BL-3

Tap! Tap! Tap!

Bunyi tapak kasut tumit tinggi sepasang kaki milik seorang gadis berdetak kuat dengan lenggang lenggoknya yang mantap.  Langkah kakinya terhenti  dihadapan pintu apartment Anggerik yang telah dijadikan asrama kepada para pelajar Kolej Elite.

Ain berdiri sambil menarik sebuah beg troli  dan memerhatikan secebis kertas yang tertulis nombor rumah ditangan kanannya.  B-4-17,  nombor rumah yang akan dihuni oleh Ain sehinggalah kesnya selesai. 

Dia menarik nafas dalam-dalam sebelum menghembusnya perlahan.  Ain perlu mengingatkan dirinya akan tujuan utama dia ke situ,  iaitu menyamar sebagai salah seorang pelajar yang baru mendaftarkan diri.   Rambutnya yang panjang dirapikan dengan jari sebelum loceng pintu ditekan.

Ding dong!

Beberapa saat kemudian terpacul wajah seorang gadis yang berseluar pendek dan berbaju T-shirt bercorak Minnie Mouse dihadapan pintu.

"Ye,  cari siapa?,"  tanya gadis itu.

"Saya Ain,  pelajar baru dan akan tinggal disini.  Ni rumah nombor B-4-17 kan?," 

"Ya.  Ohhh, Ain ye? Sekejap"

Gadis tadi masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil kunci  lalu  kunci pintu gril aparment itu dibuka.

"Masuklah,  make yourself at home,"  katanya.

By the way, saya Dalila."

Huluran persalaman disambut keduanya.  Ain memerhatikan suasana rumah apartment disitu.  Ruang tamunya agak luas dengan perabot-perabot asas.  Dapur yang sederhana besar beserta kabinet dapur serta tiga buah bilik tidur yang terletak agak tersorok dari situ.

"Dalam rumah ni ada enam orang kesemuanya.  Maknanya,  setiap bilik akan ada dua orang penghuni,"  jelas Dalila tanpa dipinta.

"Ni bilik saya dengan Nabila"

Dalila menunjukkan bilik-bilik yang ada disitu beserta nama penghuninya sekali.

"Yang ni pulak,  bilik Sahara dengan Mimi.  Dan akhir sekali dihujung sana tu bilik awak dan Una."

Dalila membuka pintu bilik Ain dan mempelawanya masuk.  Mata Ain melilau melihat dua buah katil single yang diletakkan dikiri dan kanan dinding bilik yang dipisahkan dengan sebuah meja kecil dengan lampu tidur di atasnya.  Di sudut lain pula,  terdapat dua buah almari baju yang diletakkan secara berasingan.  Manakala meja study pula dirapatkan antara satu sama lain kerana ruang bilik yang agak terhad.

Dalila yang sejak tadi asyik mempamerkan giginya yang tersusun rapi menghenyakkan punggungnya disalah sebuah katil disitu.

"Jadi,  macamana?  Ok tak?  Oh ye, ni katil awak.  Sana tu katil Una.  Buat masa sekarang ni mereka semua kat luar.  Sekejap lagi balik la tu,"  sambung Dalila lagi tanpa perlu Ain banyak soal.

"Ok sangat dah ni.  Terima kasih ye Dalila tunjukkan bilik say dan selamat berkenalan," kata Ain yang jelas sekali memaksa dirinya untuk beramah mesra.

"Panggil je saya Lola.  Dalila panjang sangat kan? Hehehe.  Baiklah,  saya tinggalkan awak untuk berkemas dan berehat.  kat sini semua buat hal sendiri tau.  kami gunakan falsafah 'Mind our own business'.  Okey la..bye!"

Dalila melangkah keluar lalu menutp rapat semula daun pintu.  Ain merebahkan badannya ke katil.  Apa yang dilakukan olehnya kini adalah kerana tanggungjawabnya sebagai seorang pegawai polis. 

Jadi dia perlu bijak untuk menukar karakternya bersesuaian dengan keadaan.  Bilah-bilah kipas yang berpusing ditenung lalu kelopak matanya semakin layu dan akhirnya dia tertidur tanpa sengaja.

Entah berapa lama Ain terlelap disitu.  Dia terjaga apabila rongga pernafasannya terganggu dengan bauan minyak wangi yang agak kuat.  Kelopak matanya dibuka perlahan-lahan.

"Tess?"  soalnya dalam hati.

Ain cuba mencerna dimana dia berada kini apabila dilihatnya suasana disekeliling agak asing baginya.  Dia duduk disisi katil sambil memicit-micit kepalanya.

"Hai,  aku Una.  Ain kan?" sapa satu suara seorang gadis.

"Err..ya.  Saya Ain. Lola ada beritahu tadi nama awak," jawab Ain.

"Emmm...So Ain, kau pelajar tahun pertama kan?  Maknanya,  aku ni senior kau la.  Tapi jangan risau,  aku bukan seperti senior lain yang akan ragging pelajar baru.  Hehehe."

Ain merasa sedikit lega.  Jika tidak dia terpaksa melalui saat di'ragging' oleh pelajar senior untuk kali ke dua.

"Errr...Una lawa-lawa ni nak ke mana?"  Ain memulakan penyiasatan pertamanya.

Una memandang ke arah Ain beberapa saat.  Matanya menjamah wajah polos Ain didepannya.  Pertanyaan Ain tidak terus dijawab olehnya.  Gincu bibir berona merah jambu dicalit ke bibirnya yang mungil.  Penutup gincu di sarungkan semula dan diletakkan di atas meja solek.

"Aku nak keluar.  Saja nak release otak kejap," balas Una lambat.

"Boleh saya ikut?," tanya Ain.

Una agak tersentak.  Roman wajahnya berubah seketika tatkala melihat penampilan Ain.  Seketika kemudian, ketawa Una yang tersangat kuat bergema didalam bilik.

"Hahahaha...Apa kau cakap tadi?  Kau nak ikut aku?," tanya Una.

"Ye.  Boleh kan saya ikut awak?" ulang Ain lagi.

"Ain...ain...aku tengok kau ni 'muka suci' sangat la.  Macam tak sesuai je.  Aku takut nanti kau tak dapat biasakan diri pulak."

"Kenapa?  Belum cuba belum tahu," jawab Ain dengan kening tyang dijungkitkan.  Dirinya terasa tercabar apabila dipandang rendah begitu.

"Hmmm...baiklah.  Dengan satu syarat, kau tukar pakaian kau tu dan ikut apa saja aku buat," arah Una.

Ain tersenyum sumbing. 

"Ok...tunggu tau."

"Aku tunggu kau kat luar.  Jangan lama sangat, nanti aku tinggal" Una memberi amaran.

Pintu bilik ditutup rapat.  Una menunggu Ain yang sedang bersiap disofa sambil menatap skrin telefon bimbitnya.

Ain menapak ke arah almari pakaian dan membelek-belek pakaian yang tergantung didalam sana.  Sehelai pakaian berwarna hitam dihiasi dengan susunan labuci-labuci yang indah dikeluarkan lalu diletakkan ke atas katil.  Dia menyarungkan pakaian tersebut yang begitu sepadan sekali dengan bentuk badannya yang langsing. 

Setelah wajahnya disolek ringkas, dia mencapai tas tangan berwarna merah dan kasut tumit tinggi berona sama.  Semuanya itu telah dipilih oleh Theresa.  Pintu bilik dikuak dari dalam.  Derapan tapak kasut tumit tinggi Ain berdetak-detak di atas lantai.

"Lama jugak kau ni bersiap kan?  Nasib la kawan aku call tadi cakap lambat sikit sam..."

Kata-kata Una terhenti disitu.  Matanya terbuntang luas melihat penampilan Ain yang sungguh anggun dari hujung rambut ke hujung kaki.  Baginya, langsung tiada cacat cela akan penampilan gadis yang baru dikenalinya itu.

"Una, lambat lagi ke kawan kau sampai?"  Ain bertanya.

Pertanyaan Ain mematikan lamunan Una.  Segala yang ada pada diri Ain tentu amat mahal dan berjenama.  Ada riak cemburu berputik ditangkai hati Una.

"Eh, lain kali jangan pakai over macam ni sangat tau.  Nanti orang ingat aku jalan dengan badut sarkas"  ternyata dalihan Una untuk menutup rasa cemburunya saja.

"Salah ke?  Aku tengok okey je," balas Ain.

"Tak okey masalahnya,"  Una menekan kuat ayat tersebut.

Rasa sesal beraja dihatinya kerana bersetuju membawa Ain bersama kerana Ain telah berjaya mencuri tumpuan pengunjung-pengunjung kelab di situ.  Berbakul-bakul sumpah seranah dihamburkan didalam hati kepada dirinya sendiri dan juga Ain.

Ain melilau memerhatikan suasana kelab mewah tersebut.  Rata-rata pengunjung adalah terdiri daripada anak-anak orang berada dan ternama yang tidak lokek berbelanja tanpa mengenal halal dan haram.  Lampu neon berwarna warni berkelip-kelip didalam ruang bilik itu.

Sekelompok manusia sedang seronok bermain pool dikelilingi gadis-gadis yang berpakaian seksi dan menjolok mata.  Ain mengesyaki bahawa gadis-gadis itu merupakan pelajar-pelajar kolej sama seperti Una dan Lola juga.

Sekelompok manusia lagi sedang berbual-bual kosong dengan gelas berkaki tirus yang dipegang ditangan masing-masing.  Sekali-sekala minuman tersebut dihirup, manakala tangan yang sebelah lagi memeluk erat pinggang gadis-gadis gedik yang berilmu tetapi berfikiran cetek.

Ain duduk bersendirian dikerusi bar sambil menikmati minuman soda dan memerhatikan gelagat manusia yang berduit dan sanggup melutut untuk memiliki wang dikaki lelaki-lelaki kaya yang hanya menjadikan mereka boneka dan tempat melampiaskan nafsu serakah semata-mata.

"Can I buy you a drink?"

Ain berpaling apabila suara lelaki serak-serak basah menegurnya.  Lelaki tersebut tidak berganjak disisinya sambil tersengih menampakkan lesung pipit sekaligus menyerlahkan lagi ketampanan wajahnya.

Perasaan Ain terbuai seketika dan mengagumi keindahan ciptaan Allah akan makhluk berlainan jantina didepannya.  Segera dia kembali ke alam realiti dan angannya terbang entah ke mana.

"Boleh saya belanja awak minum?" ulang lelaki tadi dengan senyuman yang tidak pernah lekang dibibirnya.

"Err...sure."

Pelayan bar meletakkan dua gelas air soda dihadapan mereka berdua dan terus berlalu pergi.

"By the way, nama saya Aniq...Aniq Haqimi".

Huluran tangan lelaki yang dikenali sebagai Aniq disambut lambat-lambat oleh Ain.  Bukan selalu dia berkenalan dengan lelaki dan terasa agak kekok sebenarnya.  Apatah lagi pandangan lelaki tersebut hampir menggoyahkan hati wanitanya.

"Ain Afzan"

"Jadi, awak orang baru?  Tak pernah lagi nampak awak kat sini sebelum ni?"

"Ye...saya datang dengan Una."

Kelibat Una langsung tidak kelihatan lagi di situ.  Ain beranggapan Una telah dibawa pergi oleh salah seorang pengunjung lelaki disitu.

"Una?  Gadis yang pakai skirt biru tadi tu?"

"Ya..awak kenal dia?"

Lelaki tersebut ketawa.  Sekali lagi Ain terpegun dengan karakter maskulin lelaki terbabit.

"Siapa yang tak kenal dia kat sini?  She's a queen!"

"Maksud awak?"

"Well, gadis paling cantik. Paling peramah dan... seksi."

Ayat terakhir dari Aniq membuatkan Ain terasa loya.

"Tapi,  lepas saya tengok awak.  Saya rasa Una dah boleh turun takhta.  Hehehehe.  Mungkin harga awak lagi tinggi dari Una."

Ain mengepal penumbuknya.  Jika diikutkan hatinya yang sedang panas itu, mahu saja dia menghadiahkan tumbukan padu ke muka Aniq.  Biar dia tahu maruahnya bukan untuk diperkotak-katikkan.

Anak mata Aniq menjamu keindahan milik Ain.  Terasa kesat liurnya apabila ditelan.  Hati yang membara cuba disejukkan dengan meneguk minuman soda sehingga habis.

"Saya pergi dulu.  Dah lewat."

Ain menghilang disebalik celahan orang ramai yang sedang berpesta ria meninggalkan Aniq yang terpinga-pinga di situ.

Previous: BL-2
Next: BL-4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh