Home Novel Cinta ANUGERAH TERINDAH
ANUGERAH TERINDAH
Angela Engkuan
8/8/2015 19:36:09
74,267
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 15

TENGKU DANIEL hampir tidak dapat menarik nafasnya. Dadanya terasa sendat tatkala dia dan Sabdin tiba di lokasi tanah Tengku Halim yang disewakan. Tempat yang sangat dikenalinya. Tempat tinggal seorang gadis yang pernah menyelamatkan nyawanya. Tapak di mana rumah tempatnya menumpang tidur, makan, minum dan segalanya untuk beberapa hari. Rumah juga sudah beberapa kali dikunjunginya yang dihuni oleh insan-insan yang berhati lembut, penuh dengan kasih sayang.

Stereng kereta digenggam erat. Sungguh tidak menyangka keluarga yang sering menghuni hati dan fikirannya sejak beberapa bulan itu rupanya duduk di atas tanah Tengku Halim. Tanah yang bakal diusahakannya, yang dicita-citakannya menjadi sebuah tempat peranginan yang moden dan berdaya saing.

“Daniel tak mahu turun tengok tanah ni?”

Pertanyaan Sabdin menyedarkan Tengku Daniel. Pantas dia mengalihkan pandangan, merenung wajah lelaki itu.

“Er, Daniel rasa tak perlulah...setakat tengok dari sini aje pun sudah memadai, pak cik.” Tengku Daniel tersenyum tipis.

Terangguk-angguk kepala Sabdin. “Lain kali Daniel boleh datang bila-bila masa. Dah tengok dan kenal tempat ni, senanglah nak datang lagi,” ujarnya perlahan.

“Pak cik...sebulan, berapa sewa tanah ni?” tanya Tengku Daniel. Ralit matanya memandang ladang ternakan dan kebun sayur-sayuran itu daripada kejauhan.

“Rendah saja Daniel...hanya 500 ringgit sebulan. Dari mula hingga sekarang tak pernah dinaikkan sewanya, Daniel. Pak cik tak sampai hati...penyewa ni pun dah jadi ibu tunggal,” beritahu Sabdin.

“500 ringgit? Oh...okey. Pak cik tak usahlah kutip sewa lagi mulai hujung bulan ni, ya? Biarlah dia orang tinggal kat sini secara percuma.”

Sabdin termangu-mangu. Pantas dia menelan liurnya. ‘Alhamdulillah...syukur,’ bisik hatinya serta-merta. Namun dia segera tersedar suatu perkara.

“Er, Daniel...kalau projek Daniel sudah mahu dimulakan...dia orang perlu berpindahkah?” Sabdin bagaikan cacing kepanasan duduk di sebelah Tengku Daniel.

“Perlulah ikhtiar...tanah ni tetap akan dibangunkan. Saya akan beritahu pak cik bila tiba masanya dia orang perlu berpindah,” jawab Tengku Daniel perlahan.

Sabdin terkulat-kulat mendengar kata-kata cucu Tengku Halim itu. Sudah dijangkanya perkara ini akan berlaku juga akhirnya.

“Pak cik...minggu hadapan, kontraktor pembinaan rumah saya akan memulakan kerja-kerja pembersihan. Saya akan berada di sini sepanjang masa tempoh pembinaan tu nanti. Mungkin pembinaan tak mengambil masa yang lama, pak cik.”

“Ya Daniel. Er, nanti saya akan beritahu penyewa tanah ni...biarlah dia orang bersedia dari sekarang. Harap-harap anak dia yang kerja sebagai jururawat tu boleh memohon kuarters hospital,” kata Sabdin perlahan.

Tengku Daniel hanya diam. Sesungguhnya Tengku Daniel cuba mentafsir intonasi suara Ketua Kampung itu. Bersedihkah Sabdin jika keluarga itu dikehendaki berpindah dari kampung itu walhal semua jiran sudah memandang serong terhadap Hani Fiqah? Jika Sabdin tahu bahawa dirinyalah punca Hani Fiqah difitnah, bagaimanalah agaknya? Masih terngiang-ngiang di telinganya suara sayu Aleya. Penjelasan Aleya mengenai perubahan Hani Fiqah disebabkan umpatan dan fitnah melampau jiran-jiran mereka.

“Er, Daniel...kalau boleh berilah masa untuk dia orang, ya? Kesian...dia cuma ibu tunggal, hanya bergantung harap pada anak sulung dia saja,” ujar Sabdin perlahan. Buntu fikirannya.

Tengku Daniel terangguk-angguk. Ditatapnya seketika wajah Ketua Kampung itu.

“Saya faham, pak cik. Tak mengapalah...sampai masanya saya perlukan tanah ni nanti, saya akan beritahu pak cik,” ujar Tengku Daniel.

Selepas menghantar Ketua Kampung balik ke rumahnya, Tengku Daniel teringin hendak singgah di rumah Aleya namun dia mengurung keinginannya. Sementelah dia meminjam kereta Kamil semasa datang ke kampung itu tadi. Disebabkan kemalangan yang berlaku ketika pertama kali dia masuk ke kampung, Tengku Daniel separuh fobia. Dia perlukan kereta yang lebih besar dan tinggi untuk datang ke situ.

Tengku Daniel berhenti di pinggir jalan, memandang daripada kejauhan rumah Aleya. Rasa rindu menyapa kalbu. Hani Fiqah. Wajah tanpa secebis senyuman itu memang sentiasa menghuni ruang minda. Tengku Daniel tiba-tiba menggelengkan perlahan.

Entah mengapa dengan perasaannya sejak kebelakangan ini. Semakin dijauhkan gadis itu dari hatinya, semakin mendekat pula rasanya. Wajah comel Farhana sedang ketawa girang terbayang-bayang di mata. Kelembutan suara Aleya bagaikan terdengar-dengar menyusup ke lohong telinganya. Wajah ceria Rizal, Fahmi dan wajah pemalu Norfarini. Semua menggamit rindu. Tengku Daniel menghela nafas. Jika tidak kerana janjinya kepada Aleya, sudah pasti sekarang dia sudah berada di rumah itu.

Tiba-tiba telefon bimbitnya bergetar diikuti dengan alunan muzik lembut. Tengku Daniel sedikit tersentak. Ditatapnya skrin telefon bimbit. Serta-merta keningnya terangkat. Umi Aleya?

“Hello...Assalamualaikum umi...” ucap Tengku Daniel sejurus menekan butang hijau dan melekapkan telefonnya ke telinga.

“Abang Daniel!”

“Rizal?” Terjongket kening Tengku Daniel.

“Assalamualaikum abang...”

“Ya...waalaikumussalam Riz. Riz sihat ke? Umi, kak long dan adik-adik...apa khabar?” tanya Tengku Daniel bertalu-talu. Melonjak rasa hati mendengar suara girang Rizal.

“Kami semua sihat aje, bang. Abang sihat?”

“Alhamdulillah...Abang pun sihat juga, Riz.”

“Abang...bila nak datang rumah? Abang janji nak datang lagi, kan? Kita orang tunggu abang datang...kami rindu kat abang. Abang datanglah, okey?”

Tengku Daniel ketawa mendengar kata-kata Rizal. “Abang pun rindukan semua, Riz,” balasnya perlahan.

“Hah...datanglah kat sini, abang. Cuti sekolah tak lama lagi dah nak habis...kalau abang ada waktu cuti ni kan seronok...”

“Ehm...abang masih sibuk kebelakngan ni, Riz. Insya-ALLAH...kalau abang ada masa, abang datanglah, okey.”

“Okeylah abang. Tak sabarlah tunggu abang datang...”

“Okey Riz. Nanti sampaikan salam abang kat umi dan adik-adik, ya?”

“Okey abang...abang jangan lupa datang sini, ya?”

“Insya-ALLAH, Riz.”

Tengku Daniel ketawa perlahan bagi menutup rasa hati yang tercuit. Tatkala dia berada jauh di Kuala Lumpur, jiwanya bagaikan diseru agar segera kembali semula. Kasih sayang keluarga itu bagaikan mengikat jiwanya agar sering berada di sini. Hatinya memang berasa rindu. Mengapa dia harus mempunyai perasaan sedemikian terhadap keluarga itu?

                                                                ***

MATAHARI sudah beransur meninggi, Nurul belum mahu melepaskan kepala Hani Fiqah. Sudah hampir tiga jam kepala Hani Fiqah dijadikan model untuk mendandan rambut. Entah hatinya sudah jenuh menghitung kekerapan rambutnya disikat, digulung, dihurai, lalu disanggul semula. Pelbagai gaya dibuatnya namun Nurul belum berpuas hati dengan hasil dandanannya. Demi persahabatan, di merelakan hari cutinya diperuntukkan buat sahabatnya itu menguji bakat.

Sejak pagi hingga hampir tengah hari, Nurul menjadikan dirinya model untuk disolekkan dan dandanan rambut. Naik lenguh tengkuk Hani Fiqah.

“Nurul...”

“Hah?”

“Adoi...lama lagi ke ni? Leher aku dah penat...” Hani Fiqah mengelus tengkuknya.

“Eh...eh...diamlah! Sikit saja lagi ni...janganlah gerak-gerakkan kepala kau, rosaklah kerja aku!” Nurul memegang kepala Hani Fiqah, menahan kepala sahabatnya itu agar tidak bergerak.

“Kau ni...lain kali aku tak naklah jadi model kau. Penat sangat...tahu tak?” Hani Fiqah mengomel perlahan.

“Aku tahu tapi sekejaplah Hani...dah hampir siap ni. Sabarlah...” pujuk Nurul. Diusap-usap lembut bahu Hani Fiqah.

“Tak patutlah kau Nurul...berjam-jam kau belek kepala aku ni, buat macam kepala patung kat salon tu aje!” rungut Hani Fiqah.

“Sabarlah...aku buat yang terbaik, tahu tak? Kau tengoklah nanti...kalau tak terbeliak biji mata kau tengok hasil tangan aku ni!”

“Ehm...aku dah pening kepala! Kau spray rambut aku entah berapa banyak kali dah. Adoi, aku pun dah naik mual!” omel Hani Fiqah lagi.

“Alah, Hani...sabarlah. Kejap lagi ni. Sabarlah ya...” Nurul memujuk lembut.

“Okey...okey...kalau tak cantik, siap kau!” ugut Hani Fiqah.

Beberapa minit kemudian, Nurul melepaskan kepala Hani Fiqah. Dengan senyuman lebar Nurul berundur, menjarakkan dirinya dari Hani Fiqah.

“Okey...selesai! Nah, sekarang...kau pusing hadaplah cermin tu!”

Hani Fiqah serta-merta melepaskan nafas lega. Dia berpusing agar dapat menghadap pada cermin meja rias di belakangnya.

Seketika, Hani Fiqah terpegun. Gamam menatap cermin di meja rias.

“Ya ALLAH! Aku ke tu Nurul?” Bulat mata Hani Fiqah merenung imej dirinya dalam cermin. Wajahnya tampak sungguh berlainan. Tidak pernah mengenakan solekan, begitu pula hasilnya!

“Ha’ah...kaulah tu! Kau sangat-sangat cantik, kan?” Nurul ketawa lepas.

“Wah...aku macam tak percaya aje...” Hani Fiqah kagum.

“Kenapa tak percaya? Itulah hasil sentuhan tangan aku ni, Hani. Macam mana?” Nurul menjongket-jongketkan keningnya dengan senyuman lebar.

“Yalah...aku macam tak percaya kau boleh solek dan dandan rambut aku macam nilah Nurul...kau dah hebat!” Pujian Hani Fiqah semakin menggalakkan Nurul ketawa senang hati.

“Tulah kau...marah aku sebab tak datang jenguk kau dekat sebulan. Aku sengaja tak beritahu kau ke mana aku pergi!”

Hani Fiqah mengalihkan pandangan dari cermin, ditatapnya wajah Nurul yang ceria.

“Oh...selama ni kau diam-diam pergi belajar make-up? Aku bukanlah marah kau tapi aku risau...dahlah kau tak muncul-muncul, aku call pun tak dapat-dapat! Apalah kau ni...tak patut betul!”

“Ehm...patut tak patut! Aku saja nak buat kejutan pada kau...Macam mana? Okey tak hasil kerja aku?”

“Sangat okey! Tahniah Nurul...kau dah mahir pun sekarang. Aku doakan...kau akan sukses selalu, Nurul.”

“Amen! Tapi aku belum tamat belajar lagilah...aku nak belajar sungguh-sungguh sampai tamat!”

“Takpelah...sekarang pun kau dah mahirlah, Nurul. Make-up ni aku suka sangat. Rambut...kemas sangat kau sanggul. Ehm...cantik juga aku kalau dah berdandan macam ni, kan Nurul?” puji Hani Fiqah lagi sambil meneliti wajah dan rambutnya di hadapan cermin. Dikedip-kedipkan matanya yang bermaskara, lentik sungguh bulu matanya. Cantik.

“Cantik...sangat cantik, Hani. Terima kasih Hani...tunggulah bila aku dah tamat kursus, aku booking nak make-up dan dandan rambut kau masa kau kahwin nanti, ya? Kau janganlah cari mak andam lain...aku buat untuk kau. Semuanya percuma aje!” ujar Nurul lalu ketawa lagi. Senang sungguh hatinya.

“Kahwin? Siapalah pulak yang nak kahwin?” Terjegil mata Hani Fiqah memandang Nurul.

“Eh, kau kan dah nak kahwin? Kau pun diam-diam tak cakap pada aku, kan? Sampai hati kau tak ingat kawan sedari kecil kau ni! Tulah...hari tu bukan main kau cakap tak ada apa-apa dengan dia...tup-tup dah nak kahwin!” Nurul mencebikkan bibirnya. Buat-buat merajuk.

Hani Fiqah senyap. Hampir bercantum keningnya tatkala dahinya dikerutkan. Hatinya tersentap.

“Hani...” Nurul menyentuh bahu Hani Fiqah.

“Nurul, kau dengar daripada siapa aku ni nak kahwin?” tanya Hani Fiqah perlahan.

Nurul tersengih. “Alah...mak cik Sahuda beritahu mak minggu lepas. Mak cik Ros pun ada cakap pada mak juga. Mak tanya aku, betulkah kau nak kahwin...aku pun tak tahu nak jawab sebab dah lama aku tak jumpa kau. Eh, bilakah tarikhnya kau nak nikah sebenarnya? Beritahulah aku...”

“Astaghfirullahalazim...mengarut betul! Aku nak kahwin dengan siapa, Nurul? Ya ALLAH...boyfriend pun aku takde. Teruk betullah! Jiran-jiran kita ini anggap aku ni takde perasaan ke? Suka hati aje jaja nama aku seluruh kampung! ALLAH...” Hani Fiqah menekup wajahnya seketika lantas menghela nafas.

Nurul ternganga. Terkebil-kebil matanya menatap wajah kemerahan Hani Fiqah. Elok-elok wajah cantik itu ceria sebentar tadi, sekarang sudah bertukar rona. Mendung serta-merta!

“Hani...aku minta maaf, ya? Aku...”

“Nurul, aku kesian kat diri aku sendiri...susahnya jadi anak dara, kan? Silap sikit aje dah macam ada cap tanda kat dahi ni...” Jari telunjuk Hani Fiqah ditunjukkan ke dahinya sambil mengeluh perlahan.

“Janganlah sedih Hani...aku tak tahu hal sebenar. Aku sangka memang betullah kau nak kahwin dengan Tengku Daniel tu...”

“Aku ni bukan siapa-siapa pun bagi Tengku Daniel tu, Nurul. Dia takkan pandang sebelah mata pun pada orang macam aku ni...dia bukan orang sembarangan!”

“Hani, Tengku Daniel tu selalu datang ke sini, betul ke? Kenapa dia datang, Hani?” tanya Nurul perlahan.

“Aku...aku pun tak tahulah, Nurul. Dia jenguk umi...nak jumpa adik-adik...tu aje!”

“Tapi...kenapa jiran-jiran cakap lain pula, ya? Pelik!”

“Nurul, aku bukannya tinggal seorang diri, tahu tak? Dalam rumah ni ada umi, Rizal, Norfarini, Fahmi dan Farhana...kalau aku duduk sorang diri memang patut pun orang buruk sangka kat aku! Aku terima orang mengeji aku, Nurul...tapi tak pernah pun aku jumpa dia kat mana-mana. Aku tak pernah keluar berdua-duaan dengan dia pun,” luah Hani Fiqah dengan perasaan sebak.

“Ha’ahlah Hani...aku percaya pada kau. Kau sabarlah ya. Mungkin ada hikmahnya semua ni berlaku...kau jangan sedih sangat, okey.” Diusap lembut bahu Hani Fiqah. Nurul menghela nafas.

“Nurul, entah apalah malangnya nasib aku. Aku malu sangat jiran-jiran jadikan aku bahan gujirat...kalau didengari Tengku Daniel, kat manalah aku nak letak muka aku ni? Macamlah aku ni terhegeh-hegeh kat dia pulak...seolah-olah keluarga aku sengaja canang cerita konon dia suka aku...Ya ALLAH!”

Nurul menelan liur. Kecut lidahnya.

Previous: BAB 14
Next: BAB 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan