BL-20

Mesyuarat tergempar bersama ahli Task Force berlangsung dalam suasana serius.  Perbincangan tersebut meliputi segala aspek termasuklah keselamatan Ain Afzan yang akan diperketatkan agar peristiwa lalu bersama Ferdaus tidak berulang kembali.  Sudah tiga jam masa berlalu, mesyuarat tersebut masih belum menunjukkan tanda-tanda akan berakhir dalam masa terdekat.

Mereka hanya akan berhenti sebentar untuk solat dan  makan.  Tuan Fakhrul begitu bersungguh-sungguh membincangkan secara terperinci agar dalang disebalik jenayah pelacuran bagi gadis-gadis universiti dan bawah umur dapat dibongkarkan.  Apatah lagi mereka hampir melepasi tempoh masa yang telah ditetapkan.  Tambahan pula beberapa orang gadis didapati hilang begitu saja setelah berjumpa dengan Aniq Haqimi.

Irfan dilihat beberapa kali  menguap menahan kantuk yang beraja.  Kelopak matanya terasa amat berat.  Rata-rata ahli Task Force telah bertungkus lumus sehingga tiada masa dapat diluangkan untuk diri sendiri mahupun keluarga. 

Segalanya terpaksa dikorbankan kerana tuntutan tugas yang menggesa mereka.  Theresa juga dilihat tertunduk menekur lantai sambil memeluk tubuh kerana kedinginan alat penghawa dingin yang menggigit sehingga ke tulang hitam.

"Saya mahu semua pasukan kita bersedia apabila tiba hari yang dimaksudkan.  Ain Afzan, berikan kepercayaan kepada suspek utama kita supaya dia dapat membongkarkan kemana hilangnya gadis-gadis sebelum ini.  Faham?" Tuan Fakhrul memberi arahan.

"Faham tuan."

"Bagus.  Seterusnya......."

Perbincangan bersambung sehingga ke beberapa jam berikutnya.  Tepat jam 4:30 petang, mesyuarat akhirnya bersurai.

Ain masuk ke pejabatnya yang telah sekian lama ditinggalkan.  Fail-fail yang tersusun di atas meja masih sama letak kedudukannya.  Helaian satu fail berwarna coklat cair diselak.  Pandangan tertancap pada sekeping foto kanak-kanak perempuan. 

Foto ditangannya itu direnung.  Keadaan kanak-kanak yang telah ditemui dalam keadaan menyayatkan hati itu membuatkan hatinya terusik kembali.  Tidak semena-mena matanya berkaca.  Tergamak mereka menganiayai dan membunuh seorang budak kecil yang tidak berdaya dan berdosa hanya kerana nafsu.  Apabila nafsu diletakkan ditempat yang salah, maka manusia akan hilang kewarasan dan akal fikiran.

'Kuat Ain.  Kau kena kuat.  Jangan cepat mengalah', suara hatinya berbisik.  Ain menyandarkan badannya dikerusi kulit berwarna coklat pekat.  Matanya dipejamkan rapat.  Satu keluhan berat dilepaskan. 

Dia membuka kelopak matanya semula lalu berdiri disisi meja.  Dia mengutip satu persatu fail di atas meja tersebut lalu dimasukkan kedalam kabinet besi dan dikunci. 

Badannya lenguh-lenguh.  Urat saraf tubuhnya menegang.  Ain kembali melabuhkan punggungnya dikerusi beroda tersebut.  Kali ini dia duduk menghadap komputer berjenama Fujitsu.  Suis 'on' ditekan.  Beberapa saat kemudian skrin komputer terang benderang. 

Jari jemarinya mengetuk-ngetuk papan kekunci bagi menyiapkan laporan.  Sudah lama laporannya tergendala.  Sepatutnya dia perlu menghantar laporan tersebut mengikut masa yang telah ditetapkan.  Apakan daya, terlalu banyak hal-hal yang tidak dijangka terjadi.

"Ain, malam ni kau balik tak?" Entah dari mana Theresa muncul.

Ain mengurut dadanya kerana terperanjat. 

"Emmm...dah lama tak balik.  Aku nak sangat balik rumah kita tu Tess.  Tapi....demi keselamatan aku ditegah untuk ke situ," jelasnya.

"Aku tau.  Aku tanya saja.  Aku pun rindukan saat-saat kita berdua.  Tapi takpe.  Tak lama lagi kes ni akan selesai.  Kau akan mulakan hidup seperti biasa."

Ain melemparkan senyuman yang tidak beriak.  Rasa sedih dan gembira bersatu didalam hatinya.  Gembira kerana kehidupannya yang dulu akan dijalani semula.  Namun sedih apabila memikirkan perasaannya yang semakin bercambah kepada Aniq Haqimi.  Tidak mungkin rasa sayang yang baru berputik itu akan bersemi kerana dia dan Aniq berada didalam dua dunia yang berbeza.

"Ain...Ain..Kau dengar tak ni??"  Theresa melambaikan tangannya didepan wajah Ain. 

Ain jelasnya sedang memikirkan sesuatu yang berat.  Dalam erti kata lain dia tidak berada didalam dunia nyata.  Lebih tepat lagi dia sedang berkhayal.

"A..apa kau cakap tadi Tess??" tanya Ain malu-malu.

"Kau berkhayal eh?," teka Theresa.

"Eh, mana ada.  Aku kan tengah siapkan laporan ni," Ain cuba berdalih.

"Elehh...ye la tu.  Apa-apa je la Ain.  Kau lapar tak ni?  Aku lapar sangat dah ni.  Jomlah makan" suara Theresa dilunakkan untuk meminta simpati.

"Lapar la.  Tadi tak nak ajak aku awal-awal."

Theresa terlopong.

'Bukan aku dah ajak berkali-kali ke tadi?,' hatinya bermonolog.

Malas untuk memanjangkan bicara, Theresa membiarkan perkara tersebut berlalu.

******

Klakkk..!

Seperti biasa, apartment yang diduduki oleh Ain sejak beberapa bulan yang lepas sunyi sepi.  Masing-masing sedang menelaah agaknya.  Maklumlah, peperiksaan akhir semester hanya tinggal beberapa minggu saja lagi.

Suis lampu dihidupkan.  Suasana diruang tamu terang benderang dalam sekelip mata.  Susunan perabot masih sama.  Dia menapak perlahan-lahan ke arah bilik.  Tombol pintu yang tidak berkunci dipulas perlahan.  Suis lampu dipetik.  Dia merebahkan badan ke katil.  Jari jemarinya bertaut dan sekali sekala digenggam.   Badannya begitu penat dan kelopak mata mulai memberat.  Tika kelopak matanya hampir bertaut, bunyi pesanan ringkas yang masuk melalui telefon bimbit membuatkan dia tersedar semula.

Dinggg...

Ain mengabaikan mesej yang baru masuk ke telefon bimbitnya ekoran rasa kantuk yang menyerang dirinya.  Namun apabila bunyi tersebut semakin galak, dia akhirnya mengalah.  Telefon bimbit didalam tas tangan dicapai.

'Stay away from Aniq Haqimi' - Unknown Sender

Berkerut dahinya sebaik saja barisan ayat tersebut dibaca.

'He's dangerous' - Unknown Sender

'Gentle reminder.  I'll be watching you' - Unknown Sender

"Masalah apa lagi ni?  Lepas satu, satu hal lagi yang timbul."

Ain memicit kepalanya.  Nampaknya dia kini menerima pesanan berbaur ugutan pula dari seseorang yang tidak dikenali.  Serta merta bayangan wajah Aniq Haqimi menerpa diruang matanya.  Ain tersenyum sendirian.  Dadanya disentuh dengan tapak tangan.  Jantung miliknya begitu kuat berdegup. 

'Hati.  Mohon sabar.  Jangan diikutkan perasaan,' hatinya berbicara.

Ada sesuatu yang istimewa tentang Aniq.  Wajahnya tenang untuk ditatap.  Renungan matanya redup.  Kadang-kadang membuatkan dirinya nanar.  Hanyut dalam dunia ciptaannya sendiri.  Sedangkan dia tidak tahu apakah perasaan sebenar Aniq terhadapnya.

Ain kembali ke alam nyata.  Bayangan wajah Aniq juga hilang umpama debu yang berterbangan.  Ugutan tersebut akan dimaklumkan ke Unit Siber.  Unit tersebut pastinya tahu apa yang perlu dilakukan.  Penghantar pesanan tersebut tidak mungkin dapat melepaskan diri.

Sementara itu...

Aniq merenung langit.  Malam itu bulan mengambang penuh.  Cahanyanya terbias diawan.  Menenggelamkan keindahan jutaan bintang yang terhias didada langit.  Rokok yang tersepit dibibirnya disedut.  Asap putih menerawang ke udara.  Aniq menyandarkan tubuhnya dibalkoni kondominium mewah miliknya.

Aniq tersenyum sendirian tatkala teringat akan senyuman yang menguntum dibibir Ain Afzan.  Senyuman tersebut adalah paling indah baginya.  Ain seorang gadis yang manis tetapi berpendirian. 

Seingatnya, dia tidak penah melihat Ain bertukar-tukar pasangan di kelab. Tidak pernah melihat gadis itu berkelakuan melampaui batas.  Apatah lagi meneguk minuman keras.Hatinya boleh dikatakan sudah terpaut dengan gadis bernama Ain.  Tetapi dia sedar.  Mereka berdua tak mungkin dapat bersama.  Sebabnya mereka berada didua dunia yang berbeza.

Kadang-kadang Aniq terkeliru dengan personaliti Ain.  Dia sepertinya amat berhati-hati semasa memilih pasangan untuk bersuka ria.  Bila difikirkan kembali, buat apa dia mempedulikan semua itu.  Asalkan kelabnya 'hidup'dan mampu memberikan keuntungan bagi kelabnya itu sudah memadai.

Rokok yang disedut semakin habis.  Bara-bara api yang berada dihujung rokok tersebut jatuh kelantai.  Puntung tersebut lantas ditenyeh kedalam ashtray.

'Ain, jampi apa kau guna.  Sehingga membuat aku tak lena tidur.  Haishhhh..'

Angin sejuk menghembus.  Cahaya bulan yang berserakkan perlahan-lahan menghilang.  Rintik-rintik hujan mulai turun.  Semakin lama semakin lebat.  Sejak akhir-akhir ini Kuala Lumpur seringkali dilanda hujan pada waktu malam.  Pantas Aniq memasuki ruang rumahnya setelah sliding door ditutup. 

"Ain Afzan.  Kita sama namun tak serupa." hati Aniq merintih.

**********

Ain dan Irfan berkerjasama lagi.  Lagipun, masa istimewanya bersama Aniq masih berbaki lima hari lagi.  Masih sempat dia menjalankan tugas penyamarannya.

"Puan, tak lama lagi harinya akan tiba.  Bermakna misi kita juga akan berakhir" Irfan bersuara.

"Betul tu.  Segala yang kita rancang dengan teliti pasti akan berjaya.  Kita telah bertungkus lumus untuk memastikan dalang disebalik semua ini dibawa ke muka pengadilan," balas Ain.

"Apa rancangan Puan selepas ni?"

"Emm...saya bercadang nak ambik cuti panjang.  Balik ke kampung.  Dah lama rasanya saya tak balik kampung semenjak misi kita ni berjalan."

Irfan mengukir senyum.  Ain begitu bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugas.  Walaupun pelbagai dugaan dan cabaran yang terpaksa dilalui, dia berjaya menempuhinya.  Kehidupan peribadi dan tugas hakikinya sebagai seorang Pegawai Kanan Polis tidak pernah dicampur adukkan.  Sungguh Irfan kagum akan kekentalan gadis tersebut.

Lantai dansa meriah dengan pasangan tidak kira usia.  Masing-masing tenggelam dalam dunia keseronokkan dunia.  Kepala digerakkan ke kiri dan ke kanan.  Tubuh dihanyunkan mengikut rentak muzik dalam lampu neon yang berwarna warni.  Jika diberi pilihan, Ain tidak mungkin dengan rela hatinya menjejakkan kaki ke situ.

Suasana kelab begitu bingit dan gelap.  Bau asap rokok bercampur dengan air kencing syaitan seringkali membuatkannya mual dan sakit kepala.  Demi tugas dia tahankan saja.

Kelibat Aniq tidak kelihatan.  Puas Ain mengitari setiap ruang didalam kelab tersebut.  Dia mengeluh didalam hati.  Bayang Aniq Haqimi memang tiada disitu.

Disuatu sudut, kelibat seorang lelaki yang berpakaian serba hitam dan beanie juga berwarna senada menarik perhatian Ain.  Lelaki misteri tersebut merenungnya tajam.  Wajahnya kurang jelas kerana suasana didalam kelab yang agak gelap.  Ain mencuit lengan Irfan sebagai isyarat ada seduatu yang mencurigakan sedang berlaku.

Dinggg..

Satu pesanan ringkas masuk ke telefon bimbit Ain.

'Keluar dari situ!' - Unknown Sender

Irfan turut membaca pesanan tersebut.  Adakah penghantar pesanan tersebut merupakan lelaki misteri yang baru dilihat sebentar tadi?  Ain mengatur langkah ke arah lelaki misteri berkenaan.  Dia dan Irfan terpaksa menyelinap diantara pengunjung-pengunjung kelab yang luar biasa jumlahnya pada malam itu.

Seakan mengerti, lelaki misteri tersebut melarikan diri dengan pantas.  Semakin dekat Ain dan Irfan cuba menghampiri, semakin pantas langkahnya dihayunkan.  Dalam beberapa minit lelaki misteri tersebut gagal dikesan.

"Damn it.  Dia berjaya melepaskan diri" Ain mengepal penumbuknya.

"Sabar Puan.  Saya rasa dia akan datang kembali.  Kita perlu bijak merancang cara untuk menangkap dia.

"Saya rasa lelaki misteri tu yang menggugut saya dengan mesej-mesej sebelum ni."

"Puan pasti?"

"Saya pasti dia ada kaitan dengan semua ugutan tu."

"Bermakna Puan dalam bahaya"

"Jangan risau Irfan.  Saya tak rasa dia cuba mengancam diri saya.  Mungkin sasarannya sama dengan suspek utama kita."

Namun Ain seakan dapat mengecam roman lelaki misteri tersebut.  Cuma dia tiada bukti.

"Motifnya Puan?"

"Itu kita belum pasti.  Sebab tu kita kena siasat.  Esok saya akan berjumpa dengan Tuan Fakhrul."

Irfan mengangguk.  Mereka pulang awal pada malam itu setelah pasti lelaki misteri berkenaan telahpun beredar.

******

"Nampaknya kes ni semakin rumit.  Mungkin ada musuh Aniq yang tidak berpuas hati.  Jadi sasarannya adalah awak" Tuan Fakhrul memberi amaran.

"Tapi kenapa saya?"

"Saya buat andaian saja.  Tapi, saya tak rasa lelaki misteri tersebut cuba mengapa-apakan awak.  Mungkin dia memberi amaran kepada awak supaya menjauhkan diri daripada Aniq.  Awak kan telah berjaya menjadi Top Queen Chicklist.  Walau apa pun kita akan siasat lebih mendalam lagi.  Dan awak Ain, tolong lebih berhati-hati.  Saya akan letakkan lebih ramai orang-orang kita untuk perhatikan awak."

"Baik Tuan."

Telefon bimbit Tuan Fakhrul bergetar di atas meja.  Ianya telah disetkan kepada mod senyap.  Ain sempat mengerling ke arah skrin. 

'Aniq Haqimi?,' Ain terpempan.

Dengan pantas telefon tersebut dicapai.  Tuan Fakhrul melihat sekilas ke arah skrin telefon sebelum memberi isyarat kepada Ain untuk beredar.  Ain bangun dan memberikan tabik hormat sebelum beredar.  Pintu bilik Tuan Fakhrul dirapatkan.  Lokasi bilik ketuanya yang agak jauh daripada bilik-bilik yang lain memudahkan Ain untuk memasang telinga.

"Aku dah cakap jangan hubungi aku masa kerja.  Tunggu aku yang hubungi kau dulu.  Ye aku tahu.  Kau sabarlah sikit.  Apa?  Kau dah buat report polis?  Siapa punya kerja?   Ok.  Tunggu aku hubungi kau kemudian."

Perbualan tersebut tamat disitu.  Ain lekas-lekas beredar dari situ sebelum hal yang tidak diingini timbul. 

'Apakah kaitan Tuan Fakhrul dengan Aniq Haqimi?' Ain berteka-teki.

Teh panas didalam cawan dihirup perlahan.   Ain menikmati minum petang sendirian disebuah cafe.  Dia duduk dimeja kegemarannya iaitu berhampiran dengan tingkap.  Konsep Cafe de Chenta tersebut agak klasik kebaratan.  Apa yang paling diminatinya adalah lagu-lagu inggeris lama yang terpasang untuk halwa telinga pelanggan begitu menepati citarasanya.  Lebih istimewa ianya dimainkan melalui alat pemain piring hitam.

Ain membuat catitan didalam buku nota yang selalu dibawanya.  Segala percakapan dan perbualan diantara Tuan Fakhrul dan Aniq Haqimi dicatit.  Dia cuba mengaitkan perbualan tersebut dengan situasi yang berlaku antara mereka.  Perjumpaan kali pertama mereka disebuah gudang lama semasa menyerahkan buku diari Una serta pertemuan kedua mereka yang tidak terduga di hospital suatu masa dahulu.

Semakin difikir semakin hendak pecah kepalanya.  Hendak diceritakan kepada Theresa dan Irfan dia tidak mempunyai bukti kukuh sama ada audio ataupun visual.  Silapnya juga kerana terlupa.  Tak mengapa, dia akan menyiasat sendiri.  Donat bersalut coklat dan ditabur kacang pistachio digigit lalu dikunyah perlahan.  Tanpa sengaja matanya terarah akan susuk tubuh yang amat dikenalinya melalui cermin tingkap berkenaan.

Jarak antara mereka agak dekat.  Donat diletakkan semula ke atas pinggan.  Ain mencapai booklet menu yang ada dimeja lalu menutup wajahnya disebalik booklet tersebut.  Mujurlah booklet berkenaan berkulit agak tebal dan bersaiz besar.  Tidak lama kemudian, seorang lelaki yang cukup bergaya menghampiri Tuan Fakhrul dari arah belakang.  Tuan Fakhrup lantas berpalinh.  Sesi perbualan mereka agak serius.  Kacamata hitam lelaki kedua tadi ditanggalkan.  Ain terlopong.

"Aniq Haqimi?  Tuan Fakhrul?  Apa hubungan mereka berdua sebenarnya??" Ain semakin teruja untuk mengetahui kaitan mereka berdua.

Tidak lama kemudian kereta milik Aniq bersama pemandu berhenti berdekatan.  Aniq dan Tuan Fakhrul beredar entah kemana meninggalkan bunyi decitan tayar kereta menuju ke lebuhraya.

Booklet menu diletakkan ke tempat asal.  Kejadian tadi juga dicatit ke dalam buku nota.  Ain nekad untuk mengintip gerak-geri Tuan Fakhrul pula selepas ini.


Previous: BL-19
Next: BL-21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh