Home Novel Cinta Benci Itu Rindu
Benci Itu Rindu
Angela Engkuan
4/2/2014 09:44:47
94,663
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 19

SEJAK tiba di rumah tadi, Maria tidak putus-putus berdoa dalam hati. Sungguh sukar untukmengungkap perasaannya. Teruja tetapi bimbang dan risau! Dia menarik nafas yang dalam dan panjang.

“Papa, mama...” panggil Mariah lembut.

Tawin dan Milah yang sedang ralit memerhati Atina, Adila dan Amizan membelek-belek beberapa naskhah buku yang dibeli Mariah segera mengalih pandangan. Raut wajah anak gadis sulung mereka itu ditatap.

Wajah mulus itu masih kemerahan. Namun sejak tadi perasaan Tawin kuat mengatakan ada sesuatu yang terpendam di hati anak itu. Mariah tampak agak resah sejak tiba tadi. Ketika diajak makan, dia menolak secara halus walhal kebiasaannya setiap kali balik ke rumah, Mariah pasti menjamu selera.

“Kenapa, Mariah?” tanya Milah. Dia juga dapat menangkap keresahan anaknya seperti sedang memendam sesuatu.

“Err... Mariah sudah berhenti kerja, papa, mama.” Mariah mengalih duduknya. Sungguh sukar untuk diluahkan.

Tawin dan Milah berpandangan seketika. Seperti tidak yakin dengan pendengaran mereka.

“Tak mengapalah... papa lagi senang hati kalau Mariah di sini. Memang sukar duduk di bandar tu,” ujar Tawin.

Menyangka anak gadisnya sudah tidak tahan hidup di bandar.  Bukan saja berdepan dengan kos hidup yang tinggi tetapi juga terdedah kepada gejala sosial.

“Kakak duduk terus kat kampung Yeah... yeah...best!” sorak Amizan sambil bertepuk tangan.

Mariah tersenyum akhirnya. Keterujaan Amizan mengusik perasaannya.

Best apa? Kalau kakak berhenti kerja siapa nak bayar sewa bas sekolah? Bayar tuisyen? Beli buku rujukan? Mizan ni... itu pun tak pandai fikir!” Atina mengomel. Dijeling tajam adik bongsunya.

“Astaghfirullahalazim... Atina! Tak kesian ke dengan kakak ni?” tegur Milah.

Atina bungkam. Ditatap wajah kakaknya dengan perasaan serba salah. Anding mendengus berat. Ditahan perasaan marahnya. Adila dan Amizan sudah masam wajahnya. Tawin menghela nafas tiba-tiba.

“Baliklah, Mariah. Tak mengapa, ada juga yang bantu-bantu mama. Kalau Mariah nak kerja, papa boleh tolong tanyakan tauke kedai di pekan tu kalau-kalau ada yang mahu ambil pekerja.” kata Tawin perlahan.

Mariah menelan liur. Kering kerongkongnya namun liur yang ditelan kelat rasanya. Melihat mamanya teranggukangguk, semakin sukar Mariah hendak meluahkan apa yang terpendam dalam benaknya. Tetapi jika didiamkan sudah pasti di terpaksa menelan kehampaan dan kekecewaan.

“Papa... mama, sebenarnya ada yang Mariah nak beritahu.  Mariah dapat tawaran masuk universiti.”

Tawin, Milah, Anding, Atina, Adila dan Amizan. Kelima-lima mereka ternganga. Senyap serta-merta. Mata mereka tidak berkedip menatap wajah Mariah seolah-olah berita yang disampaikan sangat pelik dan mengejutkan. Mariah menelan lagi liurnya, semakin pahit rasanya. Mendadak hatinya berasa sayu.

Anding menggeserkan punggungnya. “Mariah dapat tawaran masuk universiti mana?” tanya Anding memecah kesunyian. Wajahnya mulai ceria, teruja.

“UiTM Shah Alam, bang.” Mariah menjawab perlahan-lahan.

Anding tersenyum gembira. Terbayang keadaan dirinya ketika dia berjaya masuk ke Universiti Malaysia Sabah beberapa tahun yang lalu. Gembira tak terkata. Tentu Mariah juga rasa begitu. Dia bangga dengan pencapaian adiknya.

Tatkala Mariah mengeluarkan sekeping sampul surat dari beg sandangnya, Anding pantas menyambut. Adila menjadi tidak sabar lalu pantas menyambar surat daripada pegangan abangnya.

“UiTM? Wah,Bestnya, akak. Tahniah, kak!” Adila mendakap erat tubuh kakaknya. Kedua-dua belah pipi kakaknya dicium bertalu-talu. Amizan turut mendakap tubuh kurus kakaknya selepas Adila beralih.

Atina menyambar surat dari tangan adiknya. Terkebil-kebil matanya menatap surat tawaran itu. 

“Mana boleh kakak pergi belajar sejauh ni?” Atina menatap wajah kakaknya.  Mendadak wajahnya menjadi muram.

Mariah seperti tertelan buah keras mendengar kata-kata Atina. Hendak berbalas kata, dia tidak sampai hati kerana ayah dan ibu mereka ada di situ.

“Kenapa tak boleh pulak? Kakak dah dapat peluang masuk U, takkan tak nak pergi? Apalah Kak Atina ni...” Adila cemberut. Geram hatinya.

“Mana ada duit! Ingat semenanjung tu dekat... macam nak pergi pekan ke? Kalau takat RM10 aje, memang tak lepaslah,” Atina membelalakkan mata, panas hati bila Adila melawan kata-katanya.

“Eh, sudahlah tu.” Milah bersuara. Dijelingnya kedua-dua anak gadisnya silih berganti.

Mariah menyepi. Jauh di dasar hatinya, dia rasa terkilan.  Sesungguhnya dia terasa hati. Dia menyangka, seluruh keluarganya akan menerima kejayaannya diterima masuk ke IPTA itu dengan hati terbuka dan senang hati. Namun sangkaannya jauh meleset!


ANGIN malam yang bertiup sejuk menerpa kulit wajahnya yang kering dan kusam. Sudah lebih sejam Tawin duduk di tepi jendela yang terbuka luas di dalam bilik tidur. Bunyi cengkerik bersahut-sahutan di luar sana. Malam itu gelita lebih pekat daripada malam sebelumnya. Langit kelam tidak berbintang seperti hendak hujan. Jika hujan turun malam ini, dia dan Milah tidak dapat turun ke kebun getah esok. Hati Tawin tetap berharap hujan tidak membasahi bumi.

Malam semakin larut. Entah mengapa matanya sukar diajak tidur. Otaknya ligat berfikir. Banyak perkara yang sudah berlaku seperti berlumba-lumba masuk ke kotak fikirannya. Sejak beberapa tahun ini, banyak perkara sukar terjadi dalam keluarganya. Sungguh menyesakkan. Menguji tahap kesabarannya. Tawin tahu, jika dia sebagai tunggak keluarganya lemah dalam menangani segala kemelut kehidupan, bagaimana dia mampu memimpin dan memberi teladan kepada isteri dan anak-anaknya?

Andainya dia berdaya mengubah keadaan hidup keluarganya alangkah baiknya. Anak-anak tentu berasa hidup mereka lebih sempurna. Tidak perlu bersusah-payah, sesakkan otak memikirkan bagaimana hendak melanjutkan pelajaran. Bagai terngiang-ngiang kata-kata Mariah siang tadi.

“Mariah ada duit simpanan sikit, papa. Setakat beli tiket penerbangan, bayar yuran kemasukan dan belanja perjalanan Mariah tak ada masalah.”

Tawin mengalih pandangan, ditatapnya wajah bersih

anak gadisnya. Anak yang tidak pernah mengenal erti putus asa. Tawin menelan hakikat. Mariah memang anak yang bercita-cita tinggi semenjak kecil. Bagaimana dia akan sampai hati untuk menghalang? Tidak mungkin!

“Jadi Mariah akan ke semenanjung?” tanya Tawin.

Pertanyaan Tawin membuatkan anaknya serba salah.  Mariah hanya mengangguk.

“Mariah sudah berusaha buat rayuan supaya ditempatkan di UiTM cawangan Kota Kinabalu tapi tidak berjaya.”

Tawin menarik nafas lalu dihembus dengan berat.  Dadanya agak sendat. Hati Tawin diasak rasa bersalah.  Sedangkan belajar di kampung sahaja pun dia tidak mampu membiayai Mariah apatah lagi hendak pergi sejauh itu!

“Papa…”

Tawin memandang lagi. Wajah anak gadis kebanggaannya itu ditatap dengan perasaan berbaur. Jika boleh Tawin ingin menunaikan segala impian Mariah namun dia sedar, dia masih belum mampu.

“Jauh Mariah pergi belajar tu. Belajar pula bukannya sekejap. Bimbang tak cukup duit buat belanja nanti, nak.” 

Akhirnya Milah menyuarakan kerunsingannya. Dia tahu, Mariah bersungguh kali ini ingin melanjutkan pelajaran tetapi apa daya mereka suami isteri?

“Mama... papa jangan risau. Mariah dapat tajaan sepenuhnya daripada sebuah syarikat besar. Syarikat tu yang akan membiayai sepanjang pengajian Mariah hingga selesai nanti,” beritahu Mariah.

“Syarikat tempat Mariah bekerja tu yang taja?” Anding segera bertanya.

“Bukan, bang. Syarikat adik bos Mariah tu yang taja.  Puan Natasya... dia memang baik sangat. Bos Mariah pun baik. Kalau tak kerana dia tentu Mariah tak dapat peluang ni,” jelas Mariah. Memang dia sungguh bersyukur. Jalannya dipermudahkan juga akhirnya.

“Ya ALLAH... syukur alhamdulillah. Mariah memang bertuah.” Anding melonjak. Tampak sungguh gembira.

“Papa tak perlu risau pasal duit belanja Mariah.”

Ah, bagaimana tidak perlu risau? Mariah anak kandungnya. Adalah mustahil jika dia lepas tangan dari tanggungjawabnya sebagai seorang ayah. Dia perlu juga mengambil berat tentang pelajaran anaknya!

Telapak tangan yang kasar mengusap wajah, dingin hujung jarinya kerana angin malam yang semakin larut itu.  Kulitnya semakin kasar, setiap hari terdedah dengan keadaan alam. Tidak mengira panas, redup malah kerap kali berhujan.  Warna kulitnya juga semakin ketara perubahannya tetapi dia tidak pernah kisahkan semua itu.  Tawin hanya inginkan tenaga dan tubuh badan yang sihat agar tetap kuat mencari rezeki buat keluarganya yang sangat dia sayangi.

Milah masuk ke dalam bilik tidak lama kemudian.  Hembusan angin yang dingin menerpa kulitnya.

“Bang, tutuplah jendela tu. Sejuk. Nak hujan pula malam ni.” Milah mengeluh berat.

“Anak-anak semua dah masuk tidur?” tanya Tawin.

“Anding dengan Mariah belum. Masih berbual di luar tu,”  jawab Milah sambil membetulkan simpulan rambutnya.

Tawin berdiri perlahan mencapai daun jendela lalu ditutup. Dia melangkah perlahan ke tempat tidur. Matanya sudah terasa berat, perit seperti berpasir. Ketika merebahkan tubuhnya, dia mendengar deruan angin kuat menerpa dinding rumah. Tidak lama kemudian kedengaran hujan lebat sudah membasahi bumi.

“Milah,” panggil Tawin perlahan sebaik saja isterinya melabuhkan punggung di tempat tidur.

“Ya, bang?” Milah berpaling ke sisi, menghadapkan muka ke arah suaminya.

“Berapa banyak duit simpanan yang kita ada, Milah?”

Sepanjang perkahwinannya dengan Milah, segala duit hasil pendapatannya diserahkan kepada Milah. Pandai-pandai Milahlah mengatur segala perbelanjaan.

“Adalah sikit, bang. Milah tak pasti berapa jumlahnya.  Sejak Anding sudah kurang ke hospital, duit belanja boleh jimat sedikit. Belanja sekolah anak-anak pun lebih banyak ditanggung Mariah, bang,” beritahu Milah.

“Abang nak guna duit? Milah kirakan ya?” sambung Milah lalu berengsot, berkira-kira hendak mengambil wang simpanan yang diletakkan di dalam almari pakaian yang sudah usang.

“Tak apalah Milah, dah larut malam ni. Abang ingat kalau simpanan kita ada, bolehlah buat belanja Mariah ke semenanjung. Kesian budak tu...” Tawin menghela nafas.

Milah diam. Jika Tawin tidak menyatakan begitu pun dia memang sudah bercadang untuk minta izin dari suaminya.  Duit simpanan itu dia ingin gunakan untuk Mariah. Tentu banyak yang Mariah perlukan. Lebih setahun bekerja tetapi Mariah lebih banyak belanjakan duitnya buat adik-adik berbanding dirinya sendiri.

Aduhai Mariahnya, tidak pernahlah anak itu memikirkan diri kecuali dalam soal pendidikan. Mariah pernah mengalah sekali, berhenti sekolah kerana memberi laluan kepada adik-adiknya namun semangat anaknya itu tidak pernah luntur.

“Ya ALLAH, Engkau peliharalah anak-anakku.” Milah berbisik sambil merapatkan kelopak mata. Dibawa bayangan anaknya yang manis itu ke dalam mimpinya.

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan