BL-4

Bamm!

Dentuman pintu ditengah malam itu mengejutkan Ain dari lena. Hentakkan tapak kaki yang kuat diatas lantai membuatkan Ain membuka kelopak matanya sedikit.

"Una?"

Una membebel sendirian tanpa difahami butirannya. Puas Ain cuba memasang telinga. Ain memerhatikan tingkah laku Una secara diam-diam. Sekali-sekala Una mendengus kasar. Anting-anting dicuping telinganya dibuka dan diletakkan ke atas meja dengan kasar.  Beg tangan pula dicampakkan ke ceruk dinding.

Una berlalu ke bilik air untuk menukar pakaiannya barangkali.  Kedengaran air pili mencurah-curah ke sinki.  Beberapa minit kemudian, Una keluar dengan rambutnya yang dibiarkan menggerbang tanpa diikat.  Ain beranggapan mungkin Una baru saja bertengkar dengan seseorang. Una memghempaskan tubuhnya ke katil dan terbaring mengiring membelakanginya.

Ain cuba melelapkan matanya semula tetapi tidak jadi kerana terdengar esak tangis yang agak perlahan dari Una.

"Una, kau okey?"

"Aku okey"

"Kalau ada masalah bagitau je la aku"

"Aku okey! Aku nak tidur!" Tiba-tiba sahaja Una menengking.

Sudahlah hatinya sedang berkecamuk, Ain pula cuba menjadi penyibuk dengan mencampuri urusan peribadinya.

Ain mendiamkan diri. Dia pun sebenarnya malas untuk mengambil tahu. Tetapi lenanya terganggu oleh kelakuan agresif Una tadi dan nalurinya mendesak untuk menyiasat lebih lanjut.

Suasana kolej meriah dengan pelajar-pelajar lama dan baru.  Urusan pendaftaran telah lama selesai dan Ain bercadang untuk mengisi perutnya yang lapar.  Dia memilih meja yang agak jauh dari orang ramai. Plastik berisi sandwich dibuka dan digigit lalu dikunyah perlahan.

Ain memerhatikan gelagat para pelajar disitu. Ada yang berseorangan sepertinya sambil mendengar lagu menerusi earphone, ada yang sedang berbual kosong dan berbisik-bisik sesama sendiri. Ada juga pasangan kekasih yang sedang menikmati sarapan bersama-sama sambil bertentangan mata.

"Huh..lambat pulak kuliah ni nak mula."

Kopi ais didalam gelas disedut dan terasa nyaman apabila melalui rongga tekaknya.  Ain hampir tersedak apabila bahunya ditepuk dengan kuat.

"Uhukkkk! Mangkuk tingkat kau pecah!"  Ain melatah.  Nasib dia tidak membuka kekuda silatnya disitu.

"Hahahaha.  Rileks la Ain.  Ni aku la, Lola."

"Hah, kau Lola?  Nyaris tak arwah aku tadi"

"Hehehe.  Sorry Ain.  Ni aku nak kenalkan kau dengan rakan-rakan serumah yang lain.  Semalam diaorang takde kan."

Ain memandang satu persatu wajah gadis-gadis dihadapannya sambil menghadiahkan satu senyuman manis.  Kali ini dia ikhlas tatkala melihatkan raut wajah mereka yang naif.

"Ni Nabila, Sahara, dan Mimi.  Korang kenal-kenal la ye.  Ain ni pelajar baru merangkap rakan serumah kita," jelas Dalila.

Kesemua mereka bersalaman dengan Ain. Diantara mereka, Dalila lah yang paling peramah dan bermulut becok.  Manakala, Mimi kelihatan agak pendiam dan kurang agresif.

"Eh, kelas aku dah nak mula dah ni.  Jumpa kat rumah nanti ye kita sambung.  Choww!," kata Dalila sambil melambaikan tangan.

"Oh no! Aku pun dah lewat ni!"

Ain bergegas ke kuliah seperti yang tercatat didalam jadual.  Kelas En. Rezal sepatutnya bermula jam 10:00 pagi tadi.  Nampaknya Ain telah terlambat 15 minit gara-gara si mulut becok Dalila.

Tanpa mengetuk pintu terlebih dahulu, Ani meluru masuk dan tindakannya itu mencuri perhatian penghuni kelas berkenaan.  En. Rezal yang sedang mengajar juga turut melihat ke arah Ain yang tercungap-cungap mencari udara.

"Err...maaf saya lambat," jelas Ain yang sudah tertunduk menekur lantai kerana malu diperhatikan sebegitu.

"Nanti dulu Ain Afzan!"

Bergema suara En. Rezal apabila menyebut namanya. Wajah Ain merona merah menahan malu.  Secara automatik langkahnya terhenti.  

"Ah, sudah! Apa lagi lepas ni?" bisik hati Ain.

En. Rezal berjalan perlahan ke arah Ain. Dia merenung Ain dihadapannya lalu bergerak mengelilingi Ain yang sedang berdiri kaku disitu sambil memeluk beberapa buah buku.

"Kelas, saya tak suka pelajar yang datang lambat.  Bagi saya, mereka ni telah menunjukkan sikap sambil lewa dan tidak berminat untuk belajar.  Sepatutnya kamu semua sudah bersiap sedia lebih awal sebelum masuk ke kelas saya. Tetapi, kali ni saya maafkan awak Ain Afzan memandangkan awak pelajar baru di sini.  Kalau awak ulangi lagi kesalahan yang sama, awak tak dibenarkan masuk ke kelas saya hingga ke akhir semester, faham?" tegas sekali En. Rezal memberi arahan.

"Fa...faham En. Rezal.  Saya mintak maaf,"  jawab Ain.

"Baiklah, sila duduk ke tempat awak."

Tanpa membuang masa, Ain mencari tempat duduk yang masih kosong dan meletakkan begnya disitu.  Buku nota dikeluarkan dengan sebatang pensil 2B.  Setiap poin-poin penting dari syarahan En. Rezal dicatat ke dalam buku nota tersebut.

Dimuka surat lain pula, Ain melakar wajah kartun seorang lelaki persis En. Rezal dan contengan lain untuk melampiaskan amarahnya.  Terasa lega sedikit hatinya apabila berbuat demikian.

"Ni baru satu kelas.  Belum lagi kelas lain.  Hmmm"  Ain mengeluh meratapi nasibnya.

Terbayang-bayang wajah ketua jabatannya yang mengarahkan dia ke situ. Dia terpaksa akur dengan arahan yang ditugaskan walaupun bertentangan dengan jiwanya.

"Kenapa aku?" pekiknya didalam hati.

Ain tiba dirumahnya jam 6:00 petang. Badannya terasa amat penat dengan urusan kolej. Tidak pasal-pasal dia bergelar pelajar untuk kali kedua. Dia menghempaskan tubuhnya ke katil dan memicit-memicit kepalanya dengan kasar.

Una, rakan sebiliknya masih belum pulang. Telefon bimbitnya bergetar didalam beg tangan lalu dikeluarkan. Ada beberapa pesanan ringkas yang masih belum dibaca. Bibir Ain menguntumkan senyuman apabila terlihat satu nama yang cukup dikenalinya.

📩'Babe, macam mana kuliah 😁?' -
Theresa

📩 'Tak payah nak perli sangat la Tess' - Ain Afzan

📩 'Hehehe...sorry, banyak tak dapat info? - Theresa

📩 'Tak banyak...nanti aku hantar summary' - Ain Afzan

📩 'Okey, take care kawan.  Selamat malam - Theresa

📩 'Selamat Malam Tess' - Ain Afzan

Ain mencampakkan telefon bimbitnya ke tepi.  Dia mencapai tuala lantas terus ke bilik air untuk membersihkan diri.

"Ain, kitaorang nak keluar makan ni.  Kau nak ikut tak?," tanya Dalila dari luar.

Ain yang sedang mengelap rambutnya dengan tuala menapak kearah pintu dan tombolnya dipulas.

"Tak kot Lola.  Aku dah makan sebelum balik tadi.  Anyway thanks for asking."

"Are you sure?"

Ain menganggukkan kepalanya.

"Lola, Una mana?," tanya Ain.

"Entah! Mungkin pagi nanti baru balik," jawab Dalila.

"Oh, okey Lola.  Aku nak buat assignment dulu."

Pintu bilik ditutup kembali.  Ain menjenguk melalui tingkap biliknya dan nampak dengan jelas kelibat rakan-rakannya tadi telah pun menaiki kereta untuk ke kedai makan.  Manakala, ruang tempat kereta Una pula masih kosong.  Bermakna Una masih lagi belum pulang.

Ain mengambil peluang tersebut untuk mengumpul maklumat.  Dia menghampiri meja tempat Una mengulangkaji dan memeriksa jika ada sebarang petunjuk yang disimpan disitu.

Buku-buku tersusun kemas dirak buku yang disediakan.  Begitu juga dengan tempat letak alat tulis yang disimpan di dalam bekas khas.  Ain terpandang akan laci disebelah kanan meja tersebut.  Dia cuba menarik laci itu tetapi berkunci dengan mangga kecil.  Ain mengambil klip rambutnya yang tersisip kemas di rambut lalu cuba membukanya.

Klikk!

"Yesss!"

Laci meja ditarik perlahan.  Ain membelek-belek barang-barang yang yang terdapat di situ. Langsung tiada barang berharga tersimpan didalamnya. Hanya terdapat beberapa buah buku berkulit keras dan kertas-kertas kosong.

Sebuah buku berwarna merah menarik perhatiannya.  Tangannya terus mengambil dengan berhati-hati buku tersebut yang diletakkan agak tersorok dari buku-buku lain.  Helaian pertama dibuka. Terdapat banyak kad-kad perniagaan individu yang ternama dan kaya dilekatkan disetiap muka surat. Mata Ain tertancap akan sekeping kad yang jelas tertera nama 'Aniq Haqimi'.

Klakkk!

Tidak semena-mena pintu luar utama seperti dibuka oleh seseorang dari luar. Ain terdengar suara Una yang sedang bercakap ditelefon dengan seseorang.  Ain menjenguk sekali lagi ditingkap dan kereta Una telah diparkir elok di situ. Dengan pantas Ain mengambil telefon bimbitnya dan merakam gambar-gambar kad perniagaan secepat mungkin.

Derapan tapak kaki Una kedengaran semakin menghampiri bilik mereka. Ain menyimpan semula buku tersebut ditempat asalnya dan laci disorong kedalam dengan cermat tanpa sebarang bunyi.

Sebaik sahaja mangga kecil tersebut berjaya dikunci, Una menerpa masuk ke dalam bilik dan terkejut melihat Ain berdiri hampir dengan mejanya. Belum sempat dia bertanya, Ain terlebih dahulu membuat helah.

"Aku pinjam hair dyer kau eh?  Aku punya rosak pulak," kata Ain dan terus berlalu.

Una yang terpinga-pinga hanya mengiyakan saja.  Agak pelik kelakuan Ain dimatanya tika itu. Memandangkan tiada sebarang perkara yang mencurigakan berlaku, Una terus saja menuju ke bilik air membersihkan dirinya.

Ain mengurut-ngurut dadanya yang berdebar hebat.

"Nyaris-nyaris je tadi," keluhnya.

Dia mengeluarkan telefon bimbit dari kocek seluar dan duduk di meja makan seorang diri.  Asap nipis menerawang ke udara dari minuman horlicks yang baru dibancuh sebentar tadi.  Gambar-gambar kad perniagaan ahli-ahli korporat yang sempat diambil diteliti.

Ramai diantaranya bergelar Dato' dan Tan Sri.  Bukan calang-calang golongan kenalan Una jika hendak dibandingkan dengan usianya yang masih mentah. Lantas jari Ain menyeret ke gambar kad yang lain pula.

"Aniq Haqimi bin Ariff," tutur Ain perlahan.

"Hmmm..Dazzling Club Manager ye"

Tidak disangka bahawa Aniq Haqimi merupakan pemilik sebuah kelab mewah khusus untuk golongan bangsawan sahaja.  Ain menanda gambar-gambar kad tersebut dan menghantarnya melalui e-mail kepada anggota bawahannya Sjn Ghafur untuk menyiasat latar belakang mereka dengan lebih lanjut.  Segera gambar-gambar tadi dipadamkan agar tidak timbul sebarang isu berbangkit.

Riuh rendah diluar menandakan Dalila dan rakan-rakannya yang lain telah pulang.  Ain masih duduk disitu untuk menghabiskan minumannya yang hanya tinggal separuh mug.

Dalam masa yang sama, Una baru keluar dari biliknya dengan pakaian yang menggiurkan. Rakan-rakan serumahnya yang lain langsung tidak bertanya ke mana hala tujuan Una pada malam itu.

"Nabila, kau datang bilik aku kejap lagi.  Ada satu subjek ni aku tak berapa faham sangat" pinta Sahara.

"Okey.  Lima belas minit lagi aku pergi.   Aku nak mandi dulu," balas Nabila.

Mimi dan Dalila juga sedang berehat dibilik masing-masing.  Ain membawa mug tersebut ke sinki dan membersihkannya lalu diletakkan ke atas rak. Dia juga masuk ke bilik dan merencana rancangan seterusnya.  Salah satu baju didalam almari dikeluarkan dan Ain bersiap dengan agak cepat untuk ke destinasi yang sama dengan Una.

Previous: BL-3
Next: BL-6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh