Home Novel Cinta Benci Itu Rindu
Benci Itu Rindu
Angela Engkuan
4/2/2014 09:44:47
94,661
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 16

NATASYA tiba di pejabat Arryl setengah jam lebih awal. Sejurus tiba di depan bilik abangnya, dia terpaku. Wajah ayu seorang gadis menyambutnya dengan ucapan salam penuh ramah dan sopan. Sungguh manis senyuman menghiasi bibirnya yang mungil.

“Puan nak jumpa Encik Arryl?” tanya Mariah dengan wajah manis.

“Ya. Adik ni staf baharu ke?” tanya Natasya pula. Matanya tertancap tepat ke wajah gadis yang pertama kali dilihatnya di dalam pejabat Arryl.

“Ya, puan. Saya baru dua bulan kerja kat sini,” jawab Mariah.

“Dua bulan? Emm... dah dua bulan saya tak ke sini rupanya. Siapa nama adik?” tanya Natasya lagi. Matanya masih tertumpu pada Maria, staf baharu di syarikat guaman milik abangnya itu.

“Nama saya Mariah, puan.” Mariah segera menghulurkan tangan, disalaminya wanita anggun itu.

“Saya Natasya, adik Arryl.” Natasya memperkenalkan diri sambil menyambut salam Mariah.

“Maafkan saya, puan. Saya tak kenal tadi.”

“Tak mengapa. Sekarang Mariah dah kenal kakak.” Natasya ketawa.

“Okeylah, kakak pergi jumpa Arryl dulu,” sambungnya.

Mariah melangkah mengiringi langkah Natasya menuju ke bilik pejabat Arryl. Natasya hanya memerhati gerak-geri Mariah. Mariah mengetuk pintu dengan perlahan dan tangan kirinya sedia memegang tombol pintu.

“Silakan masuk, puan.” Mariah mempersilakan.

“Panggil kakak saja, Mariah.” Natasya tersenyum, berasa itu lebih mesra.

“Err... baiklah kakak. Nanti saya sediakan minuman, ya.” Kata Mariah sebelum Natasya melangkah masuk.

“Terima kasih, Mariah.”

“Sama-sama, kak.”

Mariah menutup pintu setelah Natasya masuk. Kakinya terus melangkah keluar dari biliknya menuju ke pantri.

Di dalam bilik, Arryl menyambut kedatangan adiknya dengan senyuman.

“Muncul juga akhirnya,” sapanya sejurus mereka berbalas salam.

Natasya yang belum sempat duduk tersengih. “Abang ni, bukannya nak tanya khabar Tasya,” usiknya.

“Begitulah orang sibuk, kan? Kalau muncul depan abang ni tandanya abang ni bernasib baik. Berbulan abang tak nampak batang hidung tu. Tinggal bukannya jauh pun, tak sampai 10 kilometer tapi bukan main susah nak jumpa. Macam nak jumpa menteri!” Panjang lebar bebelan Arryl.

“Bukan sengaja, bang. Abang bukan tak tahu, Tasya sibuk sangat. Mana nak urus anak, urus suami, urus rumah, urus kerja, urus projek lagi. Semuanya perlu diurus. 24 jam tu tak cukup rasanya.” Natasya mengeluh.

“Kalau tak kerja siapa nak tanggung keluarga kita? Tapi macam Tasya ni lainlah. Sudah kaya masih lagi nak jadi lebih kaya. Hah, itulah pasal 24 jam pun tak cukup!” kata Arryl lagi.

“Abang janganlah kutuk Tasya teruk sangat. Harta meninggi macam Gunug Kinabalu pun kalau duduk rumah tak buat apa, boleh runtuh juga, bang.”

“Okeylah... Tasya datang ni mesti ada hal penting, kan? Apa yang boleh abang bantu?” tanya Arryl.

“Ya tapi sebelum tu... abang sudah ada setiausaha baru, ya?” tanya Natasya.

“Itulah tandanya Tasya sudah lama tak melawat abang.”

“Ah, baru dua bulan... bukannya dua tahun!”

“Tasya ada hati rupanya nak buat macam?” tuduh Arryl lantas mencebik tanda mengejek.

“Eh... taklah! Tasya betul-betul sibuk. Bukan sengaja tak nak datang.” Wajah Natasya redup, rasa bersalah.

“Okeylah... abang faham. Saja abang nak usik adik abang ni.” Arryl ketawa.

“Syukurlah abang faham. Emm... cantik Mariah tu, kan bang? Buat kerja macam mana?”

“Boleh tahan juga cekapnya. Sebenarnya dia berpengalaman. Sebelum ni dia kerja di syarikat guaman juga sebab tu abang terima Mariah tu kerja,” jelas Arryl.

“Apa kelulusan dia, bang? Jarang boleh dapat staf cekap buat kerja sekarang ni.”

“Tasya ni banyak tanya. Mariah tu staf abang, jangan pula berangan nak pinjam. Nanti abang juga yang susah. Tasya bukannya nak bantu. Janji nak tolong carikan abang staf... berkulat abang tunggu!” Arryl mengomel.

“Abang ingat senang nak cari setiausaha yang memenuhi kriteria? Nanti Tasya carikan yang banyak ragam, Tasya juga yang abang salahkan! Tapi... sekarang abang dah ada setiausaha muda, cantik dan rajin. Okeylah tu, kan?” Natasya ketawa sambil menjongket-jongketkan keningnya yang lebat cantik terbentuk.

“Tasya datang ni nak puji setiausaha abang ke nak minta khidmat peguam?”

“Abang ni... sabarlah! Berborak sekejap pun tak boleh? Tadi bising pulak Tasya tak datang melawat!” Giliran Natasya pula mengomel.


SETELAH menghidangkan dua cawan teh panas di bilik Arryl, Mariah kembali ke mejanya. Beberapa sampul surat yang dihantar oleh posmen sebentar tadi diteliti. Semua surat dialamatkan kepada majikannya, Encik Mohamad Arryl Bin Mohamad Nordin. Mariah menyusun dan meletakkan semua surat itu semula di mejanya. Dia akan serahkan kepada Arryl setelah Natasya keluar.

Bayangan Natasya yang jelita dan anggun melintas pula dalam fikirannya. Walaupun baru pertama kali bersua dengan wanita anggun itu, Mariah terkesan akan kemesraannya. Baginya, hidup Natasya sangat bahagia dan gembira. Alangkah beruntung menjadi wanita seperti Natasya. Bukan sahaja cantik tetapi hidup senang dan kaya. Bibir mengukir senyum tipis, hatinya menyenangi adik majikannya itu. Walaupun kaya raya tetapi tetap peramah, tidak menyombong.

Mariah meneruskan kerja-kerja yang perlu diselesaikan. Dokumen perjanjian pelanggan syarikat telah pun ditetapkan tarikhnya. Dia perlu selesaikan semuanya sebelum tempohnya tamat. Selepas ini pasti banyak lagi tugas yang perlu diselesaikan.

Jari-jemari Mariah semakin lancar di atas papa kekunci. Telefon di tepi mejanya tiba-tiba berdering nyaring. Gagang telefon segera dicapai. Suara merdu penyambut tetamu kedengaran di corong telefon.

“Ya, Laura?”

Cute girl, adaclientnak jumpa bos. I suruh dia jumpa you.”

Mariah tersenyum. Laura Wong, operator sekali gus sebagai penyambut tetamu syarikat itu.Cute girl, entah bagaimana gadis berbangsa Cina itu mendapat idea memberi gelaran itu kepadanya sejak hari pertama dia bekerja di situ.

Mariah segera meletakkan gagang. Jika lebih lama gagang melekap di cuping telinga pasti ada saja usikan Laura. Sejurus talian diputuskan, seorang lelaki muda menghampiri meja Mariah. Dia terpaku. Matanya merenung tepat wajah lelaki itu. Mereka sama-sama tergamam. Namun lelaki itu segera tersedar lantas mengucapkan salam. Mariah tunduk, tersenyum malu namun dijawab salam lelaki itu.

“Encik Arryl ada?”

“Ada, encik. Tapi Enck Arryl masih ada tetamu. Boleh encik tunggu sebentar?” Mariah berusaha tampak tenang.

“Tak mengapa, saya boleh tunggu.”

Mariah mengangkat muka, cuba menatap wajah lelaki itu namun segera menundukkan, tatkala lelaki itu ralit merenung wajahnya. Rasa berbahang kulitnya.

“Boleh saya tahu nama encik? Saya akan maklumkan kepada Encik Arryl.” Mariah gugup. Mata lelaki itu seakanakan meneliti setiap pergerakannya. Kaku dibuatnya.

“Nama saya Azizan. Cik ni staf baharu ke?”

“Ya, encik. Saya baru dua bulan kerja kat sini.” Mariah berusaha tersenyum walaupun bibirnya rasa seperti membeku.

“Patutlah!”

Kening Mariah terangkat sedikit. “Patutlah? Err...”

“Saya datang beberapa bulan yang lalu, saya tak jumpa cik kat sini.”

Azizan tersenyum. Gadis itu tampak ayu di matanya bila mengenakan baju kurung warna hijau muda. Azizan menghela nafas dalam diam.

Mariah mengangguk. Azizan bukan orang pertama yang menyatakan perkara yang sama kepadanya.

“Cik tak perlu tergesa-gesa beritahu Encik Arryl. Saya boleh tunggu. Siapa nama cik?” tanya Azizan. Merenung ralit wajah lembut yang sungguh manis di matanya itu.

“Saya Mariah. Encik boleh tunggu di ruang menunggu. Silakan encik.” Mariah segera berdiri, mempelawa Azizan menunggu di ruang yang lebih selesa.

“Mariah... hmm, cantik nama tu! Tak apa, saya tunggu kat sini saja, boleh?”

Mariah serba salah namun dia tetap tersenyum. Dia tidak tahu apakah dia harus menggeleng atau mengangguk. Terasa canggung kerana Azizan berdiri di hadapannya bagai meneliti setiap pergerakannya. Mariah terkaku tatkala Azizan sendiri menarik sebuah kerusi lalu duduk tanpa pelawaannya.

“Maafkan saya, Encik Azizan...”

“Tak mengapa. Tak perlu risau. Saya dah biasa layan diri sendiri.” Azizan ketawa perlahan.

“Cik Mariah, kita pernah berjumpa, kan?” sambung Azizan lagi.

Mariah tersenyum. “Panggil saya Mariah saja. Saya juga rasa macam tu encik, tapi tak pasti...” kata Mariah jujur.

“Kita pernah terserempak kat Habour City beberapa bulan lepas. Takdir temukan kita sekali lagi di sini.”

“Habour City? Ya... ya saya dah ingat. Masa tu saya terlanggar Encik Azizan. Saya minta maaf, saya tak sengaja!” kata Mariah tersipu.

“Tak mengapa. Perkara kecil saja.”

Mariah menghubungi Arryl melalui interkom. Lembut dan sopan pertuturannya. Anak mata Azizan seakan-akan tidak dapat dialihkan. Sesuatu menjentik perasaan lelakinya. Namun dia segera menghela nafas, menyingkirkan perasaan itu.

“Encik Azizan, Encik Arryl dan Puan Natasya sedang menunggu, silakan.”

Azizan mengangguk. Lambat-lambat dia bangun. Mariah melangkah mendahului Azizan sehingga di hadapan pintu bilik Arryl. Ketika Mariah ingin mengetuk daun pintu, Azizan bersuara.

“Mariah, terima kasih kerana sudi berbual dengan saya. Mariah sudi terima kad saya?” Azizan menghulurkan sekeping kad perniagaannya.

“Terima kasih, Encik Azizan.” Mariah tersenyum ramah.

Kad yang Azizan hulurkan diterima dengan sopan. Sungguh senyuman yang Azizan lemparkan sebelum melangkah masuk ke dalam bilik Arryl membuatkan hati Mariah terasa lain dari biasa. Dadanya bergetar halus.

Tatapan Azizan seperti menyentuh perasaannya. Sungguh, perasaannya terasa amat berbeza dan renungan Azizan yang tampan itu meninggalkan kesan di hati gadisnya. Sesuatu yang belum pernah dirasainya. Aneh sungguh!

“Ya ALLAH. Aku perasan? Entah-entah dia tu suami orang!” bisik Mariah lantas menjongketkan bahunya.

Mariah tersenyum lantas menggelengkan kepala, malu pada dirinya sendiri. Dia kembali ke tempat duduknya lalu segera meneruskan kerjanya yang tertangguh kerana kehadiran Azizan sebentar tadi.

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan