Home Novel Cinta Benci Itu Rindu
Benci Itu Rindu
Angela Engkuan
4/2/2014 09:44:47
94,485
Kategori: Novel
Genre: Cinta
PROLOG
KEDENGARAN bacaan Yasin yang begitu khu­syuk daripada sekumpulan lelaki di ruang tamu rumah. Banglo tiga tingkat yang sebelum ini sentiasa terang-benderang dengan lampu yang bergemerlapan indah, kini bagaikan suram. Kediaman mewah milik arwah Datuk Johan bagai diselubungi kabus tebal yang gelap hingga sukar ditembusi cahaya mentari.

Azizan teresak lagi. Tidak terbendung rasa pilu yang menyengat tangkai hatinya. Teramat sayu dan sedih. Sesungguhnya dia tidak kuat. Semangatnya rapuh tatkala menghadapi saat-saat sukar seperti itu. Dia juga belum bersedia berdepan dengan kenyataan. Segala yang berlaku terlalu mendadak. Perasaannya luluh sehingga melemahkan segenap urat saraf tubuhnya yang tegap.

“Izan, jangan macam ni, nak. Tabahkan hati. Kami faham perasaan Izan. Yakinlah pada ketentuan-NYA, ayah dan ibu Izan akan tenang di sana. Berdoalah banyak-banyak. Sedekahkan bacaan Yasin untuk mereka, ya,” bisik Tan Sri Zukri. Bahu Azizan diusap lembut, bagai menyalurkan semangat dan kekuatan pada anak muda itu.

“Ayah... ibu...” Azizan merintih pilu. Air mata terlalu murah mengalir tanpa segan silu.

“Ini semua takdir... kuasa ALLAH, Izan. Kita datang daripada-NYA dan kepada DIAlah kita kembali. Bersabarlah nak.” Tan Sri Zukri tidak jenuh memujuk. Dengan penuh perhatian dan kesabaran dia memimpin anak saudara yang sudah dianggapnya bagai anak sendiri. Azizan seperti kehilangan seluruh tenaganya, tidak bermaya.

Saat jenazah Datuk Johan dan Datin Sarah hendak disemadikan, Azizan hanya sempat melihat jasad mereka dimasukkan ke liang lahad. Perasaannya tiba-tiba bagai melayang, seolah-olah turut meninggalkan jasadnya. Pandangannya menjadi gelap seketika.

Tatkala membuka mata, Azizan bagai baru terjaga dari mimpi yang amat ngeri.

“Izan... Izan...” Ada suara yang memanggil-manggil namanya dengan nada sayu.

Puan Sri Marisa menatap wajah Azizan dengan air mata bergenang. Sayu hatinya melihat keadaan anak muda itu. Beberapa helai tisu ditekapkan ke dahi Azizan. Mengesat peluh dingin pada wajah yang pucat itu. 

Azizan menatap bagaikan orang kebingungan. Dia hampir tidak mampu bangkit. Melihat kepayahan Azizan, Syamsul dan Dean segera menghulur tangan. Azizan melangkah lemah, mengikut arah Syamsul dan Dean yang memimpinnya menghampiri pusara. Matanya yang sembap hanya mampu menatap kayu nisan terpacak pada dua buah pusara yang baru selesai diratakan. Serta-merta rohnya bagaikan datang kembali, menghidupkan semula sekujur tubuhnya yang bergetar. Akal warasnya mulai kembali, pusara itulah tempat ayah dan ibu bersemadi buat selama-lamanya. Dadanya bagaikan dihambat, sesak dan amat sakit.

“Ayah, ibu...” Azizan terjelepok di atas tikar di sisi pusara. Dia menangis teresak-esak.

“Sabarlah Izan...” Bagai ada gumpalan keras di kerongkong Tan Sri Zukri. Hampir tidak keluar suaranya.

Telapak tangan Azizan mengusap gundukan tanah yang masih terasa hangat itu dengan perlahan. “Ya ALLAH, sesungguhnya aku amat kehilangan. Aku terima takdir yang ENGKAU telah tentukan kepada umat-MU yang lemah ini dengan redha. Ya ALLAH, aku terlalu kerdil untuk meminta tetapi aku memohon kepada-MU, terimalah kedua-dua ibu bapaku. Ampunilah segala dosa mereka, sucikanlah roh mereka, tempatkanlah mereka dikalangan orang yang beriman dan beramal soleh.”

Azizan mendongak ketika bahunya disentuh dan diusap perlahan. Air matanya segera diseka. Wajah sayu Tan Sri Zukri sedang mengangguk perlahan.

“Kita perlu beredar, Izan,” pujuk Tan Sri Zukri.

“Sekejap lagi, papa. Sekejap lagi…” bisik Azizan membalas ajakan Tan Sri Zukri.

Tan Sri Zukri mengangguk lagi, tanda bersetuju.

Azizan kembali menatap sayu dua batang kayu nisan di hadapannya. Timbunan tanah diusap dengan perlahan bagaikan bimbang sentuhannya akan menyakitkan jasad yang bersemadi di bawah sana.

“Ampunkan segala dosa Izan, ayah, ibu... halalkan makan dan minum Izan selama ini,” bisik Azizan untuk kesekian kalinya. Diturutkan hatinya yang hampir rapuh, dia ingin meratap semahu-mahunya.

“Ayah, ibu... Izan nak kata apa pada Rina?” bisik Azizan menahan tangis. Diusapnya lagi timbunan tanah pusara ibunya. Air matanya semakin laju mengalir.

“Izan tidak ada siapa-siapa lagi ibu. Ayah dan ibu pergi... Rina entah bila akan sedar dari koma.”

Diusap lagi dengan penuh kelembutan permukaan pusara. Sungguh sebak dan sesak dadanya. Setelah lengannya digamit sekali lagi oleh Tan Sri Zukri, Azizan berusaha menampung tubuh untuk bangkit.

“Izan balik dulu ayah, ibu. Izan akan sentiasa berdoa untuk ayah dan ibu. Izan akan datang lagi, Izan akan jenguk ayah dan ibu selalu...” Sungguh berat kakinya mahu melangkah. Belum sampai 24 jam dia kehilangan ayah dan ibunya, Azizan sudah berasa amat rindu. Bagaimana hendak merawat kesepian hatinya pada hari-hari mendatang?

SELESAI doa tahlil, saudara mara dan rakan-rakan hanya menjamu selera secara ala kadar. Mereka pulang dengan wajah bersalut kesedihan. Meskipun sudah seminggu berlalu namun mereka seperti masih belum percaya akan pemergian Datuk Johan dan Datin Sarah. Pemergian abadi itu merupakan satu kehilangan besar bagi mereka. Melimpah ruah simpati mereka terhadap keluarga arwah apatah lagi mereka adalah pasangan serasi, sehati sejiwa yang sentiasa bersama ke mana-mana sahaja dan juga terlibat dengan kemalangan yang sangat tragis bersama.

Puan Sri Marisa menyeka air mata yang bergenang. Longlai langkahnya masuk ke ruang rehat keluarga. Matanya terpaku pada tubuh Azizan dalam pelukan erat Tan Sri Zukri.

“Mengapa ayah dan ibu tinggalkan Izan? Izan tak sempat nak jumpa mereka, papa. Mengapa, papa? Mengapa?” tanya Azizan dengan begitu sayu.

Sudah seminggu keadaan Azizan begitu. Murung dan tidak bersemangat. Kepergian Datuk Johan dan Datin Sarah seakan sudah membawa pergi segala-galanya dari anak muda itu. Hati wanita Puan Sri Marisa benar-benar tersentuh. Tidak kuat membendung rawan hatinya. Pilu dan luluh seluruh perasaannya setiap kali Azizan menangis sayu.

“Tak baik macam ni nak. Izan perlu tabah, redhalah supaya roh ayah dan ibu tenang. Papa faham perasaan Izan,” pujuk Tan Sri Zukri lagi.

“Papa, Izan kesal. Izan tak sempat jumpa ayah dan ibu sebelum...”

“Semua tu dah ditakdirkan. Tabahkan hati, nak. Tak elok terlalu bersedih.” Tan Sri Zukri memujuk. Dia tidak mahu Azizan terus menerus menyesali keadaan dan anak muda itu terus hanyut dipukul arus kesedihan.

Tan Sri Zukri menatap wajah Azizan. Dalam usia baru 22 tahun, sudah tentu Azizan masih terlalu muda dan berasa kehilangan tempat bergantung dan bermanja. Malah Azizan tidak mampu menerima kenyataan dan hakikat bahawa kedua-dua orang tuanya sudah tidak ada lagi di dalam dunia ini. 

Sebagai saudara kandung yang sulung kepada arwah Datuk Johan, Tan Sri Zukri juga berasa amat kehilangan. Dari Sabah, dia tergesa-gesa balik ke Kuala Lumpur sejurus menerima khabar buruk yang menimpa satu-satunya adik kandung yang dimilikinya di dunia ini.

“Jika ayah tunggu Izan masa tu mungkin kemalangan tu tak berlaku. Izan boleh pandu kereta untuk ayah,” kata Azizan lagi, amat sukar mengikis rasa kesal dari hatinya.

“Apa yang berlaku tentu ada hikmahnya. Ayah Izan bukan tak biasa bawa kereta sendiri, malah ayah Izan setiap hari memandu tetapi itulah takdir namanya, Izan. Tak ada sesiapa pun yang mampu menolak takdir.” Tan Sri Zukri mengeluh perlahan. Ada saatnya dia turut berfikiran seperti Azizan, terasa kesal dengan apa yang terjadi.

“Izan dan Rina dah tak ada siapa-siapa lagi, papa. Kami dah jadi anak yatim piatu.” Azizan terus teresak-esak.

“Jangan cakap begitu Izan, papa kan ada. Papa sayangkan Izan dan Rina.” Tan Sri Zukri menahan sebak di dada. Didakap erat anak muda itu.

“Papa...”

“Izan... papa faham perasaan Izan tapi kita tak boleh terus bersedih. Kita perlu berdoa... redha dengan ketentuan-NYA. Dah seminggu Izan macam ni. Papa tak nak Izan jatuh sakit. Makan minum Izan pun dah tak teratur. Papa bimbangkan Izan.”

“Izan tak apa-apa, papa jangan bimbang.” kata Azizan lemah lantas menegakkan tubuhnya.

Tan Sri Zukri menatap wajah murung itu beberapa detik lantas mengangguk-angguk.

“Papa, Izan dah buat keputusan...” Azizan bersuara setelah beberapa ketika mendiamkan diri.

“Keputusan apa, Izan?” tanya Tan Sri Zukri. Direnungnya mata anak muda itu.

“Izan nak tangguhkan pengajian. Izan tak sampai hati nak tinggalkan Rina dan papa.” Air matanya bergenang lagi.

Wajah Tan Sri Zukri dan Puan Sri Marisa berpandangan lantas sama-sama menggeleng.

Azizan menghela nafas. Terlalu berat hatinya hendak berpisah apatah lagi dalam keadaan keluarganya masih dirundung kesedihan. Pusara Datuk Johan dan Datin Sarah pun masih lagi merah. Azizan tidak mahu hanya duduk menangisi nasibnya dan Azrina. Azrina pasti perlukan dia di sisi. Tidak tega hatinya meninggalkan satu-satunya saudara kandungnya itu. Dia perlu tabah menerima takdir demi Azrina.

“Papa faham keadaan Izan. Tak usah tangguhkan pengajian tu. Izan baliklah ke UK minggu hadapan. Teruskan pengajian. Tentang Rina, Izan jangan risau. Papa dengan mama akan jaga Rina.” Tan Sri Zukri sudah membuat keputusan.

“Tapi, papa...”

“Jangan risau, Izan. Tinggal setahun lagi pengajian Izan. Selesai belajar nanti Izan bolehlah uruskan syarikat ayah Izan. Syarikat tu perlukan Izan. Sementara masih bertenaga, papa akan bantu Izan,” kata Tan Sri Zukri. Wajah sayu Azizan ditatap dengan perasaan sebak.

“Betul kata papa tu. Mama faham perasaan Izan. Izan perlu banyak bersabar. Kita yang tinggal ni perlu kuat dan tabah. Rina sangat perlukan sokongan kita semua lepas ini. Izan perlu hadapi keadaan ini dengan tabah demi Rina,” pujuk Puan Sri Marisa lembut.

Azizan hanya mendiamkan diri. Mengangguk tidak menggeleng pun tidak. Perasaannya berkecamuk. Azrina yang terbaring kaku dalam keadaan koma terbayang di pelupuk matanya. Jauh di lubuk hatinya mengakui kata-kata Puan Sri Marisa. Memang benar. Azrina yang memerlukan semangat dan kekuatannya.

Tatkala malam kian larut, Azizan terasa hidupnya kini sungguh sepi. Kehilangan ayah dan ibu tercinta telah membuat jiwanya kosong dan kering kontang. Dia tidak lagi dapat bermanja dan tidak akan lagi mendengar suara lembut kedua-dua orang tuanya. Betapa sukar membendung perasaan sedih meskipun dirinya seorang lelaki.

Di tempat tidur Azizan tersedu-sedu dalam kegelapan bilik tidurnya sepi. Wajah Datuk Johan, Datin Sarah dan Azrina silih berganti menerpa sanubarinya. Azizan lemah. Dirinya tersungkur. Kesannya amat sakit sehingga tidak mampu untuk bangkit.

“Ya ALLAH, aku memohon bimbingan dan petunjuk-MU. Berikanlah aku kekuatan, berikan aku ketabahan untuk menghadapi hari-hari esok...” Dia sujud kepada-NYA, berdoa panjang sebelum matanya terlelap dalam kepayahan.
Next: BAB 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan