Home Novel Cinta Benci Itu Rindu
Benci Itu Rindu
Angela Engkuan
4/2/2014 09:44:47
95,063
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 25

MARIAH menatap slip yang keluar dari mesin ATM selepas dia mengeluarkan wangnya. Dia tergamam. Seperti tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Dadanya berkocak. 

“Eh, apa dah jadi ni? Tak mungkin... takkan aku tersilap!”

Mariah sungguh hairan. Tidak pernah Natasya mengirimkan duit lebih banyak seperti yang dibincangkan sebelum dia berangkat melanjutkan pelajaran lebih dua tahun yang lalu. Wang perbelanjaan bulanan sebanyak RM1500 itu terlalu banyak baginya. Inikan pula tiga kali ganda jumlahnya! Atau, mungkin staf bahagian akaun syarikat Natasya yang tersilap membuat pengiriman wang?

“Kenapa, Mariah?” tanya Sofina.

“Tak apa-apa, Sofi.” Mariah tersenyum.

Kenapa Kak Tasya masuk duit banyak pula bulan ni?  Hati Mariah masih tertanya-tanya. Dia tidak memerlukan wang sebanyak itu jika setakat untuk perbelanjaan hariannya.  Selama ini pun dia berjimat, wang kiriman daripada Natasya tetap berbaki setiap bulan. Tidak pernah kering walaupun setelah ditolak wang sewa rumah dan perbelanjaan harian. Jika dia berniat mengambil kesempatan terhadap kebaikan Natasya, mungkin dia akan senang hati menerima duit itu tetapi dia tidak mahu. Dia mahu segala apa yang dimakan dan dipakainya hasil daripada duit pemberian Natasya menjadi halal kepada dirinya.

“Mariah, saya risaulah tengok awak macam ni. Ada apa sebenarnya?” 

Sofina tidak sabar jika hanya memerhati Mariah yang gelisah. Dia tercengang tatkala Mariah menghulurkan slip mesin ATM kepadanya namun diambil juga slip lalu diperhatikan. Tidak ada yang pelik baginya.

“Kenapa dengan slip ini?” tanya Sofina.

“Saya tak sedap hatilah, Sofi. Duit dalam akaun saya tu banyak sangat. Saya...”

“Uit, duit banyak dalam akaun pun boleh jadi bingung macam ni sekali? Apa yang tak kena dengan duit tu?” Sofina berasa sahabatnya itu sangat pelik, dia ketawa.

“Sofi, duit tu dari Kak Tasya. Saya hairan sangat kenapa pula bulan ni Kak Tasya masuk duit terlalu banyak?”

Sofina mengerutkan kening. “Siapa Kak Tasya tu?” 

Itulah kali pertama Mariah menyebut nama wanita itu sepanjang perkenalan mereka. Setahunya, Mariah tidak mempunyai kakak melainkan adik-adik perempuan sahaja.

Mariah terkebil-kebil dengan pertanyaan Sofina itu.  Tanpa sedar dia terlepas cakap. 

“Err... Kak Tasya tu adik bekas majikan syarikat guaman tempat saya bekerja sebelum sambung belajar, Sofi.”

“Jadi?” Sofina merenung Mariah. Benaknya penuh dengan tanda tanya.

“Sebenarnya saya dapat tajaan sambung belajar daripada syarikat Kak Tasya tu,” jelas Mariah.

“Okey, saya faham. Habis tu apa yang buat awak susah hati sangat ni?” Sofina merenung wajah sahabatnya.

“Taklah... saya rasa pelik pula bulan ni Kak Tasya masukkan duit lebih. Staf kat bahagian akaun tu buat silap agaknya. Saya kena pulangkan duit pada Kak Tasya.”

“Eh, sebaiknya awak telefonlah dia dulu. Yalah, manalah tahu dia sengaja beri awak lebih bulan ni.”

“Ya tak ya juga. Saya telefon dia dululah, Sofi.”

Mariah segera mengeluarkan telefon bimbitnya dari beg sandangnya. Setelah menekan nombor Natasya, ditekapkan ke telinga telefon bibitnya.

“Helo... Assalamualaikum Kak Tasya.” Lembut dan sopan Mariah mengucapkan salam tatkala panggilannya bersambut.

Sofina ralit memerhati. Tidak sabar pula ingin mengetahui hal sebenarnya. Meleset sangkaannya selama ini berkenaan kewangan Mariah. Dia benar-benar menyangka Mariah mendapat tajaan biasiswa Negeri Sabah. Silapnya dia tidak pernah bertanya. Dia hanya membuat andaian sendiri.

Hampir 10 minit baru Mariah selesai berbual dengan Natasha.

“Dia cakap apa, Mariah?” tanya Sofina sejurus Mariah menamatkan perbualan.

“Kak Tasya kata, guna sajalah duit tu. Duit bulan ni memang sengaja dia lebihkan. Kadang-kadang saya tak faham. Sebenarnya dah lama saya terfikir, duit yang dia kirim setiap bulan tu sebenarnya duit peribadi dia, bukan duit syarikat!”

“Kenapa pulak awak fikir macam tu?”

“Sebab tak ada sebarang dokumen pun saya tandatangan.  Nak kata tajaan, sepatutnya adalah dokumen hitam putih. Ini langsung tak ada!”

“Kenapa baru sekarang awak terfikir? Lebih dua tahun dah awak belajar... pelik!”

“Memang pelik, Sofi. Sebenarnya saya pernah tanya Kak Tasya. Dia kata dia tak nak ikut prosedur sangat. Dia selalu kata, dah anggap saya ni macam adik dia. Emm... dia memang baik.”

“Mariah, dia ikhlas nak tolong awak. Tak apalah, awak terima saja segala kebaikan dia tu dengan hati terbuka. Besar pahala dia kerana tolong orang kurang mampu.”

Mariah terangguk-angguk. Adakalanya seperti terlalu sukar diterima dek akalnya tentang kebaikan Natasya itu.  Dia hanya mengenali wanita itu selama empat bulan sahaja. Sesungguhnya tempoh yang sangat singkat. Natasya belum pun mengenalinya secara mendalam. tidak tahu latar belakangnya.

“Saya berhutang budi terhadap Kak Tasya, Sofi.  Bayangkanlah sepanjang tempoh pengajian saya dibiayai Kak Tasya. ALLAH saja yang dapat membalas budi baik dia.”

“Syukur alhamdulillah! Beruntung awak dapat kakak sebaik dia. Bulan depan pesan kat Kak Tasya, saya pun nak minta kirim duit jugalah!” Sofina berlawak.


SYAMSUL sudah menduga, berita yang Azizan ingin sampaikan tidak lain hanya mengenai gadis yang bernama Mariah itu. Azizan sudah berubah. Itu yang dilihat pada diri sahabatnya itu. Apakah hati Azizan benar-benar sudah terkena panahan cinta?’ Sebagai sahabat, Syamsul sentiasa mendoakan Azizan mendapat kegembiraan dan kebahagiaan.

“Kau selalu kata aku ni mengarut setiap kali cakap pasal Mariah tu, Izan.”

“Ada aku cakap macam tu?”

“Itulah... sudah berbuih mulut aku nasihatkan kau supaya berterus terang tapi kau asyik nak berdalih. Itulah cara yang betul. Mempermudah segala yang sukar!”

Azizan merenung wajah Syamsul sambil tersenyum senyum. Biarlah Syamsul berleter, sedikit pun tidak menjadi kudis dalam hatinya.

“Syam, aku rasa kalau...” Kata-kata Azizan terencat.

Entah mengapa tiba-tiba dia rasa malu pada Syamsul. Namun dia tidak ada pilihan. 

“Segan pula nak cakap kat kau,”

Syamsul terasa geli hati pula dengan kata-kata Azizan itu. Tawanya meledak. 

“Segan? Hari ini dalam sejarah! Sejak bila kau kenal aku, Izan? Kita kenal dah 10 tahun, pun masih nak segan?” tanya dan jawab sendiri Syamsul.

“Syam, bukan macam tu. Okeylah... kau boleh tolong aku tak?”

“Aku akan tolong. Cakap aje apa perlu aku buat.”

Azizan tertawa. Selama ini pun Syamsul terlalu banyak menghulurkan pertolongan kepadanya. Belum pernah sekali pun Syamsul menolak. Walaupun suka berleter, tetapi Syamsul tetap ringan tulang membantunya.

“Kau dah tahu kat mana kampung Mariah, kan?”

“Tahu! Kenapa pulak?” tanya Syamsul pula. Dahinya sedikit berkerut.

“Boleh tak kau bawa rombongan ke rumah orang tua Mariah? Merisik, sekali gus melamar Mariah,” pinta Azizan tanpa berselindung. Itulah keputusan yang terbaik baginya.

Syamsul tergamam seketika mendengar permintaan Azizan. Satu kejutan baginya. Besar pula pertolongan yang Azizan perlukan kali ini!

“Boleh. Tak jadi masalah. Besar pahala aku dapat bantu orang dirikan masjid ni.” Syamsul teruja.

Azizan tersengih. ‘Alhamdulillah! Semoga segalanya dipermudahkan’ Bisik hatinya. Dia tahu permintaannya agak mendadak, namun itulah harapannya.

“Inilah dikatakan jodoh dah sampai. Tak sabar aku nak makan nasi minyak!” Syamsul mengusapi wajahnya lalu ketawa.

“Terima kasih, Syam. Dalam masa terdekat ni, kita akan bincangkan segala persediaan. Aku akan ajak Arryl, Natasya dan Imman. Kau bawa Mira sekali, Syam.”

“Mariah tu masih belajar lagi, kan?” tanya Syamsul.

Azizan mengangguk. “Masih belajar tapi itu kami boleh bincangkan kemudian. Aku tak akan halang dia belajar.”

“Mariah dah setuju ke nak bertunang sedangkan dia masih belajar?”

“Aku akan bincangkan dengan dia nanti. ”

“Eh? Aku ingatkan ini keputusan kau berdua. Izan, janganlah pandang ringan perkara macam ni. Ini soal masa depan, perlu bincang dari hati ke hati!” nasihat Syamsul serius. Adakalanya tindakan dan keputusan Azizan menyebabkan fikirannya sesak.

“Mariah akan balik cuti semester nanti. Lebih mudah berbincang kalau dah bertemu berbanding melalui telefon.”

“Sebenarnya sejak bila hubungan kau dengan budak tu serius” tanya Syamsul. Bukan suka menjaga tepi kain orang namun ada sedikit kemusykilan. Atau dia yang sebenar tidak lagi mengikuti perkembangan Azizan sejak kebelakangan itu.

“Mariah bukan budak lagilah, Syam! Dah hampir 23 tahun umur dia.” Azizan ketawa sambil tangannya melurut rambut yang memang sedia kemas.

Kening Syamsul terangkat. “Hmm, perkembangan yang sangat baik. Umur pun dah tahu!” Syamsul ketawa.

“Sebenarnya tak adalah serius sangat. Aku ada jumpa dia setiap kali aku balik ke KL. Telefon tu biasalah. Itu saja.”

Azizan menjongketkan bahunya.

“Jadi kau seriuslah nak menamatkan zaman bujang?”  Tertawa Azizan meledak. Terasa kelakar dengan pertanyaan Syamsul itu.

“Kau jangan gelak. Perkara ni serius, tahu tak? Jangan nak bergurau pulak!”

“Aku serius! Boleh bawa bergurau ke perkara macam ni?”

Pertanyaan Azizan membuatkan Syamsul tersenyum.

“Baiklah! Kau dengan Mariah bulatkan keputusan.  Selepas itu tetapkan masa yang sesuai. Aku bersiap sedia membawa rombongan ke rumah keluarga Mariah tu.”  Syamsul bersemangat siap menepuk dadanya sendiri.

Azizan mengangguk lantas menarik nafas lega. Seakan-akan terlepas satu beban di bahunya.

“Syam, aku nak minta pandangan kau. Secara jujur, kau rasa Mariah tu sesuai dengan aku tak? Maksud aku, kau rasa kami akan serasi?”

Pertanyaan Azizan itu membuatkan Syamsul ketawa terbahak-bahak.

“Serasi! ALLAH Taala dah bekalkan kita akal dan fikiran yang waras. Terpulang kepada kita untuk berfikir bagaimana menjaga kerukunan rumah tangga kita. Keserasian itu daripada kita sendiri. Kalau kita saling menghormati, memahami, saling menerima kelebihan dan kekurangan masing-masing. Kita akan serasi hingga akhir hayat. Tetapi sentiasa berdoa tu penting, agar kerukunan rumah tangga kita akan berkekalan.”

Berderai tawa Azizan. “Panjang pula ceramah daripada Ustaz Syamsul. Terima kasih, Syam.” Azizan menekan nada ketika menyebut perkataan ceramah dan ustaz bagi mengenakan Syamsul yang ‘rajin’ bersyarah itu.

Akhirnya Syamsul turut ketawa. Dia bercakap spontan saja. Apa yang terlintas di fikirannya dia suarakan secara langsung. Namun ‘ceramahnya’ yang percuma itu selalunya hanya kepada Azizan seorang. Entah mengapa!

“Emm... kalau kau nak tahu, kau dengan Mariah akan jadi pasangan yang serasi. Hanya seperkara saja yang aku tengok tak serasi sangat antara kau dengan Mariah tu.”

Syamsul meneguk kopi dari cawannya sebelum meneruskan kata-kata. Sengaja mengusik Azizan.

“Perkara apa pulak tu?” Azizan merenung Syamsul.  Terjongket keningnya.

“Kau pun tahu Mariah tu kecil molek dan langsing orangnya. Kau pula tinggi lampai, badan pula sasa. Nampak tak perbezaan fizikal kat situ? Tapi kalau kau rasa sesuai...sesuailah tu!” Syamsul ketawa sambil menepuk-nepuk bahu Azizan.

Azizan bungkam. Tidak terkata bagi membalas kata-kata gurauan sahabatnya itu.

Previous: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Angela Engkuan