BL-12

Klakk..

Tombol pintu dipulas oleh seseorang dari luar.  Mimi menapak begitu berhati-hati memasuki rumah mereka.  Semua penghuni lain telah pun lena dibuai mimpi sejak tadi. 

"Baru balik Mimi?," tanya Ain yang sedang duduk disofa.  Ain memang sengaja duduk disofa dalam keadaan gelap untuk menunggu Mimi pulang.  Gelagat Mimi memasuki rumah secara diam-diam tidak ubah seperti seorang pencuri.

"Siapa?," soal Mimi yang mencari-cari suara tersebut.  Dalam kegelapan begitu, sukar untuknya mengecam sesiapa.

Ain memetik suis lampu meja di sisi rak tv.  Cahaya samar berwarna oren menerangi ruang tamu itu.  Menampakkan susuk tubuh milik Ain yang berdiri sambil berpeluk tubuh.

"Aku!  Ain."

"Huh...kenapa kau kat sini?," soal Mimi.  Dia berjalan merapati Ain dan mereka berdua bertentang mata antara satu sama lain.  Masing-masing tidak mahu mengalah nampaknya. 

"Aku tunggu kau."

"Untuk apa?  Aku takde urusan dengan kau Ain"

"Siapa kata?  Kau yang pecah masuk bilik aku kan?" Ain meninggikan suaranya sedikit tetapi dikawal agar tidak menyedarkan penghuni-penghuni yang lain.   Hanya itu sahaja masa yang ada untuk dia menemui Mimi.  Jika tidak, mereka hanya bertemu di kelab malam dan berlagak tidak mengenali antara satu sama lain.  Seperti orang asing sedangkan mereka tinggal serumah.

"Kau ada bukti?  Jangan nak tuduh sembarangan" nada suara Mimi agak terketar-ketar.

Ain mencebik.  Hasil pemeriksaan cap jari yang ditemuinya hari itu menunjukkan ianya sah milik Mimi.  Memang Mimi yang menceroboh biliknya dan Una.  Atas tujuan apa dia tidak pasti selain laci meja Una yang diselongkar dan buku berkulit merah turut hilang.

"Aku ada cara aku tersendiri untuk buktikan memang kau yang menceroboh bilik aku dan Una.  Aku harap kau pulangkan balik apa yang kau dah ambil."  Sengaja Ain berkata begitu walaupun tiada satu pun barang berharga yang hilang.

"Aku dah cakap kan, bukan aku yang ceroboh bilik kau.  Bukan aku seorang je yang tinggal di sini."

"Betul tu.  Tetapi aku ada bukti yang membuktikan memang kau yang menceroboh bilik aku," kata Ain tegas.

"Dah la.  Aku nak masuk bilik.  Nak tidur.  Esok ada kelas" Mimi memusingkan badannya dan mengatur langkah untuk kebilik.

Ain tahu Mimi hanya berdalih.  Mimi cuba melepaskan diri dari pertemuan itu.  Segera Ain menghalang laluan Mimi daripada melepaskan diri.

"Tunggu dulu Mimi.  Aku nak kau tengok ni."  Ain membuka telapak tangannya lalu terserlah sesuatu yang disembumyikannya sejak tadi.

Roman wajah Mimi berubah.  Dia meraba-raba pergelangan tangannya lalu cuba merampas bracelet berloketkan tiara dari tangan Ain.   Pantas Ain menggenggam kembali bracelet tersebut dengan kemas.

"Kenapa kau diam?  Kau punya kan ni?," asak Ain lagi.  Sebenarnya bracelet tersebut memang disimpan elok didalam biliknya.  Bersusah payah Ain memasuki bilik Mimi untuk mengambil bracelet tersebut dan menjadikannya sebagai umpan agar Mimi mengakui kesalahannya.

Mimi menggigit bibirnya.  Entah bagaimana dia begitu cuai sehingga tercicir barang peribadinya sendiri.  Dia menghentakkan kakinya ke lantai lalu punggungnya dihenyakkan disofa.

"Aku cuma nak tahu kenapa kau berani ceroboh bilik aku?  Apa tujuan kau sebenarnya?," tanya Ain lagi.

"Aku nak ambik balik barang aku yang Una pinjam dulu."

Ain tersenyum sinis.  Mimi agak licik dengan helah.

"Kot ye pun takkan lah tak menyempat sampai nak kena ceroboh bilik aku tu?  Boleh mintak elok-elok kan masa aku ada?."

"Huh..aku dah cakap kan?  Aku nak ambik barang aku balik.  Memang ye aku yang masuk bilik kau.  Puas hati?," tanya Mimi geram.

"Belum.  Aku tak puas hati lagi.  Melainkan kalau kau pulangkan balik buku berkulit merah yang kau curi dari laci meja Una."

Mimi tersentak.  'Bagaimana dia boleh tahu ni?' omelnya.

"Aku bagi kau tempoh.  Aku nak tengok buku tu ada ditempatnya semula sebelum malam esok.  Kalau tak, aku akan pastikan kau terkeluar dari carta," ugut Ain dengan mimik muka seriusnya.

"Fine!  Esok aku pulangkan, ok?  Aku nak tidur" Mimi bangkit dari sofa lalu menapak ke bilik tidurnya semula.

"Tau takut.  Mengaku awal-awal kan senang.  Huwarghhhh...!  Aku pun nak tidur."  Ain menghempaskan badannya ke katil dan tidak sampai seminit dia telahpun berdengkur dengan agak kuat.

📩  |6/10, 06:02|
   
'Please check the list' -  Theresa

Tanpa membuang masa Ain membuka laman web untuk menyemak carta Dazzling Club Top Queen.  Matanya yang begitu berat untuk dibuka terbuntang luas apabila melihat namanya tersenarai dalam Top 5 Chicklist gara-gara peristiwa semalam.  Dia melihat gambarnya yang dimuat naik dicarta itu tanpa berkerdip.

"Akhirnya tersenarai jugak aku."  Ain tersenyum sendiri.  Tugasnya akan menjadi lebih mudah selepas ini.  Hanya sedikit usaha saja lagi untuk dinobatkan sebagai Top Queen.

Pandangannya dialihkan pula kepada pemegang gelaran Top Queen. "Mimi?!!" Ain jelas sekali terkejut.  Bermakna nyawa Mimi diambang bahaya.  Dia perlu menghalang kejadian yang telah menimpa Una dahulu daripada berulang kembali.

Ain menghadiri kuliah seperti biasa.  Masa seperti terlalu lambat berjalan sedangkan kepalanya ligat memikirkan rancangan untuk dilaksanakan pada malam ini.  Tingkah lakunya diperhatikan oleh Ferdaus yang apabila Ain dilihat kurang memberikan perhatiannya didalam kelas.

"Awak ok?  Tak sihat ke?," tanya Ferdaus berbisik.

"Sihat.  Saya ok je takde masalah."

"Tapi awak macam gelisah je ni? "

"Biasa la. Hal perempuan.  Sebulan sekali dia buat hal la"  Jawapan tersebut membuatkan kulit muka Ferdaus menebal.  'Menyesal tanya' gumamnya.

"Haa?  Awak cakap apa tadi" Soal Ain meminta kepastian.  Dia baru saja menyedari keterlanjuran katanya lantas malu sendiri.

"Err..nothing.  Saya lupa silentkan handphone saya ni," dalih Ferdaus.

"Ohh..".  Ain kembali mengelamun.

********

"Ingat rancangan kita tadi Irfan?  Kita perlu bertindak cepat malam ni.  Kalau tak seorang lagi pelajar hilang entah ke mana," pesan Ain kepada Irfan disebelahnya.

"Ye puan.  Jangan risau.  Kita bertindak mengikut seperti yang dirancangkan," jawab Irfan.

"Bagus.  Tuan Fakhrul pun dah bising ni kes ni pending lama sangat."

Irfan memerhatikan Ain dari ekor matanya.  Sungguh dia kagum dengan kejelitaan Ain yang terselindung selama ini.

'Kalau hari-hari jumpa macam ni.  Mau terjatuh hati aku dibuatnya' monolog hatinya.

Penampilan Ain agak berbeza pada malam itu.  Dia hanya mengenakan sehelai seluar jeans low cut dan berkemeja putih yang dilapisi baju 'tube' hitam didalamnya sekaligus terserlah keseksian dirinya.  Mereka berdua mengambil tempat di satu sudut bar yang agak terlindung daripada orang ramai.  Kelihatan Wazir duduk berseorangan sambil meneguk minuman keras entah gelas yang ke berapa. 

"Ada nampak Mimi?" Ain berbisik kepada Irfan.

Irfan memutarkan pandangannya disekitar sudut sebelum keoalanya digelengkan.  Ain bingkas bangun dari tempat duduk dan melangkah ke arah Wazir.  Jelas sekali Wazir sedang mabuk.  Kepalanya disandarkan ke kerusi sambil menyedut rokok berjenama Dunhill lalu asap rokok berkepul-kepul menerawang ke udara.

"Hi..remember me?" Ain melabuhkan punggungnya disisi Wazir yang hampir hilang tahap kesedarannya.   Jari telunjuk Wazir dihalakan kepada Ain sambil ketawa.

"Nyanyi.  You yang nyanyi semalam kan?"

"Ye.  You tau ke mana Bibiana pergi?."

"Bibiana?  That lusty girl?  She went out with a guy....what was his name?  Ughhh..!  I couldn't remember.  Damn it!!"  Wazir mengetuk-ngetuk kepalanya perlahan seperti cuba mengingati sesuatu.

Ain mengalihkan tangan Wazir dari berterusan memukul kepalanya sendiri.

"Let me guess.  Was he Aniq?  Aniq Haqimi?," tanya Ain lembut.

Wazir mengangkat wajahnya untuk menatap mata Ain.  "Yes. Its Aniq.  Bibana, please don't leave me alone," rayu Wazir.  Sekejap dia menangis.  Sekejap ketawa seperti orang hilang akal.

"Did you know where they are?"

"She'd never tell."

"Thanks a lot Wazir.  Here, drink this" Ain menghulurkan sebotol air mineral kepada Wazir.  Cepat saja botol tersebut kosong setelah diteguk dengan rakus.  Ain menyandarkan tubuh Wazir dikerusi.  Dia kembali mendapatkan Irfan yang masih berada ditempatnya tadi.

"Mimi dah keluar dengan Aniq."

Nampaknya kita dah terlambat," keluh Ain.

"Jangan risau Puan, kita teruskan dengan Plan B," kata Irfan.

"Plan B?  Hmmm..saya hampir terlupa.  Jom!".

Tanpa berlengah lagi mereka berdua menyusup keluar dari celahan puluhan pengunjung untuk meneruskan rancangan kedua mereka, iaitu memecah masuk ke pejabat Aniq Haqimi yang terletak diruang atas bagi mencari sebarang petunjuk.  Malangnya, rancangan tersebut agak berisiko tinggi memandangkan agak ramai pengawal peribadi Aniq yang berkawal di kawasan itu.

"Macam mana ni Irfan?  Peluang kita malam ni je.  Kalau gagal kena la tadah telinga dengar bebelan Tuan Fakhrul tu," tanya Ain.

"Ummm..nampak gayanya saya kena buat sesuatu untuk tarik perhatian mereka ni Puan."

"Buat la apa saja Irfan.  Lima minit pun cukup la untuk saya check bilik si Aniq cicak tu," jawab Ain. 

Hampir tergelak Irfan mendengar gelaran yang diberikan oleh pegawai atasannya itu.  Lelaki yang cukup tampan dan sado dipanggil cicak.  Nasib kaulah Aniq.

Irfan berjalan ke arah orang ramai yang sedang bersuka-ria mencari hiburan.  Dia menghampiri seorang lelaki yang membelakanginya lalu.."Bukkk..".  
Sebiji penumbuk hinggap dipipi lelaki malang tersebut.  Wajahnya terteleng ke kiri akibat tumbukan kuat oleh pemegang tali pinggang hitam taekwando tersebut.  Hujung bibir lelaki tersebut pecah lalu mengalir darah pekat ke dagunya.

"Kau kenapa?  Tiba-tiba tumbuk aku ni?  Dah lama hidup?" lelaki tersebut membalas tumbukan Irfan lalu berlaku kekecohan diantara mereka berdua. 

Pantas dua orang pembantu peribadi Aniq Haqimi meluru ke arah mereka bagi meleraikan pergaduhan.  Tanpa membuang masa, Ain memulas tombol pintu bilik pemilik kelab berkenaan.

"Damn it!!  Berkunci pulak!" dengus Ain.  Dia mengeluarkan pin kecil lalu memasukkanya ke dalam lubang kunci tombol tersebut.  Setelah hampir seminit lubang kunci itu digodek, pintu itu akhirnya berjaya dibuka.  Ain meloloskan diri kedalam bilik itu setelah dipastikan keadaan disekitarnya selamat.

Sebaik saja daun pintu ditutup, Ain bagaikan terpukau dengan kecantikan hiasan dalaman didalam pejabat itu.

'Gulp!  Cantiknya!,' bisik Ain.

Segera niatnya dibetulkan lalu mematikan lamunannya sebentar tadi.  Lokasi pertama yang ditujuinya ialah meja kerja Aniq.  Meja yang diperbuat dari kayu jati itu agak kemas dengan hiasan satu bingkai gambar berwarna emas.  Ain mencapai bingkai gambar tersebut lalu menatap fotonya seketika.

"Hensem..tapi sayang..kau ni suspek utama", katanya perlahan.  Gambar Aniq Haqimi diusap-usap dengan jemarinya yang runcing.  "Apa aku buat ni?? Ish..fokus Ain.  Fokus," bebelnya sendirian.  Bingkai gambar diletakkan ke tempat asalnya kembali. 

Matanya meliar melihat kertas-kertas yang tersusun di atas meja.  Hanya kertas-kertas kosong!  Tangannya menarik bahagian laci paling bawah yang terletak disebelah kanan meja Aniq.  Beberapa buah fail plastik berwarna hitam tersusun kemas didalamnya.  Segera dia mencapai fail tersebut lalu diletakkan di atas meja.  Pungunggnya dihenyakkan ke atas sofa kulit yang mewah milik Aniq.  Helaian pertama diselak. 

"Una!" Ain menekup mulutnya yang agak kuat menjeritkan nama Una.

Helaian seterusnya dibelek.  Setiap gambar lengkap dengan butiran peribadi gadis-gadis yang telah hilang setelah menikmati saat-saat romantis bersamanya.  Gadis-gadis malang tersebut semestinya pemegang gelaran Top Queen yang membolehkan mereka menikmati masa peribadi bersama Aniq Haqimi.

Satu persatu gambar gadis-gadis muda dibelek.  Selain Una ada juga gambar Faten, gadis tersebut juga hilang tanpa dapat dijejaki.  Seterusnya gambar Mimi ataupun Bibiana.  Wajah-wajah mereka didalam gambar ditandakan bulat dan pangkah dengan pen berdakwat merah.

Jantung Ain berdegup kencang apabila gambarnya juga turut terselit bersama-sama gadis yang telah hilang.  Cuma wajahnya saja tidak ditandakan.  Ain mengeluarkan telefon bimbitnya lalu menangkap gambar-gambar berkenaan dan setelah itu fail-fail tersebut disimpan ditempat asal.

Tiba-tiba bunyi detakan tapak kasut seseorang semakin menghampiri pintu bilik tersebut.  Jelas terlihat satu bayang-bayang  yang terpantul di bawah pintu.  Ain panik!  Sebuah pasu hiasan yang bertulis 'Budapest' hampir jatuh ke lantai akibat disiku olehnya tanpa sengaja.  Pasu tersebut sempat disambut dan diletakkan kembali sebagaimana  ia berada di situ tadi.

Tombol pintu dipulas dari luar dan akhirnya...klakkk!  Ianya berjaya dibuka.

"Ye, aku dah dapat Mimi. Dia dengan aku tadi.  Kau buat seperti apa yang aku suruh.  Macam biasa." Lelaki tersebut sedang berbual ditelefon bimbitnya dengan seseorang.

'Aniq!  Macam mana dia cepat pulak balik.  Mana kau Irfan?' rungut Ain didalam hatinya.  Ain menyorok didalam almari pakaian didalam bilik tersebut sambil memerhatikan gerak-geri Aniq yang sedang mundar-mandir sambil berbual ditelefonnya.

Beberapa minit kemudian perbualan mereka ditamatkan.  Kot yang tersarung ditubuh ditanggalkan lalu dicampakkan ke atas sofa.  Kemudian, Aniq melabuhkan punggungnya disofa yang sama. Cahaya lampu yang berbalam-balam mengehadkan pandangan Ain. Dia berdoa agar tidak ditemui oleh lelaki itu kerana identitinya mungkin akan terbongkar!

Seketika kemudian Aniq bangkit dari sofa lalu mengatur langkah ke meja kerjanya pula.  Komputer riba dihidupkan dan dia menaip sesuatu lalu memadamkan komputer itu semula. 

Tokk..tokkk...tokkk..

"Masuk," arah Aniq.

"Maaf bos.  Kita ada masalah sikit," kata seorang lelaki yang baru masuk dan agak kurang jelas wajahnya.

"Masalah apa lagi ni?," suaranya meninggi.

Lelaki tersebut menghampiri Aniq lalu membisikkan sesuatu ke telinganya."

'Ciss..dalam bilik ni pun nak berbisik-bisik.  Geng kunyit ke?,' cebik Ain.

Bammm..!

Aniq menghentakkan tangannya ke atas meja.  Dari bahasa tubuhnya dia memang kelihatan cukup marah sekali.

"I dah cakap jaga elok-elok.  Menyusahkan kita je la.  Sudah, arahkan semua keluar dari kelab ni," ujarnya.

"Baik bos" sambut lelaki tadi sambil berlalu pergi.

Aniq menyambar kotnya yang dilemparkan di atas sofa tadi lalu bergegas keluar dengan menghempas daun pintu dengan kuat.

"Fuhhhh..selamat aku"  Ain mengurut-ngurut dadanya.  Setelah keadaan didapati selamat, Ain keluar dari almari tersebut dengan berhati-hati.  Dilekapkan telinganya dipintu lalu daun pintu dikuak dan akhirnya dia berjaya keluar dari situ dengan selamat.

"Mana kau ni Irfan?" Ain berlegar-legar mencari kelibat Irfan didalam kelab. 

Bukkk..! "Adehhh mak..sakitnya!" Ain memegang dahinya yang kemungkinan besar membentuk satu benjolan sebesar duit syiling 50 sen akibat perlanggaran tadi.

Tiba-tiba pandangan matanya kabur dan berpinar-pinar.  Segalanya nampak berpusing-pusing dan kelam.  Tubuhnya longlai dan hampir melayang jatuh namun sempat disambut oleh sepasang tangan yang kekar.  Sempat Ain menatap sepasang mata bundar dan beralis lebat dengan raut wajah yang kelihatan cemas.

"Ain!  Ain!" panggil jejaka misteri itu.  Ain menguntumkan satu senyuman yang paling manis lalu kelopak matanya terpejam rapat.  Dia seperti sedang melalui satu mimpi indah disebuah padang bunga yang berwarna-warni.

'Jangan sedarkan aku dari mimpi ini,' desis hatinya.


Previous: Bab 11
Next: BL-13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh