pandangan Faizal.

"Urm.. Petang esok saya ingat nak pusing kampung, hantar buah tangan sikit untuk orang kampung. Yelah, sebagai tanda terima kasih sebab dah tolong tengokkan rumah ayah selama ni.. Halaman rumah pun rapi, terjaga," ujar Faizal berlapik kata.

Ainur yang polos tersenyum senang. "Alhamdulillah.. Boleh la orang kampung kenal-kenal dengan awak kan.. Dorang ingat-ingat lupa dah anak teruna encik Hasnol ni sorang.."

     "Tulah..," Faizal menggaru-garu belakang kepala yang tak gatal dalam otaknya ligat merangka kata.

     "Cuma saya nak mintak tolong awak sikitlah."

"Tolong apa?"

     "Tolong teman saya boleh?"

"Heh?" Mata galak Ainur membulat. Berat lidah nak menjawab. Bukanlah susah sangat permintaan itu tapi.. susah nak dapatkan surat kelulusan dari pegawai sempadan, pakcik Adam Firdaus.

     "Saya tak ada kawan kat kampung ni, Ainur. Awak sorang je kawan yang saya ada and saya pun tak kenal sangat orang kampung.. Harap sangat awak dapat tolong saya.. Saya dah beli dah barang-barang untuk dibagi tapi tak tahu rumah siapa nak pergi," sambung Faizal lagi cuba meraih 'simpati' Ainur. Dia tahu Ainur jenis yang sukar menolak permintaan orang lain.

Beberapa detik juga dia menanti jawapan Ainur dalam debaran. Tinggi harapannya agar Ainur tak menolak.

     "Kalau macam tu saya tanya abang Am dulu la. Apa-apa, esok saya bagitahu awak."

Faizal laju mengangguk meski belum ada jawapan muktamad. Dia yakin Ainur tak akan menolak.

     "Okeylah Faizal. Saya balik dulu."

"Ya. Awak hati-hati "

     "Mm."

*****

         HAMPIR 10 minit Adam berdiri diluar outlet Habib Jewels ditingkat 4 bangunan pasaraya Megamall itu. Dipandang kiri kanan, depan, belakang, dikuis kuisnya pula lantai mozek dengan hujung kakinya, serba serbi tak kena. Security guard yang berkawal dekat pintu kaca outlet dah memandangnya penuh curiga. Yelah, takut-takut kalau ada orang nak merompak ke apa ke kan.

Adam masih diluar. Teragak agak. Dia tak tahu nak cakap macam mana, tak tahu nak pilih apa. Pokoknya seumur hidupnya, dia tak pernah belikan hadiah pada sesiapa. Kotak coklat kitkat pun masih tersimpan dalam almari. Nak-nak pula hadiah barangan wanita. Sumpah dia keliru. Menyesal pulak tak ajak Qalisya tadi. Habis je majlis makan malam dengan client tadi, dia terus minta diri untuk pulang lebih awal. Kalau ikutkan, pengarah syarikat ada ajak dia ikut serta minum-minum di VIP room tapi dia menolak cara baik. Tak berminat dia kalau setakat nak berbahas soal politik atau suap menyuap orang atasan.

      "Hai Encik, boleh saya bantu encik?"  tiba-tiba satu suara lembut menyapa cuping telinganya membuatkan dia spontan angkat muka.

Dilihat seorang gadis muda, cantik berseragam merah putih sedang berdiri didepannya dengan senyum manis. Melihatkan sarung tangan putih dan tag nama yang dipakai gadis itu, dia yakin gadis itu merupakan pekerja Habib Jewels.

"Er...ya. Saya...saya nak beli necklace."

      "Oh yeke.. Boleh encik, mari masuk, saya tunjukkan design paling popular yang kami ada," ramah saja gadis bertag nama Marissa itu mempelawa Adam masuk.

Tak menolak, Adam membuntuti langkah Marissa masuk kedalam ruang outlet  serba putih itu. Matanya diluaskan sekeliling. Banyak betul aksesori wanita tak kira cincin, gelang, subang, rantai atau loket, semuanya bergermelapan cantik. Adam diam saja mengikut Marissa sampai ke satu meja panjang. Atas meja tu dipenuhi rantai-rantai emas dan perak. Tapi dia cuma boleh tengok sahaja sebab terhalang dengan pagar kaca tebal.

       "Ini rantai keluaran terbaru Habib Jewels dan kalau encik tengok baris atas sekali ni, ini semua adalah hot item dari Habib Jewels sendiri."

Adam mengangguk kepala sambil merenung satu persatu rantai yang dikatakan Marissa. Tak ada satu yang menarik perhatiannya.

       "Saya nak rantai perak."

"Ohh, ada. Mari encik," Marissa membawa Adam ke meja disebelah dimana semua yang diatas meja tu rantai perak.

Macam-macam jenis, macam-macam design.

        "Encik nak belikan untuk siapa ya?" ramah saja Marissa bertanya bagi memudahkan dia untuk bagi bantuan pilihan.

Adam sedikit segan, dia buat-buat menilik rantai dari atas meja tanpa memandang Marissa.

      "Hadiah untuk isteri saya."

"Oh...kalau macam tu, ni saya ada pilihan paling popular untuk isteri encik,"  Marissa mula membuka kunci pagar kaca sebelum mengeluarkan 5 utas rantai perak berbeza loket. Disusun semuanya diatas kaca tebal didepan Adam.

Adam merenung satu persatu. Ada bentuk hati gelembung, ada bentuk loceng, ada bentuk matahari, ada juga bentuk huruf. Tapi yang paling menarik minatnya ialah satu rantai berloketkan bintang. Bintang yang tak terlalu besar tak terlalu kecil. Leser saja bentuknya, ada permata berkelipan disetiap penjuru bintang itu.

       "Kalau yang huruf ni encik, kami boleh custom made kan huruf yang encik nak," jelas Marissa lagi bila melihatkan Adam yang masih tekun memilih.

Kali ini Adam angkat muka.

     "Saya nak yang ni," dia menunjukkan pada rantai pilihannya penuh yakin.

Dapat dia bayangkan Ainur memakai rantai ini dileher. Mesti cantik bak bidadari..

Marissa senyum sambil meraih rantai yang dimaksudkan Adam.

      "Tajam mata encik. Rantai ni tinggal 3 utas je lagi. Kami dah tak keluarkan design ni lagi. Kalau encik tengok betul-betul kat belakang loket ni," Marissa memusingkan muka loket kebelakang lalu menunjukkan nya pada Adam.

"Ada terukir 'My Little Star'.  So memang sangat sesuai untuk encik hadiahkan untuk isteri encik."

      "Ok baik, saya ambik yang ni. Berapa?"

*************

      AINUR mundar-mandir didalam kamarnya sambil menggigit-gigit hujung kuku sendiri. Jam dah menginjak ke pukul 9:30 malam tapi batang hidung suaminya masih tak muncul-muncul. Si suami pulak, kalau dah tahu nak balik lewat, bagi la tahu sepatah. Ini tidak. Kalau seminggu keluar daerah, seminggu lah menyepi tanpa khabar. Langsung tak menghargai pencipta telefon.

Sekarang ni, makin lama ditunggu, makinlah berkurang semangat yang dia kumpul sejak siang tadi. Semangat untuk minta cop kelulusan keluar dari pakcik Adam.

    "Ainur..! Laki kau dah balik..! Kau ada buat salah tak..?" tiba-tiba kedengaran suara Farisha melaung dari bilik sebelah mengejutkan Ainur.


Kebiasannya memang Farisha akan 'roger' kalau Adam balik sebagai tanda amaran untuk dia tak buat salah didepan Adam. Kesalahan lazim yang dia buat itu ialah terlelap waktu maghrib, baca novel waktu maghrib, atau hadap telefon waktu maghrib. Itulah kesalahan yang selalu dia kena berjaga-jaga. Tapi kali ini lain. Dia ada misi penting untuk dilaksanakan.


Tak buang masa, laju dia merapikan rambut ikal separas pinggangnya didepan cermin. Air muka dikawal agar lebih tenang.


     "Kau boleh, Ainur!"


"Nur," suara garau Adam menyapa cuping memeranjatkan Ainur. Berkecai muka tenangnya, yang ada cuma muka orang buat salah.


     "Abang...," sapanya kekok sambil mendekati Adam. Tangan suaminya itu disalami lembut. Dilihat Adam berjalan melabuhkan punggung dibirai katil sambil melonggarkan tali leher.


Ainur masih tercegat dekat langsir. Teragak-agak. Sebab sedalam mana pun dia cuba positif, dia rasa macam tak masuk akal pula Adam nak izinkan dia keluar berdua dengan Faizal. Kan Adam dah cakap 'tak suka'.


     "Hmm... Lewat abang balik," Ainur bersuara cuba membuka perbualan. Lambat-lambat kakinya mendekati katil. Masih berdiri.


Adam yang serius 24jam itu angguk sekali. "Ada dinner dengan client."


"Ohh.....," panjang Ainur menyahut. Otaknya ligat berfikir. Menyusun ayat paling sesuai. Tapi sedetik, anak matanya jatuh pada satu beg kertas Habib Jewels disebelah Adam. Dahinya berkerut seribu.


      "Apa dia tu abang? Abang beli barang kemas? Untuk siapa? Untuk Ainur?" bertubi-tubi Ainur menyoal teruja. Bercahaya mata galaknya bersama senyum lebar.


Adam terkedu sejenak. Terpukau meihat reaksi Ainur. Tercuit rasa bersalah ditangkal hati. Apa kerana dia tak pernah berikan Ainur sebarang hadiah sehingga membuatkan isterinya itu seteruja ini?


"Pakailah," senada Adam berkata sambil menghulurkan beg kertas itu pada Ainur. Riaknya serius saja namun laju Ainur menyambut gembira.


Ainur menolak ketepi briefcase Adam lalu melabuhkan punggungnya disisi Adam. Berbunga-bunga hati membuka kotak dari dalam beg kertas. Air mukanya ceria bak anak kecil yang baru dapat gula-gula pertama.


     "Abang....," ternganga mulut Ainur saat memegang seutas rantai perak berloket bintang. Seakan tak percaya dia terima hadiah secantik ini dari Adam.


Bibirnya dijuih manja menahan air mata. Muka tak berperasaan Adam dipandang lama.


     "Abang... Cantik sangat-sangat.. Abang beli untuk Ainur?"


Adam menoleh. "Client abang bagi. Hadiah untuk semua yang join dinner."


Ha sudah.. Adam oh Adam... Bila mana otak dan hati tak bersambung, itulah jawapan yang keluar dari mulutnya.


Ainur diam sedetik. Blur. Terkebil-kebil matanya memandang wajah si suami. Cuba membaca air muka Adam sama ada bergurau atau benaran. Dan ternyata, dia tak dapat membaca apa-apa.


Senyumnya masih bersisa tapi tidaklah selebar tadi. Jujurnya sedikit hampa. Disangka Adam sendiri yang belikan dia hadiah. Walau cuma sekeping roti, asalkan ia hadiah pemberian Adam, pasti dia gembira.


Tapi ini.... Ah.


     "Cantik," ucapnya setelah memujuk hati sendiri.


Adam yang melihat perubahan air muka Ainur, menyumpah kebodohannya sendiri. Bagaimana, macam mana, kenapa, dia boleh berkata kenyataan yang bodoh seperti barusan. Ah.


"Abang pakaikan untuk Ainur ya?" pinta Ainur sambil membelakangi Adam. Rantai sudah diletak dileher cuma belum dikancing.


Tanpa sepatah kata, Adam menurut permintaan Ainur.


      "Cantik tak?" Ainur menyoal sebaik saja kembali berpaling tubuh menghadap Adam.


Adam diam. Merenung lama rantai dileher Ainur sebelum beralih pula kewajah cantik milik Ainur. Indah. Benarlah jangkaannya.  Cantiknya Ainur memakai rantai ini tak ubah bak bidadari kayangan.


"Cantik," ucapnya sepatah bersama senyum halus.


Cukup membuatkan sepasang mata galak Ainur bercahaya semula. Hilang kehampaan dihati.


     "Cantik kan? Ainur suka bentuk bintang ni.."


Adam angguk sekali. "Pakailah kalau suka."


"Mm. Ainur pakai. Semua orang dapat ke? Qalisya pun dapat?" polos Ainur menyoal membuatkan Adam melarikan pandangan kearah lain.


Lelaki itu diam tak membalas sebelum bangun untuk kebilik mandi.


Tapi tak pula Ainur nak membebel seperti biasanya. Wanita itu masih gembira dipuji suami sendiri barusan. Dia bahkan tunduk menilik loket rantai yang sememangnya cantik.


Niatnya untuk beritahu soal Faizal terkubur buat masa sekarang. Dia tak nak rosakkan mood bahagia yang memenuhi segenap ruang kamar tika ini.


Soal Faizal, mungkin besok saja..




 

Previous: BAB 14
Next: JAC

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Yana Agasshi