BL-7

"Hai, Cak!"

"Omak kau!  Eh, awak Ferdaus?  kuss semangat!" Ain merungut kecil sambil menggosok-gosok dadanya yang berdetak kuat kerana terkejut.

"Eh..sorry, saya tak sengaja nak buat awak terperanjat."

"Takpe..saya ni memang mudah melatah sikit.  Hehehe."

"Oooh...hehehe.  Tapi cute ape?"

"Err...kalau tak serius memang la cute.  Tapi kalau keluar yang bukan-bukan tu takde maknanya cute," balas Ain.

"Awak biasa ke sarapan sorang-sorang macam ni?"

"Ye.  Tapi takde la hari-hari.  Sekali-sekala ada jugak kawan-kawan serumah saya makan sekali."

"Kalau macam tu, boleh la saya sarapan dengan awak pulak lepas ni"

"Eh, boleh je.  Takde masalah.  Anytime," jawab Ain sambil menyedut minuman fresh orangenya.

Ain dan Ferdaus begitu asyik bersembang sehingga langsung tidak sedar  bahawa waktu telahpun berlalu dengan begitu pantas.

"Kelas En. Rezal dah nak mula ni.  Jom, kita gerak sama-sama."

Ain meneliti jam dipergelangan tangan kirinya lalu menepuk dahinya kerana hampir terlupa.

"Aduhh...nasib baik awak ingatkan saya.  Saya tak ingat langsung tadi!"

Ferdaus terkekeh-kekeh ketawa melihat perilaku Ain yang dirasakan comel dimatanya.  Apatah lagi kejelitaan Ain makin terserlah apabila rambutnya diikat tocang yang menyerlahkan lagi tulang pipinya. 

Ain juga mengenakan blouse berlengan panjang berwarna hijau muda dengan skirt labuh yang berona sama.  Walaupun hanya memakai sepasang sandal, Ain masih tampak tinggi persis seorang model.

"Saya kan penggera awak. Lekaslah.  Karang lambat -lambat bising pulak si monster tu."

"Hahaha...ok.  Tak larat nak tadah telinga ni nanti kalau dia dah mula membebel."

Ain dan Ferdaus berjalan beriringan melalui pokok-pokok rendang di taman yang terletak di tengah-tengah kawasan kolej mereka.

Hubungan antara Ain dan Ferdaus agak akrab setelah beberapa kali pertemuan.  En. Rezal memasuki kelas dengan wajah kelat.  Kertas ujian para pelajarnya minggu lepas diletakkan ke atas meja bersama-sama fail yang lain.  Dia berlegar-legar seperti sedang berkawad di ruang depan kelas dengan kedua-dua belah tangan diletakkan ke belakang badan.

Seketika kemudian, dia berdiri ditepi meja seraya memandang ke arah para pelajarnya seorang demi seorang.

"Saya sungguh kecewa dengan prestasi kamu didalam ujian baru-baru ini.  Saya dah cuba sedaya upaya untuk mengajar kamu supaya kamu faham dan membuat latihan yang berdasarkan soalan-soalan yang saya berikan.  Malangnya, ada beberapa orang di antara kamu yang seolah-olah langsung tidak pernah menghadiri kelas ini."

En. Rezal terdiam sebentar dan berdehem beberapa kali sebelum menyambung ucapannya.

"Saya akan panggil nama kamu dan menyerahkan keputusan ujian masing-masing sebentar lagi."

Dia mengambil kertas-kertas ujian di atas meja dan mula mengagihkan keputusan ujian berdasarkan nama-nama yang dipanggil.

Ferdaus tersenyum lebar sebaik saja melihat markah yang telah diperolehinya.  Ain merampas kertas ujian Ferdaus yang cuba disorok ke bawah meja.

"Kedekut!  Bak sini kertas tu," desak Ain.

"Alaaa...biasa-biasa je la.  Ganas betul dia ni."

Terbuntang biji mata Ain melihat markah yang tertera.

"Weii..98% kot!!  Pehal nak sorok sangat tadi?  Patut awak bangga tau.  Almost perfect.  Tahniah!" ucap Ain dengan ikhlas.

"Thanks.  Nanti keputusan awak pun mesti bagus punya," kata Ferdaus cuba meyakinkan sahabatnya itu walaupun Ain kelihatan agak gelisah.

"Heh..nak mimpi pun tak berani."

Ain menunggu dengan penuh debaran.  Kepingan kertas di tangan En. Rezal semakin susut namun namanya masih juga belum dipanggil.

"Dan terakhir sekali...Ain Afzan binti Ariffin" panggil En. Rezal.

Ain menapak laju ke arah En. Rezal dengan senyuman yang melebar.  Tetapi, senyumannya mati serta-merta apabila melihat markah yang tertulis dengan pen berdakwat merah itu di ruangan markah yang disediakan.

"Kepada yang berjaya mendapat markah tinggi saya ucapkan tahniah dan anda memang layak dapat apa yang anda telah usahakan.  Manakala, bagi yang mendapat markah tercorot anda perlu datang ke bilik saya selepas kelas untuk sesi nasihat."

En. Rezal memberikan arahan dengan tegas sekali.  Ain melangkah longlai ke arah tempat duduknya semula.  Ferdaus yang dapat menghidu kedukaan Ain lantas menghampirinya.

"Rileks Ain...ada masa lagi sehingga akhir semester ni.  Tawaran saya sebagai guru tusyen awak pun masih terbuka" bisik Ferdaus perlahan.

Ain merenyukkan kertas ujian tersebut dan melemparkannya ke bawah meja.  Ferdaus tersengih seperti kerang busuk melihatkan gelagat Ain disebelahnya.  Dia mengeluarkan sekeping kertas lalu menulis sesuatu dan disuakan kepada Ain.

Lambat-lambat Ain menyambut kepingan kertas kecil tersebut dan membaca isi yang tertulis.

"Simpan sikit masam tu, nanti saya nak minum teh o limau ais dengan apa?"

Ain ketawa kecil lalu lengan Ferdaus dicubit perlahan.  Seterusnya mereka memberikan fokus yang sepenuhnya didalam kelas. Sekali-sekala Ferdaus mencuri-curi pandang ke arah gadis disisinya.

Tokk!  Tokk!  Tokk!

"Masuk!" seru suara dari dalam.

"Assalamualaikum En. Rezal"

"Waalaikummusalam."

En. Rezal yang duduk dimeja mendongak memandang susuk tubuh yang berdiri didepannya.

"Ain Afzan...silakan duduk," arah En. Rezal.

Ain menarik kerusi lalu melabuhkan punggungnya disitu.

En. Rezal menatap wajah Ain agak lama sambil meramas-ramaskan jarinya.

"Awak tau kenapa awak dipanggil?"

"Tau En. Rezal.  Sebab markah ujian saya yang kurang memberangsangkan," terketar-ketar Ain memberi jawapan.   Apa kena aku ni?  Aku bukan student lagi la!

"Hmm...adakah awak tak faham dengan cara saya mengajar ataupun awak yang sebenarnya tidak memberi tumpuan didalam kelas?"

"Maafkan saya En. Rezal.  Salah saya sebenarnya.  Saya lemah dalam subjek tu walaupun saya dah ulangkaji sebaik mungkin," Ain berbohong.

"Kalau awak tak faham, kenapa awak tak datang ke sini berjumpa dengan saya?  Ataupun mengulangkaji secara berkumpulan?"

Ain terdiam.  Dia malas hendak bersoal jawab dengan lebih lanjut.  En. Rezal yang duduk sebentar tadi mula berdiri.  Dia menapak perlahan-lahan ke arah Ain yang kelihatan tenang dimatanya.

Detakan tapak kasut di atas lantai sama rentak dengan detakan jantungnya.  Ain terasa kecut perutnya sedikit.

"Awak ada pilihan lain kalau awak nak lulus pada semester ni," kata En. Rezal.

Ain seperti dapat menghidu akan niat jahat lelaki yang dihormatinya sebagai salah seorang pensyarah di kolej itu.

"Apa pilihan yang En. Rezal cuba tawarkan?"

En. Rezal menarik kerusi yang diletakkan bersebelahan dengan Ain.  Ain memerhatikan tingkah laku pensyarah pertengahan usia itu dengan ekor matanya. 

En. Rezal melabuhkan punggungnya dikerusi tersebut sambil mengamati setiap lekuk tubuh Ain dengan dengusan nafas yang tidak keruan.

"Pilihan saya mudah saja.  Awak bagi apa yang saya nak, dan saya bagi apa yang awak nak.  It's a win-win situation.  Saya jamin, seluruh semester ni awak akan lulus dengan cemerlang" kata En. Rezal dengan suara yang dikuasai oleh nafsu.

Lelaki tersebut menjalarkan tangannya ke peha Ain dan mengusap-ngusapnya perlahan.  Kelakuan En. Rezal telah mencabar kesabaran gadis disisinya.

Dengan kasar Ain menepis tangan miang En. Rezal dari terus-terusan memperlakukannya sebegitu. 

"Saya tak sangka pensyarah yang saya hormati cuba berlaku jijik dengan pelajarnya sendiri!!" Ain berkata tanpa berlapik lagi.

"Hehehehe...fikir semula Ain.  Awak takkan rugi apa-apa pun malah keseronokan yang bakal awak dapat" pujuk lelaki terkutuk itu lagi.

Ain bingkas bangun dari tempat duduknya apabila En. Rezal mula bertindak agresif dengan memeluk tubuh Ain dengan kemas.  Tubuh En. Rezal ditolak kasar lalu dihadiahkan dengan tendangan padu ke celah kelangkang lelaki miang tersebut. 

En. Rizal menekup celah kelangkangnya dengan kedua-dua belah tapak tangan dan mendesis kesakitan menahan ngilu yang teramat dengan tubuhnya yang terinjak tanpa haluan.

"Kau salah orang lelaki gatal!  Aku bukan seperti yang kau sangka!  Jadi selama ni kau memang sehina ini?  Kau ambik kesempatan ke atas kelemahan pelajar kau sendiri demi kepuasan nafsu serakah?   Aku akan pastikan kau menerima hukuman yang setimpal dengan perbuatan kau!" pekik Ain menahan amarah.

Sebelum berlalu, sempat Ain memberikan satu tamparan kuat dipipi En. Rezal yang masih menahan sakit.  Jatuh terjelopok En. Rizal ke lantai bersama hamburan kata-kata hinaan dan semestinya akan disusuli dengan tindakan yang sepatutnya oleh Ain di atas gangguan seksual yang cuba dilakukan ke atasnya.  Pintu pejabat dihempas kuat dan Ain merengus marah sambil menitiskan air mata.

Peristiwa pahit yang pernah dilaluinya dulu kembali segar seperti baru saja dibajai.  Ain masuk ke dalam kereta dan ngauman enjin kereta tersebut terus keluar dari perkarangan kolejnya.

Telah hampir dua minggu peristiwa jijik tersebut berlalu.  En. Rezal telah ditahan di atas kelakuan tidak bermoral kepada para pelajarnya sendiri.  Dia hanya menunggu hari untuk dibicarakan dan seterusnya didakwa.  Ain tersenyum puas apabila pesalah laku seperti itu akhirnya menerima hukuman yang sewajarnya.

"Lola, lama tak nampak Una. Dia kemana?," tanya Ain apabila sudah masuk hari ke tiga kelibat Una langsung tidak kelihatan.

Walaupun mereka berdua agak jarang bertegur sapa, Ain masih lagi mengambil berat akan perihal rakan sebiliknya itu.

"Entah la...takde pulak dia cakap apa-apa.  Sebelum ni kalau dia ada hal sekali pun dia akan bagitau," jawab Lola yang sedang mengulangkaji dimeja makan bersama Sahara.

"Masuk hari ke tiga jugak la si Una tu tak masuk kelas.  Semua pensyarah mencari dia tu" sampuk Sahara pula.

"Tiga hari tak balik?  Tiga hari jugak tak datang kelas?  Pelik ni," Ain menggumam.

Ain membuka laptopnya lalu laman sesawang Dazzling Club Chicklist dibuka.

"Hahh?  Tiga kali berturut-turut pemegang gelaran Top Queen?  Tak boleh jadi ni."

Jantung Ain bergetar hebat.  Aniq Haqimi adalah orang pertama yang disyaki disebalik kehilangan Una.  Dia bergegas keluar untuk berjumpa dengan ketua jabatannya untuk melaporkan hal tersebut.

Setelah menerangkan segala-galanya kepada Tuan Fakhrul dan beberapa ahli Task Force kes tersebut, mereka berdua berbincang tentang langkah seterusnya.

"Nampak gayanya kes ni dah semakin rumit.  OYDS (Orang Yang DiSyaki) iaitu Aniq Haqimi agak licik orangnya.  Kita perlu kumpulkan cukup bukti untuk mengheret dia ke kandang mahkamah.  Hmm...macam ni la Ain.  Awak cuba cari jalan untuk masuk dan dapatkan gelaran Top Queen tu.  Dengan cara itu sahaja kita akan dapat bukti yang diperlukan," Tuan Fakhrul melontarkan cadangan yang berupa arahan tersebut.

"Tapi Tuan...tidakkah itu akan membahayakan nyawa Ain sendiri?  Kita tak tahu lagi apa Aniq Haqimi mampu lakukan kepada dia?"  Theresa membantah.

Tuan Fakhrul tersenyum melihat kerisauan yang jelas terpancar diwajah anak buahnya itu.

"Tenang Theresa.  Saya takkan lepaskan anak buah saya ke kandang harimau macam tu je.  Pasukan keselamatan akan sentiasa mengawasi gerak geri Ain dan orang-orang Aniq Haqimi," jelas ACP Fakhrul.

Ain berasa lega.  Dalam masa yang sama dia perlu mencari jalan bagaimanakah caranya untuk menembusi carta tersebut. Kehilangan Una secara misteri juga telah dilaporkan.  Dia perlu berlagak biasa apabila berhadapan dengan rakan-rakan serumahnya nanti.

Perbincangan mereka dilanjutkan sehingga ke beberapa jam sehingga keputusan sepakat dicapai.

"Lama betul tak lepak dengan kau macam ni" luah Theresa sedih.

"Memang pun!   Kau tau tak, tak pasal-pasal aku kena masuk kelas balik.  Pergi library.  Hmmmm."  Ain membayangkan hari-hari  yang terpaksa dilaluinya sebagai seorang pelajar dibawah tiket seorang pegawai kanan polis.

"Student tua.  Hahaha.  Aku harap kes ni dapat diselesaikan dengan cepat.  Takde la lama lagi kita terpisah."

Theresa  mempamerkan riak muka sedih.  Berdekah-dekah Ain ketawa sambil memegang perutnya kerana rupa Theresa kelihatan begitu lucu sekali dimatanya. 

"Haaa....elok la tu.  Muka dah lawa dah...tapi perangai pulak buruk.  Kontrol la sikit.  Malu aku nak ngaku kawan," bidas Theresa.

"Hehehe...okey..okey.  Sorry Tess.  Kau nampak macam katak ijau yang comel tu bila kau buat muka"

Theresa merajuk.  Wajahnya dicemberutkan.  Tidak rela dirinya dijadikan bahan ketawa rakan baiknya sendiri. 

"Alaaa... Ni aku lemah ni.  Gurau sikit pun tak boleh.  Cakap tadi rindukan aku?  Ye la.  Aku belanja kau McD?  Tapi kena take away je la karang kantoi aku terserempak dengan sesiapea"  Ain cuba merasuah Theresa dengan makanan kegemarannya.

Theresa berpur-pura tidak dengar.  Sedangkan hatinya sudah berbunga riang dengan pelawaan Ain.

"Ke kau nak aku carikan kau boyfriend?  Ada sorang mamat ni kan, Ferdaus nama dia.  Handsome sangat ada lesung pipit.  Kalau kau nak aku boleh kenalkan," usik Ain pula.

"Dah! Dah!  Tunang aku si Kevin Lai tu nak letak mana?  Aku setia pada yang satu tau!" Theresa bersuara akhirnya.

"Hahaha...yess!  Berjaya!  Keluar jugak suara kau akhirnya...wuuhuu!"  Ain bersorak kemenangan.

Rakan-rakan sekerja mereka yang melalui bilik Ain cuma menggeleng-gelengkan kepala.

"Tess...aku perlukan bantuan kau lagi ni"

"Bantuan yang macam mana?"

"Hmmm... Untuk aku tembusi carta Dazzling Club Chicklist tu, aku perlukan baju-baju baru.  Tapi kan, yang tak terlalu seksi dan mendedahkan.  Tetapi meletop kebabomm!  Ada tak?"

"Elehhh..ni Tess la.  Kacang je tu.  Kau duduk je diam-diam.  Nanti aku uruskan.  Semua ditanggung beres!!" jawab Theresa sambil menepuk-nepuk dadanya dengan penuh rasa bangga.

"Nasib baik la kau kawan baik aku Tess ooii"gumam Ain dalam hati.

Ain perlu balik semula ke apartmennya setelah selesai perjumpaan bersama ahli-ahli Task Force yang lain.  Sebelum berlalu, sempat Ain mengucapkan terima kasih kepada mereka semua dan membelikan makanan segera sebagai tanda penghargaan di atas segala maklumat yang diberikan.

"Terima kasih semua sebab beri kerjasama.  Sebagai penghargaan saya rela hati belanja anda semua McD.  Jumpa lagi.  Bye!"

Ain terus berlalu meninggalkan rakan-rakan lain yang sedang terpinga-pinga.  Insp.  Ain Afzah yang baru amat berbeza dengan Ain yang lama.  Kini dia lebih ramah dan mudah tersenyum serta bertegur sapa.  Theresa tersengih melihat reaksi mereka yang seperti disampuk hantu.

Previous: BL-6
Next: BL-8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh