Home Novel Cinta Benci Itu Rindu
Benci Itu Rindu
Angela Engkuan
4/2/2014 09:44:47
94,566
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 17

AZIZAN mengalihkan pandangan daripada fail di depannya. Telefon di sudut meja berdering. Kelipan butang merah tanda ada interkom daripada pembantunya di luar bilik.

“Ada apa, Siti?” tanya Azizan.

“Encik Syamsul sudah sampai.”

“Okey. Suruh dia masuk.”

“Baiklah, Encik Azizan.”

Pintu hanya diketuk sekali lalu terkuak luas dan muncul Syamsul, menyapa dengan salam. Seperti biasa, Azizan pasti menyambut kehadiran Syamsul dengan wajah ceria.

“Kau sihat, Syam?” Pertanyaan wajib daripada Azizan.

“Alhamdulillah... aku sihat. Kau?” Syamsul menghulur tangan lalu tangan mereka bertaut erat.

“Sihat. Macam manaoutstation?” tanya Azizan. Lama dia tidak bersua dengan Syamsul.

“Biasalah...outstationni buat aku runsinglah sejak dah ada anak ni. Rasa macam tak seronok bertugas apabila berjauhan dengan keluarga.”

“Baru tiga minggu. Kalau tiga bulan macam manalah agaknya?”

“Entahlah! Isteri dan anak kena angkut sekali agaknya.” Syamsul ketawa.

Azizan turut ketawa, dia faham memang bukan mudah berjauhan dengan orang yang disayangi.

“Eh! Izan, aku ada maklumat terkini untuk kau.”

“Maklumat apa tu, Syam?”

“Maklumat pasal gadis pujaan hati kaulah.”

“Kau ni, Syam! Gadis mana pulak ni?”

“Kau tahu tak? Gadis tu dah tak kerja dengan syarikat guaman kat KK Times Square tu. Semalam aku sengaja buat rondaan kat Wisma Merdeka. Aku terserempak dengan dia. Naik lenguh lutut aku naik turun satu wisma tu.”

Azizan tidak dapat menahan perasaan lucu yang menggeletek hatinya. Gelaknya meletus. Melihat wajah kalut Syamsul, semakin tidak terkawal tawanya. Azizan tersentak apabila sebatang pen melayang jatuh tepat di dadanya.

Syamsul melepaskan geram. “Apa kena dengan kau ni? Ketawa bagai nak rak. Apa yang seronok sangat?”

“Syam… Syam... Aku geli hatilah tapi aku kasihan kat kau. Aku betul-betul minta maaf...” ucap Azizan bersungguh-sungguh dengan sisa tawa.

“Kenapa?” Dahi Syamsul berkerut.

“Sebenarnya aku dah tahu dia sudah berpindah tempat kerja. Kebetulan pula dia bekerja di syarikat guaman milik Arryl. Aku sempat berborak dengan Mariah tu, Syam.”

“Mariah? Wah! Bukan main lagi. Nama dia pun kau sudah tahu.”

“Lah... tahulah sebab dia perkenalkan nama dia.” Azizan membela diri.

Syamsul menjongketkan bahu. “Jadi apa perasaan kau?”

“Perasaan apa pulak ni? Aku tak rasa apa-apa pun!”

Azizan tersengih, menafikan sesuatu yang sebenarnya sedang menggusarkan jiwanya.

“Boleh percaya cakap kau ni?” Syamsul mencebik.

Azizan ketawa lagi. “Betullah Syam. Aku memang dah jumpa dia.”

Syamsul menggeleng-geleng. “Izan... kenapa tak cakap awal-awal? Taklah aku beria-ia nak khabarkan pada kau! Jadi selepas ni apa rancangan kau?” tanyanya.

“Rancangan apa pulak? Tak ada apa-apalah.” Azizan mengerutkan dahinya.

“Izan, kau ambillah peluang ni. Sebagai lelaki aku nasihatkan, kau seriuslah dalam soal perasaan ni. Jujurlah pada diri sendiri.”

Azizan ketawa. Syamsul memang ada bakat seorang penceramah. Percuma pulak tu!

“Kau dah tahu tempat kerja dia, pandai-pandailah cari peluang mengenalinya lebih rapat. ALLAH bagi kita akal dan fikiran, buatlah yang terbaik. Aku tak nak kau mempermainkan anak gadis orang!”

“Syam, aku baru bersembang sekejap dengan dia.  Mempermainkan apa pulak?”

“Inilah masalah kau. Tak serius soal perasaan.” Syamsul mendengus perlahan.

“Alah, cerita yang lainlah, Syam. Tak adakah cerita yang menarik dari Pulau Sipadan?”

“Malaslah nak cerita, tak ada yang menarik. Aku pergi bertugas bukannya pergi makan angin! Kan elok kau ajak aku pergi makan. Kenyang juga perut ni.” Serentak dengan itu Syamsul mengusap perutnya.

“Itu tak jadi masalah. Kau nak makan apa dan di mana?  Cakap saja restoran ataupun hotel mana, aku tunaikan.”  

Syamsul tersenyum lebar sambil menaik-naikkan keningnya. Pucuk dicita ulam mendatang!


DI PROMENADE CAFE di Promenade Hotel Kota Kinabalu, tempat mereka menjamu selera tengah hari itu menjadi pilihan Syamsul sendiri. Azizan tersenyum melihat Syamsul sungguh berselera menikmati makanan yang terhidang.

“Aku tak sempat nak sarapan tadi. Bangun lambat sebab semalam bertugas,” beritahu Syamsul tanpa ditanya.

“Patutlah,” jawab Azizan sepatah.

“Apa yang patut, Izan?” Dia berhenti mengunyah seketika.

“Patutlah lahap sangat macam tak makan dua hari!”  gurau Azizan lalu ketawa perlahan.

Melongo Syamsul dengan gurauan Azizan itu. Namun dia tidak ambil hati. Dia tahu kata-katanya lagi laser dari Azizan. Dia meneruskan suapannya.

“Hai Azizan...”

Azizan mahu pun Syamsul sama-sama mengangkat wajah. Seorang perempuan muda melangkah menghampiri meja mereka. Syamsul segera menelan makanan dalam mulutnya. Nasib baik sudah dikunyah beberapa kali. Terpegun juga menatap gadis bertubuh genit dan berkulit cerah dengan blaus warna merah terang dan skirt hitam yang singkat itu mengenali Azizan.

Azizan meletakkan sudu dan garpu di tepi pinggan.  Napkin di atas ribanya diangkat dan dilapkan ke sudut bibirnya sebelum bersuara. 

“Hai, Nora. You buat apa kat sini?” tanya Azizan. Napkin diletakkan semula di atas ribanya.

“I pun datang nak makan,” kata gadis itu dengan suara manja. Dia berdiri rapat di sisi kerusi Azizan.

Syamsul hanya memerhati. Pandangannya terpaksa dilarikan. Terasa janggal pula perasaannya melihat kemesraan perempuan itu terhadap Azizan. Dia tidak pernah tahu Azizan rapat dengan mana-mana wanita. Setahunya, tidak ada gadis bernama dan serupa itu bekerja di pejabat Azizan. Akhirnya Syamsul meneruskan suapannya semula.

“You datang seorang saja ke?” tanya Azizan.

Jari telunjuk gadis itu lurus ditujukan pada sebuah meja yang diduduk oleh seorang lelaki separuh baya dan seorang perempuan berbaju kebaya nyonya berwarna biru.

Azizan mengangguk. “I tak dapatlah belanja you hari ni, kan?” kata Azizan lagi sekadar berbasa-basi separuh bergurau.

“Emm... masih ada peluang lagi. Malam ini, okey tak?” tanya Nora dengan senyuman yang semakin lebar.

Terhenti suapan Syamsul. Spontan matanya terarah ke wajah Azizan yang tersenyum nipis. Syamsul tertunggu-tunggu jawaban dari mulut sahabatnya.

“Malam ini? Tak dapatlah... I dah ada rancangan dengan kawan I ni.” Azizan menatap wajah Syamsul yang melongo.

Azizan sengaja menepuk bahu sahabatnya. Kali ini Syamsul hampir tersedak. Air yang diminumnya hampir tersembur keluar.

“Alah! Dah lama kita tak keluar. Dulu you pernah ajak I keluar makan malam. Kenapa sekarang tak boleh? Sekali-sekala you perlu berhibur juga. Jangan asyik nak kerja saja.  Malam esok kita keluar, okey?” pujuk Nora sambil tubuhnya meliuk manja. Perempuan itu tanpa rasa segan memujuk Azizan keluar.

Syamsul menatap tepat ke wajah Azizan.

“I tak janji, Nora. I sentiasa sibuk. Oh ya... kenalkan, ini kawan I, Syamsul. Nora ni jiran saya, Syam,” kata Azizan.

“Hai, Syam.” Dengan senyuman yang manis, Nora menghulurkan tangan.

Syamsul tetap menyambut huluran tangan Nora dengan sopan. “Hai....” balasnya sepatah.

“I balik ke meja I dulu ya.”

Serentak Azizan dan Syamsul mengangguk.  Azizan memegang sudu dan garpunya semula. Setelah tiga kali suapan dia berhenti. Matanya tertuju pada Syamsul yang asyik menikmati makanannya tanpa bersuara.

“Syam, Nora tu jiran aku. Dia tinggal kat rumah sebelah,” beritahu Azizan.

“Hmm, kau dah cakap tadi, kan? Dia tu orang Cina ke Melayu?” soal Syamsul dengan tenang.

“Dia orang Melayu. Nama dia sebenar Noralina... kalau tak silap. Kenapa?”

“Tak ada apa-apa.” Syamsul lalu meneruskan suapannya.

Azizan bungkam, mengerutkan dahi. Selepas menghabiskan makanannya, Syamsul tetap tidak bersuara.

“Syam...”

“Ya?” Syamsul meletakkan gelasnya selepas meneguk jus lobak merah sehingga habis.

“Kau okey?” tanya Azizan perlahan.

“Ya. Aku okey. Kenapa tanya?”  Syamsul mengerutkan dahinya, hairan. Tidak pula dia terasa ada kelainan dalam dirinya. Cuma sebentar tadi fikirannya sedikit terpesong apabila perempuan bernama Noralina itu menyapa dan berborak mesra dengan Azizan.

“Tak adalah, cuma aku pelik tengok kau diam saja.  Biasanya kau suka bersyarah!” kata Azizan sambil tersenyum.

“Hmm, saja nak menikmati kelazatan makanan ni. Kalau mulut sibuk berbual, nikmat makanan tu kurang sikit.” Syamsul ketawa.

“Okeylah kalau macam tu, jangan pula disebabkan Nora.”  Azizan tidak meneruskan kata-katanya. Dia tidak mahu bersangka buruk terhadap Syamsul.

“Kenapa pulak dengan dia?” tanya Syamsul.

“Kau jangan salah faham antara aku dengan Nora tu.  Kami kawan biasa aje,” jelas Azizan sambil tersengih.

“Aku faham. Takkan berkawan pun tak boleh? Itu hak kau, nak kawan dengan siapa aje yang kau suka, kan? Fikiran aku ni tak kuno. Apa yang penting kau tak langgar undang-undang.

Aku malu nak lawat kau kat lokap. Ingat tu!” kata Syamsul panjang lebar. Menghela nafasnya perlahan dan akhirnya ketawa.

“Aku pun tahu undang-undanglah,” bangkang Azizan lalu turut ketawa.

“Manalah tahu, kau terlupa pulak. Maklumlah zaman moden ni, apa pun boleh berlaku!” usik Syamsul lagi.

Setelah menjelaskan bayaran makanan, Azizan melangkah panjang terus menghala ke pintu restoran hingga ke lobi hotel. Syamsul berada di sampingnya sambil membelek sekeping risalah yang diambilnya di kaunter sebentar tadi.

Tanpa disedari mereka, sepasang mata galak mengekori setiap inci langkah Azizan hingga hilang daripada pandangan.

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan