Home Novel Cinta Benci Itu Rindu
Benci Itu Rindu
Angela Engkuan
4/2/2014 09:44:47
29,157
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 26

SUARA Azizan begitu mengharap. Mariah serba salah. Hendak berkata ‘ya’ dia tidak sepenuh hati tapi dia tidak sampai hati untuk berkata ‘tidak’.

“Mariah, saya tak dapat balik KL. Sekarang ada projek baharu yang saya kena urus. Awak balik dulu. Awak ada cuti dua minggu. Takkan awak tak nak jumpa keluarga awak?”

Pujukan Azizan semakin menggoyahkan perasaan Mariah. Pulang ke Sabah memang keinginannya setiap kali bercuti. Rindu terhadap keluarga sentiasa membuak.

“Tapi saya cadang nak balik cuti semester yang panjang nanti,” kata Mariah. Dia sudah merancang balik pada cuti semester selama tiga bulan nanti.

“Cuti tu nanti awak baliklah juga, okey? Saya akan tanggung semuanya, jangan risau.”

“Bukan macam tu, saya sebenarnya...”

“Saya nak jumpa awak, Mariah. Awak tak pernah ingat kat saya agaknya!”

Mariah terkedu dengan kata-kata Azizan itu. Terasa ucapan itu begitu ikhlas daripada Azizan. Bukan dia tidak ingat pada Azizan tetapi dia langsung tidak merancang balik pada cuti semester pendek itu. Dia perlu berjimat. Banyak duit yang dapat dia jimatkan jika dia tidak ke mana-mana sehingga cuti panjang semester akan datang.

“Kenapa awak diam?” tanya Azizan.

“Hmm, takdelah. Okeylah... saya akan balik,” kata Mariah perlahan. Dia perlu beralah.

“Balik ikut masa tiket tu, okey? Saya akan tunggu awak kat KKIA. Assalamualaikum...”

“Waalaikumussalam...”

Suara Azizan sudah lama senyap dari corong telefon. Namun Mariah masih termangu-mangu. Dikeluarkannya tiket penerbangan ke Kota Kinabalu yang diselitkan dalam buku undang-undangnya yang tebal. Ah, sepatutnya dia sangat bersyukur. Dia dapat balik. Sungguh dia teringin hendak balik, dia terlalu rindu pada papa, mama, abang dan adik-adiknya. Jika tidak balik ke Sabah, dia akan tinggal keseorangan di rumah sewa kerana Sofina sudah tentu akan balik ke rumah orang tuanya.

Sebelum ini dia berangan-angan akan balik bila cuti semester yang panjang nanti, supaya duit yang terkumpul bertambah lagi. Ada beberapa barang yang ingin dibelinya buat keluarganya, terutama papa dan mamanya. Bukan selalu berpeluang seperti itu. Jika bukan kerana Natasya lebihkan kiriman wang untuknya, pasti dia tidak mampu mengumpul duit.

Mariah bergegas ke bilik air untuk membersihkan diri bagi menunaikan solat Maghrib. Malam ini, dia dan Sofina ada perbincangan kumpulan belajar di dewan kuliah.

Usai menunaikan solat, dia bergegas pula mencari Sofina. Diketuknya pintu bilik gadis itu.

“Dah siap? Jom pergi...” kata Mariah sejurus pintu bilik Sofina terkuak.

“Jom, tapi kejap! Aku nak minum air dulu.”

“Sofi, esok pagi saya nak balik Sabah.” Mariah memberitahu ketika mereka sudah di dalam kereta.

“Awak jadi balik jugak? Eloklah, saya bimbang tinggalkan awak seorang kat rumah. Ajak awak ikut saya balik, awak tak nak!”

Mariah tersengih. Bukan dia tidak sudi tetapi dia segan pada orang tua Sofina. Sudah dua kali dia memenuhi permintaan Sofina, setakat semalam dua bermalam dia tidaklah keberatan.

“Sebenarnya... Azizan beria-ia suruh saya balik. Dia yang beli tiket penerbangan ni. Tak sampai hati saya menolak lagipun saya rindu sangat kat mama, papa dengan adik- adik...”

“Bertuah badan! Azizan tu sayangkan awak, Mariah.” Sofina ketawa. Dipandangnya Mariah seketika namun sempat menjongket-jongketkan keningnya.

“Eh, mana awak tahu? Saya tak tahu pun.” Mariah tersenyum segan. Hatinya tidak menafikan. Meski dia tidak pasti perasaan sebenar Azizan terhadapnya, dia yakin dengan perasaannya sendiri terhadap Azizan. Namun dia tidak berani terlalu berharap.

“Saya tahulah... tengok dari cara dia pun dah tahu. Takkan awak tak tahu pulak? Dia boyfriend awak!”

Mariah hanya menjongketkan bahu. Mempamerkan senyuman.

SELESAI saja perbincangan, Sofina dan Mariah terus balik ke rumah. Mereka tiba di rumah hampir pukul 11.00 malam.

“Awak dah berkemas, Mariah? Esok awal pagi saya hantar awak ke KLIA. Lepas hantar, saya terus balik kuantan,” kata Sofina.

“Belum Sofi, saya tak sempat tadi. Sehari kita kuliah, penat sangatlah. Saya mengantuk.” Mariah mulai menguap. Memang sungguh letih.

Sofina tahu sejak pengajian tahun ke-3 itu, tugas mereka kian berat. Mariah pula pantang melakukan kerja separuh jalan. Semuanya perlu sempurna. Mariah juga pantang melihat kerjanya ada kecacatan, biar hanya sedikit pun. Walaupun waktu sudah Subuh, Mariah akan selesaikan tugasnya juga terlebih dahulu. Sofina akui, dia tidak mampu melakukan tugasan sebaik Mariah.

Sofina berasa simpati memandang Mariah yang letih dan sudah terduduk lemas di sofa. Ketika Sofina datang dengan secawan Nescafe, Mariah sudah hampir terlelap. Tubuhnya sudah terkulai rebah.

“Terima kasih, Sofi. Saya letih sangat hari ini,” kata Mariah perlahan dengan mata redup.

“Sama-sama. Saya ada bawakan roti bakar dan minuman panas ni. Minumlah dulu... lepas tu awak masuk tidur. Esok Subuh sajalah awak kemas baju.”

Sofina menepuk perlahan bahu Mariah. Dia bimbang Mariah akan tertidur dalam keadaan lapar. Melihat Mariah membuka mata dan berusaha bangun, Sofina tersenyum. Minumannya segera diteguk sehingga habis.

Niat Mariah hendak tidur selepas mencuci muka dan menggosok gigi terbantut. Telefonnya berdering.

“Azizan lagi... apa lagi dia nak tengah malam buta ni?” bisik Mariah.

Namun, tetap disambutnya panggilan itu dengan sopan. Tatkala Azizan membuat humor, lesap kantuknya serta- merta. Mariah terhibur lantas ketawa halus.

“Ada perkara saya nak bincang dengan awak tapi tunggulah awak sampai esok,” kata Azizan sebelum menamatkan perbualannya.

“Apa dia? Cakap sajalah,” desak Mariah.

“Awak sabarlah, esok saja okey.”

“Esok lama lagi. Awak cakaplah sekarang,” desak Mariah lagi, tidak berpuas hati selagi tidak tahu apa yang ingin Azizan katakan.

“Kelakarlah awak ni, Mariah. Sebelum tengah hari esok kita jumpa, okey?” Azizan ketawa perlahan.

“Okeylah!” Mariah menghela nafas.

“Saya rindu sangat kat awak, Mariah. Tak sabar nak jumpa awak esok!”

Mariah tergamam. Kelu lidahnya. Hampir tidak sempat membalas salam Azizan.

Usai memasukkan beberapa pasang baju, Mariah duduk di pinggir katil. Beg sederhana besar di tepi almari pakaian ditatap dengan mata redup. Dia hanya membawa pakaian, buku rujukan dan beberapa buku nota ringkas yang penting. Melihat jam tangannya sudah pukul 12.45 tengah malam, Mariah merebahkan tubuhnya.

Tatkala Mariah meluruskan posisi tubuhnya, telefon bimbitnya tiba-tiba berdering lagi. Butang hijau segera ditekan tanpa melihat nombor yang tertera di skrin telefon bimbitnya.

“Azizan... kenapa call lagi? Awak tak nak tidur ke?”

“Assalamualaikum, Mariah!”

Suara lelaki itu sungguh jelas menyusuri lohong telinganya. Mariah terkesima. Ternyata itu bukan suara Azizan!

SUE terpaku. Seakan-akan tidak yakin dengan penglihatannya. Maklumlah dia baru terjaga. Tenaganya belum pulih sepenuhnya. Namun kemunculan sahabatnya yang dirindukan itu seperti memberi tenaga. Tidak terkata kegembiraannya. Matanya berkaca, air mata sudah bergenang.

“Ya ALLAH... Mariah, aku macam bermimpi. Kau tiba- tiba muncul depan mata aku...”

Sue menggenggam erat tangan Mariah selepas meleraikan pelukan. Sungguh, dia terlalu gembira. Mariah ketawa perlahan, air matanya sudah bertakung lalu luruh perlahan menyusuri pipinya yang mulus.

“Eh, kenapa Abang Shim tak cakap pada aku yang kau ada balik, Mariah? Ya ALLAH... aku tak sangka!”

“Aku baru saja tiba, Sue. Dari lapangan terbang terus ke sini. Kau sihat, Sue?”

Teringat bagaimana kalutnya dia tengah malam semalam gara-gara mendapat panggilan daripada Shimrul.

“Astaghfirullah! Waalaikumussalam... kau rupanya, Shim?”

“Maaf, aku mengganggu kau tengah-tengah malam, Mariah.”

“Tak apalah, Shim. Jarang kau telefon waktu begini. Ada apa-apa berlaku kat sana?” Serta-merta Mariah berasa tidak sedap hati. Bimbang sesuatu tidak baik berlaku di Kampung.

Kedengaran suara tawa Shimrul. “Tak ada apa-apa yang berlaku, Mariah. Jangan risau. Cuma aku nak beritahu kau, Sue dah selamat bersalin. Aku dah jadi ayah... ”

Masih terngiang-ngiang suara Shimrul yang girang. Mariah tersenyum-senyum mengingati betapa terujanya Shimrul memberitahu kegembiraannya. Dan kerana itu, dirinya kini bersama Sue. Gembira dapat bersua dengan Sue lebih-lebih lagi pada ketika Sue sedang dilambung kebahagiaan yang tiada taranya. Bermula semalam, Sue sudah sah bergelar seorang ibu dalam usia yang sangat muda. Sudah pasti perjuangan memberi nafas buat bayinya agar dapat menghirup udara semester alam merupakan satu pengalaman paling indah bagi Sue.

“Aku sihat, Mariah. Alhamdulillah, syukur segala dipermudahkan-NYA. Aku gembira sangat kau datang, Mariah. Lama sungguh tak jumpa kau...”

Sejak Mariah melanjutkan pelajaran, mereka sangat jarang bertemu. Dia faham, keadaan Mariah tidak lagi seperti dulu. Sebelum Mariah melanjutkan pelajaran, senang dan susah ditanggung bersama-sama ketika mereka mencari rezeki di bandar raya Kota Kinabalu. Banyak pengalaman yang dikongsikan bersama.

Sue menatap wajah Mariah yang semakin jelita di matanya. Semuanya sudah berubah mengikut peredaran masa. Dia sendiri sudah bergelar isteri kepada Shimrul lebih setahun yang lalu dan kini sudah menjadi ibu pula. Mariah pula masih meneruskan perjuangannya, bertungkus-lumus mengejar cita-citanya. Dia turut berbangga dan kagum dengan semangat kental Mariah.

“Baby kau comel sangat, sue.” Mariah menatap kagum pada bayi yang nyenyak tidurnya di dalam katil bayi. Sempurna sungguh ciptaan ALLAH itu.

Sue tersenyum bangga. “Bila tengok baby aku tu, aku lupa segala kepayahan dan kesakitan yang aku tanggung sebelum baby aku lahir, Mariah.”

Mariah menganggukkan kepalanya, ditatapnya wajah ceria Sue. Beruntung sahabatnya, dan beruntung juga Shimrul. Kedua-duanya sahabat baiknya sejak dari kecil lagi. Jodoh Shimrul dan Sue memang sudah ditakdirkan, bersahabat dari kecil tapi akhirnya membibitkan benih kasih apabila meningkat dewasa.

“Ya, hidung dia mancung macam hidung kau, Mariah. Bulu mata dia panjang. Mungkin lentik macam bulu mata kau jugak...” kata Sue lagi, sambil ketawa perlahan.

“Alah, masih baby lagi. Tak nampak lagi rupa dia mirip siapa,” Mariah ketawa.

“Hmm, ya... tapi aku nak anak aku solehah, baik, bijak dan jujur macam kau, Mariah.”

“Alhamdulillah... tinggi sangat kau puji aku, Sue. Semoga ALLAH kabulkan doa kau, Sue.” Mariah tersenyum, hatinya sungguh terharu.

“Amin...” Sue meraup wajahnya. “Terima kasih kerana sudi datang jenguk aku, Mariah.” Sue menggenggam erat tangan sahabatnya itu.

“Bukan selalu dapat lawat orang bersalin ni, Sue. Selepas ni, kena tunggu tahun depan atau dua tahun lagi baru dapat lawat kau bersalin lagi!” Mariah berlawak.

“Semoga ada rezeki, Mariah. Mungkin juga aku pula yang melawat kau bersalin tahun depan. Siapa tahu ketentuan- NYA, kan?” Sue ketawa sambil menggamit lengan Mariah.

Mariah mengusap perlahan lengan Sue. Kata-kata Sue memberi sedikit kesan di jiwanya. Hatinya disapa bahagia meskipun itu hanya kata-kata kosong dari sahabatnya itu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan