Home Novel Cinta Benci Itu Rindu
Benci Itu Rindu
Angela Engkuan
4/2/2014 09:44:47
94,553
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 21

SOFINA sekali lagi berdiri di hadapan cermin di pintu almari pakaiannya. Blaus longgar lengan panjang berwarna merah jambu cerah sedondon dengan tudungnya. Dipadankan dengan seluar jeans berwarna biru gelap. Tudungnya dibetulkan lagi agar lebih kemas. Hujung tudung diletakkan di bahu kiri dan sebiji kerongsang yang bersinar cantik disematkan agar hujung tudungnya tidak jatuh terjuntai. Dia mudah terganggu jika hujung tudungnya ditiup angin.

“Emm.. dah cantik!” pujinya sendiri lalu tersenyum manis.

Ditinggalkan biliknya setelah berpuas hati dengan penampilannya. Di depan pintu bilik Mariah, dia mengetuk daun pintu.

“Masuk aje, Sofi... pintu tu tak berkunci pun.” Laung Mariah dari dalam bilik itu.

Keningnya yang hitam tebal terangkat apabila melihat sahabatnya masih menghadap buku undang-undang setebal satu inci. Ya ALLAH... dia belum bersiap? Sofina mengeluh di dalam hati.

Sejak awal pagi dia memujuk sahabatnya itu supaya bersiap. Dia mengajak sahabat baiknya itu pergi bercuti bersamanya. Dia sudah berjanji pada abang untuk datang bercuti di Johor Bahru apabila cuti semester bermula. Ke Johor Bahru saja, bukan ke luar negara pun! Tetapi Mariah ini memang ‘keras hati’. Berpuluh-puluh kali sudah dia mengajak, tidak pernah dia berjaya memujuk.

“Mariah...”

Mariah mendongak. “Wow... cantiknya! Sedap mata memandang,” pujinya ikhlas.

Sofina tersengih. “Thanks!Kenapa kau tak bersiap lagi?” tanyanya lalu duduk di tepi katil Mariah.

Setelah dua tahun bersama, persahabatan mereka semakin erat. Di mana ada Mariah di situlah juga ada Sofina. Di mana ada Sofina di situlah juga ada Mariah. Hakikatnya mereka berdua memang serasi meski berbeza latar belakang.

“Sofi, boleh tak kalau saya tak pergi?”  Sesungguhnya dia tidak sampai hati hendak menolak lagi. Adakalanya dia bimbang Sofina berkecil hati. Bohonglah jika dia tidak ‘tergoda’ setiap kali Sofina mempelawanya keluar membeli belah, makan dan bersembang dengan rakan-rakan kuliah. Namun dia sudah sedaya upaya ‘menangkis godaan’ seperti itu kerana ‘kemampuannya’ sangat terhad.

“Alah, pergilah... Tak seronoklah aku pergi sorang-sorang. Lagipun awak dah lama tak cuci mata. Asyik berulit buku!”

“Eh, saya cuci mata dua kali sehari tau,” Mariah ketawa.

“Saya tahu awak tu bakallawyertapi tak payahlah loyar buruk dengan saya! Kita pergi hari ni, lima hari nanti kita baliklah ke sini. Tak lama pun.”

“Sofi, saya malu. ” dalih Mariah.

“Malu pada siapa? Rumah abang saya tu tak ramai orang pun. Kakak ipar dan tiga orang anak dia saja. Anak-anak abang tu kecik lagi. Marilah, Mariah. Saya nak awak ikut jugak!” Sofina tidak putus asa memujuk.

“Sofi, kalau setakat sehari dua tak jadi masalah tapi lima hari, segannya!”

“Tak perlu segan, saya kan ada.” pujuk Sofina lagi.

“Itu rumah abang awak tentulah awak tak segan tapi saya? Saya orang luar. ”

“Eh, tak payah nak merendah diri! Saya dah banyak kali ajak awak? Tak pernah pun awak sudi. Dua tahun kita berkawan, tak pernah awak nak ikut saya sekali pun. Kali ni awak mesti ikut!”

“Kalau saya tak nak juga... awak nak angkat saya ke?”

“Ya! Kalau dah terpaksa. Bukan susah sangat. Di depan rumah tu boleh naik teksi. Sampai KL Sentral nanti, saya mintalah abang bas tu bawa troli untuk sorong awak.”

“Sofina! Awak ingat saya ni barang? Nak angkat dengan troli?” Mariah terjerit. Sebatang pen dicapai lalu dilemparkan pada Sofina.

“Mariah, janganlah banyak songeh! Marilah kita pergi...” Sofina memujuk lagi.

Begitulah sikap Sofina. Adakalanya dia suka mendesak tapi dia seorang gadis yang baik hati. Sentiasa ambil berat.  Mariah banyak terhutang budi pada Sofina. Tidak pernah berkira sehingga adakalanya Mariah terasa segan. Kadangkala Mariah tertanya-tanya dalam hati. Dia tidak boleh mengikut rentak Sofina terutama dalam soal berbelanja. Mariah perlu berhemat jika berbelanja. Setiap ringgit yang dibelanjakan perlu diambil kira, perlu ada sebabnya mengapa wang itu dibelanjakan. Mariah sedar, wang yang dibelanjakan itu bukan daripada hasil titik peluhnya sendiri tetapi hasil dari tajaan syarikat. Sebab itulah Mariah berjimat sebagai tanda dia sungguh menghargai bantuan itu.

“Eh, awak termenung pulak dah?” tegur Sofina.

Mariah tersengih. “Tak adalah. Sofi, abang awak tak marah ke saya ikut pergi ke rumahnya?”

“Saya dah beritahu dia. Percayalah... abang saya tu baik.”

“Okeylah tapi...”

“Mariah... tak payah fikir lagi. Sekarang awak bersiap.”

Sofina senyuman lebar. Akhirnya, dia berjaya memujuk.  Mariah memang sukar diajak keluar. Sofina faham Mariah ingin berjimat cermat. Sungguh dia mengerti bahawa setiap manusia tidak sama ‘nasibnya’. Mungkin dirinya dikira ‘bertuah’ kerana menjadi anak bongsu dalam adik-beradiknya yang seramai empat orang. Abang dan dua orang kakaknya semuanya berpangkat besar. Perbelanjaannya ditanggung oleh mereka meskipun ibu bapa mereka berpendapatan tinggi.

“Cantik tudung awak, Sofi. Tudung baharu? Bila awak beli?” tanya Mariah ketika tangannya lincah melipat pakaian dan Sofina ringan tulang memasukkan ke dalam beg.

“Eleh! Baru nak puji? Saya beli dua minggu lalu. Itulah...saya ajak ke bandar, tak nak. Sekali-sekala mata kita perlu juga tengok dunia luar... bukan asyik tengok buku aje. Saya rasa awak ni dah terlebih belajarlah, Mariah.”

“Amboi! Sejak bila pandai berleter ni? Mana dapat istilah terlebih belajar tu? Tadi saya cakap pasal tudung awak, kan?”

Sofina tersengih namun dia tidak akan beralah. “Saya cuma nak ingatkan awak. Dunia awak bukan untuk belajar saja, dunia luar awak kena jenguk juga... ”

“Baiklah, Cik Sofina. Terima kasih atas peringatan tu!”

Akhirnya kedua-duanya ketawa.


MARIAH meneliti sepuasnya blaus warna ungu muda yang menarik hatinya. Dia sudah memilih dua pasang blaus, warna hijau pucuk pisang dan warna merah berpetak. Jika ditambah sepasang lagi, bermakna tiga pasang baju dibelinya sekali gus.

“Cantik semuanya tapi tiga pasang dah lebih RM160,” bisik Mariah.

“Awak nak beli berapa pasang, Mariah?” tanya Sofina ketika menghampiri sahabatnya itu.

“Rasa-rasa nak beli tiga pasang ni tapi…”

“Beli sajalah, tak mahal pun,” kata Sofina lagi sambil membelek tanda harga pada baju itu.

“Tiga pasang ni harga hampir RM160 tau.”

“Tak apalah. Cantik semuanya, Mariah. Menyesal kalau awak tak beli nanti.”

“Saya bayarkan yang warna ungu ni untuk awak, ya.” Sofina mencapai baju berwarna ungu itu dari tangan Mariah.

“Eh, tak usah. Saya bayar sendirilah.” Mariah menarik semula baju itu dari Sofina.

Sofina ketawa. “Saja nak usik awak. Beli baju tiga pasang pun macam tengah duduk exam aje. Fikir memanjang!” usik Sofina.

Mariah turut ketawa. Tidak lama kemudian mereka menuju ke kaunter pembayaran.

“Mariah, dah hampir pukul 5.00 petang. Saya dahaga.

Jom... kita cari teh tarikspecial,” ajak Sofina.

“Boleh juga,” balas Mariah.

Berlenggang kedua-dua gadis itu sambil berborak ceria.  Di tangan masing-masing menjinjing beg kertas.

Duduk santai menikmati teh tarik special sungguh menyenangkan. Sungguh terasa sedapnya gula Melaka dalam minuman itu. Mariah lega, akhirnya dapat duduk setelahbeberapa jam dihabiskan memilih baju.

“Sofi... beruntung awak.”

Sofina ketawa. “Tiba-tiba cakap pasal beruntung.  Kenapa?” tanyanya.

Mariah turut ketawa. “Beruntunglah sebab awak ada abang dan kakak ipar yang sangat baik,” ujar Mariah.

Terbayang wajah lembut Hajah Norlela, kakak Sofina yang bukan hanya kaya harta tetapi juga kaya dengan senyuman.

“Alhamdulillah... saya pun bersyukur Mariah, sebab saya masih ada ibu bapa, abang, kakak, kakak ipar, abang ipar yang penyayang. Ada anak-anak saudara yang baik. Saya gembira dengan apa yang saya miliki.”

Mariah tersenyum. Terbayang keluarganya yang beribu-ribu batu jauhnya. Dia juga beruntung, ada papa, mama, abang dan adik-adik yang sangat menyayangi dirinya. Tidak mengapa jika tidak punya harta namun mereka sungguh ‘kaya’ dengan kasih sayang.

“Awak pun sangat baik, Sofi. Terima kasih kerana sudi berkawan dengan saya.”

Sofina ketawa lagi. “Awak pun sangat baik... tak pernah lokek ilmu, tak berkira dan apa yang awak tahu dan fahami terlebih dahulu awak kongsi pada saya. Terima kasih, Mariah.”

“Hmm, apa hal kita tetiba sentimental pulak ni, Sofi? Dua tahun dah kita berkawan, hari ni tiba-tiba nak ungkit pasal kebaikan!”

“Ha’ahlah...”

Lalu mereka berdua ketawa sambil menekup mulut agar tawa mereka tidak terburai.

“Selepas minum, kita pergi City Square. Saya belum puas lagi beli-belah,” kata Sofina setelah lebih separuh gelas teh tarik diteguknya.

“Banyaknya baju yang awak dah borong, tak cukup lagi ke?” Mariah mengerutkan dahi, hairan dengan selera membeli belah sahabatnya itu.

“Saya bukan nak beli baju.”

“Nak beli apa pula dah?” pintas Mariah.

Sofina tersenyum-senyum. “Saya nak beli tudung. Baju ni semua mestilah dikenakan dengan tudung yang sesuai.  Kena sesuai dengan warnanya,” katanya.

“Sofi, tudung awak berlambak. Sebulan pun tak habis pakai semuanya. Bulan lepas awak order online dari rakan Facebook awak.” Mariah menggeleng.

“Itu koleksi namanya. Saya tak beli yang mahal, Mariah.  Saya beli yang murah-murah aje. Dalam almari tu banyak pilihan baru senang hati!”

Mariah tertawa. Telatah Sofina yang comel mencuit hatinya. Koleksi tudung Sofina sudah pelbagai fesyen dan jenama mengikut peredaran masa. Sofina jika menginginkan sesuatu, dia mesti dapatkannya, tidak boleh tidak!

“Banyaklah awak punya senang hati. Jom pergi borong tudung selori!”

“Mariah!”

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan