Home Novel Cinta Benci Itu Rindu
Benci Itu Rindu
Angela Engkuan
4/2/2014 09:44:47
30,959
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 1

BAB 1

CIKGU Roslini menatap jam tangannya seketika. Tinggal lima minit lagi sebelum waktunya mengajar tamat di kelas Tingkatan Enam Cemerlang. Satu per satu buku latihan diselak dan dikira dalam hati. Hanya ada 32 buah buku latihan. Dia melayangkan pandangan ke seluruh kelas. Pelajar yang hadir seramai 33 orang daripada 35 orang sepatutnya. Masih ada pelajar yang belum menghantar buku latihan.

“Siapa lagi yang belum hantar buku latihan? Harmizan dan Doni tak hadir, ada seorang lagi belum hantar!” Suara Cikgu Roslini cukup jelas bergema di dalam kelas itu.

Semua pelajar memandang ke arah salah seorang pelajar perempuan yang bangun berdiri perlahan-lahan.

Cikgu Roslini mengerutkan dahi. “Mariah, awak yang tak hantar buku latihan?”

Perlahan-lahan Cikgu Roslini melangkah menghampirimeja Mariah dan memandang tepat ke wajah muridnya itu. Seakan-akan tidak percaya. Tidak pernah berlaku. Mariah tidak pernah culas menyiapkan kerja sekolah selama ini.

“Mariah...”

“Cikgu... saya... saya minta maaf.”

“Apa masalah awak, Mariah? Seingat cikgu, awak takpernah macam ni. Tak mengapalah, kalau tak siap lagi, awak hantar selepas waktu rehat nanti.”

“Maafkan saya, cikgu. Saya memang tak buat latihan yang cikgu suruh tu sebab... sebab...” Mariah kelu lantas menundukkan kepalanya. Hangat dan rasa tebal kulit wajahnya dengan pandangan puluhan mata tertumpu ke arahnya.

“Awak jumpa cikgu waktu rehat nanti, Mariah.”

Anggukan Mariah mencuit perasaan Cikgu Roslini. Wajah polos itu tampak teramat sayu. Dia menghela nafas berat. Pasti bukan ringan bebanan fikiran Mariah kali ini. Melihat wajah pucat Mariah, Cikgu Roslini tidak sampai hati untuk tidak mengambil tahu. Mariah pelajar cemerlang namun sejak kebelakangan itu wajahnya semakin hari semakin murung. Remaja itu bagai kehilangan keceriaan.

RUANG pejabat para guru agak lengang. Rata-rata guru sudah berada di kantin sekolah pada waktu rehat. Hanya beberapa orang lagi guru yang berada di meja kerja mereka. Sesekali mata mereka melayangkan pandangan pada pelajar yang duduk di hadapan meja Cikgu Roslini. Sebagai pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM tahun lalu di sekolah itu, sudah pasti semua guru mengenali Mariah. Dia juga di antara murid yang rapat dengan Cikgu Roslini malah Mariah pelajar kesayangan Cikgu Roslini.

“Cikgu, saya minta maaf.” Kata maaf itu saja yang difikirkannya sesuai untuk diungkapkan.

“Tak mengapa, Mariah. Awak terangkan pada cikgu, kita selesaikan sama-sama masalah awak tu.”

Mariah mengangkat wajahnya. Ditatap seketika wajah lembut cikgu itu. Agak lapang dadanya mendengar kata-kata Cikgu Roslini namun dia tidak mahu mengharap belas kasihan lagi. Selama ini Cikgu Roslini sudah banyak membantunya.

“Cikgu, saya minta maaf. Sebenarnya saya nak berhenti belajar,” kata Mariah perlahan. Diramasnya jari-jemari yang mulai menggeletar.

“Mariah! Apa awak cakap ni?” Besar mata Cikgu Roslini memandang remaja itu.

“Cikgu... saya...”

“Sudah berapa kali cikgu cakap pada awak. Jangan sekalikali berfikir untuk berhenti belajar!”

“Tapi cikgu... saya banyak masalah.”

“Saya faham masalah awak tapi masalah awak tu taklah besar sangat cuma awak perlu bersabar. Ramai lagi pelajar lain yang ada masalah seperti awak tapi mereka masih nak

terus belajar! Awak bersabar ya.”

Mariah pandang semula wajah Cikgu Roslini. Namun dia tidak berani bertentang mata. Bersabar? Ah, Cikgu Roslini belum memahami keadaannya. Gurunya itu pasti tidak tahu, masalah yang ‘tidak besar sangat’ itulah yang membuatkan dirinya tidak layak berada di sekolah itu lagi. Jika setakat memikirkan pakaian seragam lusuh yang membalut tubuhnya dari hari Isnin sehingga Jumaat dan dengan peralatan sekolahnya yang ala kadar, dia masih

mampu bertahan. Namun, jika telinganya sering ditadahkan dengan sindiran sebab belum menjelaskan yuran-yuran khas di sekolah itu dan belum memiliki buku-buku rujukan, bagaimana dia mampu membendung rasa malu? Dia sudah tidak betah lagi untuk terus berada di situ.

“Awak jangan putus asa, Mariah. Bertahanlah dulu.”

Bertahan? Sehingga bila? Jika bertahan untuk menanti sesuatu yang mampu menyelesaikan masalahnya, boleh. Ya dia tentu boleh bertahan. Tetapi apa yang ditunggunya?

“Mariah, fikirkanlah masa depan awak. Dengan pendidikan sajalah awak mampu mengubah masa depan.”

Terkebil-kebil mata gadis muda itu menatap wajah Cikgu Roslini. Mata bening itu sudah berkaca namun ditahan sedaya upaya agar air matanya tidak gugur. Dalam dada sudah

berbuku sebaknya.

“Jangan berhenti setakat ini, Mariah. Awak boleh, kan?” Lembut nada Cikgu Roslini memujuk.

“Cikgu... saya nak sangat belajar. Ikut hati saya memang tak nak berhenti. Papa saya sudah berusaha tapi abang saya sedang sakit, adik-adik pun nak belajar. Papa perlukan duit untuk rawatan abang saya. Saya tak sampai hati nak tambahkan beban papa saya lagi, cikgu.” Mariah melepaskan keluhan di hujung luahannya. Ditundukkan wajahnya agar Cikgu Roslini tidak melihat air matanya yang bergenang.

“Mariah, awak bertahanlah dulu. Kita cari jalan selesaikan masalah awak ya,” pujuk Cikgu Roslini lagi. Bertimbun simpatinya terhadap Mariah.

Mariah menarik nafas panjang dan dalam. “Sebenarnya saya malu, cikgu. Malu sangat sebab saya seorang saja yang belum jelaskan semua yuran. Buku rujukan satu pun saya tak mampu nak beli... asyik nak pinjam. Sampai bila saya nak bergantung belas kasihan kawan-kawan? Mungkin... jika abang saya tak sakit, beban papa saya tentu tak terlalu berat. Agaknya nasib saya memang tak baik, kan cikgu?”

Mariah tidak berniat meminta simpati tetapi hatinya memang sedih. Inilah pertama kali dia rasa hatinya terlalu pedih kerana hidup serba kekurangan. Walaupun hidupnya susah selama ini tetapi tidak pernah dia berasa kesal. Namun, berhenti belajar! Tidak pernah terlintas di hatinya tapi dia terpaksa beralah. Andainya Anding tidak sakit, pasti hidup mereka sekeluarga tidak sesukar itu.

“Jangan cakap macam tu Mariah. Setiap manusia sudah tersurat nasibnya masing-masing. Cikgu yakin masalah awak ini ada penyelesaiannya.”

Cikgu Roslini merenung wajah Mariah yang resah. Dia faham apa yang bersarang dalam fikiran gadis yang berwajah cantik dan ayu itu. Dia sebenarnya kagum, bagaimana seorang penoreh getah yang hidup susah dan serba kekurangan mempunyai anak yang sebijak Mariah. Walau tubuhnya yang kurus itu sentiasa berbungkus seragam lusuh dan tidak berseri, namun wajah gadis itu tetap cantik berseri.

“Tahun ini awak ambil peperiksaan STPM. Tak lama lagi, Mariah. Tawaran ke kolej matrikulasi pun awak dah tolak. Sekarang awak nak lepaskan pula peluang belajar.”

“Saya dah mendaftar peperiksaan STPM, cikgu. Saya akan duduk peperiksaan bulan November nanti. Cikgu jangan risau, ya.”

“Mariah... awak berhenti belajar tapi awak nak menduduki peperiksaan tanpa mengikuti pembelajaran? Cara begitu bukan mudah, Mariah...” Lembut suara Cikgu Roslini memujuk. Ingin benar dia melihat Mariah mencapai keputusan yang terbaik dan cemerlang dalam peperiksaan STPM yang hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi.

“Saya tahu cikgu tapi saya akan berusaha. Saya akan belajar sendiri. Saya tak sampai hati tengok papa susah lagi. Pendapatan papa tak menentu. Saya bimbang nanti papa tak mampu nak bawa abang buat rawatan. Lagipun adik-adik saya ada tiga orang lagi yang perlu dibiayai. Tak mengapalah. Biarlah saya beralah.”

Cikgu Roslini terdiam. Dia hanya mampu merenung wajah Mariah yang sayu dan muram. Dia tahu azam Mariah kuat dan tinggi hendak melanjutkan pelajaran. Namun nasib tidak menyebelahi gadis itu. Sejak namanya diumumkan dalam perhimpunan minggu lepas sebagai pelajar yang belum menjelaskan yuran yang tertunggak sejak tahun lalu, gadis itu seakan- akan patah semangat. Cikgu Roslini tahu latar belakang Mariah. Malah ramai guru yang tahu termasuklah pengetua sekolah itu.

Sebagai seorang anak petani, Cikgu Roslini masak benar dengan erti kesusahan dan kesempitan hidup. Mariah tidak jauh beza dengan dirinya suatu ketika dahulu. Mungkin dia bernasib baik kerana mempunyai kakak dan abang yang sudah bekerja dan mampu membantu ibu bapa mereka. Mariah adalah seorang anak penoreh getah, mempunyai seorang abang yang sedang terlantar sakit dan tidak mampu berjalan. Adik-adik pula ada seramai tiga orang yang masih bersekolah. Cikgu Roslini amat faham keadaan itu.

“Mariah, andai cikgu dapat menahan... cikgu tak mahu awak berhenti belajar setakat ini saja. Tapi jika melibatkan hal keluarga, cikgu tak mampu menahan. Awak berbincanglah dengan keluarga awak. Jika ada cara yang dapat membantu, awak mesti terus belajar demi masa depan awak.”

Mariah mengangguk-angguk lemah. Dia sentiasa berharap keadaan akan berubah. Sekiranya papanya mampu, dia tidak akan berhenti belajar. Dia ada cita-cita. Impiannya ingin menjejakkan kaki hingga ke peringkat universiti namun dia belum melihat jalan menuju ke arah itu. Sendat dadanya menahan sebak. Ditundukkan kepalanya, Mariah tidak mahu Cikgu Roslini merenung matanya yang sudah tidak dapat menampung air mata.

Cikgu Roslini terharu. Hatinya terlalu belas dan bersimpati namun apa yang mampu dilakukannya? Dia hanya seorang guru. Dia hanya mampu memberi ilmu dan tunjuk ajar serta nasihat. Sedih hatinya namun seberat-berat mata memandang berat lagi bahu memikul, Mariah pasti lebih

sedih tika itu.

Melihat air mata Mariah mulai mengalir di pipinya yang gebu, Cikgu Roslini tidak dapat menahan sebak. Sesungguhnya dia ingin membantu gadis itu.

“Mariah... awak tak perlu berhenti belajar. Cikgu akan bantu awak. Awak teruslah belajar, ya?”

“Bantu? Bantu bagaimana, cikgu?”

“Cikgu akan bayar semua yuran awak... termasuk yang tertunggak tu. Awak senaraikan buku-buku rujukan yang awak perlukan. Hujung minggu cikgu akan ke bandar, cikgu akan beli buku-buku rujukan yang awak perlukan tu.”

Mariah ternganga sedetik. Bulat matanya menatap wajah ayu Cikgu Roslini. “Cikgu! Tidak cikgu. Saya tidak boleh susahkan cikgu.”

“Kenapa? Cikgu ikhlas nak bantu awak, Mariah.”

Mariah menggeleng beberapa kali. “Terima kasih, cikgu...tapi saya tak mahu susahkan cikgu. Sebenarnya hari ni hari terakhir saya hadir, cikgu. Saya datang hari ini pun sebab saya nak jumpa cikgu dan cikgu yang lain. Saya nak ucapkan terima kasih dan selamat tinggal pada cikgu. Maafkan saya kerana hampakan harapan cikgu. Esok... saya tak akan datang lagi, cikgu.” Ya ALLAH, itulah ayat yang paling meremukkan hatinya. Bergetar nadanya saat menghabiskan sebaris ayat terakhir itu. Esok ya, esok dia tidak akan datang lagi ke sekolah. Sedih, sakit dan pedih segenap perasaannya.

Cikgu Roslini terasa kerongkongnya bagaikan kering. Dia terkilan mendengar kata-kata gadis di hadapannya itu. Dia tidak menyangka secepat itu Mariah membuat keputusan. Sungguh jelas gadis itu memang nekad hendak meninggalkan alam persekolahannya. Sekolah itu bakal kehilangan seorang pelajar cemerlang yang mampu mengharumkan nama sekolahnya. Mariah merupakan salah seorang di antara pelajar yang diramal akan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan STPM tahun itu.

Cikgu Roslini menghela nafas yang berat. “Apa yang awak buat lepas berhenti belajar, Mariah?” Tanyanya dengan rasa putus asa.

“Saya akan bantu papa menoreh, bantu mak tanam sayur... apa-apa saja kerja yang boleh tambahkan pendapatan keluarga saya, cikgu.” Mariah bertutur ikhlas. Memang itulah yang akan dilakukannya. Senyuman tawar terpapar di bibirnya menutup kepahitan yang ditelannya.

Cikgu Roslini menarik nafas lebih dalam lantas melepaskan keluhan. Hatinya tersentuh. Mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM akhirnya hanya membantu menoreh getah dan bercucuk tanam? Sungguh kasihan Mariah!

Bagaimana dengan masa depan gadis ini? Jika bukan dengan kemajuan akademik, apakah cara lagi yang dapat mengubah masa hadapan? Cikgu Roslini hanyut seketika memikirkan permasalahan Mariah yang tidak terbantu.

Previous: PROLOG
Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan