BL-21

Sejak dua hari lepas Ain telahpun menjadi penyiasat persendirian yang tidak bergaji.   Segala gerak geri kedua-dua orang suspek yang mencurigakan iaitu Tuan Fakhrul dan Aniq Haqimi telah diintip.  Selama tempoh itu, memang ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh Tuan Fakhrul.  Ain tidak menyangka Tuan Fakhrul sanggup bersekongkol dengan penjenayah. 

Sedangkan lelaki yang dikagumi keperibadiannya itu begitu tegas didalam aktiviti pembanterasan jenayah yang semakin berleluasa.  Beliau juga telah banyak mengharumkan nama pasukan ekoran kejayaannya dalam menyelesaikan kes waima kes yang paling rumit sekalipun.

Sedikit demi sedikit rasa hormat dan kagum terhadap Tuan Fakhrul memudar.  Ain tidak pasti apakah yang menyebabkan Tuan Fakhrul berubah sedemikian rupa.   Kini dia perlu mengumpul segala bukti yang ada dan mengemukakannya kepada pihak atasan. 

Pagi yang hening itu, sekali lagi Ain mengekori pergerakan Tuan Fakhrul setelah berjaya mengelak daripada rakan sejawat yang sentiasa mengawasinya.  Segalanya telah dirancang dengan rapi. 

Penampilan gadis itu diubah seratus peratus.  Keretanya pula diletakkan di kolej dan dia kemudian menyewa sebuah kereta lain bagi memastikan pelannya berjalan lancar.

Setelah berjaya mengumpul sedikit maklumat, Ain percaya kedua-dua suspeknya akan mengadakan pertemuan dalam masa terdekat.  Telahannya tepat.  Ketuanya tidak masuk kepejabat seperti biasa.  Malah, dia memandu kenderaanya diluar  Kuala Lumpur. 

Tidak lama kemudian, kenderaannya bergerak ke arah tol Gombak dan meluncur laju ke lebuhraya.  Ain mengekori dari jauh.  Beberapa minit perjalanan, kereta yang dipandu oleh Tuan Fakhrul membelok ke arah Bentong.  Tidak lama kemudian, dia menyusuri ke jalan menghala ke Bukit Tinggi.

'Pertemuan penting apakah yang menyebabkan lelaki itu  pergi ke lokasi sejauh ini?' gumamnya.

Akhirnya Tuan Fakhrul memberhentikan keretanya dihadapan Colmar Tropical Berjaya Hills iaitu sebuah hotel yang dibina bertemakan perkampungan Perancis.  Ain turut memarkir keretanya dibahu jalan. 

Dia pantas mengambil peta yang terdapat dilobi hotel dan berpura-pura meneliti peta berkenaan.  Tuan Fakhrul sedang berbicara ditelefon bimbitnya.  Seakan dapat menghidu dirinya diekori, Tuan Fakhrul sering tertoleh ke kiri dan ke kanan.

Ain tidak mahu mengambil risiko.  Dia beredar meninggalkan tempat itu setelah pandangan Tuan Fakhrul dicerunkan kearahnya.  Topi yang dipakainya dikemaskan untuk menutup separuh wajahnya.  Misai palsu yang dilekat atas bibirnya juga dibetulkan.  Ain sedang melakukan penyamaran persis seorang lelaki. 

Ain mengambil keputusan untuk menunggu Tuan Fakhrul disitu.  Justeru itu, dia hanya duduk dilobi hotel ditempat duduk yang disediakan.  Hampir dua jam berlalu, Tuan Fakhrul muncul setelah pintu lif terbuka seluas-luasnya. 

Kali ini, dia masih lagi sendirian.  Tuan Fakhrul memandu ke Japanese Village pula.  Pemandangan disitu cukup cantik dengan pelbagai tempat yang bertemakan sebuah perkampungan Jepun. 

Tuan Fakhrul seterusnya menapak ke Botanical Garden sendirian.  Ain mengeluarkan kamera DSLR miliknya dan berpura-pura menjadi seorang pelancong dengan mengambil gambar.  Tidak ramai yang mengunjungi tempat tersebut pada masa-masa begini.  Ain pelik. 

Tuan Fakhrul semakin jauh menelusuri ke dalam taman berkenaan.  Ketika dia turut mendaki anak tangga yang terdapat di taman tersebut, mulutnya telah ditekup oleh seseorang dengan kain. 

"Emmpphh...!  Emmmpphh!"

Ain meronta-ronta untuk melepaskan diri.  Malangnya, kesan cecair kloroform yang ditekup pada mulutnya membuatkan dirinya tidak sedarkan diri.  Kepalanya turut diserkup dengan kain hitam.  Ain dibawa ke satu lokasi yang tidak diketahuinya.

"Ain Afzan, bangun!"

Entah telah berapa lama dia tidak sedarkan diri.  Suara seseorang yang memanggil namanya berulang kali menyebabkannya terjaga.  Kesan cecair tersebut semakin berkurangan.  
Dia berada dalam posisi duduk di atas sebuah kerusi dan tangannya diikat ke belakang.  Keadaannya sekarang tidak ubah sewaktu dia menjadi tawanan kepada Ferdaus tidak lama dulu.

Kain yang diserkup dikepalanya masih belum dialihkan.  Dia menggerakkan badannya sebagai isyarat dirinya telahpun sedar.

"Hah, sedar pun.  Alihkan kain tu lekas!" arah satu suara.

Sebaik saja serkup tersebut dibuka, Ain melihat sesusuk tubuh sedang berdiri tepat dihadapannya.  Namun tidak berapa jelas kerana terlindung dengan cahaya lampu.  Nyatanya ianya seorang lelaki berdasarkan suara yang baru didengarinya.  Dan suara itu!  Merupakan suara Tuan Fakhrul!

"Tuan Fakhrul?" soal Ain perlahan.

Susuk tubuh berkenaan semakin mendekat.  Semakin lama semakin jelas wajahnya. 

"Tuan Fakhrul!  Kenapa buat saya macam ni?"

"Awak tanya saya?  Awak tu kenapa pulak mengekori saya?"

"Sebab saya curiga.  Tuan sebenarnya sedang bersekongkol dengan musuh!."

"Hehehehe.   Ain - Ain.  Sikap awak yang berani ni patut saya puji.  Memang sesuai sangat sebagai seorang pegawai polis.  Malangnya sikap awak ni boleh membahayakan diri awak sendiri" ujarnya.

Rahang Ain dicengkam perlahan.   Mereka saling bertatapan.  Bezanya, tatapan mata Ain penuh dengan rasa benci dan marah.   Manakala Tuan Fakhrul kelihatan begitu tenang dan bijak mengawal emosi.

Cengkaman tersebut dilepaskan.  Ain masih perlu mengumpul bukti penglibatan mereka berdua.

"Saya tahu Tuan dan Aniq ada menyembunyikan sesuatu.  Saya nampak dan saya telahpun siasat."

Tuan Fakhrul mencerlung. 

'Gadis ini sungguh luarbiasa keberaniannya' getusnya.

"Baik awak tidak libatkan diri dalam hal ini Ain.  Saya akan lepaskan awak.  Tetapi dengan satu syarat.  Awak takkan sebut atau kaitkan nama saya dalam kes ini selagi kes ini belum selesai."

"Heh.  Tuan takut?  Tuan takut dengan bayang-bayang sendiri?  Tak malu ke Tuan mempergunakan undang-undang demi kepentingan diri sendiri?  Tuan tidak layak dijadikan contoh kepada kami.  Apatah lagi kepada masyarakat.  Saya tak sangka Tuan.   Saya tak sangka yang......"

"Diam Ain!  Saya tak mengapa-apakan awak pun sudah cukup bagus!.  Awak tak patut bercakap macam tu didepan pegawai atasan awak sendiri"  Suara Tuan Fakhrul meninggi.

"Saya tak peduli.  Yang bersalah akan disabitkan kesalahannya walau apa jua cara sekalipun."

"Awak memang degil Ain!  Dengar cakap saya.  Jangan bongkarkan hal ini selagi kes belum selesai."

"Tuan, maaf mencelah.  Ada baiknya kita terangkan perkara sebenarnya kepada Ain.  Dia juga sebahagian daripada kumpulan kita," sampuk satu suara gadis.

"Tess?  Theresa?  Kau ke tu?"

Tuan Fakhrul dan Theresa saling berpandangan.  Tuan Fakhrul lambat-lambat mengangguk.

"Ye Ain.  Ni aku, Theresa.  Maafkan kami kerana buat kau macam ni.  Kami terpaksa.  Kalau tak kau akan membahayakan nyawa kau sendiri mahupun kami," jelas Theresa.

Ain bingung.  Otaknya cuba memproses kata-kata Theresa. 

"Apa maksud kau?"

Tuan Fakhrul menghela nafas. 

"Ain.  Saya juga sama seperti awak.  Saya terpaksa menyamar untuk mendekati Aniq Haqimi dengan cara lain.  Maafkan saya kerana tidak memaklumkan hal sebenar.  Ini semua atas arahan tegas pihak atasan."

"Tapi kenapa?  Kita telah hampir untuk memberkas suspek tersebut Tuan"

"Untuk pengetahuan awak, Aniq tidak hanya terlibat dalam aktiviti pelacuran dan maksiat.  Dia juga terlibat dengan penjualan narkotik."

"Saya nampak dengan mata kepala saya sendiri yang Tuan pernah berjumpa dengan Aniq.  Masa tu diari Una yang saya berjaya temui telah diberikan kepada tuan."

Tuan Fakhrul menggeleng.  Ain memang telah mengetahuinya sejak dulu rupanya.  Patutlah dirinya dijadikan sasaran.

"Diari Una hanya sebagai medium.  Untuk pengetahuan awak, terdapat dadah jenis Kokain yang telah disembunyikan didalam kulit diari tersebut.  Sebenarnya apa yang awak lihat hari itu adalah urusan jual beli antara kami. 

Memang jelas, Aniq menjalankan dua kegiatan serentak.  Kini, modus operandi kedua-dua jenayah telah terbongkar" jelas Tuan Fakhrul lagi.

Ain menekur lantai.  Ikatan ditangannya dibuka.  Dia lantas berdiri menghampiri dua orang rakan sejawat tersebut.

"Maafkan saya Tuan kerana bertindak membabi buta.  Saya membelakangkan arahan dan bersikap mementingkan diri sendiri."

Dada Ain sebak.   Hatinya renyuk bagaikan sekeping gumpalan kertas.  Dia menaruh perasaan kepada lelaki yang salah.  Matanya berkaca.  Dia cuba sedaya upaya agar tidak menangis.  Pastinya menimbulkan syak wasangka kepada mereka berdua.

"Nasib awak baik Ain.  Aniq membatalkan perjumpaan kami pada saat-saat akhir.  Kalau tidak, segalanya akan menjadi sia-sia" bahu Ain ditepuk Tuan Fakhrul perlahan.

"Jadi, apa yang kita nak buat sekarang ni Tuan"

"Kita ikut perancangan asal.  Seperti yang diputuskan didalam mesyuarat tempoh hari.  Jangan ada perubahan sedikit pun.  Faham Ain?."

"Iya.  Saya mengerti Tuan.  Maafkan saya sekali lagi."

"Ain, kau dah tau Aniq Haqimi tu macam mana.  Aku harap kau tak ikut sangat perasaan kau tu," kata Theresa.  Wajah rakannya itu ditenung.

"Aku cuba Tess."

"Kita balik ke KL.  Hari pun dah hampir malam.  Ingat Ain.  Beberapa hari lagi masanya akan tiba."

Ain bergerak ke Kuala Lumpur dengan perasaan berkecamuk.  Wajahnya diraup beberapa kali. 

'Hati ni pun.  Agak-agak la nak jatuh cinta.  Si cicak tu jugak kau berkenan.'

************

Sesi kuliah tamat agak lewat.  Sebaik saja Ain memasuki ruang tamu apartment, matanya terarah kesebuah kotak sederhana besar yang diikat riben warna merah jambu terletak elok di atas meja makan.  Terdapat satu sampul surat kecil tertera namanya sendiri yang diselit dikotak tersebut.  Kad tersebut ditarik.

'A real princess would cry for you for the dress.  This is for tomorrow.  The king is holding the passion to see his queen.

Yours truly,

AH'

"Aniq Haqimi" bibirnya menguntum senyum.

Kotak tersebut dibawa kedalam bilik.  Hujung riben ditarik maka terlerailah ikatan riben berkenaan.  Dadanya berdebar untuk menyaksikan isi didalamnya.

Sehelai dress berwarna merah hati dan berlace hitam dikeluarkan.  Dress labuh separas buku lali tersebut diacukan ketubuhnya.  Sekali lagi bibirnya mengukir senyuman bahagia tatkala melihat label bersulam 'Vera Wang' itu.

Ain merebahkan badannya dikatil bersama dress tersebut.  Mata dipejamkan.  Membayangkan saat-saat indah yang akan dilaluinya esok bersama Aniq Haqimi.  Bayangan indah tersebut berkecai setelah akalnya mengingatkan tujuan sebenarnya.

Esakan kecil terluah oleh gadis tersebut.  Mengapa dia harus melalui situasi seperti ini.  Baru saja hatinya berbunga, ianya layu serta merta bagai disiram racun.  Air mata diseka.  Dress tersebut digantungkan kedalam almari. 

Dia mengatur langkah ke bilik air untuk mengambil wudhuk.  KepadaNya diluahkan segala isi hati.  Sedu sedan mengiringi doanya.  Kedua belah tapak tangan diraup kewajah.  Dia harus kuat untuk menghadapi hari esok. 




Previous: BL-20
Next: BL-22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh